<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Saya Tidak Akan Takwil

Malam tadi saya bermimpi. Ular masuk dalam mimpi. Jadi takut sangat. Sebab binatang itu memang amat mengerikan.

Bagi seorang anak dara, jika mereka bermimpi terjumpa ular, atau disampuk ular, mimpi itu kadang-kadang jadi berita baik untuk mereka. Kerana bagi mereka, itulah mimpi yang mereka paling ahli tentang tafsirnya. Mimpi yang buatkan mereka berdebar-debar tak ingat dunia. Sebab takwilnya, ada orang yang akan meminang mereka. Lalu mereka akan jadi berangan-angan, siapakah dia bakalnya putera. Yang akan jadi nakhoda untuk bahtera hidupnya. Yang akan datang pada hujung minggu. Membawa rombongan dengan dulang dihiasi bunga-bunga. Hinggakan si anak dara ini lupa akan ular dalam mimpinya. Yang merupakan seekor binatang berbisa yang amat sekali ngerinya.

Sungguh saya takut akan ular, sejak kecil lagi. Kerana itu, kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi mimpi malam tadi. Namun biarlah saya kisahkan mimpi itu dulu. Mimpinya begini.

Saya masuk ke rumah mak saudara saya di kampung. Rumah papan. Saya masuk dari pintu hadapan. Bila masuk, saya dapati ada berbelas ekor ular di atas lantai. Panjang. Pendek. Besar. Kecil. Semua ada. Saya jadi takut sangat. Saya dengar ada orang di dapur. Saya tak ingat siapa. Tapi saya mahu pergi padanya. Namun untuk sampai padanya, saya perlu melalui ular-ular ini semua. Akhirnya, saya meneruskan jua langkah saya. Untuk sampai padanya. Rasa amat takut, namun mujurlah ular-ular ini dalam keadaan yang malas sangat.

Apabila sampai di dapur, saya terpaksa patah ke depan semula. Ada orang datang, mengetuk di pintu hadapan. Saya melalui jalan tadi semula. Terpaksa. Dengan rasa takut seperti mula-mula. Pintu dibuka, dan ada kawan saya dari suku Jawa. Saya ceritakan padanya. Ada ular-ular di dalam. Dia masuk, lalu dengan selamba mengangkat ular-ular itu seekor demi seekor dan mencampaknya ke luar tingkap. Dia buatkan saya jadi berkata, “Beraninya dia”.

Saya jenis orang yang minat tentang ilmu tafsir mimpi. Pernah sekali, saya mengalami satu mimpi di bulan puasa. Ketika itu saya berada di Rumah Pahang di Cairo. Mimpi yang buatkan saya ingin tahu sekali takwilnya. Lalu, habislah semua Rumah Pahang saya geledah. Untuk saya cari kitab tafsir mimpi tulisan Ibnu Sirrin. Saya tahu ia ada di sebuah rumah. Tetapi saya segan untuk masuk ke situ.

Akhirnya, cari punya cari, saya ketahuan kitab itu ada di sebuah rumah yang lain. Kepunyaan seorang ustaz yang sedang sibuk membuat tesis Masternya. Saya tanyakan padanya adakah bisa untuk saya meminjamnya. Katanya, boleh saja. Tetapi harus di cari di sebalik rak-rak yang bertindan-tindan. Kerana kitab-kitabnya banyak sekali dan biliknya pula amat sempit. Lagipun, dia ketika itu sedang menulis tesis Master, jadi kitab-kitab untuk tulisannya sahaja yang diutamakan dan diletakkan di rak-rak bahagian hadapan. Saya gagal untuk mencapai kitab itu.

Kerana itu saya berazam bahawa malam itu selepas kelas Syeikh Nuruddin saya akan ke kedai buku Darussalam untuk membelinya. Dengan kepenatan yang amat dek kelas yang panjang, saya tetap pergi ke sana. Sehinggalah saya berhasil merealisasikan hajat saya. Saya mendapatkan kitab yang amat berharga. Bahkan kitab itu dicemburui oleh kebanyakan kawan-kawan saya. Memang niat asalnya mencari kitab tafsir mimpi Ibnu Sirrin, tetapi kerana nasib agak baik saya mendapat sebuah kitab yang umpama sebuah kompilasi kitab-kitab tafsir mimpi.



Tiga buah buku tafsir mimpi digabungkan dalam sebuah kitab. Naskhah terakhir pula itu. Saya pulang gembira, dan terus mencari tafsir bagi mimpi saya.

Namun, mimpi ular saya malam tadi, tidak akan sekali-kali saya mentafsirnya. Bukan kerana takut akan ada orang yang datang meminang, -Hei, saya ini lelakilah, dan anak-anak dara pula bukan jadi tugas mereka untuk melamar saya- tapi saya tidak akan mentafsirnya kerana mimpi itu berpijak di atas asas yang nyata.

Apa maksud mimpi itu berpijak di atas asas yang nyata?

Selepas maghrib malam semalam, saya dan teman-teman serumah, masing-masing bercerita tentang kenangan-kenangan di Malaysia. Namun kebanyakannya berkisar tentang binatang berbisa. Terutamanya ular. Hiwar kami bagaikan bertajuk, ‘Apakah Kesan Ular Dalam Kehidupan Kanak-kanak Anda?’. Saya masih ingat lagi, kami berkali-kali mengeletar geli-geleman apabila mengingat binatang berbisa itu. Eii, Sekarang pun saya masih mengeletar geli-geleman lagi!

Hinggalah apabila sampai waktu tidur, saya teringat katanya tentang ketinggian ular apabila ‘panggung’[1]. Katanya boleh dilihat di Youtube. Tetapi video itu bukan hanya menunjukkan kehebatan ular ketika ‘panggung’, bahkan video ini adalah tentang besarnya saiz ular tersebut. Lalu kerana saya yang mahu menonton, jadilah kami menonton video pendek di bawah sebelum masing-masing beradu.



Akhirnya, saya jadi menyesal yang amat kerana menontonnya. Bukan apa? Kerana teringatkan azab.

Bukankah ular itu akan jadi pengazab? Bukankah ular itu adalah bahan azab yang Tuhan gunakan untuk mengazab manusia? Tahu tidak apa itu Suja3ul Aqrab? Itulah ular yang maha dahsyat yang akan mengazab manusia. Tahu tidak tentang ciri-cirinya? Eii, takutnya saya untuk mencerita!

Bercerita tentang azab, maka tiada siapa yang akan suka. Masing-masing rasa tidak selesa, ngeri dan kalau boleh tukarlah cerita. Begitu juga bercerita tentang mati, masing-masing rasa mahu lari, kerana hidup ini belum puas lagi dan dosa pun belum ditaubatnya lagi. Namun sedarkah manusia, bahawa mengingati mati itu menghidupkan hati?

Dan saya juga kalau boleh tidak mahu menyebut tentang hal ini, kerana jiwa ini bukan jiwa yang suci. Sebutlah pada saya tentang mati, nescaya kepala ini akan digaru berkali-kali. Itulah tandanya banyak dosa. Berbeza dengan para wali. Disebut tentang mati, ada antara mereka yang mahu untuk segera menghadapi. Kerana jiwa mereka tenang, dan telah tahu apa ganjaran yang akan diberi. Hinggakan ada antara mereka yang mengatakan,

“Janganlah disedekahkan Al-Fatihah padaku, kerana telah cukup amalanku.”

Tetapi kita, jika tahu akan mati, maka ketika itu pasti akan melobi agar disedekahkan orang pada roh sendiri ayat-ayat suci. Ambil saja saya sebagai contoh. Andainya saya tahu seminggu lagi saya akan mati, maka blog ini pasti akan tertera entri terakhir yang berbunyi, ‘Jangan Lupa Menyedekahkan Al-Fatihah Buat Penulis Blog ini’ badalan min[2] ‘Jangan Lupa Melanggan Blog ini’.

Tetapi, walau bagaimanapun, mati dan azab itu tetap harus dingati, agar manusia ingat tujuan utama hidup di bumi. Biarlah teruk sakitnya, ngeri seksaannya. Ia tetap perlu diingat jua. Kerana hati itu mudah leka. Kerana hati itu berbolak-balik. Kerana hati itu Qalb. Dan tidaklah dinamakan hati itu Qalb melainkan kerana Taqolubihi[3]. Dan kerana Qalb itu milik manusia. Dan kerana manusia itu mudah lupa. Kerana manusia itu Insan. Dan tidaklah manusia itu dinamakan Insan melainkan kerana Nisyanihi[4].

Cuma sungguh saya mahu jadi orang yang selalu ingat mati. Tapi, saya tidak mahu ketika mengingatinya ada perasaan takut dan tidak selesa sebegini. Kalau boleh, biarlah ketika ingatkan mati, saya merasa perasaan yang di rasakan para wali. Perasaan yang menyebabkan mereka mengatakan begini,

“Kalaulah Sultan-sultan mengetahui apa yang kami rasa, nescaya mereka akan memerangi kami dengan pedang-pedang mereka untuk mendapatkannya”.

Tapi mampukah saya? Oh, amat tinggi maqam itu!

Dan pula, sebab saya tidak mahu mentafsir mimpi saya adalah kerana mimpi-mimpi itu ada banyak puncanya. Dan punca mimpi saya adalah perjalananan hidup saya sepanjang hari itu yang banyak berkisar tentang ular. Dari borak-borak dengan teman-teman serumah terus ke tontonan video pendek. Hinggalah akhirnya, ia terbawa-bawa ke dalam mimpi. Itulah maksud saya apabila saya kata mimpi saya itu ada asas yang nyata. Perjalanan kehidupan seharian itu yang menyebabkannya.

Hai, mujurlah, di Mesir ini -selain kawasan padang pasir- tidak ada ular.

Tetapi, pelik juga. Sebab sebelum menonton video pendek tentang ular itu, saya ada juga menonton sebuah video di Youtube, video rakaman Buletin Utama tentang Sufiah Yusof di TV3, tapi kenapa Sufiah Yusof tidak muncul dalam mimpi saya. Fuh, nasib baik tidak muncul. Kalau tidak ……?

Ha, gelak, suka!

Biasalah, bercerita tentang dunia, mana ada orang yang tidak suka. Tapi, bila sebut tentang mati masing-masing nak paling muka.

Masih belum melanggan blog ini? Klik sini untuk melanggan. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

----

NOTA KAKI:
[1]^Ular berdiri.
[2]^Instead of, sebagai ganti daripada.
[3]^Keberbolak-balikannya.
[4]^Kelupaannya.

Labels: , ,

 

for this post

Mula Mengomen