<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/plusone.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttp://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d5937407827965732325', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Falsafah Geeky Yang Saya Anuti

Setelah dua tahun lebih saya menulis, saya perasan bahawa tulisan-tulisan saya telah melalui beberapa sesi pertukaran falsafah.

Maksud saya falsafah dalam penulisan.

Setiap tulisan yang bermutu tinggi mempunyai falsafah tersendiri di dalamnya. Teori berfalsafah dalam penulisan ini bukanlah teori ciptaan saya sendiri, namun teori ini telah lama termaktub dalam kaedah-kaedah penulisan sejak dari dahulu lagi.[1]

Jika anda mendapat pendidikan dalam Bahasa Arab, kadang-kadang anda akan dapat melihat ada kitab-kitab atau buku-buku yang menjadi silibus anda menyebut tentang falsafah penulisan kitab itu pada muqaddimahnya. Falsafah penulisan ini kebiasaannya disebut di dalam kitab-kitab itu sebagai manhaj, atau boleh juga dibaca minhaj.

Manhaj atau method ini bermaksud cara penulis buku itu menyusun penulisan di dalam bukunya. Manhaj ini terbahagi kepada minhaj wasfi tahlili, minhaj tarikhi, minhaj tajribi, minhaj muqaran, minhaj mutakamil dan lain-lain lagi. Tujuan buku-buku ini menyebut tentang manhaj yang digunakannya adalah semata-mata bagi memudahkan para pembaca mengetahuinya tanpa perlu mencari-cari. Berbeza dengan tulisan yang pendek-pendek. Ini kerana dalam tulisan-tulisan yang pendek, para pembaca sendiri boleh mengetahui akan manhaj yang diguna selepas membacanya beberapa kali.

Ulama-ulama dahulu juga turut menyusun kitab-kitab mereka menggunakan manhaj-manhaj tersendiri. Dari sekecil-kecil kitab Fathul Qarib sehinggalah Sahih Bukhari. Namun untuk mengetahui tentang manhaj kitab-kitab lama ini bukanlah semudah mengetahui manhaj yang dipergunakan oleh buku-buku moden terkini. Manhaj-manhaj kitab-kitab lama ini hanyalah boleh diketahui melalui mulut guru yang alim lagi faqih dan itulah tradisi yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Jadi janganlah mudah berbangga dengan mereka yang mengatakan sudah cukup belajar dengan hanya banyak membaca kitab dan tidak berguru. Ini disebabkan kebiasaannya golongan yang hanya membaca dan mengabaikan talaqqi ini tidak dapat menangkap apakah manhaj yang digunakan dalam kitab-kitab lama, kerana manhaj dalam kitab-kitab lama itu hanya bisa difahami, sebagaimana yang dikatakan tadi, melalui berkat yang datang dari talaqqi.

Ianya sama seperti sebagaimana saya tidak akan memahami kenapa Imam Nawawi meletakkan Bab Taubat selepas Bab Niat jika saya membaca Riyadhus Shalihin[2] itu sendiri, sedangkan saya boleh tahu pula tentang itu ketika saya bertalaqqi melalui lisan guru saya Syeikh Mahmud Said Mamduh. Tujuan Imam Nawawi berbuat begitu kerana beliau mahu menunjukkan perlunya taubat itu disegerakan walaupun perbuatan itu baru pada peringkat niat, serta perlunya taubat itu diperbaharui terus-terusan sepanjang perlakuan tersebut.

Manhaj yang tersirat itu tidak mungkin mampu saya fahamkan hanya melalui pembacaan.

Kerana yang demikianlah, maka tidak hairan jika ada orang yang telah khatam membaca Syarah Sohih Bukhari dan mampu bercakap tentangnya bagaikan orang yang arif sekali, tetapi apabila ditanya tentang manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari, orang ini tidak mampu untuk menerangkannya. Ini kerana orang ini hanya membacanya sahaja dan tidak tengelam menyelam ke dalamnya sebagaimana orang-orang yang bertalaqqi bertemu lutut dengan guru-guru mereka menyelam sedalam-dalamnya untuk memahami.

Dari segi adat pula, orang yang tidak memahami manhaj kitab-kitab lama ini tidaklah boleh digelar faqih, yakni digelar orang yang memahami feqah itu dengan sebenar-benar faham. Jadi kalau orang itu tidak faqih, maka tidaklah juga dia ini boleh digelar mujtahid apatah lagi boleh berijtihad mengeluarkan hukum. Namun amatlah pelik, kerana di akhir-akhir zaman ini, amat banyak sekali mereka yang merasa telah menjadi mujtahid sedangkan mereka ini hanya membaca kitab-kitab hadith sahaja dan mereka juga langsung tidak memahami manhaj yang diletakkan dalam kitab-kitab ini. Sungguhlah amat kasihan mereka ini.

Oh ya, tentang apakah manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari itu pula, rasanya biarlah saya simpan sahaja sendiri. Ini kerana topik berkenaan amatlah perlu dicerna berhati-hati dan jika saya mahu menulis tentang itu, maka tulisan tersebut tidak memadai dengan hanya sepanjang ini. Perbahasan tentangnya sangatlah panjang, lagi lebar dan saya mencadangkan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, maka anda perlu merujuk terus kepada orang-orang alim sendiri.

Baiklah, oleh kerana topik pemilihan manhaj dalam kitab-kitab lama ini agak berat untuk difahami, maka elok rasanya saya berhenti setakat ini dan berpindah kepada topik ; manhaj dalam penulisan-penulisan pendek, seperti artikel ataupun cerpen. Tajuk ini adalah lebih mudah untuk difahami. Namun fokus utama di sini adalah tentang tulisan-tulisan pendek yang kebanyakannya menjadi entri-entri di blog.

Ketepatan dalam memilih manhaj (selepas ini akan disebut falsafah sahaja) inilah yang menentukan jatuh bangunnya penulisan seseorang penulis itu. Gagal dalam memilih falsafah yang sesuai, maka gagal jualah penulisannya itu untuk diangkat menjadi penulisan yang berkualiti. Jadi, untuk menjadikan tulisan anda sebuah karya yang agung dan kekal zaman-berzaman, penulisan anda perlu mempunyai falsafah tersendiri dan falsafah itu perlulah mempunyai kredibiliti, iaitu mampu membawanya naik tinggi.

Falsafah Awal Penulisan Saya

Ketika saya mula menulis, tulisan-tulisan saya lebih berfalsafahkan sastera dan motivasi. Waktu itu, saya menulis tanpa mempunyai blog. Segala tulisan saya hanya menjadi simpanan sendiri dan hanya ditatap oleh saya seorang. Kalau saya mahukan penilaian, maka saya akan menunjukkan tulisan saya itu kepada beberapa orang rakan untuk dikritik.

Banyak tulisan-tulisan awal saya yang berkiblatkan falsafah ini. Saya terus-terusan menulis dengan falsafah ini selama lebih kurang setahun lamanya. Tulisan-tulisan saya ketika itu, mungkin agak sukar untuk difahami oleh orang yang membacanya dan masa yang lama diperlukan untuk memahaminya dek kerumitan susunan kalimah-kalimahnya. Mungkin saya banyak terpengaruh dengan tulisan yang bersulam sastera dan motivasi lantas saya terbawa-bawa ianya ke penulisan sendiri. Anda boleh melihat falsafah ini pada tulisan-tulisan saya di awal-awal penulisan blog ini. Antaranya ialah tulisan-tulisan yang bertajuk:
Tulisan Manis Boleh Cari dan Permulaan Musim Panas adalah antara yang terbaik. Namun saya cadangkan anda meneliti Manis Boleh Cari kerana ia lebih ringkas dan bersahaja.

Tak lupa juga bahawa tema blog saya yang berbunyi,
“Tulisan-tulisan saya hanyalah sekadar untuk dijadikan penaik semangat bagi diri”,
juga tercetus ketika saya masih berada dalam mood falsafah sastera ini. Akan tetapi, selepas beberapa ketika, saya telah bertukar mazhab kepada falsafah yang lain pula.

Bermulanya Perubahan

Tanpa adanya blog peribadi, saya rasakan tulisan saya lebih asli kerana ia terbit dari dalam diri tanpa perlu memikirkan bagaimanakah ia akan diterima oleh pembaca. Kemudian, apabila saya mempunyai blog pula, tulisan-tulisan saya itu jadi bercampur-baur dan kurang originaliti kerana saya perlu mengeditnya agar ia dapat dibaca secara santai oleh pembaca-pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang.

Itulah detiknya saya melangkah dari falsafah sastera dalam penulisan ke arah falsafah penulisan yang agak Geeky sambil mengekalkan falsafah motivasi. Tak lupa juga, saya menekankan pada penutup tulisan-tulisan saya akan falsafah koreksi diri.

Apakah maksudnya falsafah Geeky ini?

Bagi mereka yang menganut falsafah Geeky, mereka pasti akan merasa sedikit terkilan apabila kalimah Geeky ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ini kerana terjemahannya membawa maksud yang boleh menjatuhkan wibawa pengamal falsafah berkenaan pada pandangan orang lain. Jangan tipu saya dengan mengatakan anda tidak tahu akan maksud kalimah Geeky tersebut.

Oleh kerana maksudnya yang begitu, saya lebih minat untuk melihat maksud perkataan Geeky itu setelah ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Ini kerana Geeky di dalam bahasa Arab membawa maksud,

العبقري غريب الأطوار

Orang genius yang pelik perangainya.
Namun, kerana Geeky yang saya sebut-sebutkan ini berhubung kait dengan penulisan, maka maksud-maksud kalimah Geeky di atas langsung tidak boleh diertikan sebagai sifat jiwa penulis-penulis yang mengikut falsafah ini. Maksud Geeky ini adalah hanya pada gaya penulisan si penulis tersebut.

Berikut adalah contoh-contoh perbandingan ayat-ayat yang belum disuntik dengan falsafah Geeky dan ayat-ayat yang telah disuntik dengan falsafah tersebut :

  • Ayat sebelum disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk membalas bulian abangnya kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisannya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering memujuknya dengan menyuruh kekanda sepuluh tahun beralah.
  • Ayat selepas disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk melakukan rusuhan memberontak kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisan revolusinya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering menenangkan keadaan yang huru-hara itu dengan mengembalikan hak pada yang sepatutnya.

Contoh diambil daripada entri Kehidupan Istana.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah tidur melebihi kadarnya disebabkan hari masih belum-belum siang.
  • Ayat setelah disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah lebam ketiduran disebabkan hari masih belum-belum siang.

Contoh diambil daripada entri I Am A Winter Bug.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Your speech bedazzled me because your speech was so different from what I was thinking.
  • Ayat setelah disuntik :
Your speech made me almost transformed to a shocking monkey because your speech was so different from what I was thinking.

Contoh diambil daripada entri O Obama!

--------

  • Ayat sebelum disuntik:
Saya bermastautin di New Damietta City.
  • Ayat setelah disuntik :
Saya menetap dan membesar dan meninggal tinggal di New Damietta City.

Contoh diambil daripada entri akan datang yang bertajuk New Damietta City.


--------


Oh ya, urutan perkataan "ayat sebelum disuntik" dan urutan perkataan "ayat setelah disuntik" di atas juga merupakan ayat-ayat yang dimasukkan unsur-unsur Geeky.

Harus diingatkan juga bahawa penulis yang mengikut falsafah Geeky ini adalah berbeza dengan penulis-penulis yang telah sedia Geeky. Anda akan nampak perbezaan jelas antara dua golongan ini secara mudah sekali jika anda memerhatikannya.

Penulis yang geeky atau sengal adalah mereka yang menulis tanpa tujuan melainkan untuk menunjukkan kesengalan mereka. Contoh-contoh ini anda mampu melihatnya di mana-mana blog yang bertebaran di internet.

Saya agak skeptikal dengan tulisan-tulisan yang seperti ini. Bagi saya, daripada pemilik blog jalur ini menulis sesuatu yang tidak berfaedah sedemikian, lebih baik mereka duduk membaca buku atau mencari mana-mana blog yang mengandung tulisan-tulisan yang membina minda. Sekurang-kurangnya dengan menghabiskan masa dengan bacaan-bacaan sedemikian, beliau mampu belajar membentuk fikiran tersendiri dan menghasilkan penulisan yang lebih bermanfaat untuk blogosfera nusantara.

Paling mengecewakan adalah apabila membaca blog jalur sengal ini yang entri-entrinya hanya menceritakan tentang perjalanan kehidupan mereka yang seolah-olah semakin hari semakin tiada harapan.

Anda mungkin tidak pernah jumpa blog sebegini. Tapi saya pernah. Dan kerana tidak elok saya membuat pautan ke blog-blog itu di sini, saya rasa lebih baik saya mereka contoh sebegitu sendiri supaya anda lebih faham. Namun sebelum itu, diingatkan bahawa contoh ini adalah rekaan saya sendiri dan ia bukanlah mengambarkan kehidupan saya di sini. Juga untuk mengelakkan anda dari berburuk sangka dengan kehidupan saya di sini, saya ingin mengingatkan terlebih dahulu bahawa hidup saya di Mesir amatlah berwarna-warni sekali dan warna-warni itu sudah cukup saya gambarkan dengan bersampingannya residensi saya ini dengan terusan terkemuka dunia iaitu Terusan Suez yang menjadi kunjungan kapal-kapal antarabangsa dari timur dan barat.

Berikut adalah contoh-contoh entri yang mengecewakan di blog-blog jalur sengal tadi ;
  • Entri pertama :
Hari ini aku bangun lambat. Terpaksalah aku ponteng satu kelas. Bila masuk bilik mandi pula, aku perasan yang berus gigi dah patah, digigit tikus agaknya. Habislah aku kena beli yang baru. Walhal duit pula tiada. Kawan-kawan pula entah bila nak bayar hutang. Kalau ikutkan hati, nak saja aku lempang muka diorang sorang-sorang. Teruk betul hidup ini.
  • Entri Kedua :
Bosannya malam ini. Kawan-kawan semua pula sibuk menyanyi. Macam sedap sangat suara. Perasan bagus. Tension aku. Dahlah di kelas tadi, aku kena denda berdiri dua jam lebih, semata-mata sebab aku lewat lima minit. Bukannya apa, dah tadi aku terpijak tahi kucing. Takkanlah aku nak masuk kelas busuk-busuk macam itu. Mestilah aku basuh dulu. Lecturer pula tak faham. Ikutkan hati nak saja aku tukar kolej. Tinggalkan terus life aku yang worst di sini.
  • Entri Ketiga :
Kenapalah hidup ini teruk sangat? Semua yang aku buat semuanya serba tak kena. Kawan-kawan pula semuanya perangai entah macam apa. Entah macam mana lah aku boleh berkawan dengan diorang. Aku tahu, diorang ini memang sengaja menganggu hidup aku. Kalaulah aku ada kereta, nak saja aku langgar diorang semua. Lepas itu, aku reverse kereta itu ke depan belakang sampai lumat tubuh diorang. Baru puas hati aku. Tapi, macam kejam sangat pula. Dah, nak buat macam mana? Aku dah tak boleh tahan dengan diorang. Lagipun, selama ini, diorang inilah yang buatkan hidup aku rasa macam sampah.

Semoga dengan contoh-contoh ini anda dapat membezakan penulis yang berfalsafah geeky dan penulis yang memang sedia geeky.

Kepada golongan memang sedia geeky ini, saya nasihatkan supaya anda menginsafi diri dan menyedari ketidakbagusannya anda beristiqamah menulis dan mencatit hal-hal sebegini. Adalah lebih baik anda mengantikan masa-masa anda yang digunakan untuk menulis hal-hal yang mengecewakan ini dengan membaca Al-Quran dan beramal untuk kehidupan akhirat yang jelas nyata lebih kekal dan abadi. Bawa-bawalah diri anda ke arah perubahan dan percayalah bahawa setiap masalah itu hanyalah ujian untuk mematangkan diri dan tidak layaklah ia dijadikan sebagai penyebab kemurungan diri. Banyak lagi orang di luar sana yang menyayangi diri anda.

Apa-apa pun, tulisan saya kali ini adalah kerana saya mahu mengungkit kembali falsafah sastera yang telah lama saya tinggalkan di samping mahu memberitahu tentang penemuan kembali permata-permata lama saya yang dahulu pernah kehilangan. Untuk memahami erti permata-permata itu, eloklah anda terlebih dahulu memahami tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala ini.

Serigala telah benar-benar datang dalam hidup saya pada tahun lepas dan hal itu pada mulanya benar-benar telah membuatkan saya sangat kecewa. Ini kerana, bagi saya permata-permata itu amatlah berharga dek kerana kesukaran yang saya alami untuk membentuknya.

Mungkin kesukaran itulah penyebab yang menjadikan saya sangat-sangat menghargai. Namun Alhamdulillah, kini kecewa itu telah pergi.

Ini kerana sebelum ini saya telah membuat back-up untuk permata-permata itu terlebih dahulu. Cumanya, back-up itu baru saya temui beberapa hari sebelum ini.[3] Alangkah gembiranya saya tidak terperi. Apatah lagi, kebanyakan permata-permata itu dibentuk ketika saya masih lagi mengamalkan falsafah sastera dan motivasi dalam penulisan saya.

Saya tahu mungkin agak sukar untuk anda memahami ayat-ayat di atas kerana ia adalah berdasarkan tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala yang ditulis dalam falsafah sastera dan motivasi. Sebab itulah saya sudah katakan tadi bahawa tulisan-tulisan saya dengan falsafah sastera ini agak rumit untuk difahami. Sekarang saya harap anda mengerti.

Akhir sekali, sebagaimana saya pernah meloncat daripada falsafah sastera dan motivasi ke arah falsafah Geeky dan ke arah falsafah koreksi diri, saya yakin saya juga akan beralih mengamalkan falsafah lain pula selepas ini. Tentang apakah falsafah seterusnya, saya belum tahu lagi. Ia berubah-ubah bergantung kepada pengalaman hidup, tarbiah, serta bahan bacaan yang menjadi pilihan dan yang banyak mempengaruhi. Cuma harapan saya, akan ada lah suatu hari nanti, saya memasukkan falsafah kesufian dalam bentuk-bentuk tulisan saya ini. Kerana setahu saya, kesufian adalah sebaik-baik ubat bagi hati. Kerana itu, amatlah perlu bagi seseorang penulis itu bahkan bagi setiap individu muslim untuk mendalami hal ini.

Walaupun saya mengamalkan falsafah Geeky ini, saya tetap sedar akan salah satu bahayanya yang utama. Ia mampu memberi pengaruh kepada tulisan-tulisan saya yang berbentuk ilmiah dan dalam tulisan-tulisan yang sengaja saya cuba untuk menjauhkan dari menulis di dalamnya sebarang unsur-unsur Geeky. Ini berlaku berikutan keterbiasaan saya mempraktikkan falsafah ini. Ini bukanlah cakap kosong kerana bagi saya ia pernah terjadi.

Contohnya dapat anda lihat dalam tulisan Bercinta Dengan Orang Alim pada salah satu ayatnya, sedangkan sepanjang menghasilkannya saya telah cuba untuk menjauhi segala yang Geeky-Geeky. Semoga selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Oh ya, sebagai satu kerja rumah untuk anda, cuba anda cari ayat yang berunsur Geeky dalam Musalsal Alim # 1: Bercinta Dengan Orang Alim tersebut.

Jika anda mampu menemuinya, maka jelas sekali anda telah memahami falsafah Geeky ini dengan baik sekali.[4]

Selamat Mencari.

P/S : InsyaAllah, entri selepas ini adalah kumpulan-kumpulan tulisan-tulisan saya yang ditulis dengan falsafah sastera yang baru-baru ini saya temui kembali. Saya telah memilih yang paling baik daripada tulisan-tulisan itu dan yang saya rasa sesuai untuk dipamerkan di blog ini.


------------------------------

NOTA KAKI :
[1]^Dalam buku Karya Nan Indah, tulisan Faisal Tehrani juga ada menyebut hal ini.
[2]^Muatturun terjemahan Riyadhus Shalihin bahagian satu dan dua sekarang.
[3]^Back-up ini saya lakukan dengan melampirkan fail-fail tulisan saya itu di dalam draf emel saya. Back-up juga boleh dibuat oleh di Box.net. Bagi mereka yang mempunyai banyak kumpulan tulisan, anda digalakkan untuk membuat back-up untuk setiap tulisan anda. Ini untuk mengelakkan daripada dilanda kemurungan jiwa andai tulisan-tulisan anda hilang secara tiba-tiba suatu hari nanti.
[4]^Klu untuk menjumpai ayat yang dipengaruhi unsur Geeky dalam entri Bercinta Dengan Orang Alim itu, ada terdapat di dalam komen Sang Pelangi untuk entri tersebut.

Labels: , ,

 

for this post

 
Blogger Syafik Says:

Ini betul huraian falsafah geeky ni abqori. :D

 
 
Blogger Abqori Says:

This comment has been removed by the author.

 
 
Blogger Abqori Says:

Aik, Syafik di blog ana. :-O

Ahlan wasahlan. :-bd

Itupun masih perlu dihuraikan lagi. Maksud ana, huraian ini masih berlompong di sana sini, kerana kalau si Tuan Guru (baca : Sensei) membacanya, pasti ada yang beliau mahu tambahkan. Haha!

 
 
Anonymous Dr.Rizal Says:

Salam ziarah...blog yang dihiasi isi yg menarik...mabruk!

 

Mula Mengomen