<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d5937407827965732325', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Permulaan Musim Panas

Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.


Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.

Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan [2]. Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka, “Alangkah nikmatnya jus delima ini”. Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.

“Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”

Lalu jawab si penjaga, “Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya. Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

“Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas harta yang dilarang dimiliki olehnya. Atau mungkin ada fakir miskin yang dicemuh dan diperkosa hak mereka olehnya. Atau mungkin dia mengungkit bakti yang pernah dicurah dahulu dengan kemuliaan, pada orang jelata. Hinggakan Tuhan jadi sangat murka padanya. Lalu diazablah Tuhan seluruh hak milik kerajaaannya. Dengan Tuhan tarik segala keberkatan yang ada pada langit dan bumi kerajaannya. Sehingga tidak tinggal satu berkat pun melainkan telah ditarik jua.

“Dan tuan hamba, kita rasa mungkin kerana itulah jus yang kedua teramatlah pahit rasanya. Berbeza dengan yang pertama meskipun kedua-dua datang dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama dan di sebalik daun yang sama. Meskipun kedua-dua diperah dengan cara yang sama. Kerana rasa kita, telah berubahnya hati si raja.”

Mendengar jawapan penjaga kebun, bergetarlah hati si raja. Ketar-ketirlah seluruh kaki hingga ke lututnya. Mula berpeluhlah tapak tangannya. Dan tidaklah disapu tangannya yang berpeluh itu melainkan bertemu dengan keringat takut di mukanya. Terasa bagai dihempap dengan batu yang berat. Hingga tertunduklah dia, kerana takut dan malu yang amat sangat. Kerana sebenarnya raja ini terbaiklah amat. Cuma dek kerana terlintas di hatinya kejahatan dan dek kerana penarikan rahmat itu amatlah cepat. Lalu dia jadi kebingungan dan pening memikirkan. Masakan firasat orang di tengah hutan ini bisa sama dengan isi hatinya, sedangkan tidak bertahu olehnya bahawa dia adalah raja. Namun, ilmu dalam dada si raja membuatkan dia percaya. Hingga teringat raja kata penasihat agamanya yang menaqalkan sabda Baginda :

“Takutlah kalian pada firasat seorang yang beriman. Maka sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dengan cahaya Allah”.

Hingga bertambah kecutlah hati raja. Dan kecut ini bukan calang-calang. Hinggakan air mata jadi berlinang. Buatkan penjaga jadi bingung dan pelik seribu gaya. Mahu saja ditanya kenapa tapi ditahannya saja. Kerana dia dan raja baru berjumpa, dikenalnya pun baru sekerat mana. Tapi bagi raja, hatinya mula mengucap istighfar. Berulang-ulang hingga terbit secara ikhlas pada mulutnya. Ingin saja dia menyalahkan dirinya. Dan memang itulah yang diperbuat olehnya, dan disegerakan taubat dalam atmanya. Diperbetulkan segala niatnya. Untuk tidak merampas kebun delima larangan. Kerana kebun itu milik orang. Bukannya tidak bertuan. Dan tidaklah dibuat begitu melainkan agar datang kembali rahmat. Dilimpah semula yang berkat-berkat. Aman makmur seluruh jagat. Diazamnya sekuat-kuat, untuk tidak mengulang buat. Dan mintanya pada Tuhan agar diberikan alamat. Petanda menunjukkan dosanya telah diangkat, dan tidak sia-sia dia berbuat taubat. Hinggalah akhirnya, setelah datang keyakinan, si raja mengangkat muka, memandang tepat pada penjaga. Terus ke dalam matanya. Seolah-olah ada yang mahu dipinta. Hingga akhirnya penjaga dapat membaca dengan jelas, tanpa was-was. Menangkap maksud mata si raja.

Lalu berangkatlah penjaga, memetik semula buah delima. Sekali lagi dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama, dan disebalik dedaun yang sama. Diperah dengan cara yang sama dan dibawa kepada si raja. Dan si raja pula tika dihidangkan, penuh perasaan mengharapkan tanda bahawa taubat diterima, dan dengan nama Tuhan menghirup semula. Tapi kali ini, rasanya berbeza dari rasa kedua bahkan berbeza dari rasa pertama. Kerana rasa yang ini lebih manis darinya, bahkan terlalu ekstra manisnya dan super pekat dari yang mulanya. Hinggakan si raja bagaikan tidak mampu percaya. Dan membuatkan dia ingin bertanya lagi kepada penjaga, kenapa jadi begini. Kerana raja percaya bahawa firasat penjaga itu firasat mukmin soleh yang benar, bisa dipegangi.

“Wahai penjaga yang budiman, sesungguhnya hamba ini amatlah takjub sekali. Dalam hati ini, penuhlah persoalan sekali. Bertubi-tubi menekan mengharap jawapan. Kerana rasa buah ini pelik sekali. Berubah-ubah. Bertukar-tukar. Dan kini ia berubah lagi. Menjadi manis tiada berperi. Lebih manis dari yang pertama tadi. Tahukah dikau kenapa ia jadi begini, wahai tuan empunya firasat yang benar sekali?

Berkatalah penjaga, “Sungguh untuk ini tiadalah juga bagi kita jawapan yang sempurna. Hatta untuk meneka pun, belum tentu kan kena. Cuma ada firasat yang hampir sama saja. Bahawa raja telah suci kembali hatinya. Bersih dari segala noda yang datang mencelaka. Telah dibetulkan niat dihatinya. Bahawa tidak mahulah si raja membuat aniaya. Merampas harta rakyat jelata. Kerana harta itu haram baginya. Dan telah bertaubat nasuhalah dia. Bahkan Tuhan telah menerima taubatnya. Hinggakan rahmat dan berkat dilimpahkan semula. Bahkan dilimpah berganda-ganda. Lebih banyak dari sebelumnya. Hingga jika mampu dilihat dengan mata rahmat itu pada turunnya. Nescaya terlihatlah ia melimpah ruah hingga tempias ke negeri-negeri jirannya. Dan jika ada kawasan yang kering kontang seribu tahun, maka kawasan itu kan berair semula. Sungai yang tercemar kan bersih kembali. Binatang yang mandul pun bisa beranak seribu sehari. Dan bergembiralah tuan hamba kerana raja kita itu telah berubah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya raja yang mudah sedar dengan kesalahan sebegini, terdiri dari zuriat yang baik-baik. Anak orang-orang yang bertaqwa. Dan andainya raja ini terus sedar, nescaya kita percaya bahawa kerajaan yang diperintahnya akan terus dinaungi rahmat. Mendapat berkat, yang bisa memenuhi langit dan bumi negerinya.

“Dan kerana itulah, jus delima yang ketiga ini lain sekali rasanya. Lebih elok rasa dari yang yang kedua, bahkan lebih manis dari yang pertama. Dan tidaklah itu berlaku melainkan kerana kejahatan telah musnah, nikmat telah ditambah dan taubat telah diterima. Bergembiralah, kerana dari firasat kita air matamu itu amat berharga. Tetapi tak tahu juga kita, kerana meskipun air mata tuan hamba telah perginya, senyum tawa tuan hamba itu seolah-olah ada nilai yang sama. Moga firasat kita ini ada betulnya.”

Lalu jadi puaslah hati si raja. Kerana mendengar jawapan penuh geliga. Tiadalah lagi syak dalam hatinya. Bahawa taubatnya telah diterima. Maka terbitlah kembali mentari hatinya. Hilang serta merta rasa duka. Bahkan bertambah-tambah sukacita, beramian perasaannya. Hingga tiadalah yang paling gembira pada zaman dan waktunya, melainkan dialah orangnya. Langsung dipeluknya penjaga kebun. Mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kerana memberi pengajaran yang tidak ternilai. Hingga berazamlah dia untuk terus adil dalam menjalankan urusan. Baik kenegaraan ataupun kerakyatan. Agar terus turun rahmat Tuhan. Dan agar kekal rahmat itu sepanjang zaman.

Dipecut kudanya sepantas mungkin. Dalam gembira, menyusur kembali, mencari jalan pulang. Meskipun tidak tahu arah sebenar kerana asalnya sesat, tetap saja dipecutnya. Semuanya kerana yakin dengan rahmat yang telah dilimpah ruah Tuhan. Dan kerana itu juga dia yakin akan ketemu semula hulubalang- hulubalangnya. Si raja terasa angin yang bertembung laju dengan mukanya, amat segar sekali. Lalu angin itu mengusap rambutnya, amat seronok sekali. Lalu angin itu turun menyapu telinganya, amat tenang sekali. Dia menunggang dengan pantas. Amat pantas. Dan angin yang segar tak henti-henti membelai. Rasa yang menyeronokkan. Menyegarkan. Menambah kekuatan. Menghilangkan keserabutan. Segar sekali.

Hai, andainya mampu merasa lagi perasaan itu di musim panas ini, alangkah indahnya.
Bagi saya pula, Molto itu saya makan begitu saja, meskipun pelik kerana telah kurang isinya. Cuma tadi langsung tidak terfikir untuk bertanya tuan kedai kenapa tiga hari lepas Molto itu lima ketulan dalamnya. Dan hari ini pula telah kurang se. Sedangkan Molto yang dulu saya tetap beli dari syarikat yang sama, yang berbeza hanya kedai dan waktunya. Tapi jika benar kurangnya se kerana ditarik rahmat padanya, perbezaan kedai dan waktu membelinya itu tidak akan dikira. Cuma yang jadi terfikir, adakah jika saya bertanya, jawapannya adalah sama dengan jawapan penjaga. Namun rasanya tak mungkin sama, kerana saya bukan raja. Kerana hati saya dan hati raja tidaklah sama. Tentang bersih kotornya, dan juga terang gelapnya. Tetapi bagaimana jika tiba-tiba jawapan yang diberikan sama. Rugi rasanya tidak mencuba. Biarlah. Cuma harapnya selepas ini akan jadi lima kembali ketulannya. Atau kalau lebih nikmat dan berkat yang diturunkan semula, biarlah bertambah-tambah jumlahnya. Bayangkan jika selepas ini Molto itu ada sepuluh ketulan roti di dalamnya. Adakah mungkin?

Hai hati yang kotor, jadi bersihlah!

Cuma akhiir-akhir ini jadi kasihan mendengar rintihan Emak di Malaysia yang menceritakan makanan kegemaran beliau juga ditimpa nasib yang sama. Kalau dahulu satu ringgit untuk tiga buku roti paun, kini dua ringgit baru boleh untuk memperolehi ketiga-tiga bukunya.

Hai hati yang jahat, bertaubatlah!

Bulan lepas beras yang dibeli masih lagi 57 pound, kini telah 70 pound naiknya. Udahlah banyak bubuk dan teruk sekali kualitinya. Entah berapa kali diadu tetap belum ada langkah yang dibuat.[3]

Hai hati yang dibisik iblis, tangkislah!

Emak kata kakak-kakak yang tinggal di kota kini sudah jarang pulang. Namun Emak tak sedikit pun marah, bahkan Emak amat faham. Sangat-sangat faham. Kerana kakak-kakak juga faham. Bahkan telah menceritakan pada Emak agar Emak jadi faham. Tol, minyak, semuanya buatkan buatkan semua orang mula faham.

Hai hati yang mahu senang, fahamlah!

Melihat orang yang membeli isy mengerutkan kening hingga bertemu kedua-duanya buatkan kita rasa ada bala menimpa. Ini berlaku buat kali pertama. "Wahid binus sigenih! Mus ma3ul, ya 3amm!"[4] Tapi itulah realitinya. Adakah mata yang melihat hanya mampu bersedih saja?

Hai hati yang keras, lembutlah!

---

NOTA KAKI:
[1]^Mafhum daripada Surah Al-Quran.
[2]^Teruskan membaca dan anda akan faham kenapa saya mengatakan ianya kebun larangan.
[3]^Harga beras terkini untuk beras yang datang dari Filiphina ialah 90 Pound.
[4]^"Sekeping roti dengan harga setengah Pound. Tak masuk aqal, wahai sahabatku!"

Ditulis pada bulan March 2008, beberapa hari sebelum Maulid Ar-rasul, di kota Cairo.


Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

Labels: , ,

 

for this post

Mula Mengomen