<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Jawapannya : Salah Israel

Ketika dalam perjalanan pulang dari Jordan tahun lepas, saya bertemu dengan seorang Kurdis di atas kapal. Beliau juga dalam perjalanan ke Mesir. Namun saya tidak lama berbicara dengannya dan selebihnya diserahkan kepada seorang kawan saya sehingga mereka berdua berborak sampai tak ingat dunia. Hampir sampai di Mesir, sahabat saya itu menceritakan apa yang berjaya dikoreknya dari orang Kurdis itu tadi. Mendengarnya membuatkan saya menyesal kerana tidak ikut bersembang lama-lama.

Rakan saya itu dapat mengikuti rintihan dan penderitaan yang dihadapi bangsa Kurdis. Sebuah bangsa yang dipecah-pecahkan. Tanah mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa kerajaan. Sebahagian kepada Turki. Sebahagian kepada Iran, kepada Iraq, dan selebihnya Syria. Jadilah mereka ini bangsa yang bagaikan tidak bertanah dan tidak punya kerajaan sendiri. Semuanya kesan daripada penjajahan. Kerana itulah apabila Amerika menyerang Iraq, dikatakan bahawa bangsa ini turut membantu negara itu ditawan pihak lawan. Faktornya, mereka mahukan kawasan autoriti tersendiri untuk membina sebuah kerajaan bangsa.

Mungkin sebab utama penjajah memecahkan mereka dan memastikan bangsa ini hidup derita adalah kerana mereka ini lahirnya dari sulbi panglima yang agung. Sallehuddin Al-Ayyubi. Panglima yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib suatu ketika dulu. Baru sebentar tadi saya menonton di Al-Jazeera tentang tunjuk perasaan di Turki yang digerakkan oleh bangsa ini. Yang mengasyikkan, mereka semua menjerit-jerit dengan bahasa asli mereka sendiri dan bukan dengan bahasa Turki, bahasa negara yang mereka duduki. Melihat situasi ini, saya jadi terbayang sesuatu. Iaitu jika ada protes berlaku dijalanan Thailand dan ianya dikelolakan oleh orang-orang Pattani adakah mereka akan protes dan menjerit dengan bahasa Siam? Atau adakah mereka akan menggunakan lahjah jawi, bahasa ibunda sendiri? Sebagaimana yang dilakukan oleh Kurdis Turki. Nampaknya hal ini kenalah tunggu bila penduduk Selatan Thai ini berdemonstrasi nanti.

Tunjuk perasaan sedang berlangsung di seluruh dunia sekarang, tapi saya tak dengar lagi ianya turut berlangsung di Pattani. Bahkan demonstrasi di Malaysia -ketika menulis entri ini- belum lagi keluar beritanya di TV, melainkan di Jakarta sahaja kelmarin. Di Mesir, ianya masih berterusan sehingga ke hari ini. Tetap mengharap agar Ma3bar Rafah dibuka.

Namun Husni Mubarak telah mengatakan tadi bahawa Ma3bar Rafah tidak akan selamanya dibuka. Katanya jika beliau mengisytiharkan pembukaannya, hal ini membawa lebih banyak bencana kerana ianya melanggar sebuah persepakatan yang termeterai pada tahun 2005. Entah betul entah tidak. Kata-katanya itu berat untuk saya percaya.

Tunjuk perasaan turut dilakukan di Amerika, bahkan di sana, Yahudi Ortodok turut menyertainya. Pelik juga pada mulanya. Namun Yahudi Ortodok memang tidak pernah sepakat dengan Zionis. Bahkan di dalam ucapan mereka tadi ada kenyataan bahawa Zionis adalah pemula angkara, bukan Islam dan bukan semangat keyahudian. Zionisma adalah pemula segalanya sejak dari dahulu lagi.

Hal ini buatkan saya mula menafikan segala yang sebelum ini terlintas di hati saya tentang siapa yang patut dipersalahkan apabila Israel mula menyerang Genting Gaza, Palestin. Setelah diteliti dan dikaji dengan penuh ......................


[Dapatkan buku ABQORI untuk membaca kesudahan tulisan ini. Anda boleh menempahnya menggunakan borang online ini. Pembelian, pembacaan, dan penyebaran anda, sangat saya hargai dan saya menganggapnya sebagai sokongan, dorongan dan dokongan anda kepada saya untuk terus lebih berkarya lagi.]

Labels: , , , , ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Wednesday, December 31, 2008
Jam 7:12 PM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     
     

    Musalsal Imtihan #4 : Orang Parsi

    Dahulu Abqori pernah kata Abqori ini jahat orangnya. Dan Abqori telah sedar atas kesilapan itu dan berazam untuk tidak lagi melakukannya. Bahkan Abqori pernah kata bahawa tidak akan lagi melakukan kesilapan yang sama, tak kira pada siapa-siapa. Samada pada orang Malaysia, orang Mesir atau juga pada orang-orang Parsi.

    Namun Abqori amat risau jika azam Abqori itu hanya tingal azam yang tidak dapat dikecapi. Sehinggalah pada suatu hari, Abqori diketemukan dengan orang Parsi. Orang Parsi yang tiba-tiba saja datang dan duduk bersebelahan Abqori.

    Ceritanya begini.

    Abqori pulang ke Malaysia baru-baru ini. Antara tempat yang paling banyak Abqori berulang-alik dan pergi adalah ke Sri Petaling. Kerana itu, Abqori banyak kali menaiki LRT. Dan terminal LRT dalam kisah ini adalah di Jalil Hill.

    Abqori membeli tiket dan terus tekun duduk menunggu tren LRT sambil mengunyah Corntos yang harganya hanya 30sen.[1] Sedang Abqori menguyah, seketul Corntos jatuh ke lantai. Abqori mengutipnya lalu membersihkannya kerana setahu Abqori hal yang demikian pernah dipesan oleh Nabi. Tanpa disedari, Abqori diperhatikan oleh sepasang suami isteri. Sepasang suami isteri yang kemudiannya tanpa segan silu datang dan duduk bersebelahan dengan Abqori.

    Disapanya si suami akan Abqori dengan salam. Abqori menjawab dengan sebaik-baik salam. Abqori tahu ini akan jadi permulaan untuk sebuah kalam yang amat panjang. Ditanyanya akan Abqori kemana mahu pergi selepas memperkenalkan dirinya dan juga diri si isteri. Amat mengejutkan Abqori kerana mereka berdua adalah orang-orang Parsi.

    Katanya dia menetap di Kanada dan tujuannya ke Malaysia kerana si isteri akan melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti di dalam negeri. Abqori amat teruja mendengar hal ini dan dengan tak semena-mena, kami akhirnya jadi berborak ke sana ke mari. Sehinggakan tak muat untuk Abqori kisahkan kesemuanya di sini.

    Ditanyanya di mana Abqori belajar. Jawab Abqori, Abqori belajar di Mesir. Katanya lagi, sudah pasti Abqori pandai berbahasa Arab. Abqori pun dengan pipi yang merah malu-malu menjawab, ya, memang Abqori reti. Bahkan Abqori siap beritahu kepada si orang Parsi lagi bahawa antara tujuan Abqori ke Jalil Hill adalah kerana menjadi penterjemah yang sebenarnya masih mubtada-i. Walhal sebenarnya, jika mengikut method yang dipelajari oleh Abqori daripada orang-orang yang pernah melalui lorong-lorong sufi, seelok-eloknya Abqori merahsiakan saja hal yang boleh mengundang perasaan bangga diri begini, contohnya seperti memberitahu dia tentang kemampuan Abqori ini. Namun mulut Abqori cabul dan Abqori kembali kecundang untuk entah ke berapa kali.

    Lantas, Abqori bertanya, adakah si orang Parsi juga turut pandai berbahasa Arab. Oh, jawabnya dia hanya sekadar pandai yang asas-asas sahaja. Itupun kerana dia ada menelaah Al-Quran. Dilampirkan di akhir kalamnya bahawa dia pandai lima bahasa yang lain darinya. Abqori diam saja mendengarnya sehinggalah dia berkata yang Abqori telah membuat pilihan yang tepat kerana memilih belajar di Mesir. Kerana Abqori belajar ilmu agama.

    Didoanya agar Abqori dapat menjadi orang yang alim. Hati Abqori terlintas untuk mengaminkannya. Namun, baru saja mahu keluar dari mulut Abqori perkataan Amin, tiba-tiba dia berkata, “Kalau boleh, jadilah alim seperti Khomeini”.

    Terkejut Abqori dan jadi terkebil-kebillah mata ini, hinggakan dengan tidak semena-mena bertukarlah perkataan “Amin” kepada ayat “I don’t want to be like him…. I don’t want to be like him”. Mulalah tergagap-gagap Abqori.

    Bukan apa! Tak mahu Abqori menjadi seperti Khomeini! Bukankah Khomeini itu Syiah? Kalau mahu jadi alim, biarlah jadi alim empat mazhab yang sufi. Tak mahulah jadi alim yang haraki serta tak mahu juga jadi alim yang wahabi. Terus tersekat Abqori untuk mengaminkan doanya tadi.

    Bila disebut tentang Parsi, Abqori jadi teringat bahawa Nabi punya sahabat yang juga merupakan orang Parsi. Salman Al-Farisi. Dan beliau R.A. adalah antara sahabat-sahabat Nabi yang paling Abqori gemari. Sebut saja nama beliau, hati Abqori sering mengelegak dan terasa ada angin sejuk turun dari atas ubun-ubun mengalir memenuhi dada Abqori. Rasa yang tenang sekali. Ianya bermula semenjak Abqori berada di Jordan lagi. Abqori tak tahu kenapa hal ini terjadi. Yang pasti, rasa itu amat Abqori sukai.

    Abqori ceritakan padanya tentang Salman Al-Farisi dan si orang Parsi itu mengaku dia tahu sangat tentang lelaki agung ini. Abqori pun apa lagi. Mulalah mahu menguji. Abqori berikan fakta bahawa Saidina Salman Al-Farisi adalah antara sahabat yang panjang umurnya. Abqori beritahu bahawa umur Salman Al-Farisi itu lebih daripada 310 tahun. Katanya dia juga tahu hal ini dan dia sedikit pun tidak terkejut. Kebanyakan orang-orang Malaysia sering saja terbeliak mata apabila Abqori ceritakan pada mereka hal ini. Cuma malangnya, si orang Parsi berkata dia kurang yakin akan fakta ini. Bahkan dia siap cakap lagi bahawa kata Nabi, umur umatnya adalah diantara lima puluh dan enam puluh tahun. Oh, kasihan sekali kerana dia kurang meyakini! Walhal bagi Abqori, inilah satu tanda kehebatan dan kekuasaan Ilahi.

    Tren LRT pun sampai. Kami menaikinya dan mereka berdua duduk di hadapan Abqori. Semua tempat duduk penuh dan ada dua tiga orang sahaja yang berdiri. Ingatkan perbualan kami akan terhenti, namun dia tetap belum mahu memutuskan koneksi. Dari kerusi hadapan, dia terus berbicara dengan Abqori dan jadilah kami bertiga sebagai tumpuan kepada orang-orang di dalam LRT kerana perbualan kami itu di dalam bahasa kaum yang pernah menjajah kita punya bumi. Namun Abqori endahkan sahaja mata-mata yang memerhati. Lagipun Abqori sudah biasa. Bukankah setiap hari ketika di Mesir, kulit cerah asiawi Abqori sering saja dijakuni orang-orang yang berkacukan Qibti?

    Katanya dia akan menunaikan haji tidak lama lagi. Juga dia akan ke Madinah untuk melawat Nabi. Abqori pun apa lagi. Mulalah mahu berlebih-lebih. Bukan apa, kerana Abqori rasa bahawa ini adalah kesempatan Abqori. Abqori pun pesankan kepadanya agar jangan lupa mengirim salam Abqori kepada Nabi. Jawabnya bisa saja dan Insya Allah dia akan menyampaikannya di sana nanti.

    Wah, mujur si orang Parsi bukan wahabi. Kalau tidak tak fasal-fasal jadi satu sejarah dalam hidup Abqori kerana dituduh sebagai ahli bidaah di dalam LRT.

    Cerita punya cerita, akhirnya sampailah sepasang orang Parsi ini ke tempat destinasi dan tangannya dihulurkan untuk menyalami Abqori. Abqori menyambutnya penuh akrab sekali. Dan dengan ucapan salam, sepasang orang Parsi ini berlalu pergi.

    Fuh, nampaknya azam Abqori telah berjaya untuk kali ini. Untuk berbuat baik sesama manusia termasuk orang-orang dari Parsi. Dan Alhamdulillah, Abqori tidak sedikit pun emosi, sepertimana yang berlaku semasa imtihan dan ketika pulang dari Zaqziq. Namun, berjaya untuk kali ini, tak menjamin keterusan keberjayaan untuk sesi-sesi kehidupan selepas ini. Abqori perlu terus pandai mengawal emosi kerana Abqori mahu terus hidup makmur di atas muka bumi.

    Lagipun kalau Abqori emosi, itu mengundang Abqori untuk melakukan hal-hal yang mencemari nama baik agama, bangsa dan diri. Cukuplah Abqori pernah emosi dengan pelajar Mesir dan pakcik di dalam Tremco. Tak mahu lagi Abqori terbawa-bawa dek perasaan dan buatkan orang lain bersedih hati.

    Cuma yang menyeronokkan, sebelum Abqori pulang ke Malaysia dahulu, Abqori telah kebetulan bertembung dengan pelajar Mesir yang di dalam dewan peperiksaan tempoh hari. Abqori telah memohon agar dimaafi dan kemudian kami telah berbual panjang sehinggakan apa yang berlaku di sekeliling pun tidak kami sedari. Yang menyedihkan pula, sehingga kini Abqori masih terbayang-bayang lambaian tangan yang kurang bermaya dari si pakcik. Harap-harap si pakcik itu ikhlaslah dalam memaafkan Abqori.

    Yang pasti, musim haji tahun ini telah tamat berakhir. Dan mungkin salam Abqori kepada Nabi yang Abqori titipkan melalui orang Parsi tadi juga telah selamat dilunasi.

    Namun sebenarnya, apa gunanya Abqori mengirim salam kepada Baginda Nabi sedangkan ketika Abqori duduk sendiri-sendiri, Abqori seringkali berat lidah untuk berselawat kepada penghulu segala nabi ini. Mungkin Abqori lupa yang terdapat kumpulan-kumpulan malaikat yang ditugaskan Tuhan untuk mencari orang-orang yang membaca selawat. Bahkan malaikat-malaikat ini setelah menemui orang yang berselawat, mereka akan terbang pula ke Raudhah untuk memberitahu Nabi bahawa si fulan bin si fulan ada membaca selawat mengharapkan syafaat.

    Atau mungkin Abqori juga lupa yang kalau Abqori berselawat kepada Nabi sekali, Allah akan berselawat kepada Abqori sepuluh kali. Kalau Abqori selawat dua kali, Allah akan selawat kepada Abqori dua puluh kali. Dan begitulah seterusnya sehingga ke infiniti. Nampaknya banyak sekali pahala yang diberi. Cuma Abqori saja yang suka melupai. Mungkin agaknya dunia dah banyak masuk ke dalam hati Abqori.

    Tapi ianya tetap tidak salahkan jika orang Parsi tadi menyampaikan salam Abqori? Bukankah para Nabi hidup di dalam kubur-kubur mereka?[2]

    Cuma, alamak, terlupalah pula untuk memesan kepada orang Parsi agar bertawassul sebanyak-banyaknya di Raudhah sana! Dan kalau boleh sebutlah sekali nama Abqori dalam tawasul-tawasul yang confirm sampai itu nanti hendaknya.

    Ah, memang terlupa! Sumpah tak sengaja!

    Allahumma solli ala sayyidina Muhammadin, wa ala alihi wa sohbihi wa barik wassallim.

    p/s : Untuk rekod, tidak ada sebarang Hikmat Mata Kucing Shrek atau Hikmat Mata Kucing Parsi digunakan sepanjang cerita ini.

    -------

    NOTA KAKI:

    [1]^Abqori pernah jumpa keropok Corntos ini dihanya sebuah kedai sahaja di Mesir. Dan pek yang berharga 30sen di Malaysia itu berharga 3 Pound Egyptian di sini. Mahal sungguh. Sebab itulah, kali pertama memakannya, Abqori memakannya di dalam sebuah bilik yang berkunci rapat dengan mangga konkrit sebesar buah epal dan menikmati dengan sepenuh hati-hati setiap ketulannya. Itupun selepas dua tahun tidak memakannya. Siapa sanggup untuk berkongsi. Kalau yang pek besar lagilah super mahal. 8 Pound Egytian. Nasib baik Abqori sudah pulang ke Malaysia baru-baru ini dan telah melantak keropok Corntos sepuas-puasnya. Tak lupa juga Abqori telah mentekedarah keropok Twisties, Super Ring, Vanilla Coke, Seven Up, Tempoyak dan juga Ikan Patin dengan sebanyak-banyaknya di sana. Sebab Abqori tahu, Abqori akan kembali merindui itu semua selepas kembali ke Mesir. Bahkan sekarang pun Abqori telah mula merinduinya.

    [2]^Hadith nabi “Innal anbiya-a ahya-un fi quburihim yusollun”. Mafhumnya, “Sesungguhnya para Nabi hidup di dalam kubur-kubur mereka sedang mereka bersolat”.

    Labels: , ,

    Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
    Tarikh : Saturday, December 20, 2008
    Jam 7:50 PM
    Komen :




      >>Sertai saya di Twitter<<
       
       

      I Am A Winter Bug

      (Recording -using an mp3-)
      Journal entry no 1.
      I woke up this morning and I felt more powerful than ever. Full or energy. So marvelous. It’s like that I can fly. It’s like that I can move things just by looking at it.
      Where from is this feeling comes? Why it comes in this middle of the winter? Why not before?
      And why should I care about it? I’m different right now. Special. Isn’t that absolutely fantastic? Ah, what is this feeling! I can’t really describe it. It is so amazing.
      Saya sukakan musim sejuk. Winter. Musim untuk saya duduk bersuka-suka. Kerana cuacanya yang mendamaikan. Berpakaian tebal-tebal. Dengan mafla-mafla membalut leher yang menawan. Terasa seperti di Eropah. Walaupun sebenarnya saya hanya duduk bersempadan.

      Namun sukanya saya pada winter tidak sama seperti cintanya Saidina Umar terhadap winter. Beliau R.A sukakan winter kerana malamnya yang panjang dan itu bagaikan satu semangat untuknya terus berdiri sepanjang malam. Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah lebam ketiduran disebabkan hari masih belum-belum siang. Lemahnya iman.

      Orang Inggeris suka sebut tentang cuaca. Tak percaya. Tengok karya Sonnet 18 milik Shakespeare.

      “When two Englishmen meet, their first talk is of the weather.”
      Dan kerana Shakespeare orang Inggeris, sajak terkenalnya pun ada kaitan dengan cuaca. Tapi saya pula, yang bukan orang Inggeris, kenapa suka juga sebut tentang cuaca? Makanya, itu bermakna, cuaca juga banyak mempengaruhi hidup saya.

      Bukankah dulu saya selalu sebut tentang summer, kali ini biarkan saya sibuk pula tentang winter.

      Tapi bukan semua orang sukakan winter. Kerana winter mengubah mereka, mentransformasi mereka, menukarkan mereka kepada pepijat, bahkan membunuh mereka. Sejuk. Beku. Kejang. Itu kalimah-kalimah yang biasa saya dengar ketika winter.
      (Recording-using an mp3-)
      Journal entry no 2.
      Something has just happened to me.
      (coughs)
      The feeling that I felt yesterday has gone away. And now an headache is torturing my head. It’s not just a simple headache.
      (coughings)
      Full of pain.
      It’s like that it tries to stop me from thinking, about anything.
      Argh, it’s coming again! And the freezing cold wheather outside is adding more insult to this injuries.
      (groans)
      I best should just lay and rest.
      Saya dapat berita bahawa sahabat baik saya di UK seminggu tidak bangun kerana winter menderanya. Loya-loya. Muntah-muntah di tengah malam, tidak keluar bilik dan pelbagai lagi yang sewaktu dengannya. Kasihan dia. Namun kini, dia telah sihat semula dan telah kembali aktif untuk online di sini sana. Hinggalah pada suatu hari, selepas sesi sakitnya, kami kembali bertegur sapa.

      Cuma yang jadi pelik, katanya dia telah bertranformasi menjadi manusia semula. Kerana sebelum ini dia telah menjadi pepijat winter. Winter bug. Namun, saya pedulikan saja katanya. Hinggalah kini saya pula yang mengalaminya. Proses transformasi itu sedang melanda saya.

      Saya dapat rasakan kadar imunisasi badan saya mula menurun. Saya cepat jadi lemah. Terutama di waktu malam. Bila bangun pagi, saya sering sakit kepala. Tiap-tiap hari. Juga loya-loya di kebanyakan waktu (hey, saya lelakilah. Lelaki mana mengandung. Janganlah tanya dah berapa bulan pula!). Cuma setakat ini saya belum lagi muntah yang serius.

      Cuma yang pelik, hal ini belum pernah terjadi pada winters sebelum ini. Adakah saya telah dijangkiti? Oleh virus yang pernah menjangkiti sahabat baik saya di UK tadi. Tapi, bolehkah ia berjangkit melalui YM yang saya gunakan setiap hari?
      (Recording -using an mp3-)
      Journal entry no 3.
      What’s happening to me? I am transforming into something.
      (breathing hard)

      For a week I have been lying on this bed. I feel so weak. Even to move my tounge to record this, I barely can do it.
      (breathing hard)

      Are the rumors true? About someone is turning into a winter bug. Am I what they meant?
      (vomiting)
      Weks! Uweks!

      I’ve been vomiting countless for today.
      But, this vomit, this time, it’s different.
      (cough)
      I am transforming into something. And I fear… I fear what I’m becoming.
      Sebenarnya kesejukan winter kali ini masih sangat biasa bagi saya. Kerana ini kali ke empat saya merasainya. Bahkan saya pernah merasakan yang lebih sejuk daripadanya.

      Ketika ke Sinai.

      Waktu itu saya dibaluti tiga helai baju sejuk yang tebal dan sleeping bed yang amat-amat mahal.[1] Namun kesejukan dahsyat itu tidak mengubah saya menjadi winter bug. Bahkan saya tetap terus dipilih oleh Tuhan untuk dapat sampai ke puncak.[2]


      Saya juga pernah merasa berjalan di tengah-tengah malam, di tengah-tengah musim sejuk, dan di tengah-tengah kabut tebal yang menutupi seluruh pandangan sehingga tangan sendiri pun kabur-kabur untuk dilihat.[3] Tapi waktu itu saya tetap boleh juga bertahan. Tapi kenapa untuk winter yang baru perlahan-lahan menyejukkan ini, telah membuatkan saya kekalahan. Bahkan mahu menukarkan saya kepada winter bug. Oh, mungkin saya tidak ambil berat tentang kesihatan. Saya masih bersiram lama-lama walaupun ada orang Malaysia di sini yang tak mandi berminggu-minggu kerana fobia dengan kesejukan. Adakah benar saya masih sedemikian? Dan dapatkah tranformasi ini dihentikan?
      (Recording -using an mp3-)
      Journal entry no 4.
      I’m fully transformed right know. Into a winter bug. Into a monster.
      (knocks on the door)
      My friends keep knocking on my door. For more than a week they didn’t see me. And now they wanted to see me. But how can I face them? Can they still accept me after knowing that I have turned into this.

      I wanted to scream in order for them to just go away. But my voice, it’s no longer the same voice. I’ve changed.
      (breathing hard)

      Can I still be helped? Am I going to be like this forever? Questions that left unanswered.
      Kerana itu langkah segera perlu diambil agar saya tidak terus menjadi ulat. Ubat-ubat perlu saya telan. Komputer dan laptop bahkan handphone perlu saya jauhkan (bahan-bahan elektronik ini boleh melemahkan daya tahan badan). Agar saya dapat pulih untuk beraya pada hari keesokan. Saya tak mahu ketika takbir raya dilaungkan, saya di rumah masih kegeringan. Tidak! Itu adalah perkara paling terakhir saya mahukan selagi masih di perantauan.

      Udahlah beraya berseorangan. Tanpa keluarga. Jangan!

      Namun, andai saya sembuh, saya tahu ada orang lain yang akan menjadi mangsa korban. Kerana ia berjangkit. Bertukar orang. Mencari hos yang berlainan. Mencari perumah untuk ia meneruskan kehidupan. Kerana ia hidup berpindah randah.

      Mungkin anda yang seterusnya.

      Percayalah. Sebagaimana ia boleh dibawa masuk ke Mesir dari UK, ia juga boleh dibawa masuk ke Malaysia dari Mesir. Sebagaimana ia boleh berjangkit melalui YM, maka ia juga boleh berjangkit melalui blog yang dibaca di hadapan. Saya tidak tahu siapa pula yang akan jadi pilihan. Namun jika ia hilang dari saya, maka pagi esok dapatlah saya beraya sakan. Dan minta maaflah jika anda yang terkena jangkitan. Tapi doakanlah saya terlebih dahulu, agar saya boleh bangun berjalan. Dan ketahuilah, winter bugs memang melebamkan!
      (Recording -using an mp3-)
      Journal entry no 5.
      It’s a miracle. Complete remission. All effects of the winter have dissappeared. I’m no longer a winter bug. I’m back to normal. The virus, the infection, have gone away. Without any adverse reaction.
      It’s unbelievable.
      This virus that once had haunted me, has gone away. It’s has left me, and now, after me, maybe, you are the one who it afters?
      So be careful of the winter!
      Selamat Hari Raya Semua. Maaf Zahir Dan Batin.

      ---------

      NOTA KAKI:
      [1]^Untuk dapatkan kualiti ketebalan yang tinggi, kenalah beli yang mahal.
      [2]^Meskipun dipimpin oleh housemate untuk sampai ke atas.
      [3]^Fenomena ini pernah berlaku sekali saja selama 4 kali saya merasakan winter di Egypt.

      Labels: , , ,

      Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
      Tarikh : Sunday, December 7, 2008
      Jam 4:15 PM
      Komen :




        >>Sertai saya di Twitter<<