<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar/8782060929818629481?origin\x3dhttp://abqori.blogspot.com', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

Falsafah Geeky Yang Saya Anuti

Setelah dua tahun lebih saya menulis, saya perasan bahawa tulisan-tulisan saya telah melalui beberapa sesi pertukaran falsafah.

Maksud saya falsafah dalam penulisan.

Setiap tulisan yang bermutu tinggi mempunyai falsafah tersendiri di dalamnya. Teori berfalsafah dalam penulisan ini bukanlah teori ciptaan saya sendiri, namun teori ini telah lama termaktub dalam kaedah-kaedah penulisan sejak dari dahulu lagi.[1]

Jika anda mendapat pendidikan dalam Bahasa Arab, kadang-kadang anda akan dapat melihat ada kitab-kitab atau buku-buku yang menjadi silibus anda menyebut tentang falsafah penulisan kitab itu pada muqaddimahnya. Falsafah penulisan ini kebiasaannya disebut di dalam kitab-kitab itu sebagai manhaj, atau boleh juga dibaca minhaj.

Manhaj atau method ini bermaksud cara penulis buku itu menyusun penulisan di dalam bukunya. Manhaj ini terbahagi kepada minhaj wasfi tahlili, minhaj tarikhi, minhaj tajribi, minhaj muqaran, minhaj mutakamil dan lain-lain lagi. Tujuan buku-buku ini menyebut tentang manhaj yang digunakannya adalah semata-mata bagi memudahkan para pembaca mengetahuinya tanpa perlu mencari-cari. Berbeza dengan tulisan yang pendek-pendek. Ini kerana dalam tulisan-tulisan yang pendek, para pembaca sendiri boleh mengetahui akan manhaj yang diguna selepas membacanya beberapa kali.

Ulama-ulama dahulu juga turut menyusun kitab-kitab mereka menggunakan manhaj-manhaj tersendiri. Dari sekecil-kecil kitab Fathul Qarib sehinggalah Sahih Bukhari. Namun untuk mengetahui tentang manhaj kitab-kitab lama ini bukanlah semudah mengetahui manhaj yang dipergunakan oleh buku-buku moden terkini. Manhaj-manhaj kitab-kitab lama ini hanyalah boleh diketahui melalui mulut guru yang alim lagi faqih dan itulah tradisi yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Jadi janganlah mudah berbangga dengan mereka yang mengatakan sudah cukup belajar dengan hanya banyak membaca kitab dan tidak berguru. Ini disebabkan kebiasaannya golongan yang hanya membaca dan mengabaikan talaqqi ini tidak dapat menangkap apakah manhaj yang digunakan dalam kitab-kitab lama, kerana manhaj dalam kitab-kitab lama itu hanya bisa difahami, sebagaimana yang dikatakan tadi, melalui berkat yang datang dari talaqqi.

Ianya sama seperti sebagaimana saya tidak akan memahami kenapa Imam Nawawi meletakkan Bab Taubat selepas Bab Niat jika saya membaca Riyadhus Shalihin[2] itu sendiri, sedangkan saya boleh tahu pula tentang itu ketika saya bertalaqqi melalui lisan guru saya Syeikh Mahmud Said Mamduh. Tujuan Imam Nawawi berbuat begitu kerana beliau mahu menunjukkan perlunya taubat itu disegerakan walaupun perbuatan itu baru pada peringkat niat, serta perlunya taubat itu diperbaharui terus-terusan sepanjang perlakuan tersebut.

Manhaj yang tersirat itu tidak mungkin mampu saya fahamkan hanya melalui pembacaan.

Kerana yang demikianlah, maka tidak hairan jika ada orang yang telah khatam membaca Syarah Sohih Bukhari dan mampu bercakap tentangnya bagaikan orang yang arif sekali, tetapi apabila ditanya tentang manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari, orang ini tidak mampu untuk menerangkannya. Ini kerana orang ini hanya membacanya sahaja dan tidak tengelam menyelam ke dalamnya sebagaimana orang-orang yang bertalaqqi bertemu lutut dengan guru-guru mereka menyelam sedalam-dalamnya untuk memahami.

Dari segi adat pula, orang yang tidak memahami manhaj kitab-kitab lama ini tidaklah boleh digelar faqih, yakni digelar orang yang memahami feqah itu dengan sebenar-benar faham. Jadi kalau orang itu tidak faqih, maka tidaklah juga dia ini boleh digelar mujtahid apatah lagi boleh berijtihad mengeluarkan hukum. Namun amatlah pelik, kerana di akhir-akhir zaman ini, amat banyak sekali mereka yang merasa telah menjadi mujtahid sedangkan mereka ini hanya membaca kitab-kitab hadith sahaja dan mereka juga langsung tidak memahami manhaj yang diletakkan dalam kitab-kitab ini. Sungguhlah amat kasihan mereka ini.

Oh ya, tentang apakah manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari itu pula, rasanya biarlah saya simpan sahaja sendiri. Ini kerana topik berkenaan amatlah perlu dicerna berhati-hati dan jika saya mahu menulis tentang itu, maka tulisan tersebut tidak memadai dengan hanya sepanjang ini. Perbahasan tentangnya sangatlah panjang, lagi lebar dan saya mencadangkan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, maka anda perlu merujuk terus kepada orang-orang alim sendiri.

Baiklah, oleh kerana topik pemilihan manhaj dalam kitab-kitab lama ini agak berat untuk difahami, maka elok rasanya saya berhenti setakat ini dan berpindah kepada topik ; manhaj dalam penulisan-penulisan pendek, seperti artikel ataupun cerpen. Tajuk ini adalah lebih mudah untuk difahami. Namun fokus utama di sini adalah tentang tulisan-tulisan pendek yang kebanyakannya menjadi entri-entri di blog.

Ketepatan dalam memilih manhaj (selepas ini akan disebut falsafah sahaja) inilah yang menentukan jatuh bangunnya penulisan seseorang penulis itu. Gagal dalam memilih falsafah yang sesuai, maka gagal jualah penulisannya itu untuk diangkat menjadi penulisan yang berkualiti. Jadi, untuk menjadikan tulisan anda sebuah karya yang agung dan kekal zaman-berzaman, penulisan anda perlu mempunyai falsafah tersendiri dan falsafah itu perlulah mempunyai kredibiliti, iaitu mampu membawanya naik tinggi.

Falsafah Awal Penulisan Saya

Ketika saya mula menulis, tulisan-tulisan saya lebih berfalsafahkan sastera dan motivasi. Waktu itu, saya menulis tanpa mempunyai blog. Segala tulisan saya hanya menjadi simpanan sendiri dan hanya ditatap oleh saya seorang. Kalau saya mahukan penilaian, maka saya akan menunjukkan tulisan saya itu kepada beberapa orang rakan untuk dikritik.

Banyak tulisan-tulisan awal saya yang berkiblatkan falsafah ini. Saya terus-terusan menulis dengan falsafah ini selama lebih kurang setahun lamanya. Tulisan-tulisan saya ketika itu, mungkin agak sukar untuk difahami oleh orang yang membacanya dan masa yang lama diperlukan untuk memahaminya dek kerumitan susunan kalimah-kalimahnya. Mungkin saya banyak terpengaruh dengan tulisan yang bersulam sastera dan motivasi lantas saya terbawa-bawa ianya ke penulisan sendiri. Anda boleh melihat falsafah ini pada tulisan-tulisan saya di awal-awal penulisan blog ini. Antaranya ialah tulisan-tulisan yang bertajuk:
Tulisan Manis Boleh Cari dan Permulaan Musim Panas adalah antara yang terbaik. Namun saya cadangkan anda meneliti Manis Boleh Cari kerana ia lebih ringkas dan bersahaja.

Tak lupa juga bahawa tema blog saya yang berbunyi,
“Tulisan-tulisan saya hanyalah sekadar untuk dijadikan penaik semangat bagi diri”,
juga tercetus ketika saya masih berada dalam mood falsafah sastera ini. Akan tetapi, selepas beberapa ketika, saya telah bertukar mazhab kepada falsafah yang lain pula.

Bermulanya Perubahan

Tanpa adanya blog peribadi, saya rasakan tulisan saya lebih asli kerana ia terbit dari dalam diri tanpa perlu memikirkan bagaimanakah ia akan diterima oleh pembaca. Kemudian, apabila saya mempunyai blog pula, tulisan-tulisan saya itu jadi bercampur-baur dan kurang originaliti kerana saya perlu mengeditnya agar ia dapat dibaca secara santai oleh pembaca-pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang.

Itulah detiknya saya melangkah dari falsafah sastera dalam penulisan ke arah falsafah penulisan yang agak Geeky sambil mengekalkan falsafah motivasi. Tak lupa juga, saya menekankan pada penutup tulisan-tulisan saya akan falsafah koreksi diri.

Apakah maksudnya falsafah Geeky ini?

Bagi mereka yang menganut falsafah Geeky, mereka pasti akan merasa sedikit terkilan apabila kalimah Geeky ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ini kerana terjemahannya membawa maksud yang boleh menjatuhkan wibawa pengamal falsafah berkenaan pada pandangan orang lain. Jangan tipu saya dengan mengatakan anda tidak tahu akan maksud kalimah Geeky tersebut.

Oleh kerana maksudnya yang begitu, saya lebih minat untuk melihat maksud perkataan Geeky itu setelah ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Ini kerana Geeky di dalam bahasa Arab membawa maksud,

العبقري غريب الأطوار

Orang genius yang pelik perangainya.
Namun, kerana Geeky yang saya sebut-sebutkan ini berhubung kait dengan penulisan, maka maksud-maksud kalimah Geeky di atas langsung tidak boleh diertikan sebagai sifat jiwa penulis-penulis yang mengikut falsafah ini. Maksud Geeky ini adalah hanya pada gaya penulisan si penulis tersebut.

Berikut adalah contoh-contoh perbandingan ayat-ayat yang belum disuntik dengan falsafah Geeky dan ayat-ayat yang telah disuntik dengan falsafah tersebut :

  • Ayat sebelum disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk membalas bulian abangnya kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisannya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering memujuknya dengan menyuruh kekanda sepuluh tahun beralah.
  • Ayat selepas disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk melakukan rusuhan memberontak kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisan revolusinya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering menenangkan keadaan yang huru-hara itu dengan mengembalikan hak pada yang sepatutnya.

Contoh diambil daripada entri Kehidupan Istana.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah tidur melebihi kadarnya disebabkan hari masih belum-belum siang.
  • Ayat setelah disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah lebam ketiduran disebabkan hari masih belum-belum siang.

Contoh diambil daripada entri I Am A Winter Bug.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Your speech bedazzled me because your speech was so different from what I was thinking.
  • Ayat setelah disuntik :
Your speech made me almost transformed to a shocking monkey because your speech was so different from what I was thinking.

Contoh diambil daripada entri O Obama!

--------

  • Ayat sebelum disuntik:
Saya bermastautin di New Damietta City.
  • Ayat setelah disuntik :
Saya menetap dan membesar dan meninggal tinggal di New Damietta City.

Contoh diambil daripada entri akan datang yang bertajuk New Damietta City.

--------

Oh ya, urutan perkataan "ayat sebelum disuntik" dan urutan perkataan "ayat setelah disuntik" di atas juga merupakan ayat-ayat yang dimasukkan unsur-unsur Geeky.

Harus diingatkan juga bahawa penulis yang mengikut falsafah Geeky ini adalah berbeza dengan penulis-penulis yang telah sedia Geeky. Anda akan nampak perbezaan jelas antara dua golongan ini secara mudah sekali jika anda memerhatikannya.

Penulis yang geeky atau sengal adalah mereka yang menulis tanpa tujuan melainkan untuk menunjukkan kesengalan mereka. Contoh-contoh ini anda mampu melihatnya di mana-mana blog yang bertebaran di internet.

Saya agak skeptikal dengan tulisan-tulisan yang seperti ini. Bagi saya, daripada pemilik blog jalur ini menulis sesuatu yang tidak berfaedah sedemikian, lebih baik mereka duduk membaca buku atau mencari mana-mana blog yang mengandung tulisan-tulisan yang membina minda. Sekurang-kurangnya dengan menghabiskan masa dengan bacaan-bacaan sedemikian, beliau mampu belajar membentuk fikiran tersendiri dan menghasilkan penulisan yang lebih bermanfaat untuk blogosfera nusantara.

Paling mengecewakan adalah apabila membaca blog jalur sengal ini yang entri-entrinya hanya menceritakan tentang perjalanan kehidupan mereka yang seolah-olah semakin hari semakin tiada harapan.

Anda mungkin tidak pernah jumpa blog sebegini. Tapi saya pernah. Dan kerana tidak elok saya membuat pautan ke blog-blog itu di sini, saya rasa lebih baik saya mereka contoh sebegitu sendiri supaya anda lebih faham. Namun sebelum itu, diingatkan bahawa contoh ini adalah rekaan saya sendiri dan ia bukanlah mengambarkan kehidupan saya di sini. Juga untuk mengelakkan anda dari berburuk sangka dengan kehidupan saya di sini, saya ingin mengingatkan terlebih dahulu bahawa hidup saya di Mesir amatlah berwarna-warni sekali dan warna-warni itu sudah cukup saya gambarkan dengan bersampingannya residensi saya ini dengan terusan terkemuka dunia iaitu Terusan Suez yang menjadi kunjungan kapal-kapal antarabangsa dari timur dan barat.

Berikut adalah contoh-contoh entri yang mengecewakan di blog-blog jalur sengal tadi ;
  • Entri pertama :
Hari ini aku bangun lambat. Terpaksalah aku ponteng satu kelas. Bila masuk bilik mandi pula, aku perasan yang berus gigi dah patah, digigit tikus agaknya. Habislah aku kena beli yang baru. Walhal duit pula tiada. Kawan-kawan pula entah bila nak bayar hutang. Kalau ikutkan hati, nak saja aku lempang muka diorang sorang-sorang. Teruk betul hidup ini.
  • Entri Kedua :
Bosannya malam ini. Kawan-kawan semua pula sibuk menyanyi. Macam sedap sangat suara. Perasan bagus. Tension aku. Dahlah di kelas tadi, aku kena denda berdiri dua jam lebih, semata-mata sebab aku lewat lima minit. Bukannya apa, dah tadi aku terpijak tahi kucing. Takkanlah aku nak masuk kelas busuk-busuk macam itu. Mestilah aku basuh dulu. Lecturer pula tak faham. Ikutkan hati nak saja aku tukar kolej. Tinggalkan terus life aku yang worst di sini.
  • Entri Ketiga :
Kenapalah hidup ini teruk sangat? Semua yang aku buat semuanya serba tak kena. Kawan-kawan pula semuanya perangai entah macam apa. Entah macam mana lah aku boleh berkawan dengan diorang. Aku tahu, diorang ini memang sengaja menganggu hidup aku. Kalaulah aku ada kereta, nak saja aku langgar diorang semua. Lepas itu, aku reverse kereta itu ke depan belakang sampai lumat tubuh diorang. Baru puas hati aku. Tapi, macam kejam sangat pula. Dah, nak buat macam mana? Aku dah tak boleh tahan dengan diorang. Lagipun, selama ini, diorang inilah yang buatkan hidup aku rasa macam sampah.

Semoga dengan contoh-contoh ini anda dapat membezakan penulis yang berfalsafah geeky dan penulis yang memang sedia geeky.

Kepada golongan memang sedia geeky ini, saya nasihatkan supaya anda menginsafi diri dan menyedari ketidakbagusannya anda beristiqamah menulis dan mencatit hal-hal sebegini. Adalah lebih baik anda mengantikan masa-masa anda yang digunakan untuk menulis hal-hal yang mengecewakan ini dengan membaca Al-Quran dan beramal untuk kehidupan akhirat yang jelas nyata lebih kekal dan abadi. Bawa-bawalah diri anda ke arah perubahan dan percayalah bahawa setiap masalah itu hanyalah ujian untuk mematangkan diri dan tidak layaklah ia dijadikan sebagai penyebab kemurungan diri. Banyak lagi orang di luar sana yang menyayangi diri anda.

Apa-apa pun, tulisan saya kali ini adalah kerana saya mahu mengungkit kembali falsafah sastera yang telah lama saya tinggalkan di samping mahu memberitahu tentang penemuan kembali permata-permata lama saya yang dahulu pernah kehilangan. Untuk memahami erti permata-permata itu, eloklah anda terlebih dahulu memahami tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala ini.

Serigala telah benar-benar datang dalam hidup saya pada tahun lepas dan hal itu pada mulanya benar-benar telah membuatkan saya sangat kecewa. Ini kerana, bagi saya permata-permata itu amatlah berharga dek kerana kesukaran yang saya alami untuk membentuknya.

Mungkin kesukaran itulah penyebab yang menjadikan saya sangat-sangat menghargai. Namun Alhamdulillah, kini kecewa itu telah pergi.

Ini kerana sebelum ini saya telah membuat back-up untuk permata-permata itu terlebih dahulu. Cumanya, back-up itu baru saya temui beberapa hari sebelum ini.[3] Alangkah gembiranya saya tidak terperi. Apatah lagi, kebanyakan permata-permata itu dibentuk ketika saya masih lagi mengamalkan falsafah sastera dan motivasi dalam penulisan saya.

Saya tahu mungkin agak sukar untuk anda memahami ayat-ayat di atas kerana ia adalah berdasarkan tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala yang ditulis dalam falsafah sastera dan motivasi. Sebab itulah saya sudah katakan tadi bahawa tulisan-tulisan saya dengan falsafah sastera ini agak rumit untuk difahami. Sekarang saya harap anda mengerti.

Akhir sekali, sebagaimana saya pernah meloncat daripada falsafah sastera dan motivasi ke arah falsafah Geeky dan ke arah falsafah koreksi diri, saya yakin saya juga akan beralih mengamalkan falsafah lain pula selepas ini. Tentang apakah falsafah seterusnya, saya belum tahu lagi. Ia berubah-ubah bergantung kepada pengalaman hidup, tarbiah, serta bahan bacaan yang menjadi pilihan dan yang banyak mempengaruhi. Cuma harapan saya, akan ada lah suatu hari nanti, saya memasukkan falsafah kesufian dalam bentuk-bentuk tulisan saya ini. Kerana setahu saya, kesufian adalah sebaik-baik ubat bagi hati. Kerana itu, amatlah perlu bagi seseorang penulis itu bahkan bagi setiap individu muslim untuk mendalami hal ini.

Walaupun saya mengamalkan falsafah Geeky ini, saya tetap sedar akan salah satu bahayanya yang utama. Ia mampu memberi pengaruh kepada tulisan-tulisan saya yang berbentuk ilmiah dan dalam tulisan-tulisan yang sengaja saya cuba untuk menjauhkan dari menulis di dalamnya sebarang unsur-unsur Geeky. Ini berlaku berikutan keterbiasaan saya mempraktikkan falsafah ini. Ini bukanlah cakap kosong kerana bagi saya ia pernah terjadi.

Contohnya dapat anda lihat dalam tulisan Bercinta Dengan Orang Alim pada salah satu ayatnya, sedangkan sepanjang menghasilkannya saya telah cuba untuk menjauhi segala yang Geeky-Geeky. Semoga selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Oh ya, sebagai satu kerja rumah untuk anda, cuba anda cari ayat yang berunsur Geeky dalam Musalsal Alim # 1: Bercinta Dengan Orang Alim tersebut.

Jika anda mampu menemuinya, maka jelas sekali anda telah memahami falsafah Geeky ini dengan baik sekali.[4]

Selamat Mencari.

P/S : InsyaAllah, entri selepas ini adalah kumpulan-kumpulan tulisan-tulisan saya yang ditulis dengan falsafah sastera yang baru-baru ini saya temui kembali. Saya telah memilih yang paling baik daripada tulisan-tulisan itu dan yang saya rasa sesuai untuk dipamerkan di blog ini.

------------------------------

NOTA KAKI :
[1]^Dalam buku Karya Nan Indah, tulisan Faisal Tehrani juga ada menyebut hal ini.
[2]^Muatturun terjemahan Riyadhus Shalihin bahagian satu dan dua sekarang.
[3]^Back-up ini saya lakukan dengan melampirkan fail-fail tulisan saya itu di dalam draf emel saya. Back-up juga boleh dibuat oleh di Box.net. Bagi mereka yang mempunyai banyak kumpulan tulisan, anda digalakkan untuk membuat back-up untuk setiap tulisan anda. Ini untuk mengelakkan daripada dilanda kemurungan jiwa andai tulisan-tulisan anda hilang secara tiba-tiba suatu hari nanti.
[4]^Klu untuk menjumpai ayat yang dipengaruhi unsur Geeky dalam entri Bercinta Dengan Orang Alim itu, ada terdapat di dalam komen Sang Pelangi untuk entri tersebut.

Labels: , ,

Permulaan Musim Panas [Reloaded]

Entri ini pernah dipublikasikan pada 14/5 tahun lepas. Namun kerana ia masih relevan dengan summer yang melanda, saya reloadkannya semula.

Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.

Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.

Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan.[2] Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka,
“Alangkah nikmatnya jus delima ini!”
Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.
“Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”
Lalu jawab si penjaga,
“Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya.

“Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

“Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas ........

[Dapatkan buku ABQORI untuk membaca kesudahan tulisan ini. Anda boleh menempahnya menggunakan borang online ini. Pembelian, pembacaan, dan penyebaran anda, sangat saya hargai dan saya menganggapnya sebagai sokongan, dorongan dan dokongan anda kepada saya untuk terus lebih berkarya lagi.]

Labels: , , , ,

Manis Boleh Cari

Bila dikenangkan tentang kehidupan saya di Mesir ini, timbul serba sedikit kesedaran dalam hati. Mungkin selama ini saya kuat berangan-angan kesan daripada pembacaan saya. Bagi saya, apa yang bakal saya lalui perlu sama dengan kisah atau ceritera yang saya dengar atau baca, dan pernah jatuh minat saya padanya.

Misalnya, tahun lepas apabila seorang junior menceritakan pada saya rasa kesalnya kerana kurang prihatin pada nota-notanya. Katanya pada suatu petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas hujan reda, dia masih sempat membaca nota-notanya bagi madah awzan syi3ri. Lalu kerana angin kuat yang bertiup, nota-notanya itu habis berterbangan, lalu jatuh ke dalam lecak-lecak di sepanjang perjalanan. Tiada harapan lagi baginya untuk mengutip nota-nota itu. Kerana bukan sahaja basah dan kotor, malahan jika dicuci dan dikeringkan belum pasti tulisan-tulisan pada kertas itu masih dapat dibaca. Dia yang telah menghabiskan banyak tenaga dalam menghasilkan nota-nota itu cukup mengkritik sikap keprihatinannya yang lemah itu.

Tetapi lain pula kisahnya bagi saya apabila mendengar rintihan sedemikian. Usai mendengar, fikiran saya terbang meninjau kesamaan ceritanya itu dengan kisah yang saya dapat ketika di Malaysia. Pernah sekali seorang amlumni daripada sebuah universiti di Perancis mengisahkan satu peristiwa ketika tempoh pembelajarannya di Paris. Ketika itu, hujan turun lebat sekali dan dia terpaksa menggunakan payung untuk berpergian ke kuliah. Semasa melintas jalan, habis kertas-kertas yang akan digunakannya untuk pembentangannya di kuliah hari itu diterbangkan angin. Dia dalam keadaan yang kalut itu, hujan, dan berada di tengah-tengah jalan raya, melemparkan payungnya dan kelam kabut mengutip satu persatu kertas-kertasnya yang lejut. Sambil menghindarkan diri daripada kereta-kereta yang lalu-lalang dia mencapai apa yang mampu di capai, sehinggakan tanpa disedari, payungnya langsung diterbangkan dan lenyap.

Payung hilang, kertas-kertas rosak dan koyak, ditambah lagi apabila sampai ke kuliah, dimarahi oleh profesor kerana terpaksa membatalkan pembentangan, menyebabkan dia tak mungkin melupakan peristiwa itu.

Kisah ini cukup beri kesan dalam hidup saya, saya yang akan terbang ke Mesir sikit masa lagi ketika itu, angan-angan untuk punyai kisah yang sama sepertinya. Dan sekarang setelah mendengar kisah si junior yang punya persamaan dengan si amlumni buatkan saya super cemburu. Alangkah indahnya kalau saya turut melalui kisah yang sama, atau dengan kata lainnya, alangkah indahnya kalau hidup ini serupa dengan kisah yang kita minati.

Sama erti dengan kanak-kanak kecil yang mengidamkan hidupnya jadi seperti Harry Potter,[1] dan sama erti dengan mahasiswa-mahasiswa Al-Azhar yang mengimpikan hidupnya jadi seperti Fahri dalam novel Ayat-Ayat Cinta.

Tapi, apabila diteliti, saya harus sedar saya ini di alam realiti, alam serba wujud, bukan fantasi dan khayalan yang boleh direka-reka. Tak semestinya manis hidup saya perlu bergantung pada kesamaan jalan cerita dalam novel-novel yang saya baca atau dalam cereka-cereka indah yang saya dengar dengan hidup yang saya lalui. Mungkin manisnya saya boleh cari sendiri dan acu berhati-hati supaya jadi lebih halus dan berseni. Bukankah yang itu lebih semulajadi? Namun yang pasti, jika ada persamaan, itu akan membuatkan manisnya berganda dan lebih terasa. Segar untuk diingati dan tak terasa yang diri ini bermimpi.

Meskipun begitu, bangkit dari mimpi dan angan-angan merupakan perkara yang wajib sekali.

---

NOTA KAKI:
[1]^Untuk membaca artikel yang menarik tentang Harry Potter yang ditulis oleh Saiful Islam, sila klik sini.

Entri ini ditulis hampir setahun lepas. Menceritakan tentang hujan dan musim sejuk untuk dibaca dan diingati rasanya pada musim panas. Ah, seronoknya hujan!

Labels: ,

Saya Bukan Si Budak Pengembala

Saya sedang sibuk menghadapi peperiksaan yang sebulan lamanya. Sepanjang tempoh ini, saya akan cuba untuk tidak menulis entri yang baru dan entri-entri yang akan dimasukkan adalah entri-entri yang ditulis sebelum waktu peperiksaan. Harap maklum.

Ketika kecil-kecil dulu, pernah saya mendalami kisah yang sering dan akan terus jadi masyhur dalam pemikiran seorang insan yang bergelar kanak-kanak. Kisah seorang budak pengembala yang menternak kambing-kambing di atas bukit tinggi. Lalu kerana bosan walaupun sedang bekerja menjaga kambing-kambing milik tuannya. Dia mendapat satu fikiran yang kotor, iaitu ingin mengenakan penduduk kampung dengan menjerit memberitahu penduduk kampung bahawa serigala datang menganggu ternakannya. Harapannya agar penduduk kampung akan bergegas membantunya dan dia pada masa itu akan pura-pura tidak tahu apa yang berlaku.

Demi menjerit, seluruh penduduk kampung naik ke puncak bukit untuk mendapatkannya sekaligus menolongnya. Namun semuanya kecewa dan marah di dalam hati, kerana apabila setelah berpenat lelah mendaki dan berlari tak cukup tanah, rupa-rupanya mereka ditipu mati-mati. Budak pengembala itu hanya mempermainkan mereka. Ketika itu, masing-masing nekad tidak akan tertipu buat kali kedua.

Perkara sebegini bagaikan pernah terjadi pada saya baru-baru ini.

Saya sebenarnya bukanlah seorang penulis yang cemerlang. Hasil tulisan saya tidaklah sedalam mana memberikan kesan dalam hati pembaca. Tapi saya sering mencuba. Menulis dan terus menulis. Dan dalam tak sedar, saya sudah punya kumpulan hasil tulisan saya sendiri yang sebenarnya belum pernah dikongsi baca dengan orang lain. Dan saya amat menyayanginya hatta kadang-kadang saya merinduinya. Untuk mengulang bacanya. Meskipun itu telah beribu kali saya lakukan.

Namun bagi orang lain yang tidak tahu nilainya, bagi mereka mungkin itu hanyalah perkara biasa. Ya, kerana mereka tak pernah merasa lelah, capek, derita ketika saya menghasilkannya. Ditambah lagi dengan hasil-hasil tulisan saya itu yang tidak mampu memberi makna yang dahsyat lagi mengesankan pada deria yang menangkap benda-benda yang indah, mungkin saja kerja saya itu tak lebih dari seketul batu di tepi jalan, tetapi masih lagi menyakitkan mata. Apa-apa pun pendapatnya pada orang lain, semua itu bagi saya bagaikan permata di dasar lautan yang saya sendiri menyelam ambil. Sangat berharga.

Sebab itulah apabila pernah sekali ketika tersalah usik komputer dan saya menyangkakan saya telah terbuang kesemua kumpulan hasil kerja itu ke Recycle Bin, saya menjerit sedih sekuat-kuat hati. Itupun setelah saya terkilan senyap dahulu dan termenung beberapa saat kerana tidak mampu percaya. Lebih menggalakkan kesedihan ialah dalam masa yang sama saya telah mengosongkan segala isi Recycle Bin itu. Hanya nama Tuhan saja yang saya mampu sebut ketika itu. Saya bagaikan padam.

Lalu kerana ada yang prihatin selaku orang yang terdekat di tanah asing ini, dek terdengar laungan saya yang mungkin bagi mereka tidak kena pada situasi itu, mereka mendapatkan saya sebagaimana orang-orang kampung mendapatkan budak pengembala di atas bukit. Lalu setelah mengetahui kisah sebenarnya, reaksi mereka berubah. Sangka mereka ada hal-hal yang betul mengejutkan tetapi rupa-rupanya ter”delete file”. Sesuatu yang secara logik tidak berpadanan dengan refleksi yang ganjil.

Sungguh saya amat takut jika mereka menyimpan perkara ini di dalam hati dan jadi serik seperti orang-orang kampung.

Ingat lagi tidak kisahnya, ketika budak pengembala menjerit buat kali kedua ketika serigala betul-betul datang untuk bukan saja meragut ternakannya bahkan nyawanya, tidak ada seorang penduduk kampung pun yang datang menyelamatkannya. Itu semua kerana mereka tidak mahu diperbodohkan buat kali yang kedua. Lalu sesalan yang bukan pendapatan sebelum saat-saat akhir nyawa budak pengembala di cabut itulah, yang jadikan saya merasa dukacita, takut, ragu-ragu akan dipercaya lagi dan menyesal.

Saya sering diajar untuk jangan sekali-kali cuba mengurangkan kepercayaan orang lain ke atas diri saya. Kerana untuk mendapatkan percaya itu, derita sekali, tapi untuk menghilangkannya, itu adalah lebih mudah daripada memetik jari. Sungguh pada masa saya terbuang fail-fail itu saya merasa dihempap sesuatu yang berat. Kalau tidak, takkanlah suara saya berubah. Saya tahu saya kadang-kadang dikenal dengan ketidakseriusan saya yang sering kelihatan. Tapi itu tidak bermakna saya tidak pernah serius. Lebih-lebih ketika ia berkaitan dengan sesuatu yang berharga.

Saya tahu budak pengembala itu berakhlak jahat. Dan jeritannya yang cuba mempermainkan itu bagaikan menyerupai cerita saya. Tapi percayalah saya lakukan itu bukanlah kerana isi hati saya dan dia sama. Namun, itu terjadi secara tiba-tiba. Reaksi spontan semata-mata. Bukan dibuat-buat dan direka-reka. Walaupun, setelah dikaji semula kesilapan saya, fail-fail itu tidak terbuang, bahkan hanya teralih masuk ke folder lain saja. Saya harap di sana akan ada orang yang memaafkannya. Kerana sungguh saya tak pernah mahu jadi budak pengembala. Mati dalam keadaan terhina.

Hai, alangkah indahnya kalau semua dapat merasa betapa bernilainya berlian yang saya sendiri membentuknya. Pasti mudah untuk semua memahaminya. Maafkan saya wahai mereka yang merasa tertipu. Andainya selepas ini ada jeritan untuk kali yang kedua. Dan ia dilaungkan juga oleh saya. Percayalah, memang ketika itu benar-benar telah datang sang serigala.

Saya menjumpai sebuah entri di blog kegemaran saya yang turut menggunakan kisah yang sama seperti di atas. Untuk membaca, klik sini.

Labels: ,

Permulaan Musim Panas

Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.

Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.

Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan [2]. Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka, “Alangkah nikmatnya jus delima ini”. Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.

“Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”

Lalu jawab si penjaga, “Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya. Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

“Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas harta yang dilarang dimiliki olehnya. Atau mungkin ada fakir miskin yang dicemuh dan diperkosa hak mereka olehnya. Atau mungkin dia mengungkit bakti yang pernah dicurah dahulu dengan kemuliaan, pada orang jelata. Hinggakan Tuhan jadi sangat murka padanya. Lalu diazablah Tuhan seluruh hak milik kerajaaannya. Dengan Tuhan tarik segala keberkatan yang ada pada langit dan bumi kerajaannya. Sehingga tidak tinggal satu berkat pun melainkan telah ditarik jua.

“Dan tuan hamba, kita rasa mungkin kerana itulah jus yang kedua teramatlah pahit rasanya. Berbeza dengan yang pertama meskipun kedua-dua datang dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama dan di sebalik daun yang sama. Meskipun kedua-dua diperah dengan cara yang sama. Kerana rasa kita, telah berubahnya hati si raja.”

Mendengar jawapan penjaga kebun, bergetarlah hati si raja. Ketar-ketirlah seluruh kaki hingga ke lututnya. Mula berpeluhlah tapak tangannya. Dan tidaklah disapu tangannya yang berpeluh itu melainkan bertemu dengan keringat takut di mukanya. Terasa bagai dihempap dengan batu yang berat. Hingga tertunduklah dia, kerana takut dan malu yang amat sangat. Kerana sebenarnya raja ini terbaiklah amat. Cuma dek kerana terlintas di hatinya kejahatan dan dek kerana penarikan rahmat itu amatlah cepat. Lalu dia jadi kebingungan dan pening memikirkan. Masakan firasat orang di tengah hutan ini bisa sama dengan isi hatinya, sedangkan tidak bertahu olehnya bahawa dia adalah raja. Namun, ilmu dalam dada si raja membuatkan dia percaya. Hingga teringat raja kata penasihat agamanya yang menaqalkan sabda Baginda :

“Takutlah kalian pada firasat seorang yang beriman. Maka sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dengan cahaya Allah”.

Hingga bertambah kecutlah hati raja. Dan kecut ini bukan calang-calang. Hinggakan air mata jadi berlinang. Buatkan penjaga jadi bingung dan pelik seribu gaya. Mahu saja ditanya kenapa tapi ditahannya saja. Kerana dia dan raja baru berjumpa, dikenalnya pun baru sekerat mana. Tapi bagi raja, hatinya mula mengucap istighfar. Berulang-ulang hingga terbit secara ikhlas pada mulutnya. Ingin saja dia menyalahkan dirinya. Dan memang itulah yang diperbuat olehnya, dan disegerakan taubat dalam atmanya. Diperbetulkan segala niatnya. Untuk tidak merampas kebun delima larangan. Kerana kebun itu milik orang. Bukannya tidak bertuan. Dan tidaklah dibuat begitu melainkan agar datang kembali rahmat. Dilimpah semula yang berkat-berkat. Aman makmur seluruh jagat. Diazamnya sekuat-kuat, untuk tidak mengulang buat. Dan mintanya pada Tuhan agar diberikan alamat. Petanda menunjukkan dosanya telah diangkat, dan tidak sia-sia dia berbuat taubat. Hinggalah akhirnya, setelah datang keyakinan, si raja mengangkat muka, memandang tepat pada penjaga. Terus ke dalam matanya. Seolah-olah ada yang mahu dipinta. Hingga akhirnya penjaga dapat membaca dengan jelas, tanpa was-was. Menangkap maksud mata si raja.

Lalu berangkatlah penjaga, memetik semula buah delima. Sekali lagi dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama, dan disebalik dedaun yang sama. Diperah dengan cara yang sama dan dibawa kepada si raja. Dan si raja pula tika dihidangkan, penuh perasaan mengharapkan tanda bahawa taubat diterima, dan dengan nama Tuhan menghirup semula. Tapi kali ini, rasanya berbeza dari rasa kedua bahkan berbeza dari rasa pertama. Kerana rasa yang ini lebih manis darinya, bahkan terlalu ekstra manisnya dan super pekat dari yang mulanya. Hinggakan si raja bagaikan tidak mampu percaya. Dan membuatkan dia ingin bertanya lagi kepada penjaga, kenapa jadi begini. Kerana raja percaya bahawa firasat penjaga itu firasat mukmin soleh yang benar, bisa dipegangi.

“Wahai penjaga yang budiman, sesungguhnya hamba ini amatlah takjub sekali. Dalam hati ini, penuhlah persoalan sekali. Bertubi-tubi menekan mengharap jawapan. Kerana rasa buah ini pelik sekali. Berubah-ubah. Bertukar-tukar. Dan kini ia berubah lagi. Menjadi manis tiada berperi. Lebih manis dari yang pertama tadi. Tahukah dikau kenapa ia jadi begini, wahai tuan empunya firasat yang benar sekali?

Berkatalah penjaga, “Sungguh untuk ini tiadalah juga bagi kita jawapan yang sempurna. Hatta untuk meneka pun, belum tentu kan kena. Cuma ada firasat yang hampir sama saja. Bahawa raja telah suci kembali hatinya. Bersih dari segala noda yang datang mencelaka. Telah dibetulkan niat dihatinya. Bahawa tidak mahulah si raja membuat aniaya. Merampas harta rakyat jelata. Kerana harta itu haram baginya. Dan telah bertaubat nasuhalah dia. Bahkan Tuhan telah menerima taubatnya. Hinggakan rahmat dan berkat dilimpahkan semula. Bahkan dilimpah berganda-ganda. Lebih banyak dari sebelumnya. Hingga jika mampu dilihat dengan mata rahmat itu pada turunnya. Nescaya terlihatlah ia melimpah ruah hingga tempias ke negeri-negeri jirannya. Dan jika ada kawasan yang kering kontang seribu tahun, maka kawasan itu kan berair semula. Sungai yang tercemar kan bersih kembali. Binatang yang mandul pun bisa beranak seribu sehari. Dan bergembiralah tuan hamba kerana raja kita itu telah berubah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya raja yang mudah sedar dengan kesalahan sebegini, terdiri dari zuriat yang baik-baik. Anak orang-orang yang bertaqwa. Dan andainya raja ini terus sedar, nescaya kita percaya bahawa kerajaan yang diperintahnya akan terus dinaungi rahmat. Mendapat berkat, yang bisa memenuhi langit dan bumi negerinya.

“Dan kerana itulah, jus delima yang ketiga ini lain sekali rasanya. Lebih elok rasa dari yang yang kedua, bahkan lebih manis dari yang pertama. Dan tidaklah itu berlaku melainkan kerana kejahatan telah musnah, nikmat telah ditambah dan taubat telah diterima. Bergembiralah, kerana dari firasat kita air matamu itu amat berharga. Tetapi tak tahu juga kita, kerana meskipun air mata tuan hamba telah perginya, senyum tawa tuan hamba itu seolah-olah ada nilai yang sama. Moga firasat kita ini ada betulnya.”

Lalu jadi puaslah hati si raja. Kerana mendengar jawapan penuh geliga. Tiadalah lagi syak dalam hatinya. Bahawa taubatnya telah diterima. Maka terbitlah kembali mentari hatinya. Hilang serta merta rasa duka. Bahkan bertambah-tambah sukacita, beramian perasaannya. Hingga tiadalah yang paling gembira pada zaman dan waktunya, melainkan dialah orangnya. Langsung dipeluknya penjaga kebun. Mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kerana memberi pengajaran yang tidak ternilai. Hingga berazamlah dia untuk terus adil dalam menjalankan urusan. Baik kenegaraan ataupun kerakyatan. Agar terus turun rahmat Tuhan. Dan agar kekal rahmat itu sepanjang zaman.

Dipecut kudanya sepantas mungkin. Dalam gembira, menyusur kembali, mencari jalan pulang. Meskipun tidak tahu arah sebenar kerana asalnya sesat, tetap saja dipecutnya. Semuanya kerana yakin dengan rahmat yang telah dilimpah ruah Tuhan. Dan kerana itu juga dia yakin akan ketemu semula hulubalang- hulubalangnya. Si raja terasa angin yang bertembung laju dengan mukanya, amat segar sekali. Lalu angin itu mengusap rambutnya, amat seronok sekali. Lalu angin itu turun menyapu telinganya, amat tenang sekali. Dia menunggang dengan pantas. Amat pantas. Dan angin yang segar tak henti-henti membelai. Rasa yang menyeronokkan. Menyegarkan. Menambah kekuatan. Menghilangkan keserabutan. Segar sekali.

Hai, andainya mampu merasa lagi perasaan itu di musim panas ini, alangkah indahnya.

Bagi saya pula, Molto itu saya makan begitu saja, meskipun pelik kerana telah kurang isinya. Cuma tadi langsung tidak terfikir untuk bertanya tuan kedai kenapa tiga hari lepas Molto itu lima ketulan dalamnya. Dan hari ini pula telah kurang se. Sedangkan Molto yang dulu saya tetap beli dari syarikat yang sama, yang berbeza hanya kedai dan waktunya. Tapi jika benar kurangnya se kerana ditarik rahmat padanya, perbezaan kedai dan waktu membelinya itu tidak akan dikira. Cuma yang jadi terfikir, adakah jika saya bertanya, jawapannya adalah sama dengan jawapan penjaga. Namun rasanya tak mungkin sama, kerana saya bukan raja. Kerana hati saya dan hati raja tidaklah sama. Tentang bersih kotornya, dan juga terang gelapnya. Tetapi bagaimana jika tiba-tiba jawapan yang diberikan sama. Rugi rasanya tidak mencuba. Biarlah. Cuma harapnya selepas ini akan jadi lima kembali ketulannya. Atau kalau lebih nikmat dan berkat yang diturunkan semula, biarlah bertambah-tambah jumlahnya. Bayangkan jika selepas ini Molto itu ada sepuluh ketulan roti di dalamnya. Adakah mungkin?

Hai hati yang kotor, jadi bersihlah!

Cuma akhir-akhir ini jadi kasihan mendengar rintihan Emak di Malaysia yang menceritakan makanan kegemaran beliau juga ditimpa nasib yang sama. Kalau dahulu satu ringgit untuk tiga buku roti paun, kini dua ringgit baru boleh untuk memperolehi ketiga-tiga bukunya.

Hai hati yang jahat, bertaubatlah!

Bulan lepas beras yang dibeli masih lagi 57 pound, kini telah 70 pound naiknya. Udahlah banyak bubuk dan teruk sekali kualitinya. Entah berapa kali diadu tetap belum ada langkah yang dibuat.[3]

Hai hati yang dibisik iblis, tangkislah!

Emak kata kakak-kakak yang tinggal di kota kini sudah jarang pulang. Namun Emak tak sedikit pun marah, bahkan Emak amat faham. Sangat-sangat faham. Kerana kakak-kakak juga faham. Bahkan telah menceritakan pada Emak agar Emak jadi faham. Tol, minyak, semuanya buatkan semua orang mula faham.

Hai hati yang mahu senang, fahamlah!

Melihat orang yang membeli isy mengerutkan kening hingga bertemu kedua-duanya buatkan kita rasa ada bala menimpa. Ini berlaku buat kali pertama. "Wahid binus sigenih! Mus ma3ul, ya 3amm!"[4] Tapi itulah realitinya. Adakah mata yang melihat hanya mampu bersedih saja?

Hai hati yang keras, lembutlah!

---

NOTA KAKI:
[1]^Mafhum daripada surah Quraisy.
[2]^Teruskan membaca dan anda akan faham kenapa saya mengatakan ianya kebun larangan.
[3]^Harga beras terkini untuk beras yang datang dari Filifina ialah 90 Pound.
[4]^"Sekeping roti dengan harga setengah Pound. Tak masuk aqal, wahai sahabatku!"

Ditulis pada bulan March 2008, beberapa hari sebelum Maulid Ar-rasul, di kota Cairo.

Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

Labels: , , , ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Wednesday, May 14, 2008
Jam 10:30 PM
Komen :

    >>Sertai saya di Twitter<<
     
    Bahana Blog Saya

    Entri ini akan menceritakan tentang bahana-bahana daripada entri-entri saya sebelum ini. Jika anda telah mengikuti penulisan di blog saya ini dari mula, maka entri ini akan jadi sangat mudah untuk anda memahaminya. Jika anda tidak, maka saya mencadangkan anda membaca semua tulisan saya di blog ini sejak mula.

    Bahana ‘Jom Hospital’.

    Di dalam entri Jom Hospital saya menceritakan tentang pengalaman saya ketika membuat rawatan di hospital di New Damietta City. Akibat terkesan dari suasananya yang amat tenang, pengalaman itu telah mengubah perspeksi saya terhadap beberapa perkara di Mesir. Lalu saya kaitkan ianya dengan kondisi rakyat Malaysia di sini yang rata-rata mempunyai mentaliti yang kurang sihat terhadap sebuah fasiliti yang memainkan peranan mega ini.

    Kerana pengiklanan saya terhadap blog ini yang berterusan dan menyebabkan ianya dibaca oleh ramai rakan, akhirnya, saya dipelawa untuk menemani salah seorang pembaca untuk pergi ke hospital tersebut. Pada mulanya saya menolak kerana kesibukan yang agak menyempitkan. Namun, dek kerana pelawaan kesan daripada penulisan yang ditulis sendiri, akhirnya saya merelakan diri. Setelah menetapkan tarikh dan waktu dan setelah mengkaji pelbagai macam perkara yang perlu diperhati seperti simptom penyakit, gejalanya dan kekerapan mendatangnya, kami menunggu hari yang dijanji.

    Namun dek kerana masalah yang tidak dapat dielakkan dari pihak yang mempelawa, akhirnya kami terpaksa membatalkan niat dan kami juga masih belum membuat temujanji baru untuk pergi. Saya masih menunggu andai beliau menjumpai waktu yang kosong agar kami dapat sama-sama kembali berjanji dan pergi.

    Meskipun tajuk entri itu mempunyai kata seru iaitu ‘Jom’, itu tidak bermakna jika ada yang sakit, saya sahaja yang perlu dipanggil untuk menemani. Kata seru itu adalah untuk mereka yang malas ke hospital supaya mereka membuang rasa itu jika ditimpa penyakit. Jangan dibiarkan berlarutan. Namun, jika saya juga yang mahu diajak, saya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhkan. Cuma belajarlah dari tulisan itu dan garaplah hasil sendiri, kerana saya telah seboleh-bolehnya memperincikan prosedur yang patut dilakukan. Yang tinggal hanyalah perlaksanaan.

    Harap-harap entri itu dapat menjadi rujukan untuk semua mahasiswa di New Damietta City secara berterusan. Memandangkan orang Melayu telah hampir 15 tahun bertapak di sini dan mungkin akan ada lagi 15 tahun yang berpanjangan, konkrit sekali jika saya tegaskan, Jom Hospital bisa jadi panduan.

    Bahana ‘Saya Tidak Akan Takwil’.

    Entri ini adalah entri santai kerana saya hanya menceritakan tentang perjalanan hidup saya seharian. Dari borak bersama rakan-rakan yang masuk ke dalam mimpi hinggalah kenangan bagaimana mampu berhasil mendapatkan sebuah kitab yang amat precious setelah penat mencari. Ular adalah binatang paling banyak disebut dalam entri ini (Cukup! Saya tidak mahu lagi mengetar geli-geleman).

    Seorang kawan datang berjumpa, bertanya kepada saya dan meminta pinjam kitab berkenaan. Tujuannya adalah untuk mengetahui takwil mimpinya.

    Pernah tidak anda bermimpi berperang atau melihat peperangan?

    Cari punya cari, akhirnya kami telah ketemukan jawapan. Berikut adalah takwil mimpi yang berkait dengan peperangan sekaligus adalah takwil bagi mimpi sahabat saya berkenaan.
    Fasal pada mimpi melihat al-harb dan al-qital[1].

    Dan kedua-duanya (al-harb dan al-qital) terbahagi kepada tiga :

    Pertama,

    Perang di antara kerajaan dan kerajaan (raja dan raja) :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang di antara kerajaan dan kerajaan (raja dan raja), maka mimpi itu menunjukkan kepada fitnah dan wabak .

    Kedua,

    Perang di antara kerajaan (raja) dan rakyat :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang di antara raja dan rakyat, maka mimpi itu menunjukkan kemurahan harga.

    Ketiga,

    Perang di antara rakyat dan rakyat :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang diantara rakyat-rakyat negerinya, maka mimpi itu menunjukkan akan ada perdamaian di antara mereka semua.

    Dan dikatakan mimpi melihat askar-askar yang menuju ke sebuah negeri menandakan turunnya hujan.

    Barangiapa yang bermimpi melihat tentera-tentera berkumpul maka itu menunjukkan kepada binasanya ahli batil dan ditolongnya ahli haq. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah an-Namlu ayat : 37.

    "فَلَنَأتِيَنَّهُم بِجُنُودٍ لَا قِبَلَ لَهُم بِهَا"

    Maksudnya : “Nanti kami akan menyerang mereka dengan tentera yang tidak boleh mereka hadapi.”

    Dan dikatakan orang yang bermimpi melihat dia bersama tentera dan jumlah tentera itu sedikit maka mimpi itu menunjukkan dia akan mengalahkan musuh-musuhnya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat : 249.

    "كَم مِن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذنِ اللهِ"

    Maksudnya : “Betapa banyak kejadian kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang banyak dengan izin Allah.”

    Dan siapa yang bermimpi melihat ia di dalam sesuatu peperangan dan terdapat di atas mereka debu atau asap hitam, maka mimpi itu tiada kebaikan di dalam mimpi itu baginya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah ‘Abasa ayat : 40-41.

    "-وَوُجُوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيهَا غَبَرَةٌ -41- تَرهَقُهَا قَتَرَةٌ -40"

    Maksudnya : "Dan ada pula muka (manusia) pada hari itu, di atasnya ada debu -40-. Ditutupi awan hitam -41-."

    Dan siapa yang melihat dua orang askar saling berbunuh-bunuhan, maka yang menang dalam mimpi itu antara kedua-duanya, dia akan dikalahkan (di luar mimpinya).

    Dan berkata sebahagian ahli takwil mimpi, “Sesiapa yang melihat dua orang askar bercampur di dalam satu peperangan untuk saling berbunuhan kemudian kedua-duanya berdamai maka sesungguhnya kebaikan akan menaungi mereka. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah an-Nisa’ ayat : 128.

    "وَالصُّلحُ خَيرٌ"

    Maksudnya : “Berdamai itu lebih baik.”

    Jika anda bermimpi yang sama, maka ini adalah takwilnya. Saya pernah melihat syahid_zul menulis di status-Ymnya tempoh hari ayat ‘mimpi perang’. Adakah mimpinya kena dengan takwil ini?

    Bahana ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’.

    Entri ini menceritakan tentang kesan atau hubungkait dunia pembloggan dengan peristiwa semasa yang berlaku. Saya pautkan fakta berkenaan Top Blogger di Arab Saudi iaitu Fuad Farhan yang ditahan tanpa sebab selama tiga bulan dan juga berita tentang pembebasan beliau. Begitu juga saya selitkan isu semasa di Mesir tentang Mogok Umum secara besar-besaran yang berlaku dua kali iaitu pada tarikh 6 April dan 4 Mei. Saya turut menyatakan kedua-dua fenomena ini adalah kesan daripada dunia pembloggan. Saya kuatkan fakta ini dengan keratan-keratan akhbar yang saya baca di Internet yang boleh dibaca melalui klikan pada nota-nota kaki entri berkenaan.

    Namun, dek kerana hanya tajuk yang kononnya‘peliknya bunyi’ maka berlakulah kesilapfahaman. Seorang blogger telah membuat satu entri di blognya yang tidak lain tidak bukan adalah refleksi daripada entri saya tersebut. Sungguh ini adalah kesilapfahaman. Kesilapfahaman blogger berkenaan dalam memahami tajuk entri saya.

    Kerana itu, saya rasa saya perlu menulis semula demi membetulkan kesilapfahaman ini dari ianya terus menjadi fitnah. Bukan dari jadi fitnah bagi saya sahaja, malah dari jadi fitnah bagi semua. Kerana blog saya dibaca ramai dan mungkin yang lain juga ada silap faham seperti blogger berkenaan.

    Ramai yang silap faham apa itu maksud ‘Bahana’. Saya suatu ketika dahulu begitu jua. Rata-rata apabila mendengar perkataan bahana, mereka merasakan maksudnya seerti dengan kata ‘bencana’, ‘malapetaka’, ‘bahaya’, dan ‘bala’. Namun apabila saya membuat sedikit rujukan[2] kata ‘Bahana’ langsung tidak bermaksud sedemikian.

    Saya telah membuat carian maksud kata berkenaan di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka dan hasil yang diperolehi amatlah memuaskan. Untuk melihat maksud penuh bagi kata berkenaan, klik sini.[3]

    Menurut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar pula, kata ‘Bahana’ diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris kepada dua maksud :

    1 - loud sound or noise.

    2 - result, effect, change produced by action or cause.

    Jelas sekali, kata ‘Bahana’ membawa maksud bunyi yang bising atau kuat dan maksud kesan atau impak atau perubahan yang dibuat atau disebabkan oleh sesuatu perbuatan. Saya telah memilih terjemahan atau maksud yang kedua untuk dimuatkan dalam entri saya.

    Dek kerana kesilapfahaman itu, maka jadilah entrinya berbaur membangkang isi saya. Sungguh dalam isi kandungan entri saya itu, saya tidak mengatakan dunia pembloggan membawa bencana. Cubalah kalian membaca semula, dan kalian akan mendapati benarnya.

    Berikut adalah apa yang dikatakan oleh blogger berkenaan,
    “Aku agak pelik dan terkilan bagi mereka yang mengatakan blog ini merupakan pemangkin pencetusnya bahana yang menimpa dunia kini. Mengapa, kerana aku memperhatikan "statement" sebegini hanya dinukil oleh blogger di dalam blog peribadinya.”

    Jelas sekali beliau tersilap faham maksud perkataan ‘Bahana’. Kerana dari ayatnya, kita faham seolah-olah beliau memahami kata ‘Bahana’ sebagai malapetaka dan bala. Dan kerana kesilapfahaman ini maka tertulislah entri beliau. Nampaknya titik perselisihan yang membawa kepada kesilapfahaman adalah kalimah ‘Bahana’. Kalimah yang disilapfaham inilah yang bagaikan menyebabkan isi kandungan entri saya tertolak langsung olehnya.

    Adakah kerana sepotong kalimah yang ada pada tajuk, maka seluruh entri dipersalahkan? Adakah hanya kerana sesisir pisang yang busuk kita katakan setandan yang busuk?

    Pernah tidak kalian membaca tajuk-tajuk berita di akhbar yang amat mengejutkan kalian, dan kerana yang demikian kalian membaca segala isi kandungan berita berkenaan kerana mahu mentakkidkan? Namun, setelah membaca segala isi berita tersebut, rupa-rupanya tajuk berita itu hanyalah sekadar ayat pusing untuk menarik minat pembaca dan kadang-kadang isinya langsung lari dari tajuk dan jika dikaji semula tajuk dan isinya, itu hanya akan membuatkan kalian tersenyum. Ini kerana tajuk itu hanya digunakan untuk menarik perhatian.

    Setiap kali saya membuat posting, maka saya akan mencari perkataan yang boleh menarik minat pembaca. Ini kerana minat membaca yang saya perhatikan ada pada semua, amat rendah nilainya.[4] Jadi untuk menarik minat semua, saya telah menggunakan teori tajuk akhbar tadi. Dan kebanyakannya telah berhasil. Ambil contoh, tentang entri ‘Saya Tidak Akan Takwil’, berapa ramai antara sahabat-sahabat saya menyangka saya telah menjadi Wahabi dengan hanya membaca tajuk entri berkenaan? Namun, setelah dibaca semua isi entri, rupa-rupanya yang tidak mahu ditakwil hanyalah mimpi. Bukan ayat Al-Quran yang kebanyakannya memerlukan pada takwilan.

    Begitulah juga, ketika saya membuat entri ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’. Asalnya, saya ingin membuat tajuk yang berbunyi ‘Jangan Pakai Baju Hitam’ agar ia jadi perhatian. Namun kerana saya ingin mengaitkannya dengan kesan dunia pembloggan, saya telah mengambil kata yang membawa maksud kesan atau impak. Semuanya agar pembaca terfikir kenapa pula blog ada kesan dan kaitan dengan baju hitam. Tapi, nampaknya teori itu tidak berjaya buat kali ini. Semuanya kerana ketidakmampuan pembaca memahami dan kesilapfahaman mereka pada makna. Apapun, yang konkrit adalah saya tidak pernah memaksudkan ‘Bahana’ sebagai malapetaka dan bencana.

    Itu penjelasan yang pertama.

    Yang kedua pula.

    Pernah tidak, kalian mendengar pepatah mat saleh ‘Don’t Judge A Book by Its Cover’. Teori itu juga boleh digunapakai di sini. Adakah sesebuah buku itu tetap dikatakan tidak berkualiti hanya kerana tajuknya yang merapu atau kulitnya yang buruk sedangkan isi kandungannya yang amat bagus dan berkualiti? Jika tetap dikatakan tidak berkualiti, maka itu satu kekejaman.

    Dan jika maksud kata ‘Bahana’ di sini tetap beliau terjemahkan sebagai ‘malapetaka’ sedangkan beliau telah membaca kandungan entri itu yang langsung tidak ada maksud sedemikian, maka mengatakan isi kandungan entri itu memperlekehkan kemampuan dunia pembloggan juga adalah satu kekejaman. Sama seperti kekejaman menilai seluruh isi buku dengan hanya melihat kulitnya seperti yang diulas di atas.

    Jika ada kata dalam entri saya itu yang mengatakan dunia pembloggan membawa malapetaka atau bencana, maka seteruk-teruk kata dalam entri berkenaan yang mungkin membawa maksud begitu adalah perkataan ‘bahaya’, iaitu ketika saya menanya pada permulaan entri saya,
    “Bahaya sangatkah untuk terjun ke dunia pembloggan?”

    Namun, saya telah menjawab soalan saya itu di bahagian kedua entri itu dengan mengatakan,
    “Dan jawapan untuk soalan saya yang mula-mula tentang adakah bahaya terjun ke dunia pembloggan, rasanya tak perlulah dijawab. Subjektif itu semua. Cuma lihatlah pada kesannya, dan janganlah perlekehkan kemampuannya.”

    Adakah jawapan saya kepada soalan yang saya sendiri tanyakan itu ada berbaur mengatakan dunia pembloggan ini membawa malapetaka. Tidak sama sekali. Dan sungguh dalam entri itu hanya kalimah bahaya itu sajalah yang ada membawa maksud demikian. Mujur, akhirnya maksudnya terbukti bukan me’malapetaka’kan.

    Katanya lagi,
    “Oleh itu mengapa dan kenapa "beliau" mesti untuk menafikan kepentingan blog dalam menyebar maklumat atau sebagainya.”

    Sungguh saya tidak menafikan blog sebagai tempat menyebar maklumat, jika saya menafikannya, masakan saya menulis entri ‘Jom Hospital’.

    Katanya lagi,
    “Terus aku katakan tidak setuju bahawasanya blog sebagai pencetus revolusi kerana penulis-penulis blog ini menulis sesuka hati mereka tanpa ada satu undang-undang yang khusus membicarakan tentang blog ini.”

    Seperti yang saya katakan tadi, kerana kalimah sebutir, akhirnya seolah-olah seluruh isi entri saya beliau tolak. Tidakkah beliau perasan bahawa perkara ini benar-benar berlaku? Tidakkah beliau mengikuti paparan isu semasa? Saya rasa saya sudah masukkan video berkenaan isu ini. Lihat video Esraa Abdul Fatta itu semula dan baca keratan akhbar ini. Klik sini. Saranan saya adalah agar beliau dan kita semua banyakkan membaca dan peka dengan isu semasa. Kerana jika kita tidak melakukan yang demikian, maka beginilah jadinya.

    Dan ini pula adalah katanya yang terakhir,
    “Secara konklusinya,andai kalian mengatakan ianya bahana atau wabak baru yang melanda umat akhir zaman kini apakah bukti kalian sedangkan di sana ada manfaat yang dapat kita ambil. Dengan menjadikan "penulisan blogger yang sesuka hati"dengan sesuka hati juga kita mengatakan blog pembawa bahana dan bencana. Wah, jika sesenang itulah cara kita satu-satu membuat kesimpulan tanpa melihat kepada maslahah dan mafsadahnya, aku percaya itulah yang sebenarnya yang menjadi bencana kepada kita.”

    Sungguh, saya tidak katakan adanya bencana padanya. Dan kerana saya tidak mengatakannya, maka tidak perlulah saya buktikannya. Bahkan, seperti yang saya nyatakan dalam entri saya, mogok 6 April yang dicetuskan ideanya oleh para blogger itu seolah-olah telah menyebabkan kenaikan gaji para kerani. Bukankah itu kebaikannya? Harap-harap dunia tahu siapa yang menulis sesuka hati.

    Dan, saya rasa eloklah jika blogger itu membuat kajian semula. Dan tidak usahlah saya memberitahu siapakah dia yang menulis sedemikian rupa, meskipun tulisan di blognya ada banyak yang baik-baik. Kerana jika saya memaparkannya, itu adalah menambah aib padanya dan aib itu sifatnya menutup yang baik-baik. Cuma, eloklah untuk beliau memperbaharui entri tersebut dengan membuang sesuatu yang tidak berasas, dan jika sesuatu itu berasas pun, maka asasnya adalah kesilapfahaman.

    Maafkan saya wahai semua jika terkasar bahasa, saya hanya mempertahankan diri saya daripada tuduhan yang sebenarnya hanya silapfaham. Moga-moga silapfaham itu tidak membawa pada dosa.

    Itulah bahana-bahana tiga entri mutakhir blog ini. Moga ia mematangkan dan saya belajar dari pengalaman.

    Buat akhirnya biarlah saya ceritakan sedikit tentang blog ini.

    Blog ini bukanlah blog yang dibina terburu-buru kerana saya rasa cemburu melihat orang lain mempunyai blog. Tetapi blog ini sebenarnya sebelum dipublikasi kepada umum telah dirancang selama setahun lebih. Saya merancang tentang apa yang perlu dimuatkan, tentang golongan sasaran, kadar tenaga dan masa yang layak untuk dipergunakan (agar tidak terbuang kedua-duanya begitu saja) dan juga kemampuan saya untuk istiqomah meneruskan.

    Jadi sepanjang tempoh itu, saya telah banyak memerhati, mengkaji, membaca blog orang lain, melihat jatuh bangunnya sesebuah blog dan belajar daripada orang lain. Sepanjang tempoh itu juga, saya berlatih menulis dan cuba mengikut pelbagai kursus penulisan yang diadakan.

    Sepanjang tempoh itu juga, saya sibuk mencari gaya penulisan yang patut saya persembahkan dengan membaca pelbagai jenis buku dari genre agama dan sastera serta majalah-majalah yang ada.

    Saya juga telah mengumpul fakta-fakta yang diperolehi sepanjang tempoh itu melalui saluran-saluran berita dan dokumentari yang menjadi ‘saluran-mesti-tonton’ di televisyen rumah saya seperti France 24, DW-TV, JSC, Al-Jazeera, Al-Arabiya, BBC dan CNN.

    Selain itu juga saya turut membaca akhbar-akhbar berbahasa Arab dan Inggeris samada edisi bercetak atau di internet, dan telah menandakan yang mana lebih memberi manfaat.

    Dan itu semua adalah persediaan saya. Persediaan yang serius dan setahun lebih lamanya.

    Lalu dari situ, bolehlah dikatakan, blog ini bukan blog main-main dan sekadar cuba-cuba. Penulisan di sini juga bisa dikatakan penulisan yang serius dan jika ada sesuatu yang dikatakan sebagai ‘main’ dalam penulisan di blog ini, maka ‘main’ itu adalah bermain dengan fakta-fakta yang benar, tanpa memusingkannya dan berdiri tegak padanya sekadar kemampuan.

    Dan kerana itulah blog ini dinamakan Abqori, kerana saya ingin cuba untuk mewujudkan Abqori yang dinanti dalam jiwa saya ini.[5]

    Oleh itu, jika ada unsur-unsur untuk menjatuhkannya samada secara langsung atau tidak langsung, maka tindakan itu adalah amat dikesali dari pihak penulis blog ini.

    ---

    NOTA KAKI :

    [1]^Al-Harb dan al-Qital kedua-duanya membawa maksud perang.
    [2]^Hanya sedikit dan sungguh ia tidak perlu banyak.
    [3]^Link ini adalah bahagian yang paling penting di dalam entri ini untuk menjelaskan kesilapfahaman sesetengah pihak. Wajar saya kata kalian wajib klik pada link berkenaan.
    [4]^Pernah sekali salah seorang sahabat bertanya kepada saya, beberapa hari selepas entri ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’ dipos, “Kenapa tidak boleh pakai baju hitam? Adakah kerana tidak mahu menyerupai orang Yahudi?” Saya jadi amat terkejut dan inilah buktinya bahawa ramai yang tidak ada minat membaca. Anda patut bersyukur jika membaca hingga ke takat ini kerana anda memang mempunyai minat membaca yang tinggi. Saya tanyakan padanya daripada mana beliau mendapat berita berkenaan. Katanya ada seorang kawan memberitahu. Saya tidak salahkan beliau kerana tidak membaca kerana katanya beliau telah klik untuk membaca namun tidak berjaya. Yang patut dipersalahkan adalah sahabatnya yang mereka-reka cerita dan sungguh saya tidak mahu tahu siapakah orangnya.
    [5]^If you do not know what the word abqori means, you best find it on the dictionaries.

    ---

    REHAT-REHAT :

    Setelah letih membaca entri ini, marilah kita sama-sama rehat-rehat, tenangkan fikiran dan melapangkan dada sambil kita mendengar nasyid ini. Sempena Hari ibu ini, marilah kita mengingati jasa Ibu kita yang tercinta.

    Labels: , ,

    Permulaan Musim Panas

    Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.

    Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

    Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

    Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.

    Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

    Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

    Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan [2]. Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

    Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka, “Alangkah nikmatnya jus delima ini”. Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

    Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.

    “Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”

    Lalu jawab si penjaga, “Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya. Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

    “Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas harta yang dilarang dimiliki olehnya. Atau mungkin ada fakir miskin yang dicemuh dan diperkosa hak mereka olehnya. Atau mungkin dia mengungkit bakti yang pernah dicurah dahulu dengan kemuliaan, pada orang jelata. Hinggakan Tuhan jadi sangat murka padanya. Lalu diazablah Tuhan seluruh hak milik kerajaaannya. Dengan Tuhan tarik segala keberkatan yang ada pada langit dan bumi kerajaannya. Sehingga tidak tinggal satu berkat pun melainkan telah ditarik jua.

    “Dan tuan hamba, kita rasa mungkin kerana itulah jus yang kedua teramatlah pahit rasanya. Berbeza dengan yang pertama meskipun kedua-dua datang dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama dan di sebalik daun yang sama. Meskipun kedua-dua diperah dengan cara yang sama. Kerana rasa kita, telah berubahnya hati si raja.”

    Mendengar jawapan penjaga kebun, bergetarlah hati si raja. Ketar-ketirlah seluruh kaki hingga ke lututnya. Mula berpeluhlah tapak tangannya. Dan tidaklah disapu tangannya yang berpeluh itu melainkan bertemu dengan keringat takut di mukanya. Terasa bagai dihempap dengan batu yang berat. Hingga tertunduklah dia, kerana takut dan malu yang amat sangat. Kerana sebenarnya raja ini terbaiklah amat. Cuma dek kerana terlintas di hatinya kejahatan dan dek kerana penarikan rahmat itu amatlah cepat. Lalu dia jadi kebingungan dan pening memikirkan. Masakan firasat orang di tengah hutan ini bisa sama dengan isi hatinya, sedangkan tidak bertahu olehnya bahawa dia adalah raja. Namun, ilmu dalam dada si raja membuatkan dia percaya. Hingga teringat raja kata penasihat agamanya yang menaqalkan sabda Baginda :

    “Takutlah kalian pada firasat seorang yang beriman. Maka sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dengan cahaya Allah”.

    Hingga bertambah kecutlah hati raja. Dan kecut ini bukan calang-calang. Hinggakan air mata jadi berlinang. Buatkan penjaga jadi bingung dan pelik seribu gaya. Mahu saja ditanya kenapa tapi ditahannya saja. Kerana dia dan raja baru berjumpa, dikenalnya pun baru sekerat mana. Tapi bagi raja, hatinya mula mengucap istighfar. Berulang-ulang hingga terbit secara ikhlas pada mulutnya. Ingin saja dia menyalahkan dirinya. Dan memang itulah yang diperbuat olehnya, dan disegerakan taubat dalam atmanya. Diperbetulkan segala niatnya. Untuk tidak merampas kebun delima larangan. Kerana kebun itu milik orang. Bukannya tidak bertuan. Dan tidaklah dibuat begitu melainkan agar datang kembali rahmat. Dilimpah semula yang berkat-berkat. Aman makmur seluruh jagat. Diazamnya sekuat-kuat, untuk tidak mengulang buat. Dan mintanya pada Tuhan agar diberikan alamat. Petanda menunjukkan dosanya telah diangkat, dan tidak sia-sia dia berbuat taubat. Hinggalah akhirnya, setelah datang keyakinan, si raja mengangkat muka, memandang tepat pada penjaga. Terus ke dalam matanya. Seolah-olah ada yang mahu dipinta. Hingga akhirnya penjaga dapat membaca dengan jelas, tanpa was-was. Menangkap maksud mata si raja.

    Lalu berangkatlah penjaga, memetik semula buah delima. Sekali lagi dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama, dan disebalik dedaun yang sama. Diperah dengan cara yang sama dan dibawa kepada si raja. Dan si raja pula tika dihidangkan, penuh perasaan mengharapkan tanda bahawa taubat diterima, dan dengan nama Tuhan menghirup semula. Tapi kali ini, rasanya berbeza dari rasa kedua bahkan berbeza dari rasa pertama. Kerana rasa yang ini lebih manis darinya, bahkan terlalu ekstra manisnya dan super pekat dari yang mulanya. Hinggakan si raja bagaikan tidak mampu percaya. Dan membuatkan dia ingin bertanya lagi kepada penjaga, kenapa jadi begini. Kerana raja percaya bahawa firasat penjaga itu firasat mukmin soleh yang benar, bisa dipegangi.

    “Wahai penjaga yang budiman, sesungguhnya hamba ini amatlah takjub sekali. Dalam hati ini, penuhlah persoalan sekali. Bertubi-tubi menekan mengharap jawapan. Kerana rasa buah ini pelik sekali. Berubah-ubah. Bertukar-tukar. Dan kini ia berubah lagi. Menjadi manis tiada berperi. Lebih manis dari yang pertama tadi. Tahukah dikau kenapa ia jadi begini, wahai tuan empunya firasat yang benar sekali?

    Berkatalah penjaga, “Sungguh untuk ini tiadalah juga bagi kita jawapan yang sempurna. Hatta untuk meneka pun, belum tentu kan kena. Cuma ada firasat yang hampir sama saja. Bahawa raja telah suci kembali hatinya. Bersih dari segala noda yang datang mencelaka. Telah dibetulkan niat dihatinya. Bahawa tidak mahulah si raja membuat aniaya. Merampas harta rakyat jelata. Kerana harta itu haram baginya. Dan telah bertaubat nasuhalah dia. Bahkan Tuhan telah menerima taubatnya. Hinggakan rahmat dan berkat dilimpahkan semula. Bahkan dilimpah berganda-ganda. Lebih banyak dari sebelumnya. Hingga jika mampu dilihat dengan mata rahmat itu pada turunnya. Nescaya terlihatlah ia melimpah ruah hingga tempias ke negeri-negeri jirannya. Dan jika ada kawasan yang kering kontang seribu tahun, maka kawasan itu kan berair semula. Sungai yang tercemar kan bersih kembali. Binatang yang mandul pun bisa beranak seribu sehari. Dan bergembiralah tuan hamba kerana raja kita itu telah berubah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya raja yang mudah sedar dengan kesalahan sebegini, terdiri dari zuriat yang baik-baik. Anak orang-orang yang bertaqwa. Dan andainya raja ini terus sedar, nescaya kita percaya bahawa kerajaan yang diperintahnya akan terus dinaungi rahmat. Mendapat berkat, yang bisa memenuhi langit dan bumi negerinya.

    “Dan kerana itulah, jus delima yang ketiga ini lain sekali rasanya. Lebih elok rasa dari yang yang kedua, bahkan lebih manis dari yang pertama. Dan tidaklah itu berlaku melainkan kerana kejahatan telah musnah, nikmat telah ditambah dan taubat telah diterima. Bergembiralah, kerana dari firasat kita air matamu itu amat berharga. Tetapi tak tahu juga kita, kerana meskipun air mata tuan hamba telah perginya, senyum tawa tuan hamba itu seolah-olah ada nilai yang sama. Moga firasat kita ini ada betulnya.”

    Lalu jadi puaslah hati si raja. Kerana mendengar jawapan penuh geliga. Tiadalah lagi syak dalam hatinya. Bahawa taubatnya telah diterima. Maka terbitlah kembali mentari hatinya. Hilang serta merta rasa duka. Bahkan bertambah-tambah sukacita, beramian perasaannya. Hingga tiadalah yang paling gembira pada zaman dan waktunya, melainkan dialah orangnya. Langsung dipeluknya penjaga kebun. Mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kerana memberi pengajaran yang tidak ternilai. Hingga berazamlah dia untuk terus adil dalam menjalankan urusan. Baik kenegaraan ataupun kerakyatan. Agar terus turun rahmat Tuhan. Dan agar kekal rahmat itu sepanjang zaman.

    Dipecut kudanya sepantas mungkin. Dalam gembira, menyusur kembali, mencari jalan pulang. Meskipun tidak tahu arah sebenar kerana asalnya sesat, tetap saja dipecutnya. Semuanya kerana yakin dengan rahmat yang telah dilimpah ruah Tuhan. Dan kerana itu juga dia yakin akan ketemu semula hulubalang- hulubalangnya. Si raja terasa angin yang bertembung laju dengan mukanya, amat segar sekali. Lalu angin itu mengusap rambutnya, amat seronok sekali. Lalu angin itu turun menyapu telinganya, amat tenang sekali. Dia menunggang dengan pantas. Amat pantas. Dan angin yang segar tak henti-henti membelai. Rasa yang menyeronokkan. Menyegarkan. Menambah kekuatan. Menghilangkan keserabutan. Segar sekali.

    Hai, andainya mampu merasa lagi perasaan itu di musim panas ini, alangkah indahnya.
    Bagi saya pula, Molto itu saya makan begitu saja, meskipun pelik kerana telah kurang isinya. Cuma tadi langsung tidak terfikir untuk bertanya tuan kedai kenapa tiga hari lepas Molto itu lima ketulan dalamnya. Dan hari ini pula telah kurang se. Sedangkan Molto yang dulu saya tetap beli dari syarikat yang sama, yang berbeza hanya kedai dan waktunya. Tapi jika benar kurangnya se kerana ditarik rahmat padanya, perbezaan kedai dan waktu membelinya itu tidak akan dikira. Cuma yang jadi terfikir, adakah jika saya bertanya, jawapannya adalah sama dengan jawapan penjaga. Namun rasanya tak mungkin sama, kerana saya bukan raja. Kerana hati saya dan hati raja tidaklah sama. Tentang bersih kotornya, dan juga terang gelapnya. Tetapi bagaimana jika tiba-tiba jawapan yang diberikan sama. Rugi rasanya tidak mencuba. Biarlah. Cuma harapnya selepas ini akan jadi lima kembali ketulannya. Atau kalau lebih nikmat dan berkat yang diturunkan semula, biarlah bertambah-tambah jumlahnya. Bayangkan jika selepas ini Molto itu ada sepuluh ketulan roti di dalamnya. Adakah mungkin?

    Hai hati yang kotor, jadi bersihlah!

    Cuma akhiir-akhir ini jadi kasihan mendengar rintihan Emak di Malaysia yang menceritakan makanan kegemaran beliau juga ditimpa nasib yang sama. Kalau dahulu satu ringgit untuk tiga buku roti paun, kini dua ringgit baru boleh untuk memperolehi ketiga-tiga bukunya.

    Hai hati yang jahat, bertaubatlah!

    Bulan lepas beras yang dibeli masih lagi 57 pound, kini telah 70 pound naiknya. Udahlah banyak bubuk dan teruk sekali kualitinya. Entah berapa kali diadu tetap belum ada langkah yang dibuat.[3]

    Hai hati yang dibisik iblis, tangkislah!

    Emak kata kakak-kakak yang tinggal di kota kini sudah jarang pulang. Namun Emak tak sedikit pun marah, bahkan Emak amat faham. Sangat-sangat faham. Kerana kakak-kakak juga faham. Bahkan telah menceritakan pada Emak agar Emak jadi faham. Tol, minyak, semuanya buatkan buatkan semua orang mula faham.

    Hai hati yang mahu senang, fahamlah!

    Melihat orang yang membeli isy mengerutkan kening hingga bertemu kedua-duanya buatkan kita rasa ada bala menimpa. Ini berlaku buat kali pertama. "Wahid binus sigenih! Mus ma3ul, ya 3amm!"[4] Tapi itulah realitinya. Adakah mata yang melihat hanya mampu bersedih saja?

    Hai hati yang keras, lembutlah!

    ---

    NOTA KAKI:
    [1]^Mafhum daripada Surah Al-Quran.
    [2]^Teruskan membaca dan anda akan faham kenapa saya mengatakan ianya kebun larangan.
    [3]^Harga beras terkini untuk beras yang datang dari Filiphina ialah 90 Pound.