<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Jom Hospital

Kadang-kadang rasa kasihan melihat sebahagian orang-orang Malaysia di sini. Ada yang sakit tetapi malas untuk ke hospital. Namun rasa malas mereka berbeza dengan rasa malas orang-orang di Malaysia sana, kerana malasnya orang-orang di Malaysia untuk ke hospital adalah kerana takut disahkan berpenyakit kritikal. Tetapi orang-orang Malaysia di sini malas ke hospital adalah kerana malas untuk berhadapan dengan karenah orang-orang Mesir.

Lebih 90% rakyat Malaysia di Mesir -terutamanya mahasisiwa Al-Azhar- mempunyai pengalaman pertama pergi ke hospital Mesir, di Mustasyfa el-Husain di Darrosah. Rata-rata adalah dengan tujuan yang sama iaitu untuk Tahlil Dam[1]. Di situ jua mereka merasa pelbagai rasa tidak selesa atas bermacam ragam orang Mesir yang seringkali buatkan mereka geram seribu jiwa. Terpaksa bergaduh dengan pekerja-pekerjanya, bingit telinga dek jeritan yang tak sepatutnya, dihimpit-himpit orang Mesir kerana badan orang Asia yang tidak sesasa mereka dan pelbagai lagi perangai yang buatkan sebahagian pelajar Malaysia rasa sudah biasa.

Atas dasar tabiat manusia, pengalaman pertama adalah pengalaman yang tidak akan dilupa, dan kerana itu, apabila mereka -pelajar-pelajar Malaysia- ditimpa sakit, mereka merasakan cukuplah dengan hanya berehat di rumah, menelan pil Barokah daripada pergi ke hospital.

Namun jika anda adalah seorang Malaysian Damiettian, maka anda tidak perlu risau lagi kerana hospital di New Damietta City ini adalah amat berbeza.

Baru-baru ini saya telah pergi ke hospital itu sendirian. Meskipun sebelum itu saya ada mengajak seorang teman, saya akhirnya buat keputusan untuk pergi sendiri, badalan[2] daripada menyusahkannya. Sungguh apabila sampai ke sana saya tidak menyangka bahawa hospital ini amatlah istimewa. Sangka saya bahawa ianya adalah hospital yang semacam di Husain terus meleset. Apatah lagi, kerana ianya adalah hospital kerajaan dan bukan hospital swasta. Hospital ini adalah hospital yang tenang, bersih, selesa dan tidak huru-hara.Urusannya juga amat mudah.

Dan Alhamdulillah segala pemeriksaan dan rawatan berjalan dengan lancar, bahkan saya merasakan bahawa ia lebih lancar daripada di Malaysia.

Sebelum pergi, saya jadi terfikir dengan uslub mana saya akan berkomunikasi dengan doktor. Pasti sukar sekali. Ammiyah,[3] fusohah,[4] Inggeris, saya tidak mampu untuk mengagaknya. Kalau fusohah atau Inggeris, agaknya itu memang nasib saya baik. Tetapi jika ammiyah, ah, rasanya matilah saya. Namun, apabila sampai di sana, tak sangka bahawa layanan amatlah istimewa. Apabila saya masuk sahaja ke bilik pemeriksaan, terus saja seorang doktor yang kelihatan lebih tinggi jawatannya daripada yang akan memeriksa saya memberitahunya untuk menggunakan bahasa fusohah agar saya faham seratus peratus pertuturannya. Mereka sedia faham bahawa jika ammiyah digunakan itu akan serba sedikit membantutkan komunikasi. Risau-risau tersilap maklumat.

Saya menyangka bahawa hanya doktor seorang ini sahaja yang faham situasi orang Asia seperti saya. Rupa-rupanya tidak. Ini kerana apabila saya dipindahkan ke sebuah unit lain, dan diperiksa pula oleh empat orang doktor, mereka juga melayan dengan layanan yang sama. Bahkan mereka semua bisa berbicara dengan Bahasa Inggeris secara fasih. Namapun mereka ini doktor. Suasana ini buatkan saya rasa sungguh bertuah.

Rupa-rupanya pengalaman pertama di Husain itu yang menjadi sejarah hitam bagi sebahagian rakyat Malaysia harus dipadamkan.

Ada antara pelajar Malaysia lebih memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana bagi mereka sudah pasti rawatan di sana adalah lebih baik disebabkan bayarannya yang lebih. Tetapi, bagi saya yang telah melalui semua ini, eloklah mencuba dahulu di hospital kerajaan kerana ongkosnya yang amat murah. Satu Pound[5] untuk apa jua jenis pemeriksaan.

Berkaitan dengan ubat pula, biasa tidak anda pergi ke soidaliyyah[6] untuk membelinya? Pasti biasa, dan kerana itu anda jadi menyangka bahawa prosedur di Mesir adalah sama seperti di India, di mana ubat perlu dibeli di luar dan bukan diberi secara gratis seperti di tanah air. Memang, tak dinafikan perkara itu berlaku di Mesir. Tetapi itu berkemungkinan berlaku di hospital-hospital swasta sahaja. Kerana selepas selesai pemeriksaan, doktor yang merawat saya ada memberi senarai ubat-ubatan dan mengarah saya pergi ke kaunter soidaliyyah hospital untuk mendapatkan ubat itu secara percuma. Saya amat terkejut. Bukankah ubat sepatutnya dibeli? Wah, nampaknya hospital swasta kalau beginilah keadaannya hanya tinggal bayang-bayanglah. Udahlah bayaran murah, ubat pula percuma.

Kerana itu, saya rasa selepas ini jika ada Malaysian Damiettian yang ditimpa penyakit -samada serius atau tidak-, eloklah pergi ke hospital ini. Alasannya mudah, kerana kenapa perlu mencari yang mahal dan berbayar, sedangkan prasarana yang bagus serta istimewa berada di depan mata?

Saya rasa bahawa semua Malaysian Damiettian tahu bahawa hospital ini terletak di el-Hayyu el-Sadis @ Sittah. Tetapi saya juga rasa sebenarnya masih ramai lagi yang tidak tahu pintu masuk utama hospital bagi mereka yang ingin membuat pemeriksaan. Ini kerana ramai antara kita yang masuk melalui pintu pertama yang mereka lihat.



Namun sebenarnya pintu masuk pertama itu bukanlah untuk mereka yang ingin membuat pemeriksaan kerana pintu itu adalah untuk mereka yang ingin membuat lawatan jika ada keluarga yang dirawat di wad kerana pintu masuk untuk pemeriksaan adalah pintu masuk yang lagi satu. Jika anda menaiki Tremco[7] tunggulah sehingga Tremco itu masuk ke simpang kanan. Dan di situlah pintu masuk untuk anda.




Apabila turun, cari kaunter di sebelah pintu pagar. Di sebelah kiri. Di situ anda perlu membeli tiket masuk yang dinamakan sebagai ‘Tazkarah Girohah’. Anda akan ditanya mahu membuat rawatan untuk anggota badan yang mana. Jika mata, katakan mata, dan jika tulang, katakan tulang dan jika, jika, katakan, jika. Setelah masuk carilah qisim atau 3iyadah[8] anda tersebut. Ketuk pintu, atau jika anda jenis yang penyabar, tunggulah sehingga pintu itu dibuka dan serahkan kepada petugas 3iyadah itu tazkarah girohah itu. Beliau akan memulangkan kembali tazkarah girohah itu selepas lima minit beserta nombor anda. Hafal nombor itu dan tunggu giliran anda. Seterusnya berkomunikasilah dengan mereka sebaik cara.

Tapi awas, bukan semua 3iyadah dibuka pada setiap hari, bahkan setiap 3iyadah mempunyai hari-hari tertentu. Dan untuk memudahkan kerja anda, saya telah menyenaraikan semua 3iyadah beserta hari-harinya di sini:

1) Sepanjang minggu :

- 3iyadah Pembedahan Umum.
- 3iyadah Batinah 3am.
- 3iyadah Kanak-kanak.
- 3iyadah Wanita dan Persalinan.

2) Sepanjang minggu kecuali Isnin dan Rabu :

- 3iyadah Saluran Kencing.

3) Setiap Sabtu, Isnin dan Rabu :

- 3iyadah Otak dan Urat Saraf.
- 3iyadah Hati.
- 3iyadah Dada.
- 3iyadah Tulang.
- 3iyadah Mata.

4) Setiap Ahad dan Rabu :

- 3iyadah Pembedahan Otak dan Neurologi@Urat Saraf.

5) Setiap Ahad, Selasa dan Khamis :

- 3iyadah Rumatisime.
- 3iyadah Kulit dan Alat Kelamin.
- 3iyadah Penyakit-penyakit Endemik.
- 3iyadah Hidung, Telinga dan Kerongkong.

6) Setiap Isnin, Rabu dan Khamis :

- 3iyadah Pembedahan Hati dan Dada.

7) Setiap Selasa dan Khamis :

- 3iyadah Psikologi dan Neurologi@Urat Saraf.

8) Setiap Selasa :

- 3iyadah Au3iyah Dumu3iah.

9) Setiap Ahad :

- 3iyadah Pembedahan Kecantikan.

10) 24/7 :

- Sebarang Kecemasan.



Saya catitkan jadual di atas berdasarkan jadual di dalam gambar berserta dengan update yang saya ambil di pintu masuk setiap 3iyadah. Bermakna jadual di dalam gambar di atas telah ada sedikit perubahan pada beberapa tempat.



Jadi, ingat sakit anda, dan ingat harinya. Jangan tersalah pula. Hospital dibuka untuk rawatan pada jam 8 pagi sehingga 2 petang. Tetapi saya dapati pintu masuk utama itu kelihatannya ditutup agak awal. Jadi seeloknya bagi sesiapa yang ingin membuat pemeriksaan, pergilah pada waktu pagi.

Buat akhirnya, nasihat saya bagi mereka yang sakit tetapi masih malas ke hospital kerana terkesan dengan pengalaman pertama di Mustasyfa el-Husain, cubalah untuk membuang segala memori silam yang menghantui minda anda itu, kerana suasana di sini cukup berlainan. Dan percayalah anda tidak akan menyesal. Usah lagi ragu-ragu. Ajaklah teman serumah anda untuk menemani, dan jika beliau tidak mahu kerana beliau juga sudah bosan dengan karenah birokrasi, saya cadangkan agar anda menyuruh beliau membaca entri ini.

Saya percaya, selepas beliau membacanya dan menghayatinya, beliau sendiri akan berkata kepada anda, “Masyi. Jom hospital”.

Masih belum melanggan blog ini? Klik sini untuk melanggan. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.


---

NOTA KAKI

[1]^Analisis darah.
[2]^Instead of, sebagai ganti daripada, biasanya disebut badalan min.
[3]^Bahasa Arab pasar yang dipergunakan dalam percakapan seharian. Colliqual Arabic.
[4]^Bahasa Arab klasik. Clasical Arabic.
[5]^Pound diterjemah ke dalam bahasa Arab sebagai Junaih. Tidak kira samada Pound Sterling atau apa jenis Pound. Namun Egyptian Pound tetap tidak sama nilainya dengan Pound Sterling.
[6]^Farmasi.
[7]^Van sewa yang dinaiki orang-orang Mesir. Nama ini terkenal di sisi pelajar Malaysia dan Asia Tenggara di Mesir.
[8]^Klinik.

Labels: ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Saturday, April 26, 2008
Jam 7:35 PM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     

    for this post

    Mula Mengomen