<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttps://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d1113511278717057062', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Saya Sebuah Basikal

Tulisan ini adalah adaptasi daripada beberapa buah kisah benar yang berlaku kepada orang-orang Malaysia di NDC. Ditulis ketika masih dalam suasana demam entri Bercinta Dengan Basikal di blog Hembusan. Untuk membaca cerita yang ditulis dalam suasana demam yang sama di sebuah blog yang lain, sila klik sini.


Hari ini aku dijagakan setelah hampir sebulan ketiduran. Badanku diusap lembut oleh seorang yang tidak aku kenali. Kulitnya cerah asiawi. Berbeza warna kulitnya dengan tuanku. Ini kali pertama aku melihat mereka yang berkulit begini. Kata tuanku aku akan dijual kepada orang yang mengusapku tadi. Orang Malaysia. Kata tuanku lagi, aku tidak lagi boleh terus ketiduran kerana sekarang telah tiba masanya untuk aku berkhidmat dan meninggalkan kedai. Tak sangka akhirnya basikal yang low class seperti diriku akhirnya dibeli jua oleh seseorang.

Dari bandar Old Damietta aku dibawa pulang ke rumah tuan baruku di New Damietta City. Sebuah bandar yang tersusun. Cantik. Kata tuanku baruku ini, Laut Mediteranean boleh kelihatan dari atas rumahnya, ini kerana rumahnya di tingkat yang teratas sekali. Aku sebagai sebuah basikal hanya mendengar sahaja katanya itu. Mustahil rasanya aku akan dibawa ke atas untuk melihat pemandangan yang dikatakan indah itu dari situ.

Hari pertama, aku dibonceng oleh tuanku ke kuliah. Sesampainya di kuliah, aku diparking bersama beberapa buah basikal orang Malaysia dan Thailand. Dapat aku berkenalan dengan kawan-kawan yang baru. Untungnya, kami berbicara dengan bahasa yang sama. Bagi kami kaum basikal, kami hanya memahami dan pandai bertutur dengan bahasa yang dituturkan oleh tuan-tuan kami sahaja. Kerana itulah, sejak dari tadi apabila aku bertembung dengan basikal orang Mesir, aku tidak pandai lagi untuk menegur mereka.

Setelah habis kuliah, tuanku mendapatkanku. Ramai kawan-kawannya yang terkejut kerana beliau dengan senyap-senyap mempunyai basikal baru. Aku juga menumpang merasa bangga. Tapi bangga itu tidak lama, kerana kasihan tuanku, beliau kemudiannya diketawakan dan diejek dengan nama yang tidak aku kenali. P. Ramlee. Kata mereka, menunggang basikal stail lama yang mempunyai tempat duduk yang tinggi sepertiku benar-benar menampakkan tuanku seperti seorang bujang lapuk. Kasihan tuanku.

Setelah seminggu, tuanku bercadang untuk memasang tempat duduk belakang. Dikhabarkan rencananya itu kepada seorang kawannya. Kata tuanku, niatnya tak lain dan tak bukan untuk mencari pahala lebih. Sekurang-kurangnya dengan adanya tempat duduk itu, beliau dapat menumpangkan seseorang ke sesebuah tempat tujuan. Tapi, kawannya itu seolah-olah memperlekehkan niat tuanku itu meskipun kawannya itu tidak menzahirkan penghinaannya. Mungkin dia tidak tahu, bahawa kami kaum basikal boleh menangkap maksud pandangan mata seseorang. Lebih-lebih lagi yang berniat jahat. Kawannya itu seolah-olah menuduh bahawa niat tuanku itu tidak lain dan tidak bukan hanya mahu membawa gadis-gadis Mesir dengan tempat duduk belakang itu nanti. Aku merasa geram sekali dan seperti mahu saja melanggar kawannya itu. Namun aku pasti tidak akan melakukan itu di hadapan tuanku.

Minggu kedua, tuanku dikejutkan dengan berita kehilangan beberapa buah basikal milik orang Malaysia yang telah belarutan selama seminggu. Katanya sepanjang minggu lepas, telah tiga buah basikal milik orang Malaysia yang kecurian. Paling sadis sekali adalah sebuah basikal yang berharga $100 dan baru dibeli seminggu turut kehilangan. Aku mula merasakan perasaan yang takut sangat. Bimbang dengan keselamatanku. Tapi tuanku yang baik hati itu pantas sekali menenangkan. Beliau seolah-olah faham akan kebimbanganku. Pada petangnya, beliau terus membawaku bersiar-siar dipesisir pantai Laut Mediterranean. Melihat pemandangan matahari terbenam dari situ amat indah dan cukup mententeramkan jiwa. Kalau diikutkan hati, mahu saja aku mengajaknya berkayuh terus menyelusuri pesisiran itu ke arah barat sehingga sampai ke Alexandaria. Atau ke arah timur sehingga sampai ke Bort Said. Namun, aku sungguh tidak sampai hati melihat beliau keletihan.

Suatu hari, aku dipinjam oleh seorang kawannya. Tuanku seperti biasa, yang merupakan seorang yang baik hati, terus menghulurkanku kepadanya sepenuh rela. Namun apabila aku mahu dipulangkan, kawannya itu telah tidak sengaja keciciran kunciku. Dia amat serba salah dan tidak tahu dengan cara apa untuk aku dipulangkan. Kaget bukan main. Berulang kali dia meminta maaf. Namun tuanku bersahaja saja dan tidak sedikit pun marah. Kata tuanku, beliau mempunyai kunci spare dan tidak perlu kegelisahan. Sungguh baik hati. Aku bangga menjadi miliknya dan mula amat sayang kepadanya.

Suatu hari, di waktu tengahari, tuanku berkunjung ke rumah seorang temannya. Aku diparking dibawah bersama sebuah basikal yang sangat jelita. Ayu rangkanya. Merah strawberi bodynya. Bercorak bunga tempat duduknya, juga panjang mengurai tali breknya. Betul-betul aku perlu menundukkan mata. Risau nanti terpikat. Apatah lagi kami ditinggalkan berdua-duaan. Tuanku pernah menceritakan bahawa Zulaikha itu tidak tahan melihat Yusuf dan mula mengodanya kerana mereka berdua sudah lama tinggal bersama dan hari-hari melihatnya. Siapa yang mampu bertahan.

Namun setelah sepuluh minit ditinggalkan, kami dapat melihat kelibat seorang orang Mesir yang seolah-olah berniat jahat berjalan ke arah kami. Ya. Dia memang berniat jahat. Untuk menculik salah sebuah dari kami. Kami berdua mula menjerit-jerit. Meminta tolong. Basikal-basikal lain yang tingal berdekatan juga turut menjerit-jerit. Basikal-basikal yang mempunyai loceng turut membunyikan loceng-loceng mereka. Namun entah kenapa jeritan kami itu, tidak ada orang mendengarnya. Pencuri itu mengeluarkan gunting yang agak besar lantas terus mencantas kunci basikal yang jelita itu. Sekelip mata saja, basikal yang jelita itu dilarikan dan hilang dari pandangan. Jeritannya yang bercampur tangisan itu sayup-sayup kehilangan. Dan aku pula yang bernasib baik ditinggalkan masih ketar-ketir kegigilan. Melihat sahabatku diculik didepan mataku itu membuatkanku jadi trauma. Tuanku dan tuan punya basikal tadi itu pun turun, kata mereka, mereka terdengar bunyi cantasan kepada sesuatu yang amat kuat. Namun semuanya sudah terlambat. Kulihat tuanku menenangkan sahabatnya itu.

Kurang ajar, nampaknya pencuri-pencuri ini telah melampaui batas. Sehinggakan di waktu siang pun, ada juga bangsa kami yang diculik mereka.

Kini telah sebulan peristiwa itu berlalu dan sekarang ada beberapa orang sahabat tuanku yang datang dari kota Cairo dan Zaqziq. Semuanya meminta tuanku menjadi travel guide untuk mereka ke Bort Said. Selain itu, mereka juga mahu ditemani untuk menyeberangi Terusan Suez sekaligus kembali ke Asia dan sekali-sekala meninggalkan Afrika. Wah, aku sungguh tidak pandai mengambarkan perasaan mereka yang telah sampai ke terusan itu. Menurut lagenda, di sebuah negara di Eropah sana, jika basikal-basikal di sana merajuk dengan tuan-tuan mereka atau ketahuan tuan-tuan mereka ada bermain kayu tiga, maka tuan-tuan mereka akan membawa mereka bersiar-siar di sebuah terusan yang amat romantik dan boleh menenangkan hati yang resah. Setelah itu, pasti basikal-basikal itu akan kembali tenang jiwanya.

Tapi aku tahu tuanku tidak akan sekali-kali berbasikal ke sana. Ini kerana jaraknya lebih kurang 50 KM dari residensi kami. Aku amat sedih sekali. Aku ditinggalkan dan dikuncikan di sebuah tiang di bawah rumah. Kata tuanku, jangan risau kerana beliau pergi tak lama. Bertolak waktu dhuha dan pulang sebelum maghrib. Mana mungkin akan dicuri. Jika beliau pulang malam, barulah beliau akan menyimpanku di dalam rumahnya yang tinggi di tingkat atas. Aku rasa tuanku sudah kelupaan agaknya. Tidakkah beliau ingat bahawasanya basikal yang jelita dahulu diculik pada waktu siang? Manusia memang cepat lalai.

Tuanku bertolak dan aku pun seperti biasa akan terus tidur jika tidak berkhidmat. Namun setelah beberapa lama, tidurku diganggu oleh suara-suara. Aku terasa seolah-olah ada dua orang yang berbisik-bisik sesama mereka dekat denganku. Aku tidak faham bahasa mereka kerana mereka orang Mesir. Namun apabila aku lihat wajah mereka, baru aku perasan salah seorang dari mereka adalah penculik dahulu. Aku terus menjerit meminta tolong kerana aku tahu kehadiran mereka adalah semata-mata mahu menculikku. Basikal-basikal yang tinggal berdekatan turut perasan dan menjerit sama. Dengan kasarnya, pencuri itu mencantas kunciku dan tanpa disedarinya, dia turut memotong tali brekku.

Mereka menaiki aku. Seorang duduk di depan dan seorang di belakang. Dikayuhnya pedalku selaju-lajunya. Aku menangis sekuat-kuatnya. Kini, aku akan dibawa ke sebuah tempat yang aku tidak tahu di mana. Aku akan diperlakukan dengan sesuatu yang tidak sewajarnya. Mungkin aku akan jadi bahan mainan mereka. Atau mungkin badan-badanku akan diceraikan mereka dan dijual secara berasingan. Diseludup secara haram entah ke mana-mana. Yang pasti, aku pasti tidak akan suci lagi. Aku lebih rela mati dari hidup begitu.

Mereka mengayuhku laju menghala ladang-ladang kurma yang di pinggir bandar. Mungkin mereka mahu menyorokkanku di situ buat sementara. Sebelum sampai ke situ, kebetulan ada sebuah kenderaan sewa yang lalu. Laju. Aku yang masih menangis teresak-esak tanpa berfikir panjang terus menghalakan tubuhku ke arah kenderaan itu. Tambahan lagi aku masih meluncur laju. Biarlah segalanya berakhir di sini saja. Aku lebih rela mati daripada berpisah dengan tuanku. Sekurang-kurangnya aku masih lagi setia padanya.

Si pencuri merasakan aku telah hilang kawalan. Ditekannya brek. Namun ia tidak makan kerana telah keputusan tali. Aku menghala ke arah kenderaan sewa yang laju itu. Dengan segala titisan airmata dan jeritan kedua-dua mereka yang hina itu, aku terus menghala ke arahnya. Maka bertembunglah kami dengan kenderaan sewa itu.

Terpelantinglah kedua-dua pencuri itu dan sebahagian tubuhku hancur ranap. Tayar depanku telah melayang entah kemana. Rim tayar belakangku patah semuanya. Aduh, sakit sekali! Kenderaan sewa itu berhenti. Beberapa orang keluar dan aku dapati seseorang yang amat aku kenali turut keluar darinya. Oh, ini adalah wajah yang kucintai. Tuanku.

Aku menjerit memanggil namanya. Namun beliau tidak mendengarnya. Beliau lebih rela mengangkat pencuri yang terlantar itu. Kalaulah beliau tahu aku adalah basikalnya, pastilah aku yang akan diutama. Aku menjerit lagi namun sudah tidak keluar suara. Aku tahu masaku tidak lagi lama. Aku terus memandangnya dengan lelehan airmata. Mengharap ada jelingan akhir darinya. Biar beliau tahu aku mati kerana tidak mahu haknya diperkosa.

Pandanganku makin kabur dan dalam kekaburan itu aku seolah-olah melihatnya memandang ke arahku. Sepertinya, beliau keliru. Dan beliau berlari anak ke arahku. Ya, beliau berlari anak ke arahku. Aku gembira, kini beliau yakin yang dilihatnya adalah aku. Namun masa telah tidak mengizinkannya. Aku telah menutup mata sebelum beliau sampai padaku. Nafasku tidak lagi berhembus.

Meskipun begitu, aku tetap terharu. Kerana sebelum pergiku, aku tahu tuanku telah mengenalpasti aku. Meskipun aku tak sempat merasa usapannya buat kali terakhir, aku tahu dengan berlarinya beliau ke arahku, dalam hatinya ada rasa cinta padaku. Aku tidak menyesal mati begini. Oh, tuanku!

Nota : Saya tidak pernah ada even a single bicycle sepanjang pembelajaran di Mesir.

Labels: , ,

 

for this post

 
Blogger aiyrie Says:

Assalamu'alaikum...

Saya memasuki blog Encik Abqori melalui pintu ajaib yang Encik Abqori letakkan di ruang komen blog Encik Tawel (hembusan). Saya klik, dan terus masuk ke entri "Saya Sebuah Basikal".

Setelah saya menamatkan pembacaan, baru saya sedar, mata saya kebasahan :p. Satu kisah yang amat menarik dan menggoncang emosi.

 
 
Blogger Abqori Bro Says:

Waalaikumussalam.

Memang kisah ini mampu menggoncang perasaan dan membuatkan hati sesiapa yang membacanya kebasahan. Bahkan saya yang membacanya buat kali yang ke entah berapa ini pun masih dapat merasakan. ;p

 

Mula Mengomen