<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Buku-Buku

Saya pulang ke tanah air dengan pelbagai niat di hati. Antaranya untuk menguruskan sesuatu yang telah lama saya ketinggalan.

Buku-buku.

Ianya adalah sesuatu yang telah lama saya rindukan. Kerana telah lama ia saya tinggalkan. Bukan dengan sengaja, tapi kerana suasana yang kurang menggalakkan.

Hidup di luar negara kadang-kadang menjadikan tangan dan kaki kita terikat. Ini kerana banyak apa yang diminati terpaksa kita selamattinggalkan. Ambil kes saya sebagai contoh. Buku-buku.

Selepas sampai ke Mesir, saya berubah menjadi seorang yang langsung boros dalam membeli buku-buku. Saya jarang memikirkan tentang harga buku yang akan dibeli jika telah jatuh minat saya padanya. Walaupun harganya memungkinkan saya makan Syibsi sehari sebungkus selama sebulan, saya tetap akan membelinya walaupun dengan membelinya saya akan mengalami krisis kewangan. Lebih-lebih lagi ketika Ma3rad. Ketika itu, jika ada yang gila pergi, nescaya badan yang berisi boleh jadi kurus tak berbunyi.

Namun, ketika itu meskipun banyak kitab yang diborong, belum pasti membacanya dapat menghasilkan seribu kepuasan. Faktor kerana, luar negara. Membeli buku di luar negara adalah sesuatu yang boleh berubah menjadi sesuatu yang menjengkelkan jika anda tidak ada kemahiran membaca. Mustahil buku ini adalah berbahasa Melayu (kecuali Indonesia). Buku-buku ini pasti sekali ditulis dalam bahasa ibunda negara berkenaan. Jika negara China, maka bahasa Cinalah ia. Jika negara Surinam, maka berbahasa Jermanlah ia.

Kerana itu, saya menipu jika saya katakan saya tidak rindu untuk membaca buku-buku berbahasa Melayu. Rindu yang sangat-sangat rindu. Ini kerana setiap kali membeli buku, maka buku itu pasti berbahasa Arab atau Inggeris.

Di Mesir, meskipun buku-buku berbahasa Melayu memang boleh juga didapati, namun jumlahnya amatlah kecil sekali. Boleh dikatakan selepas dua bulan ataupun setengah bulan, baru ada sebuah buku keluar. Itupun jika ada yang golongan yang sedang dalam kursus Master yang rajin menulis. Jika bukan tulisan, pasti terjemahan. Namun itu belum tentu dapat memuaskan semua pihak. Bagaimana dengan mereka yang lebih cenderung kepada cerita-cerita berbentuk Islami? Buku-buku begitu belum pasti dapat ditemui di sini.

Pernah sekali, ketika mahasiswa-mahasiswa baru tahun 2007 sampai ke Mesir, saya terjumpa dengan seorang dari mereka yang membawa penuh dalam tiga buah begnya buku-buku berbahasa Melayu. Ketika itu, saya teruja bukan main. Saya terus berangan-angan untuk mengisi masa lapang saya beberapa bulan ke hadapan dengan membaca buku-buku tersebut. Lebih mengujakan, buku-buku itu adalah yang baru diterbitkan. Ingin saja yang meminjamnya terlebih dahulu tanpa izin dan memintanya kemudian. Tambahan lagi, waktu itu, hanya saya seorang sahaja yang berkhalwat dengan segala isi beg-begnya. Saya melihat tajuk buku-buku itu satu demi satu. Saya telah meneliti mana yang sesuai dibaca terlebih dahulu. Namun selepas sedikit istighfar dan selepas merasakan seolah-olah perbuatan saya itu adalah kerja jahat, niat itu saya batalkan. Mujur saya tidak terlanjur, dan mujur juga buku-buku itu tidak ternoda. Meskipun begitu, saya sedikit kesal kerana setelah beberapa kali menziarahi rumah junior berkenaan, tak pernah saya melihat buku-buku itu dipamerkan untuk pembacaan. Jika dipamerkan, sekurang-kurangnya ada ruang untuk saya memintapinjam darinya. Mungkin beliau menyembunyikannya kerana beliau tahu buku-buku begitu payah untuk didapatkan di sini.

Dahulu, ketika lawatan Perdana Menteri ke Mesir, ada cadangan dari pihak pelajar agar dibina sebuah perpustakaan perdana bagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja menampilkan kitab-kitab berbahasa Arab bahkan juga buku-buku berbahasa Melayu yang didatangkan khas dari tanah air. Namun kesal sekali, cadangan itu akhirnya umpama tangisan bayi yang tiada berdodoi kerana apabila berita tentang lawatan beliau itu keluar di surat khabar, tiada sedikit pun komen tentang cadangan itu ditulis, bahkan cadangan dari pelajar perubatan untuk menambah wang poket mereka sahaja yang dicatatkan. Mungkin kerana pelajar yang memberi cadangan itu dianggap oleh mereka bakal menentang kerajaan agaknya.

Di mana-mana pun, rakyat Malaysia pasti menganggap mereka adalah lebih baik daripada rakyat Indonesia. Di Mesir pun begitu juga. Tetapi bila disebut tentang perpustakaan mereka di luar negara, kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya perlu malu membalut muka. Ini kerana rakyat Indonesia di sini sudah punya sebuah perpustakaan perdana sejak agak lama. Cuma kita sahaja yang tidak ketahuan. Kesal juga kerana saya belum pernah menjejakkan kaki ke sana meskipun pernah diajak oleh mereka.

Kalaulah ada perpustakaan sedemikian dan dimiliki oleh rakyat Malaysia, pasti saya tidak akan sangat-sangat teruja apabila pulang ke Malaysia. Masakan tidak? Tiga tahun sudah saya tidak melihat pemandangan buku-buku berbahasa ibubonda tersusun rapi dan kemas di rak-rak yang berderet-deretan. Itulah yang sangat-sangat saya rindukan. Kalaulah saya terjumpa semula keadaan itu, saya lebih rela membaca sampai ketiduran bersama-sama mereka daripada tertidur hina kerana menonton Naruto.

Kerana itulah pada hari pertama kepulangan saya saja, saya sudah pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman untuk melampiaskan rindu saya pada mereka. Hampir RM200 telah saya habiskan pada hari berkenaan di kedai-kedai buku di situ. Hari ketiga pula saya tambah lagi kegilaan itu dengan RM100 wang terpijak yang diperoleh dari seorang saudara bau-bau bacang selepas solat Jumaat. Meskipun hal itu mengundang seribu nasihat dari ahli keluarga saya agar saya berjimat, saya tidak sedikit pun kesal. Yang pasti, dengan nasihat itu, saya akan beringat. Tambahan lagi apabila buku-buku berbahasa Melayu di Malaysia adalah super mahal. Ambil contoh, buku Aku Terima Nikahnya tulisan Ustaz Hasrizal berharga RM20.90 sedangkan majalah di Mesir yang setebal buku berkenaan hanya berharga Egyptian Pound 1.50. Sudahlah mata wang Ringgit Malaysia lebih besar dari Egyptian Pound.

Buku-buku yang banyak itu akan saya habiskan pembacaannya pada cuti kali ini. Saya tidak begitu berniat untuk kerja sambilan hatta walau menjadi guru sementara. Meskipun ketika solat di surau, ada pakcik yang menanyakan bukankah cuti tiga bulan saya itu tanpa sebarang pekerjaan bagaikan sedikit pembaziran. Bagi saya, tidak, kerana saya ada buku-buku untuk dibereskan. Lagipun jika saya bekerja, bagaimana dengan nasib buku-buku berkenaan. Lihat saja kawan saya yang pulang bercuti dari UK. Apabila saya ceritakan padanya bahawa saya hanya duduk di rumah membaca buku, beliau rupa-rupanya sedikit cemburu kerana cutinya yang singkat terpaksa dihabiskan ¾ daripadanya untuk latihan internship.

Buat kawan-kawan di Mesir, apabila saya kembali ke sana nanti, saya ada projek mega berkenaan buku-buku ini dengan anda semua. Buat pembaca-pembaca blog ini, rasanya sekarang pasti anda tahu kenapa telah agak lama tidak dipos sebarang entri. Cuma jangan risau, saya ada banyak idea untuk diceritakan dan bahan-bahan untuk diulaskan apabila telah tamat pembacaan saya ini.

Terima kasih kepada orang-orang kampung yang ada mengirim wang pada saya sehingga memungkinkan saya membeli buku-buku ini sejurus selepas saya sampai. Terima kasih kepada abang ipar yang juga ada menambah sedikit wang. Terima kasih pada semua yang membantu.

Alhamdulillah.

Labels: , ,

 

for this post

Mula Mengomen