<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http://abqori.blogspot.com/search&amp;blogLocale=en&amp;v=1&amp;homepageUrl=http://abqori.blogspot.com/&amp;vt=5937407827965732325" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Alim #2 : Surat Kematian Orang Alim

Setelah bercinta bagai nak rak dengan seorang alim sebelum ini, ingin saya kisahkan pula tentang kematian seorang alim yang amat-amatlah membuatkan saya rasa bahawa dunia ini makin sempit serta gelap-gelita untuk satu tempoh masa yang lama. Namun, kematian ini bukanlah kematian orang alim yang saya ceritakan sebelum ini.

Ini adalah tentang pemergian orang alim yang juga merupakan pemegang teraju tarikat Asy-Syazuliah Al-Qauqujiah Al-Muhammadiah di Mesir. Walaupun beliau tidak dikenali ramai dan tidaklah masyhur semasyhur ulama-ulama Mesir lainnya, serta mukanya tidak terpampang di dada-dada akhbar, namun ulama-ulama besar banyak sekali yang datang dari seluruh dunia menuntut dengannya. Bahkan Mufti Mesir dinihari iaitu Doktor Ali Jumaah dan Asy-Syeikh Ibrahim Al-Kittani seorang Muhaddith di Alexandria juga tersenarai di antara talaamiiznya.

Yang teristimewanya adalah beliau mempunyai gelaran Al-Arif Billah di depan namanya. Tahu-tahu sajalah bahawa gelaran itu hanyalah diberikan kepada para wali, jadi eloklah saya sebutkan nama beliau di sini kerana sifat mencintai insan-insan sebegini mestilah dibina di dalam hati-hati mereka yang melalui lorong-lorong sufi. Tak hairanlah beliau kurang masyhur dan hanya dikenali oleh orang yang benar-benar ahli, kerana bukankah antara sifat-sifat orang-orang sufi ini adalah meminggir diri?

Yang menguntungkan pula, semasa kehidupannya, beliau tinggal amatlah berhampiran dengan New Damietta City. Cuma yang malangnya tak ramai rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan untuk mengenali beliau secara dekat. Bahkan boleh dikira dengan hanya menggunakan jari jemari sahaja akan jumlah mereka yang pernah melakukan sedemikian.

Mungkin hal ini berlaku kerana faktor kesihatan beliau yang telah amat tua. Juga mungkin kerana faktor kurangnya penghayatan jiwa dalam memuliakan orang-orang alim di kalangan kita rakyat-rakyat Malaysia. Boleh jadi pula kita kurang penghayatan kerana dunia dah banyak mengambil ruang dalam hati kita sehingga kita tak rasa ada apa-apa kelebihan walau sedikit pun pada diri mereka.

Setelah setahun lebih pemergian beliau, eloklah saya sebutkan kembali namanya agar ingatan rakyat-rakyat Malaysia kepadanya tidak luput ditelan zaman. Biarlah mereka yang masih baru jadi ketahuan bahawa dahulu New Damietta City ini pernah mempunyai zaman kegemilangan. Ketika masih hidup orang alim yang menjadi tumpuan turunnya Rahmat Tuhan.

Setahun lebih dahulu, inilah surat yang saya tulis dan tujukan buat sahabat-sahabat saya melalui emel sebaik sahaja mengetahui berita pemergian beliau. Moga dengan mempublikasi surat ini di blog ini pula, ingatan kita kepadanya tidak luntur dan kita terus dapat mengambil iktibar dari apa-apa yang telah kita terlepaskan. Bacalah ia dengan penuh penghayatan.

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ini adalah makluman khas dari saya buat seantero sahabat-sahabat Damietta saya sekalian. Syeikh Al-Allamah Agung Al-Musnid Syeikh Saad Al-Badran telah kembali ke Rahmatullah beberapa hari lepas. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh beliau dicucuri Rahmat. Dengan kewafatan beliau ini, maka telah jatuh atau turunlah sanad Mesir kerana mereka kini tak punya lagi sanad Syeikh yang amat 'aalii atau tinggi itu. Manusia dari seluruh dunia pernah datang menemui beliau untuk mengambil sanad darinya, hatta orang-orang Wahabi yang terkenal dengan ketaksuban pada mazhab[1] mereka dan me-rad hadith musalsal pun turut mengambil sanad darinya dan mengakui keilmuannya.

Dan kini, beliau telah wafat maka Dunia Ilmu Hadith kini amat-amat merasai pemergian beliau.

Dan buat kita pula, sahabat-sahabat Damietta sekalian, dengan kewafatan beliau ini, inilah peluang untuk kita mengkoreksi diri. Selama kehidupan beliau yang tempat tinggalnya tidak jauh dari kita, sejauh manakah kita memanfaatkan ilmunya? Dan pernahkah kita meriwayatkan walau satu hadith pun darinya? Sedangkan manusia dari seluruh dunia datang mencarinya demi itu, tetapi kita pula yang dekat, kita langsung lalai dan tak pernah meriwayatkan darinya bahkan langsung tidak pernah melawat ke rumahnya di Kafr Saad itu. Jika ini berlaku pada kita, sahabat-sahabat Damietta sekalian, marilah sama-sama kita muhasabahkan diri dan rasanya wajar untuk kita menyesali hal ini, agar ianya tidak berulang lagi. Patut timbul rasa sedih dalam diri kita atas kerugian kita yang amat dalam ini dan patut kita salahkan diri kita atas kesalahan yang amat besar ini.

Saya masih ingat lagi ketika Syeikh Roslan yang menjadi ketua pada Muhadhoroh yang berlangsung di rumah Syeikh tiap-tiap malam Jumaat, pernah bertanya pada saya,
"Kenapa kamu orang-orang Malaysia datang melawat Syeikhku? Dan dari mana kamu mengenalinya?"
Lalu jawab saya dalam Bahasa Arab -moga betul terjemahannya-,
"Sebahagian daripada kami pernah berjumpa dengan Doktor Ali Jumaah, dan dia berpesan pada kami, kamu sekalian, pergilah melawat Syeikhku di Dumyat, di Kafr Saad."
Dan beliau memaksudkan Syeikh Saad Al-Badran.

Pagi ini akan datanglah seluruh sahabat-sahabat saya dari Zaqziq, Tanta, Kaherah yang mengenali beliau serta pernah meriwayatkan hadith dari beliau ke rumah Allahyarham di Kafr Saad, mereka Insya Allah akan solat Jumaat di sana. Jadi sesiapa yang punya ruang dan peluang, marilah kita juga turut hadir. Buanglah rasa malu dalam hati dan rasa tebal di muka, kerana ini adalah kali yang terakhir.

Sama-samalah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada rohnya dan berdoa ke hadrat Ilahi agar kerugian kita ini tidak menimpa kita buat kali kedua. Al-Fatihah.

Ya Allah, Kau tak pernah kejam, bahkan akulah yang kejam.

Ya Allah, Kau tak pernah zalim, bahkan akulah yang menzalimi dirisaya.

Ya Allah, Kau tak pernah mensia-siakan, bahkan akulah yang mensia-siakan dirisaya.

Ya Allah, Kau tak pernah menarik nikmat, bahkan akulah yang berpaling darinya.

Ampunilah aku, wahai Tuhanku.

Jangan Kau biarkan perkara ini berlaku lagi.

Janganlah Kau biarkan kelalaian dan kerugian ini menimpa lagi.

Sesungguhnya aku kesal, dan memang patut aku kesal.

Ampunilah aku Wahai Tuhanku,

Sesungguhnya Kaulah Tuhanku Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah dedikasi khas dari saya buat diri ini dan sahabat-sahabat Damietta sekalian kerana kita adalah insan yang sebenarnya paling dekat dengan beliau. Al-Fatihah sekali lagi.

Yang Penuh Penyesalan dan Telah Ditimpa Kerugian,
Abqori.


NOTA KAKI SURAT:

Diharap kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapat menyebarkan berita ini kepada sahabat-sahabat Damietta lain yang tak dapat saya hantarkan emel ini, kerana nama mereka tiada di dalam list, dan juga kepada seluruh saudara seagama dengan kita.

Surat ini ditulis pada pagi hari, namun kerana masalah internet, ianya hanya dapat dihantar pada waktu petang. Tentang menziarahi maqam Syeikh, mungkin sahabat-sahabat sekalian boleh bincang sesama sendiri, rasanya tak perlu kita bergantung pada sahabat-sahabat kita dari Zaqziq dan lainnya, sedangkan kita sendiri tinggalnya di sini. Kalaulah kita tak melawat, rasanya sia-sialah kita belajar di sini dan dan menubuhkan DPM. Sungguh jika begitu, sia-sialah kita belajar di sini dan menubuhkan DPM.

----

NOTA KAKI ENTRI:
[1]^Mereka ada mazhab ke?

Labels: , , , ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Saturday, February 28, 2009
Jam 11:14 PM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     

    for this post

    Mula Mengomen