<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Saya Bukan Si Budak Pengembala

Saya sedang sibuk menghadapi peperiksaan yang sebulan lamanya. Sepanjang tempoh ini, saya akan cuba untuk tidak menulis entri yang baru dan entri-entri yang akan dimasukkan adalah entri-entri yang ditulis sebelum waktu peperiksaan. Harap maklum.


Ketika kecil-kecil dulu, pernah saya mendalami kisah yang sering dan akan terus jadi masyhur dalam pemikiran seorang insan yang bergelar kanak-kanak. Kisah seorang budak pengembala yang menternak kambing-kambing di atas bukit tinggi. Lalu kerana bosan walaupun sedang bekerja menjaga kambing-kambing milik tuannya. Dia mendapat satu fikiran yang kotor, iaitu ingin mengenakan penduduk kampung dengan menjerit memberitahu penduduk kampung bahawa serigala datang menganggu ternakannya. Harapannya agar penduduk kampung akan bergegas membantunya dan dia pada masa itu akan pura-pura tidak tahu apa yang berlaku.

Demi menjerit, seluruh penduduk kampung naik ke puncak bukit untuk mendapatkannya sekaligus menolongnya. Namun semuanya kecewa dan marah di dalam hati, kerana apabila setelah berpenat lelah mendaki dan berlari tak cukup tanah, rupa-rupanya mereka ditipu mati-mati. Budak pengembala itu hanya mempermainkan mereka. Ketika itu, masing-masing nekad tidak akan tertipu buat kali kedua.

Perkara sebegini bagaikan pernah terjadi pada saya baru-baru ini.

Saya sebenarnya bukanlah seorang penulis yang cemerlang. Hasil tulisan saya tidaklah sedalam mana memberikan kesan dalam hati pembaca. Tapi saya sering mencuba. Menulis dan terus menulis. Dan dalam tak sedar, saya sudah punya kumpulan hasil tulisan saya sendiri yang sebenarnya belum pernah dikongsi baca dengan orang lain. Dan saya amat menyayanginya hatta kadang-kadang saya merinduinya. Untuk mengulang bacanya. Meskipun itu telah beribu kali saya lakukan.

Namun bagi orang lain yang tidak tahu nilainya, bagi mereka mungkin itu hanyalah perkara biasa. Ya, kerana mereka tak pernah merasa lelah, capek, derita ketika saya menghasilkannya. Ditambah lagi dengan hasil-hasil tulisan saya itu yang tidak mampu memberi makna yang dahsyat lagi mengesankan pada deria yang menangkap benda-benda yang indah, mungkin saja kerja saya itu tak lebih dari seketul batu di tepi jalan, tetapi masih lagi menyakitkan mata. Apa-apa pun pendapatnya pada orang lain, semua itu bagi saya bagaikan permata di dasar lautan yang saya sendiri menyelam ambil. Sangat berharga.

Sebab itulah apabila pernah sekali ketika tersalah usik komputer dan saya menyangkakan saya telah terbuang kesemua kumpulan hasil kerja itu ke Recycle Bin, saya menjerit sedih sekuat-kuat hati. Itupun setelah saya terkilan senyap dahulu dan termenung beberapa saat kerana tidak mampu percaya. Lebih menggalakkan kesedihan ialah dalam masa yang sama saya telah mengosongkan segala isi Recycle Bin itu. Hanya nama Tuhan saja yang saya mampu sebut ketika itu. Saya bagaikan padam.

Lalu kerana ada yang prihatin selaku orang yang terdekat di tanah asing ini, dek terdengar laungan saya yang mungkin bagi mereka tidak kena pada situasi itu, mereka mendapatkan saya sebagaimana orang-orang kampung mendapatkan budak pengembala di atas bukit. Lalu setelah mengetahui kisah sebenarnya, reaksi mereka berubah. Sangka mereka ada hal-hal yang betul mengejutkan tetapi rupa-rupanya ter”delete file”. Sesuatu yang secara logik tidak berpadanan dengan refleksi yang ganjil.

Sungguh saya amat takut jika mereka menyimpan perkara ini di dalam hati dan jadi serik seperti orang-orang kampung.

Ingat lagi tidak kisahnya, ketika budak pengembala menjerit buat kali kedua ketika serigala betul-betul datang untuk bukan saja meragut ternakannya bahkan nyawanya, tidak ada seorang penduduk kampung pun yang datang menyelamatkannya. Itu semua kerana mereka tidak mahu diperbodohkan buat kali yang kedua. Lalu sesalan yang bukan pendapatan sebelum saat-saat akhir nyawa budak pengembala di cabut itulah, yang jadikan saya merasa dukacita, takut, ragu-ragu akan dipercaya lagi dan menyesal.

Saya sering diajar untuk jangan sekali-kali cuba mengurangkan kepercayaan orang lain ke atas diri saya. Kerana untuk mendapatkan percaya itu, derita sekali, tapi untuk menghilangkannya, itu adalah lebih mudah daripada memetik jari. Sungguh pada masa saya terbuang fail-fail itu saya merasa dihempap sesuatu yang berat. Kalau tidak, takkanlah suara saya berubah. Saya tahu saya kadang-kadang dikenal dengan ketidakseriusan saya yang sering kelihatan. Tapi itu tidak bermakna saya tidak pernah serius. Lebih-lebih ketika ia berkaitan dengan sesuatu yang berharga.

Saya tahu budak pengembala itu berakhlak jahat. Dan jeritannya yang cuba mempermainkan itu bagaikan menyerupai cerita saya. Tapi percayalah saya lakukan itu bukanlah kerana isi hati saya dan dia sama. Namun, itu terjadi secara tiba-tiba. Reaksi spontan semata-mata. Bukan dibuat-buat dan direka-reka. Walaupun, setelah dikaji semula kesilapan saya, fail-fail itu tidak terbuang, bahkan hanya teralih masuk ke folder lain saja. Saya harap di sana akan ada orang yang memaafkannya. Kerana sungguh saya tak pernah mahu jadi budak pengembala. Mati dalam keadaan terhina.

Hai, alangkah indahnya kalau semua dapat merasa betapa bernilainya berlian yang saya sendiri membentuknya. Pasti mudah untuk semua memahaminya. Maafkan saya wahai mereka yang merasa tertipu. Andainya selepas ini ada jeritan untuk kali yang kedua. Dan ia dilaungkan juga oleh saya. Percayalah, memang ketika itu benar-benar telah datang sang serigala.

Saya menjumpai sebuah entri di blog kegemaran saya yang turut menggunakan kisah yang sama seperti di atas. Untuk membaca, klik sini.

Labels: ,

 

for this post

Mula Mengomen