Kunci, Bintang, Maaf, Doa Dan Pergi
Sila muatturun terlebih dahulu terjemahan Riyadhus Shalihin bahagian satu dan dua versi PDF ini supaya anda lebih memahami tulisan ini.
Sewaktu anda membaca entri ini, saya mungkin sedang berada di dalam sebuah balai perlepasan di Cairo Airport, Mesir sambil melihat ke arah langit memerhatikan bintang-bintang. Mungkin saat ini saya sedang mencari-cari di manakah letaknya gugusan bintang Pleiades yang sepanjang tahun sentiasa dikejar oleh buruj Orion. Kemudian setelah menemuinya, saya akan masukkan pula garisan bintang tiga sejalur yang berada di perut buruj Orion agar ia menuju ke arah gugusan bintang Pleiades. Maka dengan itu, selepas sedikit ijtihad, dapatlah saya menemui apa yang dicari-cari iaitu arah kiblat.
"Jika anda mengunci jam loceng pada waktu-waktu tertentu, maka jam loceng itu akan berbunyi mengingatkan anda apabila sampai waktunya."
Arah kiblat berpandukan bintang.

Kaedah di atas, sebenarnya tidaklah boleh digunakan di Mesir, tempat yang saya berada sekarang. Ini disebabkan kedudukan Kaabah yang terletak di arah Tenggara negara berkenaan. Berbeza dengan nusantara. Kedudukan Kaabah yang berada di Barat Daya tempat kita adalah penyebab utama berlakunya perbezaan. Namun begitu, setiap kali saya memandang ke langit, bintang-bintang inilah yang akan saya cari dahulu walhal cara mencari kiblat di Mesir berpandukan bintang amatlah berlainan.
Entah kenapa saya sangat-sangat degil untuk menggunakan method pencarian Kiblat melalui belakang telinga kiri sambil memandang bintang Kutub yang diajar oleh Tuan Guru falak saya. Sedangkan itulah kaedah yang paling tepat setepat-tepatnya jika mahu mencari Kiblat menggunakan bintang dari Mesir ini.
Atau mungkin juga, semasa anda membaca entri ini, saya hanya melihat bintang-bintang di atas kepala saya ini dengan pandangan yang kosong tanpa mencari pun arah kiblat. Tika ini, hati saya mungkin sedang gemuruh dan seram sejuk di samping merasakan ada angin dingin yang turun dari atas ubun-ubun menyejukkan terus ke dalam dada. Iaitu rasa berdebar-debar yang amat istimewa. Rasa yang sering dirasa oleh sesiapa saja apabila dia gembira tidak terkata.
Ini kerana saya sedang menunggu dipanggil masuk ke dalam kapal terbang untuk berlepas ke sebuah tempat yang telah lama saya cita-citakan.
Insya Allah saya akan berada di tempat itu selama tiga bulan.
Berkaitan tentang tempat yang sedang saya tujui ini, rasanya tak perlulah saya sebutkan. Biarlah ia menjadi rahsia saya buat masa ini. Mungkin setelah saya pulang nanti, saya akan beritahu.
Cuma yang nyata, di sana nanti pasti saya akan bertemu dengan pelbagai jenis orang alim yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi waris Nabi. Di sana nanti juga, saya akan mendalami lebih dalam lagi akan pelbagai cabang-cabang ilmu agama di samping dibimbing oleh guru-guru yang hatinya suci lagi bersih daripada cinta dunia. Sepanjang waktu itu juga, saya akan cuba untuk belajar bersungguh-sungguh dan menumpukan fokus sepenuhnya kepada apa yang diajarkan.
Ini kerana guru-guru yang mengajar saya nanti bukanlah calang-calang bahkan kebanyakan daripada mereka adalah daripada leluhur Nabi. Disebabkan itulah, saya perlu bertekun dan serius kerana peluang sebegini tidak banyak orang yang dapat merasai. Tambahan lagi, ini adalah antara cita-cita saya yang paling besar yang pernah tercetus di hati saya ini.
Oleh kerana saya lebih memilih untuk merahsiakan tempat yang saya sedang saya tujui ini, maka saya telah membuat satu senarai nama-nama tempat yang mungkin terlintas di hati anda apabila saya mengatakan saya sedang berpergian. Senarai ini adalah berdasarkan kemungkinan yang paling besar dan berdasarkan penceritaan saya kepada rakan-rakan bahawa tempat-tempat ini adalah tempat-tempat yang saya ingin jejakkan kaki.
Saya juga turut melampirkan alasan-alasan kenapa saya tidak pergi ke tempat-tempat dalam senarai tersebut pada tahun ini sedangkan tempat-tempat itulah yang sering saya sebut-sebutkan selama ini.
Saya tahu mungkin ada yang terkejut dan terkilan kerana saya pergi tanpa pemberitahuan dan tiba-tiba.
Maafkanlah saya kerana terlalu minat berahsia. Janganlah anda kecewa kerana teman-teman serumah saya pun baru saya beritahu dua hari yang lepas. Apa yang penting sekarang adalah saya mengharapkan doa selaksa dari anda semua. Semoga perjalanan saya ini selamat pergi dan pulang, dinaungi rahmat Tuhan dan saya beroleh manfaat yang suatu hari nanti kepada ummah dapat saya kongsikan.
Amin Ya Rabbal Alamin!
Berikut adalah senarai tempat-tempat yang bukan dituju oleh saya sekarang :
- United Kingdoms
Walaupun akhir-akhir ini, saya telah diibaratkan seumpama hanya tinggal selangkah kaki sahaja lagi untuk ke UK kerana pelbagai dokumen telah disiapkan dan saya turut membantu menguruskan tiket-tiket rakan-rakan yang akan berterbangan ke sana pada minggu hadapan, siapa sangka takdir Tuhan menentukan saya ke tempat yang berlainan. Walaupun saya agak terkilan kerana dengan membatalkan pemergian saya ke sana, bermakna saya juga turut membatalkan niat saya untuk menghadiri majlis graduasi sahabat baik saya sejak kecil yang tamat kursus sarjananya tahun ini, saya yakin ada hikmah yang besar di sebaliknya. Di kesempatan ini, saya memohon sebanyak-banyak kemaafan daripadanya dan berharap beliau memahami kondisi dan situasi saya. Harapan saya, semoga beliau dapat menyambung Master dan kalau begitulah jadinya, maka tahun hadapan Insya Allah dapatlah saya bertemunya di sana.
- Malaysia
- Jordan
Kalau anda berotak geliga, cuba cari lawan kepada wilayah Syams yang disebutkan oleh Al-Quran. Kerana kalaulah anda bisa menemukan, maka mungkin anda mampu memudahkan perjalanan saya ini dengan menyumbangkan apa-apa sahaja maklumat tambahan. Eh, apa yang saya cuba maksudkan ini sebenarnya?
- Qatar
- Maghribi
“Cita-cita yang kau tak kejar, akan menghantui kau seumur hidup.”Takut juga saya ia akan menghantui hidup saya jika ia tak mampu terealisasi. Namun begitu, rubu' mujayyab yang saya miliki sekarang ini tetap saya pikul ke tempat yang saya sedang tujui ini kerana mana tahu nanti saya bisa menemukan seorang guru tradisional ilmu falak di sana.
Oh ya, pemergian saya kali ini juga adalah kerana mengejar cita-cita sendiri.
- Mekah
Melihat orang mendapat nikmat yang lebih, siapa yang tidak cemburu?
Namun ia bukanlah cemburu dengki dan iri hati, cuma cemburu yang mendorong saya berdoa agar saya juga dapat merasai apa yang dirasai oleh orang yang dicemburui. Bertuah sungguh kalian kerana telah dijemput menjadi tetamu Tuhan. Apa-apa pun, jangan lupa untuk mendoakan keselamatan saya di sana nanti juga buat seluruh umat Islam seantero bumi. Tetapi kalau anda berdoa semoga saya mampu menjadi orang yang faqih, lagilah saya teruja.
- Benua Keling [ IPB ]
Meskipun ia agak lama, Insya Allah saya sedia tuan-tuan yang mulia!
Apa yang pasti, keluar saya kali ini juga adalah keluar di jalan Allah. Semoga kami sama-sama dipermudahkan.
Itulah senarai nama-nama negara yang berkemungkinan saya berpergian pada tahun ini namun masih belum berkesampaian. Aduhai, kenapalah saya ini minat sangat berahsia dan suka sangat membuat kejutan! Kasihan kepada kawan-kawan yang berdekatan.
Apa-apa pun, serasanya elok untuk saya sebutkan bahawa pendorong utama yang menyebabkan saya bermusafir ke tempat ini adalah seorang orang alim yang amat pakar akan ilmu hadith iaitu Syeikh Usamah, anak murid Doktor Ali Jumaah, Mufti Mesir. Segalanya bermula setelah saya mendengar kalam beliau pada tahun lepas di Anjung Atrak, Masjid Al-Azhar ketika kelas Muqaddimah Ibnu Solah, sebuah kitab bagi madah Ulum Hadith. Ketinggian ilmunya yang menjadikan saya merasa kagum tidak terhingga ketika itu, telah membuatkan saya termenung agak lama memandang ke kubah Al-Azhar memikirkan bagaimanakah untuk saya mampu menjadi seperti beliau. Hampir saja saya menangis di situ juga mengenangkan terlalu sedikit ilmu saya jika mahu dibandingkan dengan beliau sedangkan beliau pula masihlah amat muda.
Ingin saja saya belajar terus daripadanya, namun memandangkan saya masih lagi terkontang-kanting ketika mahu membahaskan masalah-masalah yang asas, saya telah membuat keputusan untuk memantapkan terlebih dahulu ilmu saya pada masalah-masalah asas berkenaan, supaya saya boleh memahami hal-hal yang tinggi yang dilontarkannya. Kerana itulah, saya pergi ke tempat ini. Kerana di sinilah saya rasa saya mampu mendapatkan kembali apa yang telah saya ketinggalan selama ini. Semoga suatu hari nanti, saya sempat untuk bertemu kembali dengan Syeikh Usamah di dalam Anjung yang sama, Masjid yang sama, serta dengan kitab yang sama, cuma dengan kefahaman saya yang telah berbeza. Semoga ketika itu suasana adalah lebih indah dan bahagia iaitu bertemu lutut pula.
Patutlah selama ini banyak sangat orang-orang cerdik pandai berpesan agar kita sentiasa mendampingi ulama. Kini saya nampak sendiri kesannya.
Memandangkan selama tiga bulan ini, saya akan sibuk kerana perlu fokus kepada hal ini yang telah saya tunggu sekian lama, saya tahu saya tidak akan ada masa untuk mengemaskini blog ini. Saya tahu itu akan terjadi kerana ia juga pernah terjadi ketika saya pulang ke Malaysia tahun lepas. Mujur saya telah belajar daripada pengalaman demikian. Oleh sebab itu, saya telah menyiapkan beberapa buah tulisan untuk dimuatkan di blog ini selama tiga bulan ke hadapan.
Juga saya telah mengunci entri-entri berkenaan agar saya tidak perlu susah-susah untuk memasukkannya ketika saya di sana nanti. Entri-entri yang telah saya kunci itu akan berbunyi terpublikasi dengan sendiri apabila sampai masa yang telah ditetapkan untuknya nanti.
Oh ya, entri ini juga adalah entri yang telah saya kunci, iaitu pada pukul 10.00 malam 25 haribulan Jun waktu Mesir bersamaan 3.00 pagi 26 haribulan Jun waktu Malaysia. Saya tidak tahu samada anda membacanya tepat pada masanya atau tidak. Namun jika tepat pada masanya, maka saya rasa anda masih sempat menghubungi saya demi mengucapkan selamat berpergian. Tapi kalau tidak sempat, saya rasa cukuplah dengan hanya anda mendoakan agar pemergian saya ini diredhai oleh Tuhan.
Baiklah, berikut adalah entri-entri yang telah saya kunci untuk bulan-bulan hadapan :
Julai
- Terusan Dan Pelabuhan Itu 15/7
- New Damietta City 30/7
- Wang Dan Krisis Identiti 15/8
- Qibti Dan Stress 30/8
- Musalsal Alim #4 : Berkat Orang Alim 15/9
- Musalsal Alim # 5: Bermimpi Jumpa Orang Alim 30/9
Semuanya dikunci pada pukul 10 malam waktu Malaysia bersamaan 5 petang waktu Mesir.
Walaupun saya menguncinya kerana saya mahu memudahkan diri saya daripada ditimpa kekalutan untuk mengemaskininya, penguncian ini juga adalah untuk memudahkan anda semua supaya selepas ini anda tidak perlu lagi masuk ke blog saya untuk melihat adakah terdapat entri baru yang dimasukkan oleh saya. Selepas ini, anda hanya perlu masuk ke blog ini hanya pada hari entri-entri ini berbunyi.
Tak silap saya, ini bukanlah kali pertama saya cuba memudahkan pembaca-pembaca blog ini mendapatkan kemaskini terbaru daripadanya, bahkan ini mungkin kali kedua kerana sebelum ini saya juga pernah cuba memudahkan dengan menyediakan khidmat langganan.
Jika ada masih belum berbuat demikian, saya amat menggalakkan anda melanggannya sekarang. Sesungguhnya kali ini saya serius dalam menjemput anda membuat demikian.
Apakah sebabnya? Akan saya ulaskan.
Sila isi alamat emel anda dibawah untuk melanggan blog ini terus ke emel anda.
Jika anda selalu membaca blog ini, anda akan dapat memerhatikan bahawa saya telah makin kurang mengemaskini blog ini dalam bulan-bulan sebelum ini. Sebabnya mudah, saya sedang dalam usaha untuk berhenti menulis. Namun begitu, saya mungkin tidak akan berhenti terus. Cuma saya akan berhenti secara perlahan-lahan.
Alasannya adalah kerana, setelah saya mendampingi orang-orang alim di Mesir ini, saya dapati nasihat-nasihat daripada mereka seolah-olah beerti menyuruh saya menjauhkan diri daripada hal-hal sebegini sepanjang masa saya menuntut ini. Walaupun mereka tidak menyebutnya secara zahir, saya faham bahawa blogging juga adalah apa yang mereka maksudkan. Ini kerana di waktu menuntut ini, saya perlu menumpukan sepenuh fokus saya pada kitab-kitab, kelas talaqqi dan menghabiskan lebih lagi masa dengan mendampingi orang alim. Sebab itulah saya rasa, jika saya berterusan blogging maka fokus saya kepada hal-hal yang disebutkan di atas akan sedikit berkurangan.
Bagaimana boleh berkurangan? Ini kerana jika saya blogging maka selain menulis tulisan sendiri, saya turut akan membaca tulisan-tulisan orang lain di blog-blog yang bertebaran. Jika saya hanya menumpukan pada tulisan saya sahaja, mungkin ia masih tidak mengapa, tetapi jika tulisan-tulisan orang lain juga sibuk saya kaji, saya rasa ia hanya membawa mafsadah kepada fokus tadi.
Diingatkan jua, bahawa saya mempunyai sejenis perangai yang amat pelik ketika membaca. Perangai itu amat sukar untuk saya cerita tapi saya akan cuba memahamkan anda semua tentangnya.
Ia adalah jika saya membaca sesuatu maka saya akan betul-betul membacanya dan akan tidak henti-henti mengkaji segala hal-hal yang bersangkut-paut dengannya. Tulisan itu akan jadi tumpuan saya dan saya akan menghayatinya sehingga saya benar-benar telah mengingatinya. Dan itu jugalah yang saya buat walaupun ianya hanyalah tulisan-tulisan yang kedapatan di blog yang melata. [Kan saya dah cakap ia sukar difahami. Tak mengapalah, biarlah saya seorang saja yang faham.]
Disebabkan itulah saya perlu berhenti buat sementara agar saya boleh menumpukan perhatian saya kepada sesuatu yang lebih berharga yang hanya kedapatan di sini. Pemberhentian saya itu makin hampir dan anda akan diberitahu apabila sampai masanya nanti. Namun begitu, saya akan menyambung juga menulis kerana menulis adalah minat saya dan sebahagian daripada jiwa saya. Cuma sambungan itu bukanlah selepas setahun dua, bahkan mungkin selepas sepuluh ke dua puluh tahun lamanya. Dan tidaklah anda akan diberitahu akan penyambungan semula itu melainkan di blog ini jua. Namun adakah selepas sepuluh tahun itu anda masih lagi akan melayari blog ini demi mengetahui berita penyambungan semula itu? Tentu sekali tidak! Namun jika sekarang anda ada melanggannya, sekurang-kurangnya akan ada emel pemberitahuan masuk ke emel anda.
Apa-apa pun, saya berharap anda memahaminya. Juga diharap agar janganlah mengatakan saya ini jumud kerana menolak teknologi dan sebagainya. Hal ini telah lama saya tekunkan diri memikirkannya dan itulah konklusinya. Samada anda mahu terima atau tidak mahu menerimanya, itulah keputusan saya. Tak mahu lagi saya bertangguh, lebih-lebih lagi kalau ia adalah nasihat daripada orang alim.
Sedangkan seorang pembunuh yang mahu bertaubat setelah membunuh 100 orang, langsung terus taat pesanan seorang alim tanpa ada bertangguh-tangguh, inikan pula saya yang telah berdamping dengan mereka buat sekian lama. Lagilah saya lebih patut taat.[1]
"Jika anda mengunci sebuah peti besi menggunakan sebiji mangga, maka peti besi itu tidak akan dapat dilihat isi dalamnya melainkan setelah mangga itu dibuka."Sebelum ini, saya telah mengunci komen-komen yang dihantar oleh pembaca-pembaca ke blog ini. Komen-komen yang telah dikunci itu hanya dapat dilihat setelah saya menapisnya. Namun kerana permusafiran saya yang mengambil masa yang agak lama dan sepanjang waktu itu saya pasti tidak ada masa untuk mengendalikan blog ini, kunci untuk komen itu telah saya buka. Ini kerana saya tidak mahu komen itu diperam buat masa yang lama sehingga ia menjadi mangga yang busuk.
Setiap komen anda tidak lagi akan dikunci dan ia akan terus dapat dilihat setelah anda menerbitkannya. Cuma satu saja harapan saya terhadap komen-komen anda yang selepas ini tidak lagi akan dikunci agar ianya mencerminkan peribadi anda yang suci dari noda-noda hawa nafsu dan juga hasutan syaitan, musuh yang perlu dijauhi. Semoga ia adalah komen yang tidak provokasi dan tidak mengandung perkara-perkara yang tidak disenangi. Tapi rasanya, saya tidak perlu risau kerana berdasarkan pemerhatian saya, kesemua pembaca blog ini adalah terdiri daripada orang-orang yang berhati suci. Bukankah begitu?
Baiklah, rasanya pintu kapal terbang telah dibuka sekarang dan saya perlu berhenti menulis di sini. Terima kasih kepada mereka yang selalu membaca blog saya ini samada anda adalah pembaca yang aktif meninggalkan komen ataupun anda adalah pembaca yang sekadar memerhati secara senyap. Saya hargai kedua-dua golongan dan berterima kasih kepada kedua-duanya.
Juga saya meminta maaf kepada anda semua jika sepanjang saya menulis ini, tulisan saya ada mengguris hati anda dan membuat anda terasa. Buat kawan-kawan pula, saya harap usahlah anda menyimpan hal (pemergian secara rahsia) ini di dalam hati. Yang penting sekarang adalah anda semua dapat mendoakan perjalanan saya ini agar ia diberkati dan supaya selepas kembalinya saya nanti, saya telah mencapai matlamat yang telah lama dinanti-nanti iaitu pengislahan diri dan mampu membawa Dakwah Imaniyyah Islamiyyah ke seluruh bumi.
Akhir sekali, saya hadiahkan kepada anda semua video qasidah yang memuji-muji ahli bait Nabi ini yang sering saya ulang dan ulang dan ulang sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa saya mudah sungguh menitiskan airmata andai terdengar rentaknya. Itu belum lagi jika saya mendalami makna-maknanya, hendak saja saya berlari menyorokkan diri ke dalam bilik untuk mengelakkan daripada tangisan saya itu dipandang oleh kawan-kawan. Aduhai!
Terima kasih Tuhan kerana menjadikan saya reti berbahasa Arab.
Terima kasih juga kerana mengizinkan hamba-Mu yang hina ini untuk bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga kekasihmu, Muhammad sollallahu alahi wasallam, yang bagaikan bintang-bintang yang berkerlip indah menenangkan si pemandang di waktu malam.
Terima kasih banyak-banyak, Tuhan. Alhamdulillah!
Hmm, nampaknya saya dah mula menangis sekarang!
Oooooh, Salaamun Salaam!
-----------
NOTA KAKI:
[1]^Sila buka kitab Riyadhus Shalihin versi PDF yang telah anda muatturun tadi bahagian satu dan cari hadith ini di dalam bab Taubat.
Labels: Blog, Catatan Perjalanan, Orang Alim, Pemberitahuan















Assalamu'alaikum.
Tiadalah kata-kata yang mampu saya ucapkan di sini melainkan hanya mampu menulis sepatah dua kata yang berangkai menjadi himpunan ayat yang panjang.
Encik Abqori,
Tiadalah apa-apa pesanan yang terlebih baik untuk saya sampaikan. Cuma, mungkin hati ini akan sunyi dari kalimat-kalimat yang melembutkannya setelah Encik Abqori tidak lagi menulis. Namun, kesanggupan Encik Abqori untuk melupakan sementara minat dan bakat menulis demi mendalami ilmu dan hikmah, tiadalah harus diperkecilkan oleh mana-mana manusia.
Encik Abqori,
Sepuluh tahun bukanlah satu masa yang pendek. Dalam satu tahun yang keterbelakang ini sahaja telah banyak perkara yang berlaku di sekeliling saya. Hingga saya terlupa, bila saya mula mengenal tulisan Encik Abqori. Entah bila saya menjumpai hembusan hikmah Encik Tawel. Bahkan entah bagaimana saya boleh menjumpai kehidupan ringkas tapi signifikan Prof MKI. Itu hanyalah di alam penulisan. Jika di alam dunia sebenar, tiadalah dapat saya menyatakan perubahan-perubahan yang telah berlaku akibat terlalu banyaknya perubahan itu.
Maka, saya berharap. Jika benar terjadi pemberhentian Encik Abqori menulis dalam sepuluh tahun ini, janganlah dilupa untuk mendoakan saya dan rakan-rakan penulis yang lain.
Encik Abqori,
Walaupun sepulun tahun itu adalah satu jangka masa yang panjang. Namun ia juga adalah satu jangka masa yang teramat pendek. Jika dibandingkan dengan usia dunia ini sahaja, telah menjadikan sepuluh tahun itu ibarat ssuatu yang hampa, kosong dan tiadalah dapat dinilai walau bagai sesaat. Apatah lagi jika dibandingkan dengan kekalnya alam sana. Maka, sepuluh tahun itu hanyalah fana.
Menyedari hakikat ini. Tiadalah saya dapat menghalang Encik Abqori dari mengisi masa sepuluh tahun itu dengan pengisian yang berguna lagi bermanfaat buat umat. Tiadalah saya mahu menjadi Syaitan yang senantiasa menghalang-halangi manusia dari mengerjakan kebaikan, yang senantiasa membisikkan kata-kata semangat pada perbuatan yang merugikan.
Bukanlah hasil tulisan Encik Abqori ini sia-sia. Bahkan banyak manfaat yang saya telah perolehi darinya. Cuma, amat rugilah jika pengajian Encik Abqori terhalang dan fokus Encik Abqori hilang akibat dari alam penulisan ini. Jika diikutkan hati, ingin saya meraung kesedihan kesan tulisan "mungkin yang terakhir".
Semoga dapatlah kita sama-sama berusaha menggunakan masa singkat yang telah disediakan oleh Pencipta kita ini ke jalan pengabdian kepadaNya.
Teringat kata-kata seorang Ustaz yang telah beliau dapat dari pertanyaannya kepada ayah angkatnya akibat kehairanan akan usaha ayah angkatnya itu yang tidak mengenal erti rehat. Kata beliau, ayah angkatnya telah berkata, "biarlah kita tidak berehat di dunia, nanti mati barulah rehat puas-puas. Jangan berehat di dunia, kemudian bila mati tidak dapat berehat".
Alangkah jauhnya saya dari jalan mereka itu. Ya Allah, hanya padaMu lah aku mohon agar dipermudahkan. Amin.
Assalamualaikum
Selawat dan Salam ke atas junjungan besar saw dan para sahabat dan ahlul Bait Nabi saw.
Selamat dan sejahteralah saudara di sana. Sampaikan salam rindu dan takzim kepada para Habaib di sana. Habib Omar dan Habib Ali serta para ikhwan pencinta-pencinta Tuhan dan Rasul di sana. Semoga suatu hari nanti kaki ini akan menjejak juga ke sana.
This post has been removed by a blog administrator.