<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d5937407827965732325', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Imtihan #3 : Jahat, Dosa dan Hikmat Mata Kucing Shrek 2

Ini Bahagian ke-2. Mula membaca dari Bahagian pertama.

Suatu malam, setelah siap urusan di Zaqziq, Abqori pulang ke New Damietta City. Abqori berhenti di Mansurah untuk bertukar Tremco. Abqori naik dan dapati ada satu tempat kosong di kerusi belakang. Jika Abqori duduk di situ, maka Abqori akan duduk di tengah-tengah dua orang Mesir. Di sebelah kiri seorang pakcik tua yang berumur awal empat puluhan. Dan di sebelah kanan, seorang remaja lelaki yang setahun lebih tua dari Abqori. Abqori memang minat kerusi di belakang. Lebih-lebih lagi yang di tepi tingkap. Terasa bagaikan dunia ini Abqori yang punya jika dapat duduk di situ. Namun duduk di tengah-tengah apa salahnya, janji di kerusi belakang.

Naiklah Abqori akan Tremco itu dan mengucapkanlah Abqori kepada mereka perkataan salam. Dijawabnya mereka dan terputuslah dialog antara kedua-duanya. Itupun hanya buat sementara. Lalu mereka menyambung semula perbualan mereka. Mungkin sangka mereka, Abqori tidak faham perbualan mereka. Namun hakikatnya, Abqori faham sedikit sebanyak apa yang diborak mereka. Tetapi ketahuilah, ketika itu Abqori agak emosi kerana letih dan rasa yang kurang selesa. Kurang selesa kerana sepanjang perjalanan di Mansurah, kulit cerah asiawi Abqori asyik ditelek orang Mesir sahaja. Kadang-kadang Abqori rasa, mereka ini baru kali pertama melihat orang ajnabi sebegini masuk ke tempat mereka. Agaknyalah. Ataupun mungkin mereka cemburu melihat sweater musim sejuk Abqori yang bercorak bunga-bunga nusantara. Cuma yang pasti Abqori sedang emosi dan tiada mood untuk melayani apa-apa reaksi. Abqori letih yang tidak terperi.

Pakcik di sebelah kiri Abqori itu, pakaiannya amatlah segak pula. Tidak tahu Abqori apa kerjanya. Namun sudah pasti gajinya agak mahal juga. Tak kalah juga dengan remaja yang duduk di kanan Abqori. Pakaiannya yang tampak seperti remaja elit itu saja sudah buatkan Abqori kenal dia itu dari keluarga yang bukan sekadar berpendapatan sederhana.

Lalu berkata-katalah si pakcik, meluahkan rasa takjubnya kerana mendengar Abqori memberi salam. Dan ditanyanya dari mana asal Abqori dan kemana mahu pergi. Ingin saja Abqori berpura-pura tidak tahu Bahasa Arab kerana malas melayani demi rasa letih dan emosi yang berpusing-pusing tak henti-henti. Namun dijawab juga oleh Abqori, tapi dengan jawapan yang cuba menampakkan bahawa Abqori sedang letih sekali. Harap-harap pakcik itu faham. Namun orang Mesir bila sudah bertanya, mereka akan terus-terusan mengali. Maaflah pakcik, Abqori sedang letih ini!

Ditanyanya lagi, kali ini tentang kenapa Abqori memberi salam. Soalan yang membuatkan Abqori menangis dalam hati. Tak dijawabnya Abqori dan cuba Abqori berlagak menguap-nguap mahu tidur. Namun ditanyanya jua, dan Abqori terus ditanyai lagi. Sungguh, Abqori ada jawapan yang paling praktis untuk soalan ini dan jawapan itu bisa jadi sebab hidayah jika digunakan oleh Abqori di sini. Tapi, Abqori amatlah emosi dan akhirnya kerana tak tahan ditanya, Abqori tidak menjawab dengan jawapan yang boleh jadi sebab hidayah itu. Bahkan Abqori menjawab begini,

"Al-mafroud, mafisy had biyas-al sualan zai kidah. Kullun nas biya3lamunal igabah."[13]

Jawapan yang amat tidak sesuai. Mujur suara Abqori tidak tinggi. Namun jawapan itu serasanya sudah cukup untuk membuatkan pakcik itu terhiris hati. Yang membolehkan dia merana diri. Jadilah pakcik itu diam tidak menjawab. Dan Abqori pula jadilah menyesal tidak bersudah. Segera Abqori meminta maaf. Abqori katakan,

"Ma3alish saiyidi, ani fil hayyi-ah ta3ban lithulil masafah".[14]

"Tak mengapa. (Jawapan) Kau benar sekali. Mari, letakkan di ribaanku begmu yang berat itu. Mari."

Mendengar jawapan dan pelawaannya itu. Hati Abqori jadi basah. Rasa mahu menangis saja. Abqori menyesal sepenuh jiwa. Meskipun telah diucapkan minta maaf kepadanya, Abqori tak rasa telah cukup itu semua. Maafkan Abqori, pakcik! Abqori tak sengaja telah menzalimi pakcik. Abqori kejam. Percayalah, Mak Abqori tak pernah mengajar Abqori untuk berperangai begini. Kakak-kakak dan saudara-saudara lelaki Abqori juga tak pernah mendidik Abqori untuk buat begini. Bahkan nenek Abqori punya sepupu sebelah mak tiri pun tak pernah menyuruh Abqori buat perkara-perkara begini. Janganlah salahkan mereka. Salahkanlah Abqori yang sebenarnya masih kurang pandai mengawal emosi.

Lalu, ditariknya pakcik itu beg Abqori, namun Abqori menolak pelawaan yang akan menyusahkannya itu. Ditariknya lagi. Namun Abqori tetap tidak memberi. Tremco pun berjalan dan Abqori beristighfar mengawal emosi. Diazam Abqori untuk tidak akan lagi buat begini. Tak kira pada sesiapa pun. Samada pada orang Malaysia, orang Mesir atau juga pada orang-orang Parsi.

Setelah lima belas minit Tremco berjalan, Abqori dapati pakcik tadi sudah kelenaan. Emosi Abqori yang terganggu tadi juga sudah memperoleh ketenangan. Dikeluar dari beg Abqori novel Weil China.[15] Dengan cahaya handphone 3315 Abqori, Abqori suluhkan pada mukasurat yang sedang Abqori baca. Tanpa Abqori sedari, selama lebih sepuluh minit pembacaan, sepanjang masa itu jugalah rupa-rupanya ada sepasang mata sedang memerhati Abqori membaca. Lalu tuan punya mata itu pun mula mengambil langkah utama.

"Can I see your book?"

"Sure."

"Is it in English?"

"No, it is in my language. Malay."

"About what?"

"A story about communism, ideologies and stuffs like that."

Tak sangka remaja sebelah kanan Abqori ini fasih speakingnya. Kami langsung borak-borak dan bercerita ke sini sana. Dia adalah pelajar kuliah kejuruteraan di Mansurah. Tinggal di New Damietta City dan setiap hari berulang-alik. Kami bercerita tentang minat masing-masing. Oh, rupa-rupanya banyak yang sama. Shakespeare, Ahmed Zewail dan macam-macam lagi. Dia mengajak kami bertukar nombor telefon dan dia juga mengajak Abqori pergi ke kenduri kahwinnya. Tiga bulan lagi, kurang lebih. Kami bercerita penuh ramah sekali. Dan Abqori ketika itu, tidak sedikit pun emosi.

Hingga Abqori tersedar yang pakcik tadi tidak lagi dalam keadaan lenanya. Bahkan telah jaga dan dia perasan benar kami berdua amatlah ramah berbicara. Perkara yang sekali lagi buatkan Abqori menyesal.

Mungkinkah pakcik itu akan terkilan dengan sikap Abqori? Mungkinkah dia akan terfikir bahawa orang tua sepertinya Abqori layan seperti apa, tapi remaja yang lebih kurang sebaya Abqori, Abqori layan bagaikan raja? Oh, hati Abqori basah lagi buat kali yang kedua!

Abqori bukanlah orang yang tidak tahu beradab. Bahkan Abqori amat tahu ertinya adab. Cuma dek kerana Abqori agak emosi lalu terjadilah begini.

Tahukah pakcik? Bahawa jika soalan pakcik itu dilontarkan ketika Abqori merasa ketenangan, nescaya soalan itu akan Abqori jawab dengan jawapan ini,

"Supaya datang di dalam hati kita sesama umat Islam ini rasa kasih sayang".

Jawapan yang dahulu pernah Abqori gunakan ketika menjawab soalan orang tabligh Mesir ketika di kota Cairo semasa Abqori di tahun satu. Jawapan yang Abqori gunakan untuk menjawab soalan orang tabligh itu tentang kenapakah kita pergi menziarahi sesama orang Islam.

Dan tahukah pakcik? Jika emosi Abqori tenang jawapan Abqori itu tidak akan berhenti di situ, bahkan jawapan itu akan Abqori lampirkan dengan hadith Nabi yang selalu Abqori bacakan pada muqaddimah beberapa tazkirah Abqori. Iaitu hadith Nabi yang berbunyi,

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian semua beriman, dan kalian tidak akan dinamakan beriman sehingga kalian semua saling cinta-mencintai. Tidakkah kalian semua suka jika aku menunjukkan kepada kalian sesuatu yang jikalau kalian semua melakukannya tentu kalian akan saling cinta-mencintai? Iaitu sebarkanlan salam antara sesamamu semua."[16]

(Riwayat Muslim)

Tapi pakcik, Abqori gagal menjawab pakcik dengan jawapan-jawapan ini. Semuanya kerana Abqori emosi. Maafkanlah Abqori.

Rasa Abqori, jika Abqori berada di Malaysia, Abqori tidak akan berani untuk berbicara dengan orang-orang tua dengan menggunakan ayat yang Abqori katakan kepada pakcik itu tadi. Ini kerana orang-orang di Malaysia itu mempunyai adab yang amat tinggi. Namun mungkin kerana Abqori sudah banyak kali melihat remaja-remaja Mesir yang lantang bersuara semasa berbicara dengan orang-orang yang lebih tua dari mereka, samada menegur atau dalam bual-bual biasa, Abqori rasa Abqori terkesan dengan mereka semua. Apatah lagi apabila perkara ini di Mesir dianggap seperti hal yang biasa dan jarang-jarang sekali ada teguran untuknya. Bahkan hal-hal demikian dapat dilihat di mana-mana di Mesir.

Kerana itulah, Abqori amat-amat setuju apabila seorang sahabat Abqori yang zuhud ada menyatakan,
"Jangan diajar kepada bangsa Arab itu Feqah, kerana mereka itu faqih semuanya. Bahkan ajarkanlah kepada mereka Adab, kerana Adab mereka itu amatlah rendahnya. Tetapi orang Malaysia pula hendaklah diajarkan kepada mereka Feqah, kerana itu adalah kelemahan mereka. Namun jangan terlebih-lebih mengajar mereka Adab, kerana mereka itu raja dan ratu dalam mengamalkannya."[17]


Namun dek kerana Abqori telah terkesan, Abqori rasa Abqori patut mengubahnya semula dan kembali kepada adat Abqori yang penuh keadabannya. Bukan setakat itu saja, bahkan selepas ini jika ada orang-orang Malaysia yang suka mengutuk orang-orang Mesir depan-depan nescaya Abqori akan mempertahankan mereka. Sekurang-kurangnya dengan menyatakan pada mereka agar kutuklah orang Mesir di belakang, dan bukan ketika orang Mesir itu masih di depan mereka. Mentang-mentanglah orang Mesir tidak faham bahasa mereka, mereka ini main kutuk sahaja sesedap rasa.

Semua itu akan Abqori lakukan demi menebus dosa. Manalah tahu, kiranya orang Mesir yang Abqori pertahankan itu ada bau-bau bacang dengan si pakcik. Sekurang-kurangnya terkena juga pada pakcik jasa bakti Abqori.

Berbalik kepada Tremco tadi. Lalu sampailah Tremco itu ke NDC dan pakcik tadi mahu turun lebih awal. Di sebuah tempat yang telah Abqori hafal kerana Abqori amat berharap dapat berjumpa pakcik itu sekali lagi. Pakcik meminta izin untuk turun dan Abqori sekali lagi memohon maaf. Namun senyuman tawarnya belum lagi memuaskan hati Abqori. Sebelum Tremco bergerak meninggalkannya, Abqori ada juga mengangkat tangan ke arahnya. Namun balasan lambaian tangannya yang kurang bermaya itu belum mampu membuatkan Abqori puas hati dan merasa telah dimaafi. Kesal sekali.

Dan lebih kesal lagi apabila Abqori terlupa menggunakan hikmat mata Kucing Shrek ketika ini. Kalaulah sempat menggunakannya, rasanya Abqori tak perlu susah payah menulis entri ini.

Apapun pakcik, Abqori berazam tidak akan berperangai begini lagi. Kerana sudah cukuplah kejahatan Abqori. Dunia sudah tahu akan busuknya dan janganlah ditambah lagi akan baunya. Hikmahnya, Abqori perlu belajar mengawal emosi. Kena pandai mengawal emosi. Biar diri jadi fleksibel dalam apa jua ketika. Tak terbawa-bawa dan mengelak dari nampak tidak matang kerana main mengikut emosi saja. Juga tentang kisah dengan pelajar Mesir tadi, hikmahnya Abqori jadi rapat dengan muroqib yang terkena hikmat mata Kucing Shrek Abqori tadi. Tamat peperiksaan, kami berbual-bual dengan perbualan yang penuh ilmiah sekali. Beliau kini jadi sangat hafal nama Abqori dan selepas itu, jika kami bertembung maka kami akan main-main mata menunjukkan kami telah mula ada koneksi. Sampaikan Abqori pula sekarang asyik teringat-ingat akan beliau sebelum Abqori beradu dalam mimpi. Apatah lagi apabila muroqib itu kini telah keluar TV.[18] Nampaknya Abqori tak silap orang dalam menggunakan hikmat. Bukan calang-calang orang pula yang tertawan.

Alahai, Mesir Mesir! Sudahlah sejak dahulu lagi dunia banyak masuk dalam hati Abqori. Kini kamu pula yang main curi-curi ruang di sini.
---
NOTA KAKI :
[13]^ "Sepatutnya, tiada orang bertanya soalan sebegini, sebabnya semua orang tahu jawapannya sendiri."
[14]^ "Maafkan saya, pakcik. Saya sebenarnya letih sangat sebab dah jauh sangat berjalan."
[15]^Novel ini ditulis oleh novelis Emine Sen yang juga menulis novel yang meletup Maria. Dahulu novel Weil China ini pernah dicetak oleh PMRAM (Persatuan Mahasiswa Malaysia Mesir). Namun kini, ia tidak lagi diterbitkan. Sayang sekali.
[16]^Kitab Riyadus Solihin. Karangan Imam Nawawi. Hadith ke 845, dalam Bab ke 13. Kitab Bersalam, Keutamaan Mengucapkan Salam Dan Perintah Untuk Menyebarkannya.
[17]^Bagi Abqori, seeloknya perkataan Bangsa Arab itu ditukar kepada orang Mesir. Kerana seingat Abqori orang Arab Jordan amat tinggi juga adab mereka. Kata sahabat Abqori itu, kalam ini bersanad. Samada dari ustaznya atau sesiapa, Abqori kurang pasti.
[18]^Untuk menonton rancangan beliau, sila tune to Channel Al-Rahmah, setiap hari Ahad, pada pukul 2:15 petang. Ulangan pada pukul 3:00 pagi.

Labels: , , ,

 

for this post

Mula Mengomen