<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Saya Tidak Akan Takwil

Malam tadi saya bermimpi. Ular masuk dalam mimpi. Jadi takut sangat. Sebab binatang itu memang amat mengerikan.

Bagi seorang anak dara, jika mereka bermimpi terjumpa ular, atau disampuk ular, mimpi itu kadang-kadang jadi berita baik untuk mereka. Kerana bagi mereka, itulah mimpi yang mereka paling ahli tentang tafsirnya. Mimpi yang buatkan mereka berdebar-debar tak ingat dunia. Sebab takwilnya, ada orang yang akan meminang mereka. Lalu mereka akan jadi berangan-angan, siapakah dia bakalnya putera. Yang akan jadi nakhoda untuk bahtera hidupnya. Yang akan datang pada hujung minggu. Membawa rombongan dengan dulang dihiasi bunga-bunga. Hinggakan si anak dara ini lupa akan ular dalam mimpinya. Yang merupakan seekor binatang berbisa yang amat sekali ngerinya.

Sungguh saya takut akan ular, sejak kecil lagi. Kerana itu, kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi mimpi malam tadi. Namun biarlah saya kisahkan mimpi itu dulu. Mimpinya begini.

Saya masuk ke rumah mak saudara saya di kampung. Rumah papan. Saya masuk dari pintu hadapan. Bila masuk, saya dapati ada berbelas ekor ular di atas lantai. Panjang. Pendek. Besar. Kecil. Semua ada. Saya jadi takut sangat. Saya dengar ada orang di dapur. Saya tak ingat siapa. Tapi saya mahu pergi padanya. Namun untuk sampai padanya, saya perlu melalui ular-ular ini semua. Akhirnya, saya meneruskan jua langkah saya. Untuk sampai padanya. Rasa amat takut, namun mujurlah ular-ular ini dalam keadaan yang malas sangat.

Apabila sampai di dapur, saya terpaksa patah ke depan semula. Ada orang datang, mengetuk di pintu hadapan. Saya melalui jalan tadi semula. Terpaksa. Dengan rasa takut seperti mula-mula. Pintu dibuka, dan ada kawan saya dari suku Jawa. Saya ceritakan padanya. Ada ular-ular di dalam. Dia masuk, lalu dengan selamba mengangkat ular-ular itu seekor demi seekor dan mencampaknya ke luar tingkap. Dia buatkan saya jadi berkata, “Beraninya dia”.

Saya jenis orang yang minat tentang ilmu tafsir mimpi. Pernah sekali, saya mengalami satu mimpi di bulan puasa. Ketika itu saya berada di Rumah Pahang di Cairo. Mimpi yang buatkan saya ingin tahu sekali takwilnya. Lalu, habislah semua Rumah Pahang saya geledah. Untuk saya cari kitab tafsir mimpi tulisan Ibnu Sirrin. Saya tahu ia ada di sebuah rumah. Tetapi saya segan untuk masuk ke situ.

Akhirnya, cari punya cari, saya ketahuan kitab itu ada di sebuah rumah yang lain. Kepunyaan seorang ustaz yang sedang sibuk membuat tesis Masternya. Saya tanyakan padanya adakah bisa untuk saya meminjamnya. Katanya, boleh saja. Tetapi harus di cari di sebalik rak-rak yang bertindan-tindan. Kerana kitab-kitabnya banyak sekali dan biliknya pula amat sempit. Lagipun, dia ketika itu sedang menulis tesis Master, jadi kitab-kitab untuk tulisannya sahaja yang diutamakan dan diletakkan di rak-rak bahagian hadapan. Saya gagal untuk mencapai kitab itu.

Kerana itu saya berazam bahawa malam itu selepas kelas Syeikh Nuruddin saya akan ke kedai buku Darussalam untuk membelinya. Dengan kepenatan yang amat dek kelas yang panjang, saya tetap pergi ke sana. Sehinggalah saya berhasil merealisasikan hajat saya. Saya mendapatkan kitab yang amat berharga. Bahkan kitab itu dicemburui oleh kebanyakan kawan-kawan saya. Memang niat asalnya mencari kitab tafsir mimpi Ibnu Sirrin, tetapi kerana nasib agak baik saya mendapat sebuah kitab yang umpama sebuah kompilasi kitab-kitab tafsir mimpi.



Tiga buah buku tafsir mimpi digabungkan dalam sebuah kitab. Naskhah terakhir pula itu. Saya pulang gembira, dan terus mencari tafsir bagi mimpi saya.

Namun, mimpi ular saya malam tadi, tidak akan sekali-kali saya mentafsirnya. Bukan kerana takut akan ada orang yang datang meminang, -Hei, saya ini lelakilah, dan anak-anak dara pula bukan jadi tugas mereka untuk melamar saya- tapi saya tidak akan mentafsirnya kerana mimpi itu berpijak di atas asas yang nyata.

Apa maksud mimpi itu berpijak di atas asas yang nyata?

Selepas maghrib malam semalam, saya dan teman-teman serumah, masing-masing bercerita tentang kenangan-kenangan di Malaysia. Namun kebanyakannya berkisar tentang binatang berbisa. Terutamanya ular. Hiwar kami bagaikan bertajuk, ‘Apakah Kesan Ular Dalam Kehidupan Kanak-kanak Anda?’. Saya masih ingat lagi, kami berkali-kali mengeletar geli-geleman apabila mengingat binatang berbisa itu. Eii, Sekarang pun saya masih mengeletar geli-geleman lagi!

Hinggalah apabila sampai waktu tidur, saya teringat katanya tentang ketinggian ular apabila ‘panggung’[1]. Katanya boleh dilihat di Youtube. Tetapi video itu bukan hanya menunjukkan kehebatan ular ketika ‘panggung’, bahkan video ini adalah tentang besarnya saiz ular tersebut. Lalu kerana saya yang mahu menonton, jadilah kami menonton video pendek di bawah sebelum masing-masing beradu.



Akhirnya, saya jadi menyesal yang amat kerana menontonnya. Bukan apa? Kerana teringatkan azab.

Bukankah ular itu akan jadi pengazab? Bukankah ular itu adalah bahan azab yang Tuhan gunakan untuk mengazab manusia? Tahu tidak apa itu Suja3ul Aqrab? Itulah ular yang maha dahsyat yang akan mengazab manusia. Tahu tidak tentang ciri-cirinya? Eii, takutnya saya untuk mencerita!

Bercerita tentang azab, maka tiada siapa yang akan suka. Masing-masing rasa tidak selesa, ngeri dan kalau boleh tukarlah cerita. Begitu juga bercerita tentang mati, masing-masing rasa mahu lari, kerana hidup ini belum puas lagi dan dosa pun belum ditaubatnya lagi. Namun sedarkah manusia, bahawa mengingati mati itu menghidupkan hati?

Dan saya juga kalau boleh tidak mahu menyebut tentang hal ini, kerana jiwa ini bukan jiwa yang suci. Sebutlah pada saya tentang mati, nescaya kepala ini akan digaru berkali-kali. Itulah tandanya banyak dosa. Berbeza dengan para wali. Disebut tentang mati, ada antara mereka yang mahu untuk segera menghadapi. Kerana jiwa mereka tenang, dan telah tahu apa ganjaran yang akan diberi. Hinggakan ada antara mereka yang mengatakan,

“Janganlah disedekahkan Al-Fatihah padaku, kerana telah cukup amalanku.”

Tetapi kita, jika tahu akan mati, maka ketika itu pasti akan melobi agar disedekahkan orang pada roh sendiri ayat-ayat suci. Ambil saja saya sebagai contoh. Andainya saya tahu seminggu lagi saya akan mati, maka blog ini pasti akan tertera entri terakhir yang berbunyi, ‘Jangan Lupa Menyedekahkan Al-Fatihah Buat Penulis Blog ini’ badalan min[2] ‘Jangan Lupa Melanggan Blog ini’.

Tetapi, walau bagaimanapun, mati dan azab itu tetap harus dingati, agar manusia ingat tujuan utama hidup di bumi. Biarlah teruk sakitnya, ngeri seksaannya. Ia tetap perlu diingat jua. Kerana hati itu mudah leka. Kerana hati itu berbolak-balik. Kerana hati itu Qalb. Dan tidaklah dinamakan hati itu Qalb melainkan kerana Taqolubihi[3]. Dan kerana Qalb itu milik manusia. Dan kerana manusia itu mudah lupa. Kerana manusia itu Insan. Dan tidaklah manusia itu dinamakan Insan melainkan kerana Nisyanihi[4].

Cuma sungguh saya mahu jadi orang yang selalu ingat mati. Tapi, saya tidak mahu ketika mengingatinya ada perasaan takut dan tidak selesa sebegini. Kalau boleh, biarlah ketika ingatkan mati, saya merasa perasaan yang di rasakan para wali. Perasaan yang menyebabkan mereka mengatakan begini,

“Kalaulah Sultan-sultan mengetahui apa yang kami rasa, nescaya mereka akan memerangi kami dengan pedang-pedang mereka untuk mendapatkannya”.

Tapi mampukah saya? Oh, amat tinggi maqam itu!

Dan pula, sebab saya tidak mahu mentafsir mimpi saya adalah kerana mimpi-mimpi itu ada banyak puncanya. Dan punca mimpi saya adalah perjalananan hidup saya sepanjang hari itu yang banyak berkisar tentang ular. Dari borak-borak dengan teman-teman serumah terus ke tontonan video pendek. Hinggalah akhirnya, ia terbawa-bawa ke dalam mimpi. Itulah maksud saya apabila saya kata mimpi saya itu ada asas yang nyata. Perjalanan kehidupan seharian itu yang menyebabkannya.

Hai, mujurlah, di Mesir ini -selain kawasan padang pasir- tidak ada ular.

Tetapi, pelik juga. Sebab sebelum menonton video pendek tentang ular itu, saya ada juga menonton sebuah video di Youtube, video rakaman Buletin Utama tentang Sufiah Yusof di TV3, tapi kenapa Sufiah Yusof tidak muncul dalam mimpi saya. Fuh, nasib baik tidak muncul. Kalau tidak ……?

Ha, gelak, suka!

Biasalah, bercerita tentang dunia, mana ada orang yang tidak suka. Tapi, bila sebut tentang mati masing-masing nak paling muka.

Masih belum melanggan blog ini? Klik sini untuk melanggan. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

----

NOTA KAKI:
[1]^Ular berdiri.
[2]^Instead of, sebagai ganti daripada.
[3]^Keberbolak-balikannya.
[4]^Kelupaannya.

Labels: , ,

 
 

Jom Hospital

Kadang-kadang rasa kasihan melihat sebahagian orang-orang Malaysia di sini. Ada yang sakit tetapi malas untuk ke hospital. Namun rasa malas mereka berbeza dengan rasa malas orang-orang di Malaysia sana, kerana malasnya orang-orang di Malaysia untuk ke hospital adalah kerana takut disahkan berpenyakit kritikal. Tetapi orang-orang Malaysia di sini malas ke hospital adalah kerana malas untuk berhadapan dengan karenah orang-orang Mesir.

Lebih 90% rakyat Malaysia di Mesir -terutamanya mahasisiwa Al-Azhar- mempunyai pengalaman pertama pergi ke hospital Mesir, di Mustasyfa el-Husain di Darrosah. Rata-rata adalah dengan tujuan yang sama iaitu untuk Tahlil Dam[1]. Di situ jua mereka merasa pelbagai rasa tidak selesa atas bermacam ragam orang Mesir yang seringkali buatkan mereka geram seribu jiwa. Terpaksa bergaduh dengan pekerja-pekerjanya, bingit telinga dek jeritan yang tak sepatutnya, dihimpit-himpit orang Mesir kerana badan orang Asia yang tidak sesasa mereka dan pelbagai lagi perangai yang buatkan sebahagian pelajar Malaysia rasa sudah biasa.

Atas dasar tabiat manusia, pengalaman pertama adalah pengalaman yang tidak akan dilupa, dan kerana itu, apabila mereka -pelajar-pelajar Malaysia- ditimpa sakit, mereka merasakan cukuplah dengan hanya berehat di rumah, menelan pil Barokah daripada pergi ke hospital.

Namun jika anda adalah seorang Malaysian Damiettian, maka anda tidak perlu risau lagi kerana hospital di New Damietta City ini adalah amat berbeza.

Baru-baru ini saya telah pergi ke hospital itu sendirian. Meskipun sebelum itu saya ada mengajak seorang teman, saya akhirnya buat keputusan untuk pergi sendiri, badalan[2] daripada menyusahkannya. Sungguh apabila sampai ke sana saya tidak menyangka bahawa hospital ini amatlah istimewa. Sangka saya bahawa ianya adalah hospital yang semacam di Husain terus meleset. Apatah lagi, kerana ianya adalah hospital kerajaan dan bukan hospital swasta. Hospital ini adalah hospital yang tenang, bersih, selesa dan tidak huru-hara.Urusannya juga amat mudah.

Dan Alhamdulillah segala pemeriksaan dan rawatan berjalan dengan lancar, bahkan saya merasakan bahawa ia lebih lancar daripada di Malaysia.

Sebelum pergi, saya jadi terfikir dengan uslub mana saya akan berkomunikasi dengan doktor. Pasti sukar sekali. Ammiyah,[3] fusohah,[4] Inggeris, saya tidak mampu untuk mengagaknya. Kalau fusohah atau Inggeris, agaknya itu memang nasib saya baik. Tetapi jika ammiyah, ah, rasanya matilah saya. Namun, apabila sampai di sana, tak sangka bahawa layanan amatlah istimewa. Apabila saya masuk sahaja ke bilik pemeriksaan, terus saja seorang doktor yang kelihatan lebih tinggi jawatannya daripada yang akan memeriksa saya memberitahunya untuk menggunakan bahasa fusohah agar saya faham seratus peratus pertuturannya. Mereka sedia faham bahawa jika ammiyah digunakan itu akan serba sedikit membantutkan komunikasi. Risau-risau tersilap maklumat.

Saya menyangka bahawa hanya doktor seorang ini sahaja yang faham situasi orang Asia seperti saya. Rupa-rupanya tidak. Ini kerana apabila saya dipindahkan ke sebuah unit lain, dan diperiksa pula oleh empat orang doktor, mereka juga melayan dengan layanan yang sama. Bahkan mereka semua bisa berbicara dengan Bahasa Inggeris secara fasih. Namapun mereka ini doktor. Suasana ini buatkan saya rasa sungguh bertuah.

Rupa-rupanya pengalaman pertama di Husain itu yang menjadi sejarah hitam bagi sebahagian rakyat Malaysia harus dipadamkan.

Ada antara pelajar Malaysia lebih memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana bagi mereka sudah pasti rawatan di sana adalah lebih baik disebabkan bayarannya yang lebih. Tetapi, bagi saya yang telah melalui semua ini, eloklah mencuba dahulu di hospital kerajaan kerana ongkosnya yang amat murah. Satu Pound[5] untuk apa jua jenis pemeriksaan.

Berkaitan dengan ubat pula, biasa tidak anda pergi ke soidaliyyah[6] untuk membelinya? Pasti biasa, dan kerana itu anda jadi menyangka bahawa prosedur di Mesir adalah sama seperti di India, di mana ubat perlu dibeli di luar dan bukan diberi secara gratis seperti di tanah air. Memang, tak dinafikan perkara itu berlaku di Mesir. Tetapi itu berkemungkinan berlaku di hospital-hospital swasta sahaja. Kerana selepas selesai pemeriksaan, doktor yang merawat saya ada memberi senarai ubat-ubatan dan mengarah saya pergi ke kaunter soidaliyyah hospital untuk mendapatkan ubat itu secara percuma. Saya amat terkejut. Bukankah ubat sepatutnya dibeli? Wah, nampaknya hospital swasta kalau beginilah keadaannya hanya tinggal bayang-bayanglah. Udahlah bayaran murah, ubat pula percuma.

Kerana itu, saya rasa selepas ini jika ada Malaysian Damiettian yang ditimpa penyakit -samada serius atau tidak-, eloklah pergi ke hospital ini. Alasannya mudah, kerana kenapa perlu mencari yang mahal dan berbayar, sedangkan prasarana yang bagus serta istimewa berada di depan mata?

Saya rasa bahawa semua Malaysian Damiettian tahu bahawa hospital ini terletak di el-Hayyu el-Sadis @ Sittah. Tetapi saya juga rasa sebenarnya masih ramai lagi yang tidak tahu pintu masuk utama hospital bagi mereka yang ingin membuat pemeriksaan. Ini kerana ramai antara kita yang masuk melalui pintu pertama yang mereka lihat.



Namun sebenarnya pintu masuk pertama itu bukanlah untuk mereka yang ingin membuat pemeriksaan kerana pintu itu adalah untuk mereka yang ingin membuat lawatan jika ada keluarga yang dirawat di wad kerana pintu masuk untuk pemeriksaan adalah pintu masuk yang lagi satu. Jika anda menaiki Tremco[7] tunggulah sehingga Tremco itu masuk ke simpang kanan. Dan di situlah pintu masuk untuk anda.




Apabila turun, cari kaunter di sebelah pintu pagar. Di sebelah kiri. Di situ anda perlu membeli tiket masuk yang dinamakan sebagai ‘Tazkarah Girohah’. Anda akan ditanya mahu membuat rawatan untuk anggota badan yang mana. Jika mata, katakan mata, dan jika tulang, katakan tulang dan jika, jika, katakan, jika. Setelah masuk carilah qisim atau 3iyadah[8] anda tersebut. Ketuk pintu, atau jika anda jenis yang penyabar, tunggulah sehingga pintu itu dibuka dan serahkan kepada petugas 3iyadah itu tazkarah girohah itu. Beliau akan memulangkan kembali tazkarah girohah itu selepas lima minit beserta nombor anda. Hafal nombor itu dan tunggu giliran anda. Seterusnya berkomunikasilah dengan mereka sebaik cara.

Tapi awas, bukan semua 3iyadah dibuka pada setiap hari, bahkan setiap 3iyadah mempunyai hari-hari tertentu. Dan untuk memudahkan kerja anda, saya telah menyenaraikan semua 3iyadah beserta hari-harinya di sini:

1) Sepanjang minggu :

- 3iyadah Pembedahan Umum.
- 3iyadah Batinah 3am.
- 3iyadah Kanak-kanak.
- 3iyadah Wanita dan Persalinan.

2) Sepanjang minggu kecuali Isnin dan Rabu :

- 3iyadah Saluran Kencing.

3) Setiap Sabtu, Isnin dan Rabu :

- 3iyadah Otak dan Urat Saraf.
- 3iyadah Hati.
- 3iyadah Dada.
- 3iyadah Tulang.
- 3iyadah Mata.

4) Setiap Ahad dan Rabu :

- 3iyadah Pembedahan Otak dan Neurologi@Urat Saraf.

5) Setiap Ahad, Selasa dan Khamis :

- 3iyadah Rumatisime.
- 3iyadah Kulit dan Alat Kelamin.
- 3iyadah Penyakit-penyakit Endemik.
- 3iyadah Hidung, Telinga dan Kerongkong.

6) Setiap Isnin, Rabu dan Khamis :

- 3iyadah Pembedahan Hati dan Dada.

7) Setiap Selasa dan Khamis :

- 3iyadah Psikologi dan Neurologi@Urat Saraf.

8) Setiap Selasa :

- 3iyadah Au3iyah Dumu3iah.

9) Setiap Ahad :

- 3iyadah Pembedahan Kecantikan.

10) 24/7 :

- Sebarang Kecemasan.



Saya catitkan jadual di atas berdasarkan jadual di dalam gambar berserta dengan update yang saya ambil di pintu masuk setiap 3iyadah. Bermakna jadual di dalam gambar di atas telah ada sedikit perubahan pada beberapa tempat.



Jadi, ingat sakit anda, dan ingat harinya. Jangan tersalah pula. Hospital dibuka untuk rawatan pada jam 8 pagi sehingga 2 petang. Tetapi saya dapati pintu masuk utama itu kelihatannya ditutup agak awal. Jadi seeloknya bagi sesiapa yang ingin membuat pemeriksaan, pergilah pada waktu pagi.

Buat akhirnya, nasihat saya bagi mereka yang sakit tetapi masih malas ke hospital kerana terkesan dengan pengalaman pertama di Mustasyfa el-Husain, cubalah untuk membuang segala memori silam yang menghantui minda anda itu, kerana suasana di sini cukup berlainan. Dan percayalah anda tidak akan menyesal. Usah lagi ragu-ragu. Ajaklah teman serumah anda untuk menemani, dan jika beliau tidak mahu kerana beliau juga sudah bosan dengan karenah birokrasi, saya cadangkan agar anda menyuruh beliau membaca entri ini.

Saya percaya, selepas beliau membacanya dan menghayatinya, beliau sendiri akan berkata kepada anda, “Masyi. Jom hospital”.

Masih belum melanggan blog ini? Klik sini untuk melanggan. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.


---

NOTA KAKI

[1]^Analisis darah.
[2]^Instead of, sebagai ganti daripada, biasanya disebut badalan min.
[3]^Bahasa Arab pasar yang dipergunakan dalam percakapan seharian. Colliqual Arabic.
[4]^Bahasa Arab klasik. Clasical Arabic.
[5]^Pound diterjemah ke dalam bahasa Arab sebagai Junaih. Tidak kira samada Pound Sterling atau apa jenis Pound. Namun Egyptian Pound tetap tidak sama nilainya dengan Pound Sterling.
[6]^Farmasi.
[7]^Van sewa yang dinaiki orang-orang Mesir. Nama ini terkenal di sisi pelajar Malaysia dan Asia Tenggara di Mesir.
[8]^Klinik.

Labels: ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Saturday, April 26, 2008
Jam 7:35 PM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     
     

    Sudah Boleh Dilanggan

    Bismillahi wassolatu wassalamu 3ala rosulillah.

    Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.

    Di dalam tulisan saya ini tidak ada sebarang kewajipan. Yang ada hanya keharusan. Dan sikit pun bukan paksaan. Cuma ia bergantung pada kerelaan.

    Blog saya untuk umum kali ini telah siap sepenuhnya. Setelah penat menjawab soalan dari kawan-kawan mengenainya, memusing ke timur ke barat tentangnya, hari ini saya dengan rasminya membuat publikasi untuknya. Memang sebelum ini saya ada juga menulis, namun itu hanya secara peribadi dan saya masih agak malu untuk menonjolkannya.

    Blog saya ini akan lebih mengisarkan tentang cacatan perjalanan sepanjang pembelajaran di sini, selain itu ia juga akan menyentuh sedikit sebanyak tentang Agama, Sastera, Komputer, Mesir dan lain-lain sekadar termampu. Blog saya boleh diikuti di link berikut.

    hhtp://abqori.blogspot.com

    Namun untuk memudahkan kerja anda, saya mencadangkan agar anda melanggan terus blog saya ini secara percuma, dan terus ke emel anda. Caranya mudah. Lihat di bahagian kanan blog ini, di kawasan petak-petak, cari petak ke-empat yang tertulis ayat ‘langgan blog ini’, isikan alamat emel anda disitu dan anda akan dibawa ke sebuah ruang pengesahan. Taip semula abjad-abjad yang anda lihat, klik ‘Complete Subscription Request’ dan anda akan menerima setiap update terbaru tentangnya.

    Kenapa perlu melanggan?

    Sebelum saya menjawab soalan tersebut, saya harap anda telah memahami tulisan ini (klik sini) dengan sebaiknya. Sebelum itu juga, izinkan saya untuk membahagikan golongan sasar untuk melanggan blog ini kepada dua, namun anda pilihlah untuk berada di golongan mana :

    · Golongan yang tidak ada perasaan benci pada saya.

    · Golongan yang ada perasaan benci pada saya.

    Jika anda dari golongan yang tidak mempunyai rasa benci pada saya, maka ada perlu mengisi alamat emel anda di ruang berkenaan kerana:

    · Saya berhajat kepada anda. Anda adalah orang yang berhati mulia dan jernih. Orang yang begini firasat-firasatnya benar belaka. Dan penterjemahan firasat anda itu di dalam bentuk komentar dan ulasan untuk posting saya amat bermakna.

    · Saya memerlukan anda. Agar dapat saya berkongsi masalah yang saya hadapi -jika ada- di hari-hari mendatang. Dan jika saya menceritakan pada anda yang berhati suci, maka mungkin dengan ketulusan hati anda di dalam menasihati akan dapat menaikkan kembali semangat saya sekaligus mengurai masalah yang menimpa.

    · Saya menunggu anda. Untuk mengulas jika ada isi-isi posting saya yang bisa diperbaiki, mengkritik mana yang patut. Kerana kritikan dari anda yang berjiwa murni sangat-sangat membina, berbeza dengan kritikan orang yang membenci, yang tak lebih niatnya dari hanya untuk menambahkan sakit dalam hati.

    · Saya menanti anda. Untuk menegur saya jika ada silap -samada yang membawa pada dosa atau tidak- dalam posting saya. Dan itu hanya dapat dilakukan oleh orang yang tidak ada rasa benci pada saya, kerana orang yang benci pada saya, jika nampak saya begitu jadinya, mereka akan membiarkan saja dan akan ketawa terbahak-bahak apabila saya terus-terusan membuat dosa.

    · Saya tidak mahu menyusahkan anda. Saya agak tidak pandai menyusun waktu dan kerana itu, jadi risau jika update blog saya jadi terganggu. Jika saya tidak mengupdatenya dengan posting baru dan anda pula setiap hari melawatnya kerana ingin membaca yang terbaru, maka itu akan menyusahkan, kerana anda akan ulang-ulang membukanya. Namun jika anda mengisi alamat emel anda di ruang berkenaan, maka anda tidak perlu lagi melawat blog saya diwaktu-waktu tiada posting terbaru, kerana jika ada posting baru, anda akan jadi yang mula-mula sekali diberitahu. Terus ke emel anda.

    Dan ini pula jika anda adalah orang yang mempunyai rasa benci pada saya, maka ada perlu mengisi alamat emel anda di ruang berkenaan kerana:

    · Saya tidak tahu apa alasan yang paling relevan untuk anda. Namun kalaulah saya ini ada membuat silap pada anda, maka saya terlebih dahulu memohon seribu ampun. Cuma jika anda tetap tidak mampu untuk memaafkan dan masih ada perasaan benci, hindarkanlah diri anda dari saya agar saya tidak mengetahui wujudnya orang begini. Bukan kerana saya pula yang membenci, namun kerana saya takut dengan perasaan-perasaan begitu. Tetapi, ingatlah bahawa saya suatu hari nanti akan mati, dan jika anda berjauhan dengan saya ketika itu, sungguh saya tidak tahu bagaimana untuk menghubungi, memberitahu bahawa saya sudah pergi. Namun, jika sekarang anda mengisi alamat emel anda di ruang berkenaan, mungkin ketika saya mati anda akan tahu secara automatik tentangnya. Ini kerana tika itu, tiada lagi update blog saya yang anda akan terima via emel, disebabkan penulisnya yang telah mati dan tika itu pastilah anda akan amat puas hati.

    Walau dari golongan mana ada berada, harap anda dapat memenuhkannya.

    Blog ini adalah blog umum Abqori dan akan cuba di update setiap hari Jumaat, Insya Allah.

    Terima kasih atas sokongan anda.

    Wassalam.

    Yang Benar,
    Abqori.

    Entri ini asalnya adalah surat yang ditulis dan dihantar ke emel kawan-kawan terdekat beserta dengan tulisan ‘Melatih Diri, Mencari Yang Tersembunyi’. Namun untuk memudahfahamkan pengunjung blog ini tentang tujuan asal pembinaan blog ini dan kenapa perlu melanggan, saya telah ubahsuai sedikit isinya dan memasukkan ianya di sini.

    Labels: , ,

     
     

    Melatih Diri, Mencari Yang Tersembunyi

    Manusia bermula dengan tidak reti (pandai). Kerana manusia itu lemah dan kerana itu mereka berusaha, agar akhirnya mereka jadi reti. Bermula perlahan-lahan, berusaha untuk meneruskan, bertatih, jatuh, berdarah luka, menangis kecewa, bangun semula, bulatkan azam untuk teruskannya, akhirnya terbiasa dan dalam sedar tak sedar rupa-rupanya sudah reti.

    Semua insan tidak terkecuali. Dari sekecil-kecil anak hingga sebesar-besar bapa. Dari setua-tua datuk hingga semuda-muda cucu. Semuanya melalui.

    Inilah proses kehidupan. Tuhan yang jadikan.

    Dalam diri manusia pula, Tuhan kurniakan bakat, atau dengan kata lainnya ia kelebihan. Tak semua orang ada bakat yang sama, namun masing-masing ada punca bakat itu di dalam jiwa. Cuma kapasitinya yang berbeza. Untuk mereka yang punyai kapasiti yang besar, kerja mereka lebih mudah andai bakat itu kena dengan kerja. Bagi mereka yang berkapasiti kecil pula, mereka perlu lebih berusaha. Dan terus berusaha kerana itu bukan bakat mereka. Maka, dari situ lahirlah kata, ‘mengasah bakat’.

    Bagi mereka yang ada bakat, mengasahnya semudah memetik jari. Bagi yang tiada -berkapasiti kecil-, ia tidak semudah itu. Bahkan ia amat perit sekali. Kerana ia seumpama mencari mutiara hitam legam, di dasar lautan yang gelap dan di malam yang kelam. Kerana itulah perlunya kesungguhan, kerana segunung kesungguhan adalah sesuatu yang memungkinkan. Lagipun ia bukan seperti mengadakan sesuatu yang tiada, mewujudkan sesuatu yang tidak wujud, kerana jika yang demikian itu berlaku, bermakna si pengasah itu mencipta. Dan mana mungkin si pengasah itu mencipta kerana benda itu sudah ada.

    Lalu kerana ia sudah ada, maka mudahlah teori kerja-kerja mengasah. Cuma perlaksanaannya sahaja yang sukar dilaksana. Kerana itulah kesungguhan itu perlu ada. Kesungguhan untuk betul-betul mengasahnya. Dan ingatlah, man jadda wajada, wa man kasala fasyal.

    Seterusnya yang perlu ada pula adalah pendidik yang mendidik dan orang sekeliling yang menghukum, menghukum samada telah berjaya atau masih lagi ditaraf mencuba. Kerana kritikan mereka itulah yang membina, memberansang, memberitahu masih lagi ada cacat cela dan perlu dibuang yang di sini dan perlu ditambah yang di sana. Barulah, setelah melalui itu semua, mereka dianggap telah mencuba, ataupun dengan sebaik-baik bahasa, mereka telah separa berjaya.

    Namun untuk dianggap telah benar-benar berjaya atau telah sungguh-sungguh reti ,-meskipun setelah melalui semua ini-, itu masih lagi sukar untuk diakui. Kerana apa? Kerana dari asal mereka, mereka adalah manusia, yang dahulunya tidak reti dan pernah dahulu buat buat reti sebelum benar-benar jadi reti. Namun jika mereka terus-terusan mencuba, berusaha dengan sebenar-benarnya, tak mustahil suatu hari nanti, mimpi-mimpi itu akan jadi suatu yang pasti.

    Labels:

    Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
    Tarikh : Thursday, April 24, 2008
    Jam 2:49 PM
    Komen :




      >>Sertai saya di Twitter<<
       
       

      Bismillahirrohmanirrohim

      A3uzubillahi minasy syaitonirrojim.

      Bismillahirrohmanirrohim.

      Alhamdulillahi robbil 3alamin, was solatuwassalamu 3ala asyrafil anbiyai wal mursalin wa 3ala alihi wa sohbihi ajma3in.

      Amma Ba3du,

      Maka sesungguhnya, telah sempurna juga pembinaan tapak blog ini. Dan selepas ini akan diletakkan pula entri-entri.

      Semoga dengan usaha ini saya mampu membuat satu pembaharuan untuk diri. Menulis dan memaparkan segala ujikaji, yang dilalui, diperhati, dan dirasai dalam kehidupan ini.

      Semoga ianya juga mampu menjadi penyebab turunnya hidayah dari Robbil 3alamin.

      Amin Ya Robbal 3alamin.

      Labels: ,

      Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
      Tarikh : Tuesday, April 22, 2008
      Jam 12:31 AM
      Komen :




        >>Sertai saya di Twitter<<