<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d5937407827965732325', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Buku-Buku

Saya pulang ke tanah air dengan pelbagai niat di hati. Antaranya untuk menguruskan sesuatu yang telah lama saya ketinggalan.

Buku-buku.

Ianya adalah sesuatu yang telah lama saya rindukan. Kerana telah lama ia saya tinggalkan. Bukan dengan sengaja, tapi kerana suasana yang kurang menggalakkan.

Hidup di luar negara kadang-kadang menjadikan tangan dan kaki kita terikat. Ini kerana banyak apa yang diminati terpaksa kita selamattinggalkan. Ambil kes saya sebagai contoh. Buku-buku.

Selepas sampai ke Mesir, saya berubah menjadi seorang yang langsung boros dalam membeli buku-buku. Saya jarang memikirkan tentang harga buku yang akan dibeli jika telah jatuh minat saya padanya. Walaupun harganya memungkinkan saya makan Syibsi sehari sebungkus selama sebulan, saya tetap akan membelinya walaupun dengan membelinya saya akan mengalami krisis kewangan. Lebih-lebih lagi ketika Ma3rad. Ketika itu, jika ada yang gila pergi, nescaya badan yang berisi boleh jadi kurus tak berbunyi.

Namun, ketika itu meskipun banyak kitab yang diborong, belum pasti membacanya dapat menghasilkan seribu kepuasan. Faktor kerana, luar negara. Membeli buku di luar negara adalah sesuatu yang boleh berubah menjadi sesuatu yang menjengkelkan jika anda tidak ada kemahiran membaca. Mustahil buku ini adalah berbahasa Melayu (kecuali Indonesia). Buku-buku ini pasti sekali ditulis dalam bahasa ibunda negara berkenaan. Jika negara China, maka bahasa Cinalah ia. Jika negara Surinam, maka berbahasa Jermanlah ia.

Kerana itu, saya menipu jika saya katakan saya tidak rindu untuk membaca buku-buku berbahasa Melayu. Rindu yang sangat-sangat rindu. Ini kerana setiap kali membeli buku, maka buku itu pasti berbahasa Arab atau Inggeris.

Di Mesir, meskipun buku-buku berbahasa Melayu memang boleh juga didapati, namun jumlahnya amatlah kecil sekali. Boleh dikatakan selepas dua bulan ataupun setengah bulan, baru ada sebuah buku keluar. Itupun jika ada yang golongan yang sedang dalam kursus Master yang rajin menulis. Jika bukan tulisan, pasti terjemahan. Namun itu belum tentu dapat memuaskan semua pihak. Bagaimana dengan mereka yang lebih cenderung kepada cerita-cerita berbentuk Islami? Buku-buku begitu belum pasti dapat ditemui di sini.

Pernah sekali, ketika mahasiswa-mahasiswa baru tahun 2007 sampai ke Mesir, saya terjumpa dengan seorang dari mereka yang membawa penuh dalam tiga buah begnya buku-buku berbahasa Melayu. Ketika itu, saya teruja bukan main. Saya terus berangan-angan untuk mengisi masa lapang saya beberapa bulan ke hadapan dengan membaca buku-buku tersebut. Lebih mengujakan, buku-buku itu adalah yang baru diterbitkan. Ingin saja yang meminjamnya terlebih dahulu tanpa izin dan memintanya kemudian. Tambahan lagi, waktu itu, hanya saya seorang sahaja yang berkhalwat dengan segala isi beg-begnya. Saya melihat tajuk buku-buku itu satu demi satu. Saya telah meneliti mana yang sesuai dibaca terlebih dahulu. Namun selepas sedikit istighfar dan selepas merasakan seolah-olah perbuatan saya itu adalah kerja jahat, niat itu saya batalkan. Mujur saya tidak terlanjur, dan mujur juga buku-buku itu tidak ternoda. Meskipun begitu, saya sedikit kesal kerana setelah beberapa kali menziarahi rumah junior berkenaan, tak pernah saya melihat buku-buku itu dipamerkan untuk pembacaan. Jika dipamerkan, sekurang-kurangnya ada ruang untuk saya memintapinjam darinya. Mungkin beliau menyembunyikannya kerana beliau tahu buku-buku begitu payah untuk didapatkan di sini.

Dahulu, ketika lawatan Perdana Menteri ke Mesir, ada cadangan dari pihak pelajar agar dibina sebuah perpustakaan perdana bagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja menampilkan kitab-kitab berbahasa Arab bahkan juga buku-buku berbahasa Melayu yang didatangkan khas dari tanah air. Namun kesal sekali, cadangan itu akhirnya umpama tangisan bayi yang tiada berdodoi kerana apabila berita tentang lawatan beliau itu keluar di surat khabar, tiada sedikit pun komen tentang cadangan itu ditulis, bahkan cadangan dari pelajar perubatan untuk menambah wang poket mereka sahaja yang dicatatkan. Mungkin kerana pelajar yang memberi cadangan itu dianggap oleh mereka bakal menentang kerajaan agaknya.

Di mana-mana pun, rakyat Malaysia pasti menganggap mereka adalah lebih baik daripada rakyat Indonesia. Di Mesir pun begitu juga. Tetapi bila disebut tentang perpustakaan mereka di luar negara, kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya perlu malu membalut muka. Ini kerana rakyat Indonesia di sini sudah punya sebuah perpustakaan perdana sejak agak lama. Cuma kita sahaja yang tidak ketahuan. Kesal juga kerana saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana meskipun pernah diajak oleh mereka.

Kalaulah ada perpustakaan sedemikian dan dimiliki oleh rakyat Malaysia, pasti saya tidak akan sangat-sangat teruja apabila pulang ke Malaysia. Masakan tidak? Tiga tahun sudah saya tidak melihat pemandangan buku-buku berbahasa ibubonda tersusun rapi dan kemas di rak-rak yang berderet-deretan. Itulah yang sangat-sangat saya rindukan. Kalaulah saya terjumpa semula keadaan itu, saya lebih rela membaca sampai ketiduran bersama-sama mereka daripada tertidur hina kerana menonton Naruto.

Kerana itulah pada hari pertama kepulangan saya saja, saya sudah pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman untuk melampiaskan rindu saya pada mereka. Hampir RM200 telah saya habiskan pada hari berkenaan di kedai-kedai buku di situ. Hari ketiga pula saya tambah lagi kegilaan itu dengan RM100 wang terpijak yang diperoleh dari seorang saudara bau-bau bacang selepas solat Jumaat. Meskipun hal itu mengundang seribu nasihat dari ahli keluarga saya agar saya berjimat, saya tidak sedikit pun kesal. Yang pasti, dengan nasihat itu, saya akan beringat. Tambahan lagi apabila buku-buku berbahasa Melayu di Malaysia adalah super mahal. Ambil contoh, buku Aku Terima Nikahnya tulisan Ustaz Hasrizal berharga RM20.90 sedangkan majalah di Mesir yang setebal buku berkenaan hanya berharga Egyptian Pound 1.50. Sudahlah mata wang Ringgit Malaysia lebih besar dari Egyptian Pound.

Buku-buku yang banyak itu akan saya habiskan pembacaannya pada cuti kali ini. Saya tidak begitu berniat untuk kerja sambilan hatta walau menjadi guru sementara. Meskipun ketika solat di surau, ada pakcik yang menanyakan bukankah cuti tiga bulan saya itu tanpa sebarang pekerjaan bagaikan sedikit pembaziran. Bagi saya, tidak, kerana saya ada buku-buku untuk dibereskan. Lagipun jika saya bekerja, bagaimana dengan nasib buku-buku berkenaan. Lihat saja kawan saya yang pulang bercuti dari UK. Apabila saya ceritakan padanya bahawa saya hanya duduk di rumah membaca buku, beliau rupa-rupanya sedikit cemburu kerana cutinya yang singkat terpaksa dihabiskan ¾ daripadanya untuk latihan internship.

Buat kawan-kawan di Mesir, apabila saya kembali ke sana nanti, saya ada projek mega berkenaan buku-buku ini dengan anda semua. Buat pembaca-pembaca blog ini, rasanya sekarang pasti anda tahu kenapa telah agak lama tidak dipos sebarang entri. Cuma jangan risau, saya ada banyak idea untuk diceritakan dan bahan-bahan untuk diulaskan apabila telah tamat pembacaan saya ini.

Terima kasih kepada orang-orang kampung yang ada mengirim wang pada saya sehingga memungkinkan saya membeli buku-buku ini sejurus selepas saya sampai. Terima kasih kepada abang ipar yang juga ada menambah sedikit wang. Terima kasih pada semua yang membantu.

Alhamdulillah.

Labels: , ,

 
 

Senyuman Kapal Terbang


Saya sebenarnya kurang berminat untuk mengambil tahu tentang perbalahan di antara dua syarikat penerbangan nasional negara kita iaitu MAS dan Air Asia yang pernah jadi hangat baru-baru ini. Walaupun apabila kadang-kadang salah seorang rakan saya yang memang minat menonton berita Malaysia melalui web rasmi TV3 menyatakan lawan mulut antara kedua-duanya sering jadi pembuka berita di televisyen, saya tetap mengabaikan pembacaan berita tentangnya di suratkhabar online jika saya terjumpa. Apa yang saya tahu, saya amat simpati dengan nasib Air Asia apabila MAS cuba untuk menyaingi harga tambang murahnya sedangkan Air Asia hanya dibenarkan untuk membuat penerbangan domestik sahaja. Jika untuk ke Singapura saja Air Asia sudah tidak dibenarkan, maka tindakan menurunkan harga oleh MAS itu memang tidak berpatutan.

Tanpa ada niat untuk mendabik dada, sewaktu di penghujung zaman kanak-kanak dahulu saya adalah kanak-kanak yang paling awal melalui proses pencerahan minda berbanding kawan-kawan yang lain. Ketika itu, apabila rakan-rakan saya masih lagi jakon melihat kapal terbang yang melintas di udara, saya sudah merasa roti jala sambil bermain game susun batu bata dengan grafik yang agak membosankan di atas kapal terbang. Kerana itulah, apabila salah seorang rakan -yang ketika itu baru saling kenal-mengenali- mahu mempermainkan saya tentang fakta kapal terbang beberapa minit sebelum berlepas ke Mesir, saya dibela oleh kawan-kawan yang lain yang sudah ketahuan itu bukan kali pertama saya berterbangan.

Ramai orang suka melihat kapal terbang. Ia mampu terbang tinggi di angkasa meskipun beratnya tak mampu diangkat oleh manusia yang paling kuat di dunia. Sesuatu yang ajaib.

Bagi mereka yang belum pernah menaikinya, melihatnya saja pasti membuatkan mereka angan-angan untuk segera menaikinya meskipun hanya dengan kelas ekonomi. Bagi yang pernah pula, dengan melihatnya pasti akan terimbau kembali kenangan kali pertama menaikinya. Lain pula ceritanya dengan seorang pilot. Jika pilot itu jenis yang minat berlagak maka dengan mudah sekali dia akan mengatakan bahawa dia sudah naik muntah menaiki kapal terbang. Tapi lain pula dengan pilot yang melalui lorong-lorong orang sufi, pasti dengan melihat kapal terbang, dia akan sering kali bersyukur kerana cita-citanya telah tercapai dan sering kali pula akan menterjemahkan rasa bersyukurnya itu dengan membaca doa naik kenderaan setiap kali sebelum berlepas.

Sepanjang berada di Mesir, kekerapan saya ke lapangan terbang sudah lagi tidak boleh dikira dengan jari tangan dan kaki. Semuanya antara dua, samada untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan yang pulang atau menjemput mereka yang baru sampai dari Malaysia juga menjemput mereka yang baru kembali dari percutian ke negara lain. Jika perpisahan, maka kadang-kadang saya lihat banyak juga airmata yang bercucuran. Jika pertemuan semula, maka saya pernah melihat adegan tersebut dalam bentuk yang paling mengujakan.

Anak-anak dara pasti suka adegan tersebut.

Begini. Pernah sekali saya lihat seorang wanita Mesir yang keluar dari balai ketibaan disambut oleh anak-anak saudaranya lelaki dan perempuan seramai tujuh orang yang berlari-lari sambil setiap seorang dari mereka membawa sekuntum bunga. Bunga mawar yang merah pekat warnanya. Wanita Mesir itu mengambil satu persatu bunga-bunga tersebut serta memeluk dan mengucup ubun-ubun setiap dari mereka. Akhir sekali, wanita Mesir dihadiahkan sejambak bunga oleh seorang yang dewasa. Tak tertahan oleh beliau airmatanya sendiri. Indah sungguh waktu itu.

Di Cairo, setiap hari pasti saya akan melihat kapal terbang yang terbang rendah di langit, baik yang baru berlepas ataupun yang mahu mendarat. Itu sudah jadi perkara biasa bagi orang Malaysia di sini. Namun di NDC pula, jika kena pada musimnya, akan kedengaran bunyi dari langit yang kadang-kadang amat menakutkan. Jet-jet pejuang yang terbang tidak henti-henti. Ada seorang kawan pantas mengatakan itu adalah jet-jet pejuang Israel kerana bentuknya yang agak berlainan. Tapi bagi saya pula saya ada alasan yang relevan untuk tidak setuju dengan pendapatnya.

Tidak dinafikan melalui jalan laut, Damietta adalah provinsi Mesir ketiga yang paling rapat dengan Israel, tapi pertemuan saya dengan seorang lelaki Arab dari Jordan adalah fakta konkrit untuk sebuah penafian.

Kata lelaki Jordan berkenaan, beliau amat kesal dengan sikap asobiyyah bangsa Arab yang amat ketara. Beliau dahulu pernah berkhidmat dalam ketenteraan dan ditugaskan untuk sentiasa berada di sempadan. Kerja beliau tak lain dan tidak bukan adalah untuk menembak setiap jet pejuang yang melalui sempadan negaranya tidak kira samada jet pejuang tersebut datang dari Mesir, Lubnan, Syria ataupun Israel. Jika dari Israel, itu memang padanlah untuk dimusnahkan. Namun jika dari negara Arab yang lain turut sama dimusnahkan, itu baginya amatlah tidak termasuk dalam nilai-nilai kemanusian. Beliau amat kesal kerana beliau tidak pernah terfikir untuk menyelidik dahulu tentang latarbelakang pemandu jet pejuang yang pernah ditembaknya. Jika atas nama negara beliau tidak boleh bertolak ansur, maka biarkanlah beliau bertolak ansur atas nama agama, Islam. Dari kata-kata beliau, kelihatan sangat beliau mahu polisi sebegitu dapat dimansuhkan.

Kerana itulah jika jet-jet yang berterbangan di NDC itu adalah dari Israel, maka itu amatlah tidak memungkinkan. Berbeza dengan Malaysia, Mesir adalah sebuah negara yang mengiktiraf wujudnya negara haram Israel, sehinggakan dahulu Liga Arab pernah memulaukan Mesir atas sebab demikian. Namun sesuatu yang sekadar pengiktirafan sebegitu tidak memungkinkan Mesir membenarkan Israel masuk mudah ke sini. Pengiktirafan itu adalah kerana Mesir mahu memudahkan hubungan diplomasi dengan Isreal kerana mereka berdua adalah negara yang berjiran.

Di penghujung bulan Januari dahulu, Semenanjung Gaza pernah tenggelam dalam kegelapan kerana Israel memutuskan segala bekalan minyak, air dan apinya ke kawasan berkenaan. Keadaan yang berlarutan selama seminggu ini membuatkan rakyat Palestin menderita yang amat sangat kerana waktu itu seolah-olah menjadikan mereka tinggal di dalam sebuah negara penjara. Ditambah lagi apabila pintu keluar di sempadan samada ke Mesir ataupun ke Israel ditutup langsung. Kerajaan Hamas ketika itu dengan pantas meminta Mesir agar Mesir mengugut Israel dengan pelbagai serangan ketenteraan jika sekatan itu diteruskan.

Waktu itu, saya yang penuh sangka buruk dengan kerajaan Mesir sangat-sangat sedih melihat dan mendengar rayuan kerajaan Hamas di Al-Jazeera itu. Sangka saya Mesir tidak akan membuat demikian, sedangkan Israel pun diiktirafnya, mana mungkin untuknya mengugut Negara Zionis itu sedemikian rupa. Namun sangkaan saya silap. Mesir akhirnya mengambil tindakan juga, meskipun tindakan itu bukan mengugut.

Di waktu itu jugalah saya, yang dahulunya amat mengutuk pengiktirafan berkenaan, perasan bahawa rupa-rupanya pengiktirafan itu ada hikmah di sebalik. Siapa sangka Israel yang keras kepala akhirnya menghentikan sekatannya itu selepas mendapat teguran@pujukan@desakan dari Mesir. Bayangkan jika Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel memujuknya untuk berhenti. Adakah akan didengarnya? Tambahan lagi, Malaysialah yang sering mengutuknya. Mustahil.

Apapun sehingga kini di Mesir, saya masih lagi tercari-cari andai ada kanak-kanak yang menjerit-jerit memanggil kapal terbang turun. Dahulu pernah saya menelefon kakak saya di Malaysia dan beliau dengan teruja sekali mengatakan bahawa anak lelakinya waktu itu andai melihat kapal terbang saja pasti akan menjerit memanggil, “Pak Lang, turunlah! Syafiq nak ikut.” Cerita yang buatkan saya kadang-kadang rasa bersalah untuk duduk lama-lama di sini. Kerana untuk pengetahuan semua Pak Lang yang disebut-sebut Syafiq itu adalah seorang yang bernama Abqori.

Ah, biarlah! Cuma baru-baru ini ketika berada di Seksyen Tujuh, di Nasr City, saya perasan bahawa saya jadi teruja kembali apabila melihat kapal terbang. Lagi-lagi yang terbang rendah. Waktu itu, saya bukan sahaja sekadar senyum di dalam hati, bahkan senyuman itu jadi terukir sendiri di bibir ini. Risau saya andai orang Mesir yang melihat saya tersenyum kerana melihat kapal terbang itu akan menganggap saya telah jadi mereng. Bahaya.

Tetapi senyuman kerana melihat kapal terbang itu, kerana apakah agaknya ya? Entah! Saya sendiri belum benar-benar faham. Atau adakah mungkin saya hanya pura-pura tidak faham? Kalau begitu, nampaknya saya perlu kaji tentang diri sendiri. Susah juga kalau diri saya sendiri, saya sendiri tidak memahami. Anda ada jawapan?

Labels: , , ,