<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener("load", function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2Fsearch&amp;blogLocale=en&amp;homepageUrl=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2F" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Israel Membantai Hamas. Salah Siapa?

Entri ini tidak hanya tamat di sini dan ia berkesinambungan. Jika anda mahu membacanya, maka anda diwajibkan juga membaca entri ini selepasnya agar tidak kontroversi.
Sejak saya berlegar-legar di sekitar tanah Arab ini, saya sudah melihat beberapa kali pergolakan yang bersifat peperangan. Yang paling menggerunkan adalah ketika perang antara Israel dan Lubnan sepanjang bulan Julai 2006. Ketika itu saya di Jordan dan akan pulang ke Mesir. Setelah tiket kapal laut untuk masuk ke Mesir ditetapkan tarikh pembeliannya, sebuah kapal laut di perlabuhan tempat saya bakal berlepas meletup kerana dibom. Ketar-ketir saya memikirkan. Risau saya dibuatnya. Namun mujur, perjalanan saya tetap dilindungi Tuhan kerana tidak ada apa-apa berlaku di hari keberangkatan. Alhamdulillah.

Kali kedua pula adalah ketika peperangan yang saya sifatkan sebagai peperangan paling bodoh merugikankan dalam sejarah Palestin. Ketika itu, Hamas dan Fatah saling bertembak-tembakan dan kesatuan mereka berada pada klimaks keretakan. Dan perang ini membuatkan saya berhabisan banyak duit dan keletihan kerana terpaksa berulang kali ke kedai untuk mendapatkan surat khabar semata-mata mahu mengikuti berita perang yang sia-sia demikian.

Dan kini, ianya adalah kali ketiga apabila Israel mula menyerang semenanjung Gaza beberapa hari lepas. Ketika hari pertama serangan, saya sedang sibuk membeli-belah melihat dunia sambil menaiki feri melintasi Terusan Suez di Bort Said dan Bort Fuad. Boleh jadi ketika itu saya dan kawan-kawan yang turut bersama adalah rakyat Malaysia di Mesir yang paling hampir dari segi kedudukan dengan tempat peperangan. Ini kerana Bort Said adalah antara provinsi terdekat dengan sempadan antara Mesir dan Israel.

Sepanjang hari itu, saya merasa amat pelik melihat setiap televisyen di setiap kedai yang saya lalui, semuanya dipasang dengan saluran Al-Jazeera. Hampir semua kedai berbuat demikian melainkan sebuah yang memasang saluran sukan di samping pemilik kedai berkenaan sedang tekun menonton perlawanan bola yang ditayangkan. Situasi demikian memang mengganggu proses-beli-belah-sambil-melihat-dunia-saya ketika itu. Ini kerana masa itu saya masih belum tahu bahawa Palestin telah diserang. Sebab itulah, apabila telinga saya menangkap kata-kata seseorang di saluran Al-Jazeera yang memohon maaf tentang kematian rakyat-rakyat Palestin dan kerana melibatkan rakyat-rakyat negara itu secara langsung, saya ternganga tak tahu apa-apa. Akhirnya atas rasa enkuiri yang meluap-luap, saya bertanya kepada pemilik sebuah kedai dan beliaulah yang membuatkan saya faham situasi yang tak disangka-sangka itu. Dari perbualan saya dengannya -namanya Tamir-, saya memahami banyak perkara yang lainnya.

Beberapa hari sebelum peperangan saya sudah merasakan akan berlaku kegemparan. Ketika itu, di Al-jazeera ada meliputkan mengenai rungutan Israel terhadap serangan peluru berpandu yang dilepaskan oleh pejuang-pejuang Palestin dari belah Hamas yang telah berlanjutan hampir seminggu. Israel yang marah telah menghantar Livni ke Mesir agar Mesir memujuk Hamas menghentikan serangan demikian. Livni nampak sangat berang dalam ucapannya. Tetapi hal yang lebih menambahkan kecutan dalam hati saya adalah ancaman dari Ehud Olmert, Perdana Menteri mereka. Kata Ehud,

"I can tell you, we have the power, we have enourmous power. We can do things which will be devastating. Stop it, we are stronger! There will be more blood there. Who wants it? We don't want it!"
Sebab itulah apabila Tamir mengatakan Israel baru menyerang Palestin serta ramai yang telah terbunuh dan itulah penyebab kepada terpasangnya saluran Al-Jazeera di semua kedai, saya dengan tidak teragak-agak terus bertanya,

“Serasa tuan, salah siapakah ini semua?”
Beliau juga dengan tidak teragak-agak mengatakan bahawa ini semua salah orang-orang Hamas dan Fatah belaka. Jawapan yang sama dengan apa yang ada di dalam hati saya. Sungguh saya tidak sangka jawapan Tamir sama dengan firasat saya.

Saya faham apa yang dirasakan oleh rakyat Palestin dan perlepasan peluru berpandu yang dituju kepada rakyat Israel adalah kerana rasa tidak puas hati mereka atas segala kekejaman Israel. Namun bagi saya, setelah mendengar dan menonton amaran dari Ehud Olmert yang menyeramkan itu, eloklah untuk Hamas berhenti sementara. Menghentikan tembakan peluru berpandu mereka. Semuanya tahu jika Israel memulakan serangan, maka serangan itu pasti akan jadi trauma untuk sebahagian besar rakyatnya, juga kematian pasti akan berganda-ganda. Namun Hamas tetap degil dan lihatlah akibat kedegilan mereka.

Saya bukan Pro-Israel, namun kerana tidak ada kesatuan dalam saf muslimin seluruh dunia, maka saya rasa menghentikan perlepasan peluru berpandu itu adalah tindakan paling bijak. Ini kerana kita di dalam keadaan yang sangat lemah sedangkan Israel pula tidak ternafi lengkap persenjataannya. Dan kini, apabila Israel telah memulakan serangannya, barulah kita menyesal menghantuk kepala dan tak tahu lagi apa untuk dikata.

Sejak dahulu lagi, jika ada berlaku peperangan di Palestin, maka Mesir pasti akan diminta bantuannya. Ingat lagi tidak ketika Palestin tenggelam dalam kegelapan awal tahun ini, siapakah yang dipujuk rayu diminta pertolongannya? Mesir juga!

Ayuhai, dahulu bolehlah!

Ingatlah! Mesir bukan lagi sebuah negara yang semudah itu untuk menghulurkan bantuannya.

Pemikiran ini bukan sahaja ada pada pemimpin-pemimpin Mesir bahkan rakyatnya juga sudah berfikir sebegini juga. Tak percaya? Mari ikuti temubual saya dengan Tamir, si pemilik kedai tadi.

“Rakyat Palestin ini memang sengaja memulakan krisis, kemudian meminta kami menolongnya. Sudahlah! Kami sudah jemu dengan perangai mereka. Sikit-sikit, mahu melibatkan kami. Mentang-mentanglah tentera kami paling hebat di seluruh dunia.[1] Huh, kami sudah bosan! Mereka yang memulakannya dan kami yang turut jadi mangsa. Sejak zaman Gamal Abdul Naseer, kami dilibatkan oleh mereka untuk berperang dengan Israel. Begitu juga ketika era Anwar Saddat. Tapi yang matinya siapa? Datuk-datuk kami juga. Cukuplah! Kali ini kami tidak akan tertipu lagi.”
Kata-kata Tamir itu terhenti seketika dan mata kami tertumpu pada televisyen. Salah seorang pemimpin pembangkang bagi sebuah negara Arab sedang ditemuramah. Kemudian dia menyambung.

“Tengok! Tengok! Cepat! Mereka sedang panas-panaskan kami. Mereka katakan kami juga bertanggungjawab. Mereka mahukan kami terlibat. Sudahlah! Kami sudah belajar dari kisah silam. Jika kami menolong mereka, yang ruginya kami juga. Sedangkan nanti andai kami diserang, bukan ada sesiapa pun yang akan menghulurkan bantuan. Kau mesti tahukan yang ketika Israel, Perancis dan Britain bersatu menyerang kami, tak ada langsung bantuan dari negara yang lainnya. Padahal, perang itu bermula disebabkan oleh orang Palestin. Mereka ini tak habis-habis membuat masalah.

“Kau juga mesti tahu kan bahawa Bort Said juga pernah dibantai penjajah? Ketika itu mereka menyerang habis-habisan Gameel. Langsung tidak ada sebarang bantuan dari negara Arab atau Islam lainnya. Hanya kami yang orang-orang Bort Said yang mempertahankannya. Lihatlah kemusnahan yang teruk di sana -Gameel-. Namun, syukur kerana berkat dari Tuhan, kami berjaya dalam perang itu. Sebab itulah Bort Said ada hari kebangsaannya sendiri. Semalam. Kau tahu tak? Semuanya kerana mengingati peristiwa kemenangan ini. Kenapa kau tak datang?" -gelak-
Mendengar kata-katanya itu, saya pun sengaja menimbulkan provokasi.

“Oh, begitu! Tapi setahu saya, semasa perang Iraq, Mesir membenarkan kapal-kapal laut Amerika yang digunakan untuk perang melalui Terusan Suez. Betul ke ini semua? Tuan lihat tidak kapal-kapal Amerika itu? Kenapa Mesir tidak larang kapal-kapal tersebut dari melalui? Bukankah kalian mampu?”
Jawab Tamir,

“Memang ada kapal-kapal demikian yang melalui. Tapi kau perlu faham bahawa Terusan Suez ini adalah harta antarabangsa, bukan sepenuhnya milik kami. Ianya Al-Marru Al-3alami. Mesir tidak ada hak untuk melarang. Dahulu telah termeterai satu perjanjian tentang kebebasan alami untuk menggunakan terusan ini. Dan perjanjian itu dipersetujui oleh banyak negara seantero dunia. Jika Mesir melarang, maka kami telah cari fasal dengan negara-negara yang sama-sama membuat penjanjian. Silap-silap kami bisa diserang. Kau kena faham dahulu hal demikian. Tak silap saya, nama perjanjian itu Perjanjian Konstantinople, kalau tak salah lah.”
Tamir telah memberikan maklumat yang berguna buat saya. Namun apa yang saya hairankan adalah dia lebih memilih untuk tidak menekan Mesir agar Mesir menghulurkan bantuan. Saya seolah-olah setuju dengan Tamir dalam beberapa perkara meskipun tidaklah sekufu penuh dengannya. Apa yang saya seakan-akan setuju adalah sebab bermulanya perang ini adalah kerana Hamas degil dan terus-terusan melepaskan tembakan. Namun pendapat Tamir ini bukanlah mewakili suara seluruh rakyat Mesir. Ini kerana semalam Mesir telah menyaksikan rakyat-rakyatnya keluar di jalan-jalan berarak membantah serangan Israel ini. Bahkan sekarang di seluruh dunia, tunjuk perasaan, muzoharah, protes, ihtijajat dan yang sama waktu dengannya telah berlangsung. Semuanya terbit atas rasa persaudaraan dan kasihan melihat saudara seagama mati dibunuh.

Jika di Mesir dan negara-negara Arab yang lainnya, kebanyakannya mendesak agar Mesir membantu Palestin dalam hal ini. Yang utamanya adalah, agar Mesir membuka Ma3bar Rafah[2] bagi memudahkan penduduk Semenanjung Gaza masuk. Pintu masuk Rafah itu memang patut dibuka sekarang kerana penduduk Semenanjung Gaza selama ini bagaikan duduk di dalam penjara kerana penutupannya. Ditambah lagi sekarang ini, Israel sibuk membantai beberapa kawasan di Gaza, maka penjara itu bagaikan telah berubah menjadi neraka buat mereka.

Di Lubnan, Hassan Nasrullah mengajak seluruh rakyat Mesir agar keluar membuat protes agar Mesir mengambil sebarang tindakan. Bahkan beliau turut memberi ancaman beserta semangat dengan mengatakan,

“Wahai seluruh rakyat Mesir, jika kamu tidak keluar menunjuk membantah maka kamu semua bersekutu dengan Israel, juga bersekutu dengan Amerika di atas segala jenayah, pembunuhan dan segala kekejaman. Keluarlah kalian dengan jumlah kalian yang berjuta-juta itu di sepanjang jalan. Adakah mampu polis Mesir membunuh kalian yang membuat tunjuk perasaan itu sedangkan jumlah kalian berjuta-juta? Mereka tidak akan selamanya mampu.”
Dalam ucapan beliau, beliau juga turut meminta agar dibuka semula Ma3bar Rafah agar rakyat Palestin yang terkurung dapat melarikan diri ke Mesir.

Di Turki, di Mauritania, di Britain juga ada tunjuk perasaan tersendiri oleh rakyat-rakyatnya. Bahkan di kuliah saya sendiri turut ada.

Ketika saya ke kuliah semalam, saya lihat ramai sekali mahasiswa-mahasiswa Mesir yang berdemonstrasi berdiri sambil memegang sepanduk serta menjerit ramai-ramai menunjukkan protes mereka. Mereka juga turut berjalan beramai-ramai mengelilingi kuliah. Lama sungguh saya memerhati perhimpunan ini sambil cuba memahami apa yang diucapkan. Berdasarkan statistik, saya rasa mahasiswa-mahasiwa Mesir kuliah saya yang membantah ini turut tergolong dalam sejumlah empat ratus ribu ramai Mesir yang menunjuk perasaan semalam.

Namun wahai rakyat Mesir, maafkanlah saya kerana tidak menyertai anda semua dalam berdemonstrasi. Bukan kerana saya takut. Bahkan jika pelajar asing dibenarkan untuk berbuat demikian tanpa sebarang ancaman pun, saya tidak akan menyertainya.

Maaflah. Bukan apa. Sebenarnya otak saya sudah dicuci sampai suci oleh Habib Umar[3] apabila beliau membuat komen tentang muzoharah depan Al-Azhar bulan lepas. Kata Habib Umar,

“Apa guna kita berdemonstrasi menunjuk perasaan, sedangkan ketika waktu solat, masjid kita kosong tak ada orang memakmurkan?”
Kalam beliau itu amat membuka minda saya.

Bahkan jika dilihat pada realiti, hal ini memang berlaku di sekeliling kita. Orang ramai penuh sekali ketika demonstrasi tetapi ketika waktu solat di masjid-masjid safnya hanya sebaris dua. Hal ini pula apa cerita. Nampaknya orang Islam lebih minat menunjuk-nunjuk perasaan bencinya daripada menunjuk-nunjuk perasaan sayangnya kepada Yang Maha Pencipta. Eh, betulkah teori saya ini?

Namun, walaupun terdetik di hati saya bahawa serangan ini berfaktor oleh kedegilan Hamas, saya tetap mengutuk serangan ini kerana ianya melibatkan orang yang tidak bersalah dari pelbagai golongan. Kanak-kanak juga turut terlibat. Paling menggeramkan, ada juga masjid yang jadi sasaran bidikan.

Untuk kita yang tidak mampu untuk melakukan apa-apa dengan keadaan ini. Janganlah hanya berdiam diri. Ada sesuatu yang mampu kita lakukan iaitu berdoa untuk keselamatan rakyat-rakyat Palestin ini dan semoga Israel dengan segera menghentikan serangan. Buat mereka yang minat berdemonstrasi janganlah meninggalkan blog saya ini pula kerana kita tidak sama pendapat. Saya memuji semangat kalian yang berkobar-kobar itu. Cuma kalau boleh pindahkanlah semangat kalian itu ke arah tempat azan dilaungkan. Letakkan semangat itu pada sesuatu yang lebih aulawiyah. Namun jika anda pula jenis yang tidak suka berdemo, janganlah pula jadi seperti sebahagian rakyat Mesir di Terusan Suez yang saya jumpa pada malam hari pertama serangan. Tahu tidak apa yang orang-orang Mesir ini lakukan? Mereka sibuk bermain Tawlah dan Domino[4] sambil duduk mengeteh membuang masa. Ingin saja saya katakan kepada mereka, “Anak siapalah ini?” Namun memandangkan kebanyakan dari mereka adalah orang tua maka saya rasa yang paling elok saya katakan adalah, “Ayah siapalah ini?”

Aduhai, ingatkan ketika cuti Tahun Baru Hijrah tahun ini dapatlah saya berehat dengan penuh ketenangan. Tapi pelbagai macam dugaan pula datang bertimpa-timpaan. Dari fitnah ke atas Adibah Ahmad di Malaysia hinggalah ke serangan ini. Minta-minta tahun depan tidak ada lagi berlaku hal-hal yang sedemikian.

Al-fatihah buat semua yang terkorban.

NOTA KAKI:
---------------------------------------------

[1]^Orang Mesir memang minat mengaku bahawa tentera mereka adalah yang terhebat di dalam dunia. Ini kerana ada hadith Nabi meriwayatkannya.
[2]^Ma3bar : Pintu Masuk. Rafah : Nama tempat. Sebahagian di dalam Mesir, sebahagian di dalam Semenanjung Gaza.
[3]^Habib Umar ini bukanlah pengetua Darul Mustafa. Cuma beliau adalah antara orang alim yang rapat dengan segolongan rakyat Malaysia di Mesir. Juga keluaran Darul Mustafa dan merupakan anak kepada Habib Zin.
[4]^Tawlah dan Domino umpama permainan Dam atau Daun Teruk yang dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia untuk membuang masa di kedai kopi.

Labels: , , , ,

 

for this post

 
Anonymous Muzammil Says:

Ese sangat-sangat setuju dengan Hasan Nasrullah untuk turut turun membuat tunjuk perasaan dan demonstrasi. Kita umat Islam perlu tunjukkan bantahan kita ke atas serangan mereka ini. Kita sudahlah tidak turut sama berperang. Kemudian apabila ada antara kita yang diserang, kita hanya duduk berpeluh tubuh. Inilah satu-satunya jihad yang mampu buat kita yang jauh. Lagipun bukan susah, kita hanya menyertai dan bukan mengetuai. Barulah Israel takut, kalau lebih ramai, lagilah mereka gerun.

Tamir itu ese rasa adalah dari orang yang menyokong kerajaan Mesir, sebab itulah cara berfikir dia macam itu. Mustahil kalau dia dari pihak pembangkang untuk cakap macam itu.

 
 
Blogger Izudin Abqori Says:

Semangat beginilah yang perlu ada pada anak muda. Saya minat melihat anak muda yang berkobar-kobar semangatnya seperti anta Muzammil. Namun, demonstrasi, tunjuk perasaan dan protes begitu bagi saya bukan tindakan yang paling bijak.

Semata-mata untuk bagi mereka takut?

Anta dah lupa ke? Bukankah orang Israel sendiri sudah mengaku bahawa mereka mereka hanya akan takut apabila solat Subuh umat Islam itu ramainya seperti ramainya orang ketika solat Jumaat. Tak pernah pula Abqori dengar, mereka ini akan takut dengan ramainya jumlah orang Islam yang menunjuk perasaan. Kita sibuk menunjuk perasaan tapi masjid kita kosong.

Waktu mahasiswa-mahasiswa kuliah saya menunjuk perasaan hari itu, mereka berhenti berdemonstrasi selepas iqamat. Ingatkan mereka terus ke masjid. Rupa-rupanya mereka bentang karpet dan solat beramai-ramai di ruangan kuliah. Untuk makluman, masjid dari tempat mereka bersolat amatlah dekat. Belakang mereka saja. Setengah minit sudah sampai. Nak kata masjid tak muat. Masjid itu amat besar dan dua tingkat. Ini pula apa cerita? Tak tahu pula saya kalau-kalau tempat mereka berdemonstrasi itu adalah lebih keramat dari masjid. Rasa saya tak.

Abqori tak rasa Tamir itu dari orang yang menyokong kerajaan. Sebab dia turut menyalahkan Hamas dan Fatah yang berpecah-belah. Lagipun dia itu orang Bort Said. Cara berfikir orang sana agak berbeza. Selain dari kuat berfikir niaga, orang Bort Said banyak kisah silam mereka yang diwarisi turun temurun. Bort Said banyak sangat sejarahnya. Namun itu hanya rasa Abqori, tak tahulah pula kalau dia memang menyokong kerajaan.

p/s: Abqori tak catitkan sepenuhnya perbualan Tamir dengan Abqori itu. Hanya sekadar yang sempat dan ingat.

 
 
Anonymous Muzammil Says:

Baik, ese rasa untuk kali ini ekau ada bonarnyo. Tapi bagaimana untuk kita tunjuk pada mereka bahawa kita benci perang yang dilakukan? Dengan berdoa, mereka tidak tahu. Bagaimana pula dengan memboikot barangan mereka?

Apa pendapat?

 
 
Blogger Izudin Abqori Says:

Muzammil, janganlah anta memperkecilkan kelebihan berdoa. Doa itu senjata orang mukmin. Doa kita diurus penuh oleh Tuhan. Kalau Tuhan nak bagi mereka tahu dengan hanya melalui doa kita, Tuhan mampu untuk lakukan.

Ada caranya. Namun kita perlu sempurnakan dahulu pengamalan agama dalam hidup kita. Sunnah perlu dihidupkan sepenuhnya. Solat perlu dijaga. Secara berjemaah yang seelok-eloknya. Saya ingat lagi kawan saya seorang karkun pernah kata bahawa di Sri Lanka sekarang solat Subuh mereka sudah jadi seperti solat Jumaat. Jika solat Maghrib pula mereka perlu sembahyang dua kali sebab terlampau ramai orang. Berkat dari itu, Tuhan beri kekuasaan ekonomi ke tangan orang Islam di negara berkenaan.

Bahkan di salah sebuah negara di benua Keling itu (saya kurang pasti negara mana), orang Hindu akan tanya kepada orang Islam seandainya ketika azan dilaungkan orang Islam itu tidak berada di masjid dan masih berlegar-legar buat hal dunia. Soalannya, “Bila kau tinggalkan agama Islam ini?” Ha, pernah tak situasi ini berlaku di negara kita? Bila masjid kita dah penuh, barulah seronok untuk berdemonstrasi. Ini pula benda yang besar kita remehkan, yang kecil-kecilan kita agung-agungkan.

 
 
Anonymous Penunggu Senja Says:

Bagus juga entri hang kali ini ye. Tersentuh hati dibuatnya bila baca tentang masjid kita yang kosong sedangkan bila demonstrasi berlangsung orang ramai penuh.
Tak tangkap gambar ke ketika demonstrasi di kuliah hang itu? Kalau hang tangkap, jangan lupa untuk muat naik ke sini ye. Takkan hanya tangkap gambar mencari dunia di Terusan Suez saja kot. Tahulah banyak duit, ada cuti sikit beli-belah. Huhu.

 
 
Anonymous Muzammil Says:

Boikot itu pula apa cerita? Tak jawab lagi ini.

 
 
Blogger Izudin Abqori Says:

@Penunggu Senja

Aduhai, sejak bila pulalah Abqori jadi kaya raya. Alang-alang anta dah tanya biarlah Abqori cerita. Sewaktu demonstrasi, Abqori sedang sibuk main missed call dengan seorang kawan sambil bertenggek di atas tembok dengan menggunakan handphone Abqori yang nak dikata Engage tak gaya Engage, nak kata bukan Engage gaya Engage. Tiba-tiba datang kepada Abqori seorang pelajar Mesir sambil tersenyum memberi salam mengajak berjabat. Tahu tak apa yang dia tanya?

“Kau ambil gambar ke? Tolonglah jangan ambil.”

Dia ingatkan Abqori mengambil gambar dengan handphone Abqori itu. Terasa juga ianya sebagai satu penghinaan terhadap handphone Abqori yang berbateri kong sekejap hidup dan sekejap padam itu. Tapi Abqori diamkan sajalah. Abqori kata, “Tak, saya tak ambil gambar.”

@Muzammil

Bab-bab boikot ini susah sikit bagi Abqori sebenarnya. Bahkan entri Abqori ini pun ditulis dengan komputer riba yang ditaja oleh processor Centrino Duo keluaran Intel. Kita nak sibuk memboikot, tapi dalam masa yang sama kita tak mampu untuk buat produk sendiri. Bila kita guna barang boikot sebab tidak ada barang kita untuk keluaran itu, kita katakan ini darurat. Boleh pula macam itu, ya?

Dahulu pernah Abqori jumpa dengan seseorang yang jual buku dan beri penanda buku percuma yang tertulis senarai barang-barang boikot padanya. Dia siap kata lagi, “jangan lupa memboikot”. Kemudian dia siap bangga lagi sebab kononnya telah melakukan dakwah dengan menyebarkan penanda buku boikot itu.

Tolonglah! Janganlah mudah merasa terhibur dengan kerja sekecil itu. Dakwah adalah sesuatu yang lebih besar. Dakwah adalah Jumpa Manusia + Cakap Dengan Mereka Tentang Agama + Malukan Muka + ________________ . Kalaulah dakwah semudah itu , kenapa para Anbiya tak pilih jalan yang sama.

Dakwah kalau ada Unsur-Unsur Kepopularan + Tidak Mujahadah + Tidak Keluar Suara (bercakap dan bukan bernasyid) + _______________ , sesuaikah itu dinamakan dakwah yang sempurna.

 
 
Anonymous alQasam Says:

Salam

Sedikit respon balas terhadap tulisan ini. Ana sejutu pada pada isu tertentu namun ada sisi lain yang perlu dilihat.

Memahami punca:

Memang kelihatannya seperti Hamas yang memulakan serangan. Namun perlu diteliti apakah punca serangan itu. Dalam tengah November, rakyat Palestine telah dikepung dan disekat segala bantuan makanan. Elektirk telah dipotong etc.

Tindakan:

Sikap berdolak dalih, maaf Saudara Tamir walau disitu ada sisi yang rasional, namun mencerminkan sikap nasionalim yang tinggi yang ada pada sebahagian rakyat Mesir. Kita pedulikah samada mereka pernah membantu kita atau tidak? Mungkin mereka mementingkan diri, namun sama sahajalah kita andai berfikir begitu.

Bantuan yang paling tepat dan sesuai dengan timbang tara maqasid dan neraca maslahah dan mudharaah yang boleh diveri oleh negara sektar Palestin ialah: Memberi tempat kepada pelarian dan menghulurkan bantuan kewangan.

Penyelesaian:

Penyelesaian memang pelbagai. Dari sudut Rohani tentunya, Jemaah Subuh dan Isya' seperti kata-kata pembesar Yahudi yang masyhur. Begitu juga kewajaran Hamas menyerang Israel tentunya perlu dinilai dari maslahah dan mudharrah mana yang besar. Seperti kata-kata Prof di UIA, sama seperti Abqori sebut di atas. Persedian menyerang dan persedian menerima kembali serangan. Adakah dengan serangan itu, akan membaikpulih keadaan atau menambahkan penderitaan sedia ada?

Tentunya, HAMAS bertindak dengan penilaian yang tidak semudah analisa yang kita lakukan. HAMAS punya senjata yang cukup hebat juga sebenarnya. Perisik, stratergi perang yang hebat juga. Cuma perbezaannya Zionis punya bantuan kewangan dan polisi politik yang kejam, memualkan dan meloyakan dari Amerika. Mereka punya sekutu yang kuat dari kuasa besar dunia. Gerakan mereka terancang dan tersusun. Kesatuan mereka pada perkara yang mereka persetujui.

Walau ana tidak mungkin setuju dengan Syiah. Namun hanya IRAN buat masa ini yang benar-benar lawan kuasa zionis dan akan setia membantu Palestin. Walau di situ, ada sisi-sisi lain tentang keikhlasan membantu terhadap Ahlul Sunnah dan strategi politik mereka dan perkara-perkara lain. Sekurang-kirangnya mereka jelas dan tidak gentar.

Dan kita?

Tidak mungkin sebenarnya kita dapat memahami masalah Palestin dengan analisa semudah ABC. Ia lebih kompleks dan besar isunya. Kita tiada khalifah, kesatuan dan apatah lagi perkara utama, ruhiyyah yang tinggi dan dalam. Zikir masih bercempera. Cinta dunia masih pekat dan likat. Lalai, ghaflah masih dalam buat pelajar agama. Filem, drama, bersenang dengan perempuan tiada manfaat masih masih digemari oleh ahlul sufi dan salik IlAllah.

Maka, adakah mudah untuk kita merubah? Tidak. Kita, pada diri aku dan keakuan kitalah salah patut diletakkan.

HAMAS, Fatah dll semua bersifat zahiri dan jauh sungguh kemampuan kita untuk mengubahnya.

Paling dekat, kita sendiri yang jelek sifat dan hati.

Kitalah. Yang sudah terjatuh, baru nak terngadah.

 
 
Anonymous alQasam Says:

Oh ya. Tentang boikot dan produk sendiri. Penting kita bekerja dan memboikot. Yang paling cakap serupa bikin ialah HPA.

Empayar perniagaan mereka sudah melebar besar sayapnya. Tentang boikot pula, sudah ada analisa yang cukup cantik dan tepat oleh Prof Azhar dari bidang ekonomi. Bukunya terlah diterjemah oleh MANHAL oleh Us. Anhar Opir dan Us. Ahmad Yusuf. Tentang prioriti yang boleh diboikit dan perlu diboikot. Ubatan dan barang teknologi yang masih belum diinvent dan tiada alternatif oleh Muslim, masih boleh didolak dalih (baca:tidak dhoruri) untuk tidak diboikot. Namun, untuk makanan dan lain-lain memang kalau tidak mahu diboikot sungguh hampeh!

Beli sahaja HPA. Mereka cakap dan buat kerja.

 
 
Blogger alqasam Says:

Maaf, banyak kali pula komennya(mungkin tuan rumah boleh satukan atau duakan ia).

Seperti mana kita tidak pernah mengatakan demo itu wajib dan untuk berdemo dan bergerak aktif dalam siasah atau tidak itu terpulang kepada masing-masing. Dan tidak pernah mengatakan sikap melampau berdemo berpolitik hingga lupa pada keperluan asas memenuhi masjid itu salah begitu juga tidak wajar kita memukul rata ahkam semuanya.

Sebenarnya yang paling penting diajar kepada salik adalah pendidikan menghilangkan keakuan hingga kita melihat firqah lain tidak kurang dari kita dan mampu membezakan dan memahami awlayiah hingga hilang rasa benar dalam diri.(Tentunya rasa benar bukannya bermakna tiada prinsip atau hilang pendiriaan dan kecenderungan diri).

Suka mencadangkan satu laman saudara kita anakalam. Banyak membuka mata ana sendiri.

p/s: Ana sendiri juga bukan pernah menyertai demo. Sebab memahami akan diri sendiri seorang perempuan yang tidak perlu berada dalam suasana ikhtilat tersebuat.

Allahua'lam

 
 
Anonymous alQasam Says:

Selain itu, kecenderungan pada toriq Sufi dan kalam Ahlul ma'rifah sebenarnya tiada bercanggahan dengan alam praktikal.

Contohnya, nasihat Habib Omar, Habib Ali Al-Joofre, Kiyai Tok Paloh Pulau Manis, Syeikh Yusuf Al-Hasani, Syeikh Rohimuddin dll ketika menasihatkan apa-apa juga nasihat bagi salik seperti yang saudara sebut di atas adakah bertentangan dengan keperluan/ tuntutan berdemonstrasi dan atau menyertai harakah bagi yang cenderung dan bijak mengaplikasikan keutamaan? Tentu tidak. Ana juga pernah sungguh skeptikal dan sinikal terhadap politik dan demo dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Namun setelah berjalan lama dan meminta nasihah dari tok-tok guru, baru nampak jalur cahaya apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Arifbillah-arifbillah tersebut. Ibarat maqamat yang berbeza, dan ahwal ruh yang bertingkat begitulah.

Tidak bercanggah namun be smart!-spirtual dll.

 
 
Blogger Izudin Abqori Says:

Salam saudari AlQasam, terima kasih untuk komen yang cukup bernas.

Memahami punca:

Memang jelas ia berpunca dari Israel. Jelas. Namun Abqori sengaja menulis secara terus selepas pulang dari Bort Said dan dengan cara berfikir si Tamir. Mahu lihat ke mana perginya. Bahkan Abqori tidak tuduh terus. Cuma mengatakan ianya hanya teori yang terlintas di hati. Entri ini juga sudah ada kesinambungan.

Tindakan:

Dengan tidak memandang si Tamir dari fikrah politiknya, Abqori cuba memahami isi hatinya. Isi hati seorang rakyat Mesir yang berbeza.

Namun pendapat Tamir ini bukanlah mewakili suara seluruh rakyat Mesir.

Telah Abqori katakan demikian. Majoriti rakyat Mesir tidak sekufu dengannya. Abqori akan kembali bertemu Tamir, Insya Allah. Berbincang lebih lanjut. Kerana bukan mudah untuk bertemu dengan orang Mesir yang minat bercakap politik secara terbuka. Kita lihat apa respon beliau selepas ini semua. Adakah masih sama atau sebaliknya.

Memang Mesir kejam jika tidak membuka Ma3bar Rafah walhal penutupan itu adalah bersifat politik (asobiyah kenegaraan) dan bukan bersifat qanuni (baca : undang-undang antarabangsa @statustory), sebagaimana yang disebut oleh seorang pemerhati politik yang veteran baru-baru ini.

Penyelesaian:

Setuju bahawa menganalisanya bukan semudah A,B,C dan D. Masalahnya bersimpang siur. Terutamanya keimanan pada Tuhan yang luntur.

Iman.

Iman.

Iman.

Letakkan ketepi sementara usaha mencari khilafah. Kerana andai khilafah telah ada pun, tetapi iman masih di paras kritikal, masih yakin pada asbab, masih cinta pada dunia, khilafah yang dibina boleh runtuh bila-bila masa.

Jangan ditunggu telah wujud khilafah baru mahu melatih iman. Itu namanya melewat-lewatkan aulawiyat.

Iman perlu dibina dengan mujahadah, perlu berjalan mencarinya (baca kisah Ibrahim Adham tentang malaikat landing di atas istananya), perlu dilatih sejak kecil. Dan ia bukan semudah mengatakan rukun iman itu enam, bukan semudah mengatakan malaikat yang wajib dipercaya ada sepuluh, ia lebih dari itu.

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya berada di belakang Nabi s.a.w. - dalam kendaraan atau membonceng - pada suatu hari, lalu beliau bersabda:

"Hai anak, sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat yaitu: Peliharalah Allah - dengan mematuhi perintah-perintahNya serta menjauhi larangan-laranganNya, pasti Allah akan memeliharamu, peliharalah Allah, pasti engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Jikalau engkau meminta, maka mohonlah kepada Allah dan jikalau engkau meminta pertolongan, maka mohonkanlah pertolongan itu kepada Allah pula. Ketahuilah bahwasanya sesuatu ummat - yakni makhluk seluruhnya - ini, apabila berkumpul - bersepakat - hendak memberikan kemanfaatan padamu dengan sesuatu - yang dianggapnya bermanfaat untukmu, maka mereka itu tidak akan dapat memberikan kemanfaatan itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah untukmu. Juga jikalau ummat seluruh makhluk - itu berkumpul - bersepakat - hendak memberikan bahaya padamu dengan sesuatu - yang dianggap berbahaya untukmu, maka mereka itu tidak akan dapat memberikan bahaya itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah untukmu. Pena telah diangkat - maksudnya ketentuan - ketentuan telah ditetapkan – dan lembaran-lembaran kertas telah kering - maksudnya catatan-catatan di Lauh Mahfuzh sudah tidak dapat diubah lagi."

Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan shahih.

Apa guna Nabi mengajarkan hal sebesar ini kepada budak kecil? Jelas betapa besar kepentingannya.

Di Jordan, Abqori pernah bersama-sama dengan seorang pakcik Arab. Katanya, pernah mengikut jemaah jihad di Palestin. Banyak sudah tentera Israel mati dibawah tangannya. Namun katanya ketika menyertai golongan ini, sembahyangnya entah ke mana. Solat lima waktu tak pernah dijaga (Sengaja memberi contoh untuk menunjukkan teruknya masalah umat kita.) Itu baru masalah infiradi, belum lagi disebut ijtima’i. Cariknya dimana-mana.

Makanya, kita yang berhati jelek ini terlebih dahulu perlukan pegislahan. Agar selepas ini bila kita jatuh, biarlah kerana kita telah terngadah.

Oh, Tuhan! Selamatkan kami.

Dari sudut keilmuan juga amat memainkan peran demi mencapai penyelesaian. Minat menyebut kalam si Rausyan, Agenda Pemerkasaan Ulama’ harus terus dijalankan melebihi agenda kekuasaan politik. Kemenangan yang kosong hanya melahirkan fitnah kepada Islam.

Boikot :

Terima kasih tentang info berkenaan. Abqori akan dapatkan bukunya dengan segera. Di sini ada senarai barang boikot yang bagus.
Ada tidak HPA versi Mesir? Namun di Zaqziq ada sebuah kedai yang langsung tidak ada barang boikot. Namanya toko HABIB. Di Mau-af Mansurah. Respek sungguh.

Demonstrasi :

Seorang adik dipukul, adakah abang dan kakaknya akan berdiam diri sahaja? Sekurang-kurang andai tiada daya, si tua pasti akan melenting sekeras-kerasnya. Begitu jualah dengan tunjuk perasaan seluruh dunia.

Dan inilah pula bagi Abqori adalah ruang untuk beri mereka yang berdemonstrasi dan diri kita kesedaran. Ketika inilah masa yang paling sesuai untuk mencakapkan. Kerana ketika inilah kita nampak, lompong yang telah lama berentakan, iaitu masjid kita kekosongan.

Biarlah Abqori seorang yang bersikap pasif begini, sebagaimana dalam hukum feqah ada menyatakan kalau boleh tinggalkan saja solat jenazah buat orang fasiq, walhal sebenarnya mayat itu tetap perlu disembahyangkan. Kerana -dalam hukum ini-, fi-3il orang yang meninggalkan solat jenazah diharap menjadi i3tibar buat orang masih punyai fikiran. Agar timbul kesedaran.

Terima kasih kerana mengesyorkan anakalam. Untuk rekod, Abqori kenal Rausyanfikir, Kakiblog, Hafiz semuanya melalui AlQasam.

Kredit untuk si pemujahidah.

 
 
Anonymous haidar_najmi Says:

assalammualaikum wbt

Moga dalam halawatul iman. Berkenaan siapa salah/betul rasanya mmg israel salah (sejak dari awal lagi [pembentukn negara haram israel] - 15 Mei 1948).

Selain dari tunjuk perasaan, pada pendapat ana, kita mmg perlu berdoa. Senjata ini hanya ada pada umat islam dan terpulang pada Allah untuk memakbulkn doa kita.

Selain dari itu, kita kena timbulkan kesedaran islam dan kesatuan ummah pada semua orang (baca: orang tua/kanak-kanak/remaja). Kita ingin kembalikan watan islam yang satu dimana kita tidak dipecah-belahkan berdasarkan kenegaraan/kenegerian etc. Selagi kita beragama islam, maka Malaysia, Egypt, Jordan boleh kita masuk tanpa menggunakan passport etc. Sebelum tu, kita kena tarbiyyah setiap individu, bermula dengan diri sendiri, keluarga/sahabat/dan masyarakat. Jika kita faham intipati firman Allah bahawa umat islam adalah bersaudara, maka, tiada masalah untuk put the blame on anyone (cth. yang paling ketara adalah apabila ada lagi saudara seislam kita menyalahkan saudara seislam yang lain dan berkira terhadap kematian datuk nenek mereka membantu umat islam yang sedang ditindas, sedangkan kematian itu sudah pasti dan bukankah kematian atas sebab mempertahankan islam adalah yang paling tinggi di sisi Allah?).

Mulakan dakwah, sampaikan kesedaran ini pada orang terdekat. Kita inginkan individu muslim yang kuat yang akan menjadi batu bata kepada satu masyarakat muslim yang lebih kuat. Kita kena mula dari awal. Ya, memang kena baiki diri sendiri dan pada masa yang sama, sebarkan islam yang sebenar. Jika kita tahu islam, alhamdulillah, tetapi kita inginkan generasi yang faham dan praktik islam.

Di sini, kita bukannya nak sokong parti politik, tapi kita menyokong apa yang mereka pertahankan - islam. Negara mereka telah dirampas hampir 60 tahun lalu, jadi, mereka melakukan ini kerana mereka sahaja yang tahu betapa siksanya tinggal di medan peperangan selama lebih 60 tahun.

Sememangnya, ini semua berlaku atas izin Allah dan hanya pada Allah kita memohon supaya Allah membantu kita dan saudara seiman kita dari segala perkara yang menyesatkan dan dari segala penyakit hasad dan dengki (penyakit hati) yang mungkin menjadi punca semua ini.

Maaf jika ada tersalah silap dan mohon ditegur jika ada di haidar_najmi@yahoo.com

wallahua'lam
segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam

 

Mula Mengomen