<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttps://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d1113511278717057062', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Alim #3 : Pemergian Tuan Guru Haji Abdullah

Entri ini super panjang. Jika anda tiada masa untuk membacanya, saya cadangkan anda memuatturun entri ini versi PDF dan menyimpannya terlebih dahulu supaya boleh dibaca di masa-masa senggang.

Mula membaca daripada mula:

Musalsal Alim #1 : Bercinta Dengan Orang Alim

Musalsal Alim #2 : Surat Kematian Orang Alim

Di akhir zaman, Allah akan mencabut ilmu itu dengan mencabut nyawa para ulama. Itu adalah perkara yang pasti. Dan dalam hidup saya, saya telah melihat perkara itu berlaku berbilang kali. Banyak kali. Dan adakalanya, pemergian mereka itu memulas perit rasa sedih dalam hati. Sehingga terzahir kesedihan itu pada tulisan yang tak disedari dicoret untuk ditatapi dan diingati, oleh diri sendiri dan juga oleh sesiapa sahaja yang merasakan dia juga mahu mengingati.

Begitu jugalah dengan surat ini yang saya tulis dan hantar kepada rakan-rakan terdekat setahun dahulu. Semoga ia menjadi tanda ingatan dan satu pengajaran dari pengalaman. Agar selepas ini, tidak ada lagi orang-orang alim yang berani diri ini mensia-siakan.


------------------------------


Bismillahi wassolatu wassalamu 3ala rosulillah.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.

Meskipun saya banyak menulis, tetapi untuk tulisan yang kali ini saya tidak tahu mahu mulakannya dari mana. Jadi saya kisahkan dahulu satu cerita. Cerita yang benar-benar pernah terjadi dalam hidup saya. Yang sesungguhnya saya sering ingat selalu dan akan ingat sampai bila-bila. Tetapi sebelum itu, semua perlu tahu yang ini dahulu.

Selalunya saya malu untuk untuk mengaku saya adalah bekas pelajar sebuah pondok. Kerana kebiasaannya, mereka yang lepasan pondok, ilmu mereka setinggi langit, jiwa-jiwa mereka tenang, dan semuanya alim-alim belaka. Dan kerana saya tidak, ilmu langsung tiada, alim pun hanya sekadar pura-pura, rasa tebal di muka ketika mahu menyatakannya buatkan saya kerap menyimpannya saja. Apatah lagi apabila pondok yang saya pernah duduki itu adalah sebuah pondok yang masyhur dengan kealiman penerajunya.

Tuan Guru Haji Abdullah, Pondok Lubuk Tapah.

Sebut saja nama beliau, mereka yang adalah ‘ahlinya’ pasti terasa kehebatannya. Dan sebab itulah, kalau saya mengaku jua, saya bimbang jadi fitnah untuk mereka plus menjatuhkan kredibiliti Tuan Guru saya.

Lalu hendak dijadikan cerita, pada suatu ketika, telah tibalah masanya untuk saya meninggalkan tempat kesayangan saya itu kerana suatu sebab. Ketika itu, saya tidak tahu samada saya rela atau terpaksa untuk meninggalkannya. Namun apa yang saya tahu, saya perlu meninggalkannya juga. Hati mula rasa gundah gulana, sedih bertimpa-timpa. Dan demi kerana pendengaran Tuan Guru yang lemah kerana sudah agak berusia, tidak cara cara lain untuk saya menceritakan pada beliau tentang pemergian saya melainkan menjadikan surat sebagai pengantara. Lalu surat itu bagaikan ditulis dengan segala lelehan airmata. Segala sebab musabab saya coretkan jua, dan tiada yang lebih dalam permintaan saya melainkan doa selaksa.

Dan seperti hari-hari biasa selepas Asar adalah waktu untuk sesiapa yang ingin bertemu beliau menunggu di muka pintu rumahnya. Seingat saya petang itu, selain orang-orang kampung dan mereka yang datang dari jauh dengan pelbagai niat yang berbeza, hanya saya seorang sahaja antara pelajar pondok yang menunggu untuk bertemunya. Saya ditemani sahabat baik yang datang melawat pondok selama seminggu. Kerana demikian adalah kondisinya, orang ramai, saya utamakan dahulu tetamu-tetamu. Biarlah saya jadi yang terakhir, kerana saya juga takut jika ini jadi pertemuan terakhir. Kesemua masuk ke rumah, dan tinggal saya dan sahabat di beranda.

Dari situ, saya lemparkan pandangan penuh hiba ke arah pondok, kelas, masjid, kedua-dua rumah batu dan papan Tuan Guru dan kawasan pondok yang di depan mata. Saya cuba menatap dan menyimpan pemandangan itu dalam kepala. Risau ini kali yang terakhir. Apa yang saya dengar ketika itu adalah suara salah seorang guru mengajar kanak-kanak pondok kelas satu. Terdengar kejauhan. Sayup-sayup. Dan saya pula mengelamun sambil menunggu, dan terus menunggu membawa perasaan. Tak tahu apa yang difikirkan. Sedih. Dan masih menunggu.

Hinggakan sedar tak sedar, rupa-rupanya Tuan Guru telah berada di muka pintu. Apabila menoleh ke arah beliau, saya sangat terkejut. Kami saling berpandangan, lalu dengan suara yang tinggi, beliau berkata,
“Kenapa tak masuk?”
Akhirnya saya dimarah kerana lalai. Orang ramai rupa-rupanya sudah selesai hajat mereka dan yang tinggal hanya hajat saya sahaja. Memang sepatutnya saya sudah berada di dalam. Tapi dek kerana saya bermain-main dengan perasaan di luar, agaknya Tuan Guru tertunggu-tunggu saya di dalam.

Tuan Guru sebagai ulama besar, punya banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya tahu itu. Namakan saja ianya kesibukan. Kesibukan yang mengalahkan segala kesibukan semua pemimpin dalam dunia. Kesibukan memikirkan tentang umat. Kesibukan memikirkan tentang masalah umat. Kesibukan memikirkan tentang ilmu. Dan seribu satu kesibukan yang tidak pernah ada pada kita orang awam. Dan kerana itu, kelalaian saya yang membuatkan beliau tertunggu-tunggu amat saya kesalkan, dan memang wajar saya dimarahkan. Dan perasaan sedih untuk meninggalkan beliau yang tersayang, ditambah pula dengan dimarah oleh beliau yang diharap daripadanya pengampunan buatkan saya ketika itu jadi super lemah, tak terasa kaki masih berpijak. Ingin saja saya tangiskan, namun kerana di depan saya adalah orang yang amat saya hormat, saya tahankan. Lalu tangannya yang lembut saya cium penuh perasaan dan surat yang dipoket saya keluarkan dan terus hulurkan. Beliau membacanya dan saya menatap beliau dari belakang penuh kehibaan. Dia lalu berpusing dan langsung mendoakan. Beliau kini sudah tahu saya akan berpergian. Mencipta satu sesi perpisahan, demi pergi ke sebuah tempat yang ambil masa tahun-tahunan. Diberinya saya air jampi beserta azimat. Hinggalah tiba masa untuk kami berpelukan. Saya mendakap beliau erat-erat. Sangat erat. Dan dalam hidup saya mungkin itu adalah antara seerat-erat pelukan beerti yang pernah saya berikan. Penuh syahdu dan buatkan jiwa jadi sangat-sangat lesu. Saya pohon ampun maaf serta berlalu pergi, sambil diniatkan dalam hati, selepas pulang dari Mesir nanti, saya pasti akan kembali ke sini.

Kini, sudah masuk tahun ketiga saya di Mesir, dan suasana di sana amat saya rindukan. Tuan Guru tidak ada dosa dengan saya. Dan saya menceritakan ini, bukan untuk memburukkan beliau kerana pernah kemarahan, bahkan kalaulah marahnya itu satu keburukan maka nasabkanlah keburukan itu pada saya yang sebenarnya memang patut dipersalahkan kerana kelalaian. Kerana bagi saya dialah Murabbi Kesayangan, insan yang umpama ayah, amat saya sayang dan rindu-rindukan.

Dan beberapa hari yang lepas, selepas waktu Isya’, ketika majlis Aqiqah, saya menerima mesej yang berbunyi,
‘Salam. Tuan Guru Haji Lah Pondok Lubuk Tapah telah meninggal. -Al-Fatihah-’.
Dan selepas melalui segala yang telah saya kisahkan, perasaan pertama yang terbit dalam hati saya selepas mendapat berita sebegitu sudah pasti adalah .................


[Dapatkan buku ABQORI untuk membaca kesudahan tulisan ini. Anda boleh menempahnya menggunakan borang online ini. Pembelian, pembacaan, dan penyebaran anda, sangat saya hargai dan saya menganggapnya sebagai sokongan, dorongan dan dokongan anda kepada saya untuk terus lebih berkarya lagi.]

Labels: , , ,

 

for this post

 
Blogger aiyrie Says:

Assalamu'alaikum,

Solawat dan Salam ke atas junjungan kita, Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat baginda keseluruhannya.

Tuan Abqori,

Tidak ada kesedihan yang menimpa diri yang lebih patut disedihkan dari pemergian ulama-ulama akhirat ini.

Bukan hanya penuntut ilmu agama sahaja yang patut mengenal mereka, bahkan seluruh umat islam mesti mengenal mereka ini. Malanglah umat, jika tidak mengetahui siapa guru yang membawa ajaran agamanya.

Memang benar kata-kata "hikmah itu milik umat islam, maka ambillah ia walau dimana kamu jumpai". Namun bagaimanakah kita hendak menilai adakah sesuatu itu adalah hikmah atau tidak. Jika seseorang mempunyai hikmah, nescaya ia akan membawanya kepada kebenaran yang menatijahkan pengakuan dua syahadah. Jika tidak, dapatkah kita mengatakan dia mempunyai hikmah?

Amat malang jika kita tidak mengenali ulama. Lebih malang lagi jika ada yang menghinakan ulama ini.

Bukanlah ilmu itu itu dinilai pada kertas sijil. Tiadalah Iman itu dapat diukur pada pada pencapaian akedemik.

Belumlah saya berpeluang mengenal ulama. Apatah lagi bertemu dan belajar dari mereka. Hanya mampu mendengar dan membaca perihal keilmuan dan akhlak mereka.

Sebenarnya saya malu. Pada umur yang telah hampir satu per dua usia ini, belumlah saya mempunyai perbekalan ilmu yang cukup. Amal, apatah lagi.

Hanyasanya, baru sekaranglah cuba membetulkan keadaan.

 
 
Anonymous alQasam Says:

Benar, pahit sungguh hakikat ulama akan pergi. Lagi pedih andai kita tidak mengambil apa adanya dari mereka sebelum mereka bertemu kekasih azali. Semoga Allah memudahkan jalan kita dalam menemui para Ulama' 'Amilin. Amin.

 

Mula Mengomen