<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener("load", function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http://abqori.blogspot.com/search&amp;blogLocale=en&amp;homepageUrl=http://abqori.blogspot.com/&amp;vt=5937407827965732325" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Qibti Dan Stress

Nota untuk pembaca :

Bukanlah saya sengaja melewat-lewatkan mengupdate blog ini. Namun kerana saya baru lepas mengalami sejenis perasaan yang ditimbulkan oleh kawan-kawan sekeliling saya, samada dari kalangan orang Mesir atau orang Malaysia sendiri, saya terpaksa juga berakhlak sedemikian.

Mujurlah saya ada sekeping gambar yang saya simpan untuk mengambarkan sejenis perasaan tersebut. Tak perlu untuk saya susah-susah menerangkannya.

Nota untuk diri sendiri :

Namun Alhamdulillah, walaupun mengalami perasaan itu, sempat juga saya menghabiskan Karbala, membaca 4/5 daripada Saasatul Ibaad dan dua bab daripada Quran Saintifik. Kalaulah buku-buku ini tak wujud, lagi parahlah jiwa ini agaknya.

Nota untuk masa depan :

Entri ini dimasukkan sebaik sampai ke NDC dari Cairo. Semuanya berkait.

Baiklah, jom baca entri ini sekarang.


---------------


Seorang penulis yang baik adalah seorang penulis yang tetap terus menghabiskan tulisannya walau sepanjang mana tulisan demikian.

Semenjak saya bercampur dengan manusia-manusia keturunan Qibti ini, telah banyak kali saya menyaksikan perkelahian sesama mereka samada satu lawan satu atau satu lawan dua atau dengan angka yang lebih besar. Namun dalam banyak-banyak itu hanya ada tiga peristiwa saja daripadanya yang memberi kesan mendalam dalam hidup saya. Ini kerana tiga sesi perkelahian itu ada campur tangan saya, samada secara langsung atau tidak sengaja.

Kali pertama adalah ketika saya mula-mula menaiki bas di Mesir untuk ke kuliah Azhar di Cairo. Sebagai seorang budak ingusan yang baru masuk ke negara orang selama beberapa hari ketika itu, saya sesungguhnya amat jakun dengan suasana di dalam kenderaan awam berbayar demikian.

Bas itu penuh sesak dengan manusia, namun dalam sesak-sesak itu terdapat juga segolongan dari mereka yang khusyuk membaca Al-Quran. Saya yang ditemani beberapa orang senior terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke sana. Mata saya tertumpu pada seseorang yang mengenakan jubah singkat serta berjanggut lebat yang sedang mengaji Al-Quran secara perlahan di depan saya. Beliau penuh konsentrasi membacanya sebagaimana saya juga konsentrasi memerhatikan kelakuannya. Sehinggakan tanpa disedari, rupa-rupanya terdapat dua orang Mesir yang sedang bercekik-cekikan di tepi saya.

Si janggut berjubah tadi segera bangkit untuk meleraikan mereka lantas menyebabkan saya yang ketika itu masih lagi berbadan kecil, tersepit di antara gergasi-gergasi Qibti yang bertelingkahan. Melekatlah dada saya pada kerusi dan menjeritlah saya tak berbunyi dek kesakitan yang dirasakan. Bahkan sehingga kini saya masih boleh membayangkan betapa teruknya mimik muka saya menahan derita ketika itu, yang peritnya tak bisa saya lupakan.

Kali kedua pula adalah ketika saya sedang makan malam bersama beberapa orang rakan di sebuah restoran masakan Thailand di Hayyu Sabie', Madinet Nasr. Tuan restoran tersebut yang berketurunan Pattani telah menikahi seorang wanita Mesir. Atas dasar itu, perniagaannya telah mendapat bantuan keluarga isterinya lalu adik ipar lelakinya diambil bekerja bersama-samanya menjadi pelayan. Walaupun makanan-makanan di situ adalah masakan orang Melayu, restoran itu tetap dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan dari kalangan orang Mesir, Somalia, Amerika dan negara-negara lainnya.

Selesai sahaja kami meminta order, meja di sebelah kami diduduki oleh beberapa orang Mesir. Mereka menempah mee goreng. Namun apabila sampai sahaja mee itu ke meja mereka dan baru sempat dijamah sesuap dua, tiba-tiba salah seorang dari mereka bangun dan memarahi adik ipar tuan punya restoran yang menjadi pelayan itu. Saya yang duduk amat dekat amat terkejut dengan suaranya yang amat tinggi dan dengan tidak semena-mena saya pula menjadi emosi. Apatah lagi apabila perang mulut itu mula bertukar menjadi gaduh tolak-menolak selepas si pelanggan menterbalikkan mee-mee yang tak bersalah itu ke lantai.

Saya selaku orang yang paling dekat pun bangun untuk meleraikan.

Namun baru saja mahu melangkah, badan saya ditahan oleh seorang kawan yang duduk bersebelahan. Saya yang ditahan sedemikian segera meronta agar dilepaskan dan secara serta-merta perasaan geram kepada adab orang Mesir yang kurang ketamadunan itu berpindah kepada rakan saya yang menghalang berkenaan. Entah atas alasan apa beliau berbuat demikian. Mujur ada beberapa orang Mesir lain yang turut mengambil tindakan, kalau tidak, pasti melarat kefasadan yang ditimbulkan.

Maka berakhirlah peristiwa malam itu dengan muka sedih tuan restoran membersihkan mee di lantai sambil diselangi dengan ceramah saya yang penuh unsur-unsur ketidakpuashatian kepada kawan yang tadi telah membantutkan proses pengislahan.

Seterusnya pula adalah ketika saya membeli belah di sebuah pasaraya Khairuz Zaman bersama dua orang sahabat yang pernah menjejakkan kaki ke Yaman.



Penjual Daging Di SuperMarket Khairuz Zaman Penjual Ikan Di SuperMarket Khairuz Zaman Ayat-Ayat Cinta Versi Orang Mesir
Gambar-gambar ini ditangkap di pasaraya berkenaan pada malam yang sama.

Pelanggaran antara dua orang Mesir ketika itu betul-betul di sebelah kiri saya. Apabila salah seorang daripada kedua yang bertembung itu cuba menenangkan seorang lagi yang terhalang jalannya dengan cara menepuk-nepuk belakang, saya sudah dapat menghidu bibit-bibit tercetusnya suatu pertelingkahan. Walaupun yang ditepuk belakangnya itu beredar seolah-olah mahu menghindarkan, mulutnya yang masih melantunkan pelbagai bunyi-bunyian itu menyebabkan seterunya yang ditinggalkan, kembali mengekorinya.

Mereka beralih ke sudut yang lain dan apabila saya sampai ke sudut itu, mereka telah mula tolak-menolak wajah masing-masing. Saya dan beberapa orang Mesir pun mengambil langkah drastik dengan memegang kedua-duanya. Jenuh juga menarik mereka sambil mengelak segala sepakan dan tumbukan yang dilepaskan. Nasib baik tiada siapa yang terkena sebarang serangan melainkan sekaki tendangan kencang yang anginnya meluncur laju di bahu saya. Berkelip-kelip mata saya beberapa kali akibat kekencangannya.

Peristiwa-peristiwa di atas boleh dilihat setiap hari di bumi tempat Musa A.S menetap sebelum beliau bermigrasi ini.

Perkelahian sebegitu di mana-mana dan ia tidak mengenal status umur samada tua ataupun muda. Sehinggakan bagi orang Mesir, hatta bagi orang asing yang datang menetap di sini, peristiwa-peristiwa ini telah menjadi suatu kebiasaan. Tidak ada kerisauan yang melampau yang perlu dicetuskan melalui peristiwa-peristiwa tersebut. Namun itu bukanlah menunjukkan bahawa Mesir ini merupakan sebuah negara yang tidak aman. Bahkan selama permukiman saya di sini, saya dapati bahawa hati-hati orang Mesir ini amatlah lembut sekali. Cuma kes-kes sedemikian terjadi kerana itu memang tabiat orang Mesir yang diwarisi sejak turun temurun dari nenek moyang mereka lagi.

TABIAT KEDUA

Tetapi terdapat juga tabiat yang merunsingkan di kalangan orang-orang Mesir yang saya kira bukan diwarisi daripada nenek moyang Cleopatra, Ramses dan Tutankhamun mereka.

Yakni tabiat mereka ketika berada di atas jalanraya; mereka minat untuk membutakan undang-undang jalan raya yang telah termaktub dalam perlembagaan mereka. Tidak bertali pinggang keledar, melanggar lampu isyarat, menggunakan laluan orang lain, tidak bertopi keledar, merempit dengan lima orang di atas sebuah motorsikal dan bermacam-macam lagi kesalahan jalanraya yang bermaharajalela.

Saya pernah menaiki sebuah tremco yang pemandunya memandu dengan kelajuan yang gila sambil melanggar segala peraturan yang ada sehingga menyebabkan seorang wanita Mesir di dalamnya tidak berhenti beristighfar kerana ketakutan dan tak putus-putus mendoakan hidayah buat si pemandu. Namun apabila pemandu itu berjaya memotong sebarisan panjang kereta-kereta yang tersekat dalam kesesakan dengan melalui beberapa kawasan tepi jalan yang berbatu-batu dan mustahil akan dilalui kenderaan lain kerana keterukan permukaannya, wanita tadi dan kesemua penumpang tiba-tiba pula ketawa seolah-olah si pemandu adalah hero bagi mereka. Ketangkasan pemandu yang merupakan kesalahan itu rupa-rupanya telah menjadi hiburan buat mereka.

Mereka juga minat membunyikan hon sebanyak mana yang mereka suka pada bila-bila masa.

Seorang sahabat saya telah dijangkiti penyakit membunyikan hon tanpa henti ini. Saya yang tertidur di dalam kereta yang dibawanya pernah terjaga kerana pekikan-pekikan hon yang sengaja dibunyikan beliau. Apabila saya bertanya kepadanya tentang apa yang berlaku, beliau dengan selambanya mengatakan tiada apa-apa melainkan beliau sengaja mengambil sebanyak-banyak kesempatan untuk berbuat demikian kerana peluang sebegitu tidak mampu diperolehinya apabila telah pulang ke Malaysia nanti.

Tak lupa juga, di Mesir anda boleh melanggar buntut mana-mana kenderaan tanpa perlu keluar daripada kereta meminta maaf dari mangsa kejadian melainkan cukup dengan memberi isyarat tangan tanda memohon kemaafan dan berlalu pergi. Mereka amat mudah memaafkan.

MENGURANGKAN STRESS

Walaupun tabiat-tabiat di atas dilihat sebagai fenomena yang agak buruk dan kadang-kadang melucukan, ia turut menimbulkan rasa kepelikan yang amat sangat kepada saya. Pernah tidak anda terbayangkan sebuah komuniti manusia ...................

Kan saya dah kata tadi penulis yang baik adalah penulis yang tetap terus menghabiskan tulisannya walau sepanjang mana tulisannya itu. Kan saya dah kata.

Labels:

 

for this post

Mula Mengomen