<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d5937407827965732325', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Imtihan #3 : Jahat, Dosa dan Hikmat Mata Kucing Shrek 2

Ini Bahagian ke-2. Mula membaca dari Bahagian pertama.

Suatu malam, setelah siap urusan di Zaqziq, Abqori pulang ke New Damietta City. Abqori berhenti di Mansurah untuk bertukar Tremco. Abqori naik dan dapati ada satu tempat kosong di kerusi belakang. Jika Abqori duduk di situ, maka Abqori akan duduk di tengah-tengah dua orang Mesir. Di sebelah kiri seorang pakcik tua yang berumur awal empat puluhan. Dan di sebelah kanan, seorang remaja lelaki yang setahun lebih tua dari Abqori. Abqori memang minat kerusi di belakang. Lebih-lebih lagi yang di tepi tingkap. Terasa bagaikan dunia ini Abqori yang punya jika dapat duduk di situ. Namun duduk di tengah-tengah apa salahnya, janji di kerusi belakang.

Naiklah Abqori akan Tremco itu dan mengucapkanlah Abqori kepada mereka perkataan salam. Dijawabnya mereka dan terputuslah dialog antara kedua-duanya. Itupun hanya buat sementara. Lalu mereka menyambung semula perbualan mereka. Mungkin sangka mereka, Abqori tidak faham perbualan mereka. Namun hakikatnya, Abqori faham sedikit sebanyak apa yang diborak mereka. Tetapi ketahuilah, ketika itu Abqori agak emosi kerana letih dan rasa yang kurang selesa. Kurang selesa kerana sepanjang perjalanan di Mansurah, kulit cerah asiawi Abqori asyik ditelek orang Mesir sahaja. Kadang-kadang Abqori rasa, mereka ini baru kali pertama melihat orang ajnabi sebegini masuk ke tempat mereka. Agaknyalah. Ataupun mungkin mereka cemburu melihat sweater musim sejuk Abqori yang bercorak bunga-bunga nusantara. Cuma yang pasti Abqori sedang emosi dan tiada mood untuk melayani apa-apa reaksi. Abqori letih yang tidak terperi.

Pakcik di sebelah kiri Abqori itu, pakaiannya amatlah segak pula. Tidak tahu Abqori apa kerjanya. Namun sudah pasti gajinya agak mahal juga. Tak kalah juga dengan remaja yang duduk di kanan Abqori. Pakaiannya yang tampak seperti remaja elit itu saja sudah buatkan Abqori kenal dia itu dari keluarga yang bukan sekadar berpendapatan sederhana.

Lalu berkata-katalah si pakcik, meluahkan rasa takjubnya kerana mendengar Abqori memberi salam. Dan ditanyanya dari mana asal Abqori dan kemana mahu pergi. Ingin saja Abqori berpura-pura tidak tahu Bahasa Arab kerana malas melayani demi rasa letih dan emosi yang berpusing-pusing tak henti-henti. Namun dijawab juga oleh Abqori, tapi dengan jawapan yang cuba menampakkan bahawa Abqori sedang letih sekali. Harap-harap pakcik itu faham. Namun orang Mesir bila sudah bertanya, mereka akan terus-terusan mengali. Maaflah pakcik, Abqori sedang letih ini!

Ditanyanya lagi, kali ini tentang kenapa Abqori memberi salam. Soalan yang membuatkan Abqori menangis dalam hati. Tak dijawabnya Abqori dan cuba Abqori berlagak menguap-nguap mahu tidur. Namun ditanyanya jua, dan Abqori terus ditanyai lagi. Sungguh, Abqori ada jawapan yang paling praktis untuk soalan ini dan jawapan itu bisa jadi sebab hidayah jika digunakan oleh Abqori di sini. Tapi, Abqori amatlah emosi dan akhirnya kerana tak tahan ditanya, Abqori tidak menjawab dengan jawapan yang boleh jadi sebab hidayah itu. Bahkan Abqori menjawab begini,

"Al-mafroud, mafisy had biyas-al sualan zai kidah. Kullun nas biya3lamunal igabah."[13]

Jawapan yang amat tidak sesuai. Mujur suara Abqori tidak tinggi. Namun jawapan itu serasanya sudah cukup untuk membuatkan pakcik itu terhiris hati. Yang membolehkan dia merana diri. Jadilah pakcik itu diam tidak menjawab. Dan Abqori pula jadilah menyesal tidak bersudah. Segera Abqori meminta maaf. Abqori katakan,

"Ma3alish saiyidi, ani fil hayyi-ah ta3ban lithulil masafah".[14]

"Tak mengapa. (Jawapan) Kau benar sekali. Mari, letakkan di ribaanku begmu yang berat itu. Mari."

Mendengar jawapan dan pelawaannya itu. Hati Abqori jadi basah. Rasa mahu menangis saja. Abqori menyesal sepenuh jiwa. Meskipun telah diucapkan minta maaf kepadanya, Abqori tak rasa telah cukup itu semua. Maafkan Abqori, pakcik! Abqori tak sengaja telah menzalimi pakcik. Abqori kejam. Percayalah, Mak Abqori tak pernah mengajar Abqori untuk berperangai begini. Kakak-kakak dan saudara-saudara lelaki Abqori juga tak pernah mendidik Abqori untuk buat begini. Bahkan nenek Abqori punya sepupu sebelah mak tiri pun tak pernah menyuruh Abqori buat perkara-perkara begini. Janganlah salahkan mereka. Salahkanlah Abqori yang sebenarnya masih kurang pandai mengawal emosi.

Lalu, ditariknya pakcik itu beg Abqori, namun Abqori menolak pelawaan yang akan menyusahkannya itu. Ditariknya lagi. Namun Abqori tetap tidak memberi. Tremco pun berjalan dan Abqori beristighfar mengawal emosi. Diazam Abqori untuk tidak akan lagi buat begini. Tak kira pada sesiapa pun. Samada pada orang Malaysia, orang Mesir atau juga pada orang-orang Parsi.

Setelah lima belas minit Tremco berjalan, Abqori dapati pakcik tadi sudah kelenaan. Emosi Abqori yang terganggu tadi juga sudah memperoleh ketenangan. Dikeluar dari beg Abqori novel Weil China.[15] Dengan cahaya handphone 3315 Abqori, Abqori suluhkan pada mukasurat yang sedang Abqori baca. Tanpa Abqori sedari, selama lebih sepuluh minit pembacaan, sepanjang masa itu jugalah rupa-rupanya ada sepasang mata sedang memerhati Abqori membaca. Lalu tuan punya mata itu pun mula mengambil langkah utama.

"Can I see your book?"

"Sure."

"Is it in English?"

"No, it is in my language. Malay."

"About what?"

"A story about communism, ideologies and stuffs like that."

Tak sangka remaja sebelah kanan Abqori ini fasih speakingnya. Kami langsung borak-borak dan bercerita ke sini sana. Dia adalah pelajar kuliah kejuruteraan di Mansurah. Tinggal di New Damietta City dan setiap hari berulang-alik. Kami bercerita tentang minat masing-masing. Oh, rupa-rupanya banyak yang sama. Shakespeare, Ahmed Zewail dan macam-macam lagi. Dia mengajak kami bertukar nombor telefon dan dia juga mengajak Abqori pergi ke kenduri kahwinnya. Tiga bulan lagi, kurang lebih. Kami bercerita penuh ramah sekali. Dan Abqori ketika itu, tidak sedikit pun emosi.

Hingga Abqori tersedar yang pakcik tadi tidak lagi dalam keadaan lenanya. Bahkan telah jaga dan dia perasan benar kami berdua amatlah ramah berbicara. Perkara yang sekali lagi buatkan Abqori menyesal.

Mungkinkah pakcik itu akan terkilan dengan sikap Abqori? Mungkinkah dia akan terfikir bahawa orang tua sepertinya Abqori layan seperti apa, tapi remaja yang lebih kurang sebaya Abqori, Abqori layan bagaikan raja? Oh, hati Abqori basah lagi buat kali yang kedua!

Abqori bukanlah orang yang tidak tahu beradab. Bahkan Abqori amat tahu ertinya adab. Cuma dek kerana Abqori agak emosi lalu terjadilah begini.

Tahukah pakcik? Bahawa jika soalan pakcik itu dilontarkan ketika Abqori merasa ketenangan, nescaya soalan itu akan Abqori jawab dengan jawapan ini,

"Supaya datang di dalam hati kita sesama umat Islam ini rasa kasih sayang".

Jawapan yang dahulu pernah Abqori gunakan ketika menjawab soalan orang tabligh Mesir ketika di kota Cairo semasa Abqori di tahun satu. Jawapan yang Abqori gunakan untuk menjawab soalan orang tabligh itu tentang kenapakah kita pergi menziarahi sesama orang Islam.

Dan tahukah pakcik? Jika emosi Abqori tenang jawapan Abqori itu tidak akan berhenti di situ, bahkan jawapan itu akan Abqori lampirkan dengan hadith Nabi yang selalu Abqori bacakan pada muqaddimah beberapa tazkirah Abqori. Iaitu hadith Nabi yang berbunyi,

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian semua beriman, dan kalian tidak akan dinamakan beriman sehingga kalian semua saling cinta-mencintai. Tidakkah kalian semua suka jika aku menunjukkan kepada kalian sesuatu yang jikalau kalian semua melakukannya tentu kalian akan saling cinta-mencintai? Iaitu sebarkanlan salam antara sesamamu semua."[16]

(Riwayat Muslim)

Tapi pakcik, Abqori gagal menjawab pakcik dengan jawapan-jawapan ini. Semuanya kerana Abqori emosi. Maafkanlah Abqori.

Rasa Abqori, jika Abqori berada di Malaysia, Abqori tidak akan berani untuk berbicara dengan orang-orang tua dengan menggunakan ayat yang Abqori katakan kepada pakcik itu tadi. Ini kerana orang-orang di Malaysia itu mempunyai adab yang amat tinggi. Namun mungkin kerana Abqori sudah banyak kali melihat remaja-remaja Mesir yang lantang bersuara semasa berbicara dengan orang-orang yang lebih tua dari mereka, samada menegur atau dalam bual-bual biasa, Abqori rasa Abqori terkesan dengan mereka semua. Apatah lagi apabila perkara ini di Mesir dianggap seperti hal yang biasa dan jarang-jarang sekali ada teguran untuknya. Bahkan hal-hal demikian dapat dilihat di mana-mana di Mesir.

Kerana itulah, Abqori amat-amat setuju apabila seorang sahabat Abqori yang zuhud ada menyatakan,
"Jangan diajar kepada bangsa Arab itu Feqah, kerana mereka itu faqih semuanya. Bahkan ajarkanlah kepada mereka Adab, kerana Adab mereka itu amatlah rendahnya. Tetapi orang Malaysia pula hendaklah diajarkan kepada mereka Feqah, kerana itu adalah kelemahan mereka. Namun jangan terlebih-lebih mengajar mereka Adab, kerana mereka itu raja dan ratu dalam mengamalkannya."[17]


Namun dek kerana Abqori telah terkesan, Abqori rasa Abqori patut mengubahnya semula dan kembali kepada adat Abqori yang penuh keadabannya. Bukan setakat itu saja, bahkan selepas ini jika ada orang-orang Malaysia yang suka mengutuk orang-orang Mesir depan-depan nescaya Abqori akan mempertahankan mereka. Sekurang-kurangnya dengan menyatakan pada mereka agar kutuklah orang Mesir di belakang, dan bukan ketika orang Mesir itu masih di depan mereka. Mentang-mentanglah orang Mesir tidak faham bahasa mereka, mereka ini main kutuk sahaja sesedap rasa.

Semua itu akan Abqori lakukan demi menebus dosa. Manalah tahu, kiranya orang Mesir yang Abqori pertahankan itu ada bau-bau bacang dengan si pakcik. Sekurang-kurangnya terkena juga pada pakcik jasa bakti Abqori.

Berbalik kepada Tremco tadi. Lalu sampailah Tremco itu ke NDC dan pakcik tadi mahu turun lebih awal. Di sebuah tempat yang telah Abqori hafal kerana Abqori amat berharap dapat berjumpa pakcik itu sekali lagi. Pakcik meminta izin untuk turun dan Abqori sekali lagi memohon maaf. Namun senyuman tawarnya belum lagi memuaskan hati Abqori. Sebelum Tremco bergerak meninggalkannya, Abqori ada juga mengangkat tangan ke arahnya. Namun balasan lambaian tangannya yang kurang bermaya itu belum mampu membuatkan Abqori puas hati dan merasa telah dimaafi. Kesal sekali.

Dan lebih kesal lagi apabila Abqori terlupa menggunakan hikmat mata Kucing Shrek ketika ini. Kalaulah sempat menggunakannya, rasanya Abqori tak perlu susah payah menulis entri ini.

Apapun pakcik, Abqori berazam tidak akan berperangai begini lagi. Kerana sudah cukuplah kejahatan Abqori. Dunia sudah tahu akan busuknya dan janganlah ditambah lagi akan baunya. Hikmahnya, Abqori perlu belajar mengawal emosi. Kena pandai mengawal emosi. Biar diri jadi fleksibel dalam apa jua ketika. Tak terbawa-bawa dan mengelak dari nampak tidak matang kerana main mengikut emosi saja. Juga tentang kisah dengan pelajar Mesir tadi, hikmahnya Abqori jadi rapat dengan muroqib yang terkena hikmat mata Kucing Shrek Abqori tadi. Tamat peperiksaan, kami berbual-bual dengan perbualan yang penuh ilmiah sekali. Beliau kini jadi sangat hafal nama Abqori dan selepas itu, jika kami bertembung maka kami akan main-main mata menunjukkan kami telah mula ada koneksi. Sampaikan Abqori pula sekarang asyik teringat-ingat akan beliau sebelum Abqori beradu dalam mimpi. Apatah lagi apabila muroqib itu kini telah keluar TV.[18] Nampaknya Abqori tak silap orang dalam menggunakan hikmat. Bukan calang-calang orang pula yang tertawan.

Alahai, Mesir Mesir! Sudahlah sejak dahulu lagi dunia banyak masuk dalam hati Abqori. Kini kamu pula yang main curi-curi ruang di sini.
---
NOTA KAKI :
[13]^ "Sepatutnya, tiada orang bertanya soalan sebegini, sebabnya semua orang tahu jawapannya sendiri."
[14]^ "Maafkan saya, pakcik. Saya sebenarnya letih sangat sebab dah jauh sangat berjalan."
[15]^Novel ini ditulis oleh novelis Emine Sen yang juga menulis novel yang meletup Maria. Dahulu novel Weil China ini pernah dicetak oleh PMRAM (Persatuan Mahasiswa Malaysia Mesir). Namun kini, ia tidak lagi diterbitkan. Sayang sekali.
[16]^Kitab Riyadus Solihin. Karangan Imam Nawawi. Hadith ke 845, dalam Bab ke 13. Kitab Bersalam, Keutamaan Mengucapkan Salam Dan Perintah Untuk Menyebarkannya.
[17]^Bagi Abqori, seeloknya perkataan Bangsa Arab itu ditukar kepada orang Mesir. Kerana seingat Abqori orang Arab Jordan amat tinggi juga adab mereka. Kata sahabat Abqori itu, kalam ini bersanad. Samada dari ustaznya atau sesiapa, Abqori kurang pasti.
[18]^Untuk menonton rancangan beliau, sila tune to Channel Al-Rahmah, setiap hari Ahad, pada pukul 2:15 petang. Ulangan pada pukul 3:00 pagi.

Labels: , , ,

 
 

Saya Sebuah Basikal

Tulisan ini adalah adaptasi daripada beberapa buah kisah benar yang berlaku kepada orang-orang Malaysia di NDC. Ditulis ketika masih dalam suasana demam entri Bercinta Dengan Basikal di blog Hembusan. Untuk membaca cerita yang ditulis dalam suasana demam yang sama di sebuah blog yang lain, sila klik sini.


Hari ini aku dijagakan setelah hampir sebulan ketiduran. Badanku diusap lembut oleh seorang yang tidak aku kenali. Kulitnya cerah asiawi. Berbeza warna kulitnya dengan tuanku. Ini kali pertama aku melihat mereka yang berkulit begini. Kata tuanku aku akan dijual kepada orang yang mengusapku tadi. Orang Malaysia. Kata tuanku lagi, aku tidak lagi boleh terus ketiduran kerana sekarang telah tiba masanya untuk aku berkhidmat dan meninggalkan kedai. Tak sangka akhirnya basikal yang low class seperti diriku akhirnya dibeli jua oleh seseorang.

Dari bandar Old Damietta aku dibawa pulang ke rumah tuan baruku di New Damietta City. Sebuah bandar yang tersusun. Cantik. Kata tuanku baruku ini, Laut Mediteranean boleh kelihatan dari atas rumahnya, ini kerana rumahnya di tingkat yang teratas sekali. Aku sebagai sebuah basikal hanya mendengar sahaja katanya itu. Mustahil rasanya aku akan dibawa ke atas untuk melihat pemandangan yang dikatakan indah itu dari situ.

Hari pertama, aku dibonceng oleh tuanku ke kuliah. Sesampainya di kuliah, aku diparking bersama beberapa buah basikal orang Malaysia dan Thailand. Dapat aku berkenalan dengan kawan-kawan yang baru. Untungnya, kami berbicara dengan bahasa yang sama. Bagi kami kaum basikal, kami hanya memahami dan pandai bertutur dengan bahasa yang dituturkan oleh tuan-tuan kami sahaja. Kerana itulah, sejak dari tadi apabila aku bertembung dengan basikal orang Mesir, aku tidak pandai lagi untuk menegur mereka.

Setelah habis kuliah, tuanku mendapatkanku. Ramai kawan-kawannya yang terkejut kerana beliau dengan senyap-senyap mempunyai basikal baru. Aku juga menumpang merasa bangga. Tapi bangga itu tidak lama, kerana kasihan tuanku, beliau kemudiannya diketawakan dan diejek dengan nama yang tidak aku kenali. P. Ramlee. Kata mereka, menunggang basikal stail lama yang mempunyai tempat duduk yang tinggi sepertiku benar-benar menampakkan tuanku seperti seorang bujang lapuk. Kasihan tuanku.

Setelah seminggu, tuanku bercadang untuk memasang tempat duduk belakang. Dikhabarkan rencananya itu kepada seorang kawannya. Kata tuanku, niatnya tak lain dan tak bukan untuk mencari pahala lebih. Sekurang-kurangnya dengan adanya tempat duduk itu, beliau dapat menumpangkan seseorang ke sesebuah tempat tujuan. Tapi, kawannya itu seolah-olah memperlekehkan niat tuanku itu meskipun kawannya itu tidak menzahirkan penghinaannya. Mungkin dia tidak tahu, bahawa kami kaum basikal boleh menangkap maksud pandangan mata seseorang. Lebih-lebih lagi yang berniat jahat. Kawannya itu seolah-olah menuduh bahawa niat tuanku itu tidak lain dan tidak bukan hanya mahu membawa gadis-gadis Mesir dengan tempat duduk belakang itu nanti. Aku merasa geram sekali dan seperti mahu saja melanggar kawannya itu. Namun aku pasti tidak akan melakukan itu di hadapan tuanku.

Minggu kedua, tuanku dikejutkan dengan berita kehilangan beberapa buah basikal milik orang Malaysia yang telah belarutan selama seminggu. Katanya sepanjang minggu lepas, telah tiga buah basikal milik orang Malaysia yang kecurian. Paling sadis sekali adalah sebuah basikal yang berharga $100 dan baru dibeli seminggu turut kehilangan. Aku mula merasakan perasaan yang takut sangat. Bimbang dengan keselamatanku. Tapi tuanku yang baik hati itu pantas sekali menenangkan. Beliau seolah-olah faham akan kebimbanganku. Pada petangnya, beliau terus membawaku bersiar-siar dipesisir pantai Laut Mediterranean. Melihat pemandangan matahari terbenam dari situ amat indah dan cukup mententeramkan jiwa. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku mengajaknya berkayuh terus menyelusuri pesisiran itu ke arah barat sehingga sampai ke Alexandaria. Atau ke arah timur sehingga sampai ke Bort Said. Namun, aku sungguh tidak sampai hati melihat beliau keletihan.

Suatu hari, aku dipinjam oleh seorang kawannya. Tuanku seperti biasa, yang merupakan seorang yang baik hati, terus menghulurkanku kepadanya sepenuh rela. Namun apabila aku mahu dipulangkan, kawannya itu telah tidak sengaja keciciran kunciku. Dia amat serba salah dan tidak tahu dengan cara apa untuk aku dipulangkan. Kaget bukan main. Berulang kali dia meminta maaf. Namun tuanku bersahaja saja dan tidak sedikit pun marah. Kata tuanku, beliau mempunyai kunci spare dan tidak perlu kegelisahan. Sungguh baik hati. Aku bangga menjadi miliknya dan mula amat sayang kepadanya.

Suatu hari, di waktu tengahari, tuanku berkunjung ke rumah seorang temannya. Aku diparking dibawah bersama sebuah basikal yang sangat jelita. Ayu rangkanya. Merah strawberi bodynya. Bercorak bunga tempat duduknya, juga panjang mengurai tali breknya. Betul-betul aku perlu menundukkan mata. Risau nanti terpikat. Apatah lagi kami ditinggalkan berdua-duaan. Tuanku pernah menceritakan bahawa Zulaikha itu tidak tahan melihat Yusuf dan mula mengodanya kerana mereka berdua sudah lama tinggal bersama dan hari-hari melihatnya. Siapa yang mampu bertahan.

Namun setelah sepuluh minit ditinggalkan, kami dapat melihat kelibat seorang orang Mesir yang seolah-olah berniat jahat berjalan ke arah kami. Ya. Dia memang berniat jahat. Untuk menculik salah sebuah dari kami. Kami berdua mula menjerit-jerit. Meminta tolong. Basikal-basikal lain yang tingal berdekatan juga turut menjerit-jerit. Basikal-basikal yang mempunyai loceng turut membunyikan loceng-loceng mereka. Namun entah kenapa jeritan kami itu, tidak ada orang mendengarnya. Pencuri itu mengeluarkan gunting yang agak besar lantas terus mencantas kunci basikal yang jelita itu. Sekelip mata saja, basikal yang jelita itu dilarikan dan hilang dari pandangan. Jeritannya yang bercampur tangisan itu sayup-sayup kehilangan. Dan aku pula yang bernasib baik ditinggalkan masih ketar-ketir kegigilan. Melihat sahabatku diculik didepan mataku itu membuatkanku jadi trauma. Tuanku dan tuan punya basikal tadi itu pun turun, kata mereka, mereka terdengar bunyi cantasan kepada sesuatu yang amat kuat. Namun semuanya sudah terlambat. Kulihat tuanku menenangkan sahabatnya itu.

Kurang ajar, nampaknya pencuri-pencuri ini telah melampaui batas. Sehinggakan di waktu siang pun, ada juga bangsa kami yang diculik mereka.

Kini telah sebulan peristiwa itu berlalu dan sekarang ada beberapa orang sahabat tuanku yang datang dari kota Cairo dan Zaqziq. Semuanya meminta tuanku menjadi travel guide untuk mereka ke Bort Said. Selain itu, mereka juga mahu ditemani untuk menyeberangi Terusan Suez sekaligus kembali ke Asia dan sekali-sekala meninggalkan Afrika. Wah, aku sungguh tidak pandai mengambarkan perasaan mereka yang telah sampai ke terusan itu. Menurut lagenda, di sebuah negara di Eropah sana, jika basikal-basikal di sana merajuk dengan tuan-tuan mereka atau ketahuan tuan-tuan mereka ada bermain kayu tiga, maka tuan-tuan mereka akan membawa mereka bersiar-siar di sebuah terusan yang amat romantik dan boleh menenangkan hati yang resah. Setelah itu, pasti basikal-basikal itu akan kembali tenang jiwanya.

Tapi aku tahu tuanku tidak akan sekali-kali berbasikal ke sana. Ini kerana jaraknya lebih kurang 50 KM dari residensi kami. Aku amat sedih sekali. Aku ditinggalkan dan dikuncikan di sebuah tiang di bawah rumah. Kata tuanku, jangan risau kerana beliau pergi tak lama. Bertolak waktu dhuha dan pulang sebelum maghrib. Mana mungkin akan dicuri. Jika beliau pulang malam, barulah beliau akan menyimpanku di dalam rumahnya yang tinggi di tingkat atas. Aku rasa tuanku sudah kelupaan agaknya. Tidakkah beliau ingat bahawasanya basikal yang jelita dahulu diculik pada waktu siang? Manusia memang cepat lalai.

Tuanku bertolak dan aku pun seperti biasa akan terus tidur jika tidak berkhidmat. Namun setelah beberapa lama, tidurku diganggu oleh suara-suara. Aku terasa seolah-olah ada dua orang yang berbisik-bisik sesama mereka dekat denganku. Aku tidak faham bahasa mereka kerana mereka orang Mesir. Namun apabila aku lihat wajah mereka, baru aku perasan salah seorang dari mereka adalah penculik dahulu. Aku terus menjerit meminta tolong kerana aku tahu kehadiran mereka adalah semata-mata mahu menculikku. Basikal-basikal yang tinggal berdekatan turut perasan dan menjerit sama. Dengan kasarnya, pencuri itu mencantas kunciku dan tanpa disedarinya, dia turut memotong tali brekku.

Mereka menaiki aku. Seorang duduk di depan dan seorang di belakang. Dikayuhnya pedalku selaju-lajunya. Aku menangis sekuat-kuatnya. Kini, aku akan dibawa ke sebuah tempat yang aku tidak tahu di mana. Aku akan diperlakukan dengan sesuatu yang tidak sewajarnya. Mungkin aku akan jadi bahan mainan mereka. Atau mungkin badan-badanku akan diceraikan mereka dan dijual secara berasingan. Diseludup secara haram entah ke mana-mana. Yang pasti, aku pasti tidak akan suci lagi. Aku lebih rela mati dari hidup begitu.

Mereka mengayuhku laju menghala ladang-ladang kurma yang di pinggir bandar. Mungkin mereka mahu menyorokkanku di situ buat sementara. Sebelum sampai ke situ, kebetulan ada sebuah kenderaan sewa yang lalu. Laju. Aku yang masih menangis teresak-esak tanpa berfikir panjang terus menghalakan tubuhku ke arah kenderaan itu. Tambahan lagi aku masih meluncur laju. Biarlah segalanya berakhir di sini saja. Aku lebih rela mati daripada berpisah dengan tuanku. Sekurang-kurangnya aku masih lagi setia padanya.

Si pencuri merasakan aku telah hilang kawalan. Ditekannya brek. Namun ia tidak makan kerana telah keputusan tali. Aku menghala ke arah kenderaan sewa yang laju itu. Dengan segala titisan airmata dan jeritan kedua-dua mereka yang hina itu, aku terus menghala ke arahnya. Maka bertembunglah kami dengan kenderaan sewa itu.

Terpelantinglah kedua-dua pencuri itu dan sebahagian tubuhku hancur ranap. Tayar depanku telah melayang entah kemana. Rim tayar belakangku patah semuanya. Aduh, sakit sekali! Kenderaan sewa itu berhenti. Beberapa orang keluar dan aku dapati seseorang yang amat aku kenali turut keluar darinya. Oh, ini adalah wajah yang kucintai. Tuanku.

Aku menjerit memanggil namanya. Namun beliau tidak mendengarnya. Beliau lebih rela mengangkat pencuri yang terlantar itu. Kalaulah beliau tahu aku adalah basikalnya, pastilah aku yang akan diutama. Aku menjerit lagi namun sudah tidak keluar suara. Aku tahu masaku tidak lagi lama. Aku terus memandangnya dengan lelehan airmata. Mengharap ada jelingan akhir darinya. Biar beliau tahu aku mati kerana tidak mahu haknya diperkosa.

Pandanganku makin kabur dan dalam kekaburan itu aku seolah-olah melihatnya memandang ke arahku. Sepertinya, beliau keliru. Dan beliau berlari anak ke arahku. Ya, beliau berlari anak ke arahku. Aku gembira, kini beliau yakin yang dilihatnya adalah aku. Namun masa telah tidak mengizinkannya. Aku telah menutup mata sebelum beliau sampai padaku. Nafasku tidak lagi berhembus.

Meskipun begitu, aku tetap terharu. Kerana sebelum pergiku, aku tahu tuanku telah mengenalpasti aku. Meskipun aku tak sempat merasa usapannya buat kali terakhir, aku tahu dengan berlarinya beliau ke arahku, dalam hatinya ada rasa cinta padaku. Aku tidak menyesal mati begini. Oh, tuanku!

Nota : Saya tidak pernah ada even a single bicycle sepanjang pembelajaran di Mesir.

Labels: , ,

 
 

Musalsal Imtihan #2 : Jahat, Dosa dan Hikmat Mata Kucing Shrek.

Mereka yang pertama kali membaca blog ini adalah disarankan membaca terlebih dahulu tulisan yang bertajuk Musalsal Alim #1 : Bercinta Dengan Orang Alim ini.

Ini adalah segmen Musalsal yang pertama. Atas beberapa sebab, Musalsal Sahabat yang dijanjikan terpaksa ditangguhkan. Harap maaf.

Entri "Setiap Imtihan Itu Berbeza" telah dinamasemulakan sebagai Musalsal Imtihan #1.
Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Ini bahagian pertama. Bahagian kedua akan menyusul kemudian. Fresh ditulis selepas membaca entri Bercinta Dengan Basikal di blog Hembusan.

Tak sangka, rupa-rupanya Abqori ini jahat orangnya. Bila dah buat jahat, itu namanya menempah dosa. Bila dah berdosa, nampaknya kenalah taubatnya disegera. Kalau tidak mahu masuk neraka, itulah satu-satunya jawapan yang paling mulia.

Suatu hari, Abqori masuk dewan peperiksaan. Setelah satu jam peperiksaan berlangsung, ada pelajar Mesir yang sudah mahu keluar dewan peperiksaan. Dia duduk di hadapan Abqori. Betul-betul berhadapan dengan dinding. Takwilan Abqori, dia ini hebat orangnya. Masakan tidak, kalau dia tidak gada3[1], takkanlah dia sudah meminta untuk keluar walhal baru sejam berperiksa. Muroqib[2] pun mengambil kertas jawapannya, namun dia masih tidak dibenarkan untuk meninggalkan tempat duduknya.

Jadilah dia termangu-mangu tertunggu-tunggu di tempat duduknya. Apabila muroqib berjalan ke belakang dewan, menolehlah pelajar Mesir itu ke arah Abqori. Apabila muroqib itu menghala ke depan, dia pura-pura seperti tiada apa yang terjadi. Berlalu lima belas minit dan dia masih tidak dibenarkan untuk keluar pergi. Dan sepanjang waktu itu, dia terus-terusan menoleh seperti tadi. Dasar orang cerdik, apabila mereka sudah siap, pasti orang yang belum, diganggunya sepenuh hati.

Ditegur perbuatannya oleh Abqori. Telah dicakap perlahan,
"Syuf uddamak!"[3]
sebanyak dua kali. Namun diendahkannya saja bagaikan teguran Abqori itu tiada bunyi. Hinggakan pada kali ketiga, Abqori beri amaran. Jika dia tidak berhenti memandang Abqori dan menghilangkan konsentrasi diri, akan direport Abqori tentang perangainya kepada muroqib. Namun, tidak juga diendahnya dan menjawablah dia mudah,
“Beritahulah!”.
Wah, ini namanya cabaran! Tidak tahukah dia, Abqori pantang dicabar? Tidak tahukah dia, Abqori jika dicabar, nescaya segala peluh saga anak jantan akan keluar? (bukan peluh al_jantanie, ya).

Huh! Berkatalah Abqori dalam hati, tunggu masa saja orang Mesir ini. Namun jangan dilupa, jika Abqori mengadukan hal ini, niat Abqori juga adalah kerana Abqori kasihan melihatnya. Melihatnya tertunggu-tunggu ternanti-nanti. Dan jika Abqori adukan karenahnya ini, pasti terealisasi hajatnya untuk pergi. Lagipun, bukankah penantian itu satu penyeksaan? Dan bukankah kerana penungguan, wujudnya penunggu?

Maka, berlalulah muroqib di belakang Abqori. Hingga mengelegaklah segala yang ada di dalam hati. Jadi terfikirlah si Abqori, mahu diberitahu atau terus saja disenyapkan hal ini. Tapi, belum habis difikir, dengan tidak semena-mena, terpacul jua dari mulut Abqori, kata-kata, yang sepatutnya kata-kata itu hanya disebut di dalam hati. Dan tanpa disedari, kata-kata itu adalah aduan meminta agar dibenarkan saja pelajar Mesir itu pergi.
“Duktur, mumkin khollihu yaruh.”[4]

“Murowwah?Limaza?”[5]

“Yuz3ijuni.”[6]

“Yuz3ijuk?”[7]

“Na3am.”[8]

“Kau! Kenapa menganggunya?”
Berubah cuaklah muka si pelajar Mesir. Terbitlah segala bibit penyesalan dalam hatinya. Jadi bertaubatlah dia untuk mencabar pelajar-pelajar yang berkulit cerah asiawi selepas ini. Kerana, cabaran kepada meraka pasti akan dipenuhi. Diberinya alasan bahawa dia hanya memandang sahaja. Dikatanya lagi, Abqori hanya melebih-lebihkan cerita. Hingga muroqib seolah-olah percaya kata-katanya. Dipandang muroqib mata Abqori sedalam-dalamnya. Abqori membalas renungan tajamnya. Mujur Abqori ada belajar bagaimana membuat mata kasihan seperti Puss In Boots, kucing dalam cerita Shrek. Hingga terdengarlah alunan yang menyejukkan hati.[9] Dan Abqori pun berkata lagi,
“Dia itu, asyik toleh ke arah saya sahaja, kemudian gelak-gelak suka”.
Muroqib akhirnya percaya kata Abqori. Tambahan lagi, Abqori telah menggunakan hikmat mata Kucing Shrek. Orang mana yang tidak kasihan melihat mata berkenaan. Disuruhlah pelajar Mesir itu bangun. Dan dengan cara yang amat mulia, dikatakan padanya bahawa dia bisa beredar sekarang. Bukan dihalau atau yang sama waktu dengannya.

Lalu bersegera bangunlah dia, dan tergelak sukalah beberapa orang. Kenapa mereka tertawa-tawa, Abqori tidak tahu sebabnya. Namun ketika itu, Abqori rasa puas hati sepuas-puasnya. Kerana berjaya memerdekakan pelajar Mesir yang terhalang untuk bergembira. Sangka Abqori, pasti dia juga akan turut suka. Namun apabila Abqori tamat imtihan, rasa bersalah menyelinap masuk ke seluruh jiwa. Abqori mula berfikir.

Benarkah tindakan Abqori itu? Tidakkah tindakan itu telah mengaibkannya? Meskipun dia berjaya keluar awal, adakah keluar dengan cara itu yang diingininya?

Oh, nampaknya Abqori telah menjadi seorang pendosa, dan itu adalah jika Abqori telah mengaibkannya. Abqori tidak tahu pelajar Mesir itu merasakan apa. Adakah malu atau gembira? Cuma Abqori rasa dia pasti sedikit dukacita, dan sungguh Abqori risau dia menyimpan hal itu dalam hatinya, lalu menyebut-nyebutnya di hadapan Tuhan di hari muka. Oh, janganlah disebut-sebut hal itu di waktu dosa-dosa Abqori sedang dihitung kesemuanya! Juga Abqori risau, andainya ketika Abqori tinggal selangkah kaki lagi sebelum ke syurga, rasa tidak puas hatinya itu menarik kaki Abqori itu ke sebuah tempat yang lima ratus tahun jauh perjalanannya. Oh, janganlah!

Kerana itu, Abqori berdoa agar selepas ini Tuhan menemukan kembali Abqori dengan si dia. Agar dapat Abqori melunaskan segala yang belum selesai antara dua jiwa. Biar tenang untuk selama-lamanya. Dan jika dia, selepas ini, mahu berkawan dengan Abqori, akan Abqori cuba untuk mengingatinya di waktu suka ataupun duka. Agar tertebus sepenuhnya segala dosa.

Kini Abqori sedar Abqori ini jahat orangnya. Dan orang jahat ini kena segera taubatnya. Namun kisah ini bukanlah kali pertama Abqori berbuat dosa dengan orang Mesir. Sudah banyak kali. Dan yang paling tragis adalah kisah kepulangan Abqori dari Zaqziq.

Abqori orangnya minat berfoya-foya (revel). Bukan dengan wanita. Bukan dengan menonton cerita. Bukan dengan game-game yang tidak mampu memberi mudarat dan manfaat dunia akhirat. Tapi Abqori minat berfoya-foya dengan segala yang berkaitan dengan komputer laptop. Lebih spesifisik, berfoya-foya dengan dengan segala perisian sumber terbuka. (Nak cakap Abqori minat berfoya-foya dengan blog, boleh juga.) Dan Abqori pernah ke Zaqziq kerana mahu menamatkan pencarian Abqori tentang sumber terbuka yang sememangnya telah membuahkan segala balakh[10] dan jawwafah[11]nya.

Suatu malam, setelah siap urusan di Zaqziq[12], Abqori pulang ke New Damietta City. Abqori berhenti di Mansurah untuk bertukar Tremco. Abqori naik dan dapati ada satu tempat kosong di kerusi belakang. Jika Abqori duduk di situ, maka Abqori akan duduk di tengah-tengah dua orang Mesir.

Insya-Allah bersambung di bahagian ke-2...

---

NOTA KAKI :
[1]^Gada3 bermaksud cerdik. Satu perkataan yang sering digunakan dalam Bahasa Arab 3ammiyah versi Mesir. Disebut juga gad3an, atas wazan fa3lan dari bab as-sifaat tul musyabahah. Tetapi tidak disebut ajda3, kerana ia membawa maksud ‘Hidung Terpotong’, seperti Sphinx.
[2]^Pengawas peperiksaan.
[3]^”Tengok depanlah!”
[4]^ “Doktor, bolehkah dibenarkan sahaja dia ini pergi?”
[5]^ “Kenapa?”
[6]^ “Dia menganggu saya.”
[7]^ “Menganggumu?”
[8]^ “Ya!”
[9]^Sesiapa tidak faham statement ini, selepas ini sila tontoni filem Shrek. Kanak-kanak pun menangis apabila melihat mata Puss in Boots ini.
[10]^Sejenis buah tamar yang keras dan muda. Namun sudah enak untuk dimakan. Berwarna kemerah-merahan dan akan berubah hitam apabila sudah tua. Buah tamar jenis ini tidak kedapatan di Malaysia. Amat banyak ditanam di New Damietta City ini.
[11]^Jambu batu. Di Mesir, ia lebih sedap diminum sebagai jus.
[12]^Meskipun pencarian sumber terbuka Abqori berakhir di Zaqziq, itu tidak bermakna Zaqziq adalah bandar yang berteknologi tinggi.

Labels: , , ,

 
 

Manis Boleh Cari

Bila dikenangkan tentang kehidupan saya di Mesir ini, timbul serba sedikit kesedaran dalam hati. Mungkin selama ini saya kuat berangan-angan kesan daripada pembacaan saya. Bagi saya, apa yang bakal saya lalui perlu sama dengan kisah atau ceritera yang saya dengar atau baca, dan pernah jatuh minat saya padanya.

Misalnya, tahun lepas apabila seorang junior menceritakan pada saya rasa kesalnya kerana kurang prihatin pada nota-notanya. Katanya pada suatu petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas hujan reda, dia masih sempat membaca nota-notanya bagi madah awzan syi3ri. Lalu kerana angin kuat yang bertiup, nota-notanya itu habis berterbangan, lalu jatuh ke dalam lecak-lecak di sepanjang perjalanan. Tiada harapan lagi baginya untuk mengutip nota-nota itu. Kerana bukan sahaja basah dan kotor, malahan jika dicuci dan dikeringkan belum pasti tulisan-tulisan pada kertas itu masih dapat dibaca. Dia yang telah menghabiskan banyak tenaga dalam menghasilkan nota-nota itu cukup mengkritik sikap keprihatinannya yang lemah itu.

Tetapi lain pula kisahnya bagi saya apabila mendengar rintihan sedemikian. Usai mendengar, fikiran saya terbang meninjau kesamaan ceritanya itu dengan kisah yang saya dapat ketika di Malaysia. Pernah sekali seorang amlumni daripada sebuah universiti di Perancis mengisahkan satu peristiwa ketika tempoh pembelajarannya di Paris. Ketika itu, hujan turun lebat sekali dan dia terpaksa menggunakan payung untuk berpergian ke kuliah. Semasa melintas jalan, habis kertas-kertas yang akan digunakannya untuk pembentangannya di kuliah hari itu diterbangkan angin. Dia dalam keadaan yang kalut itu, hujan, dan berada di tengah-tengah jalan raya, melemparkan payungnya dan kelam kabut mengutip satu persatu kertas-kertasnya yang lejut. Sambil menghindarkan diri daripada kereta-kereta yang lalu-lalang dia mencapai apa yang mampu di capai, sehinggakan tanpa disedari, payungnya langsung diterbangkan dan lenyap.


Payung hilang, kertas-kertas rosak dan koyak, ditambah lagi apabila sampai ke kuliah, dimarahi oleh profesor kerana terpaksa membatalkan pembentangan, menyebabkan dia tak mungkin melupakan peristiwa itu.

Kisah ini cukup beri kesan dalam hidup saya, saya yang akan terbang ke Mesir sikit masa lagi ketika itu, angan-angan untuk punyai kisah yang sama sepertinya. Dan sekarang setelah mendengar kisah si junior yang punya persamaan dengan si amlumni buatkan saya super cemburu. Alangkah indahnya kalau saya turut melalui kisah yang sama, atau dengan kata lainnya, alangkah indahnya kalau hidup ini serupa dengan kisah yang kita minati.

Sama erti dengan kanak-kanak kecil yang mengidamkan hidupnya jadi seperti Harry Potter,[1] dan sama erti dengan mahasiswa-mahasiswa Al-Azhar yang mengimpikan hidupnya jadi seperti Fahri dalam novel Ayat-Ayat Cinta.

Tapi, apabila diteliti, saya harus sedar saya ini di alam realiti, alam serba wujud, bukan fantasi dan khayalan yang boleh direka-reka. Tak semestinya manis hidup saya perlu bergantung pada kesamaan jalan cerita dalam novel-novel yang saya baca atau dalam cereka-cereka indah yang saya dengar dengan hidup yang saya lalui. Mungkin manisnya saya boleh cari sendiri dan acu berhati-hati supaya jadi lebih halus dan berseni. Bukankah yang itu lebih semulajadi? Namun yang pasti, jika ada persamaan, itu akan membuatkan manisnya berganda dan lebih terasa. Segar untuk diingati dan tak terasa yang diri ini bermimpi.

Meskipun begitu, bangkit dari mimpi dan angan-angan merupakan perkara yang wajib sekali.

---

NOTA KAKI:
[1]^Untuk membaca artikel yang menarik tentang Harry Potter yang ditulis oleh Saiful Islam, sila klik sini.

Entri ini ditulis hampir setahun lepas. Menceritakan tentang hujan dan musim sejuk untuk dibaca dan diingati rasanya pada musim panas. Ah, seronoknya hujan!

Labels: ,