<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener("load", function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2Fsearch&amp;blogLocale=en&amp;homepageUrl=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2F" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Alim #2 : Surat Kematian Orang Alim

Setelah bercinta bagai nak rak dengan seorang alim sebelum ini, ingin saya kisahkan pula tentang kematian seorang alim yang amat-amatlah membuatkan saya rasa bahawa dunia ini makin sempit serta gelap-gelita untuk satu tempoh masa yang lama. Namun, kematian ini bukanlah kematian orang alim yang saya ceritakan sebelum ini.

Ini adalah tentang pemergian orang alim yang juga merupakan pemegang teraju tarikat Asy-Syazuliah Al-Qauqujiah Al-Muhammadiah di Mesir. Walaupun beliau tidak dikenali ramai dan tidaklah masyhur semasyhur ulama-ulama Mesir lainnya, serta mukanya tidak terpampang di dada-dada akhbar, namun ulama-ulama besar banyak sekali yang datang dari seluruh dunia menuntut dengannya. Bahkan Mufti Mesir dinihari iaitu Doktor Ali Jumaah dan Asy-Syeikh Ibrahim Al-Kittani seorang Muhaddith di Alexandria juga tersenarai di antara talaamiiznya.

Yang teristimewanya adalah beliau mempunyai gelaran Al-Arif Billah di depan namanya. Tahu-tahu sajalah bahawa gelaran itu hanyalah diberikan kepada para wali, jadi eloklah saya sebutkan nama beliau di sini kerana sifat mencintai insan-insan sebegini mestilah dibina di dalam hati-hati mereka yang melalui lorong-lorong sufi. Tak hairanlah beliau kurang masyhur dan hanya dikenali oleh orang yang benar-benar ahli, kerana bukankah antara sifat-sifat orang-orang sufi ini adalah meminggir diri?

Yang menguntungkan pula, semasa kehidupannya, beliau tinggal amatlah berhampiran dengan New Damietta City. Cuma yang malangnya tak ramai rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan untuk mengenali beliau secara dekat. Bahkan boleh dikira dengan hanya menggunakan jari jemari sahaja akan jumlah mereka yang pernah melakukan sedemikian.

Mungkin hal ini berlaku kerana faktor kesihatan beliau yang telah amat tua. Juga mungkin kerana faktor kurangnya penghayatan jiwa dalam memuliakan orang-orang alim di kalangan kita rakyat-rakyat Malaysia. Boleh jadi pula kita kurang penghayatan kerana dunia dah banyak mengambil ruang dalam hati kita sehingga kita tak rasa ada apa-apa kelebihan walau sedikit pun pada diri mereka.

Setelah setahun lebih pemergian beliau, eloklah saya sebutkan kembali namanya agar ingatan rakyat-rakyat Malaysia kepadanya tidak luput ditelan zaman. Biarlah mereka yang masih baru jadi ketahuan bahawa dahulu New Damietta City ini pernah mempunyai zaman kegemilangan. Ketika masih hidup orang alim yang menjadi tumpuan turunnya Rahmat Tuhan.

Setahun lebih dahulu, inilah surat yang saya tulis dan tujukan buat sahabat-sahabat saya melalui emel sebaik sahaja mengetahui berita pemergian beliau. Moga dengan mempublikasi surat ini di blog ini pula, ingatan kita kepadanya tidak luntur dan kita terus dapat mengambil iktibar dari apa-apa yang telah kita terlepaskan. Bacalah ia dengan penuh penghayatan.

Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ini adalah makluman khas dari saya buat seantero sahabat-sahabat Damietta saya sekalian. Syeikh Al-Allamah Agung Al-Musnid Syeikh Saad Al-Badran telah kembali ke Rahmatullah beberapa hari lepas. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh beliau dicucuri Rahmat. Dengan kewafatan beliau ini, maka telah jatuh atau turunlah sanad Mesir kerana mereka kini tak punya lagi sanad Syeikh yang amat 'aalii atau tinggi itu. Manusia dari seluruh dunia pernah datang menemui beliau untuk mengambil sanad darinya, hatta orang-orang Wahabi yang terkenal dengan ketaksuban pada mazhab[1] mereka dan me-rad hadith musalsal pun turut mengambil sanad darinya dan mengakui keilmuannya.

Dan kini, beliau telah wafat maka Dunia Ilmu Hadith kini amat-amat merasai pemergian beliau.

Dan buat kita pula, sahabat-sahabat Damietta sekalian, dengan kewafatan beliau ini, inilah peluang untuk kita mengkoreksi diri. Selama kehidupan beliau yang tempat tinggalnya tidak jauh dari kita, sejauh manakah kita memanfaatkan ilmunya? Dan pernahkah kita meriwayatkan walau satu hadith pun darinya? Sedangkan manusia dari seluruh dunia datang mencarinya demi itu, tetapi kita pula yang dekat, kita langsung lalai dan tak pernah meriwayatkan darinya bahkan langsung tidak pernah melawat ke rumahnya di Kafr Saad itu. Jika ini berlaku pada kita, sahabat-sahabat Damietta sekalian, marilah sama-sama kita muhasabahkan diri dan rasanya wajar untuk kita menyesali hal ini, agar ianya tidak berulang lagi. Patut timbul rasa sedih dalam diri kita atas kerugian kita yang amat dalam ini dan patut kita salahkan diri kita atas kesalahan yang amat besar ini.

Saya masih ingat lagi ketika Syeikh Roslan yang menjadi ketua pada Muhadhoroh yang berlangsung di rumah Syeikh tiap-tiap malam Jumaat, pernah bertanya pada saya,
"Kenapa kamu orang-orang Malaysia datang melawat Syeikhku? Dan dari mana kamu mengenalinya?"
Lalu jawab saya dalam Bahasa Arab -moga betul terjemahannya-,
"Sebahagian daripada kami pernah berjumpa dengan Doktor Ali Jumaah, dan dia berpesan pada kami, kamu sekalian, pergilah melawat Syeikhku di Dumyat, di Kafr Saad."
Dan beliau memaksudkan Syeikh Saad Al-Badran.

Pagi ini akan datanglah seluruh sahabat-sahabat saya dari Zaqziq, Tanta, Kaherah yang mengenali beliau serta pernah meriwayatkan hadith dari beliau ke rumah Allahyarham di Kafr Saad, mereka Insya Allah akan solat Jumaat di sana. Jadi sesiapa yang punya ruang dan peluang, marilah kita juga turut hadir. Buanglah rasa malu dalam hati dan rasa tebal di muka, kerana ini adalah kali yang terakhir.

Sama-samalah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada rohnya dan berdoa ke hadrat Ilahi agar kerugian kita ini tidak menimpa kita buat kali kedua. Al-Fatihah.

Ya Allah, Kau tak pernah kejam, bahkan akulah yang kejam.

Ya Allah, Kau tak pernah zalim, bahkan akulah yang menzalimi dirisaya.

Ya Allah, Kau tak pernah mensia-siakan, bahkan akulah yang mensia-siakan dirisaya.

Ya Allah, Kau tak pernah menarik nikmat, bahkan akulah yang berpaling darinya.

Ampunilah aku, wahai Tuhanku.

Jangan Kau biarkan perkara ini berlaku lagi.

Janganlah Kau biarkan kelalaian dan kerugian ini menimpa lagi.

Sesungguhnya aku kesal, dan memang patut aku kesal.

Ampunilah aku Wahai Tuhanku,

Sesungguhnya Kaulah Tuhanku Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Inilah dedikasi khas dari saya buat diri ini dan sahabat-sahabat Damietta sekalian kerana kita adalah insan yang sebenarnya paling dekat dengan beliau. Al-Fatihah sekali lagi.

Yang Penuh Penyesalan dan Telah Ditimpa Kerugian,
Abqori.


NOTA KAKI SURAT:

Diharap kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapat menyebarkan berita ini kepada sahabat-sahabat Damietta lain yang tak dapat saya hantarkan emel ini, kerana nama mereka tiada di dalam list, dan juga kepada seluruh saudara seagama dengan kita.

Surat ini ditulis pada pagi hari, namun kerana masalah internet, ianya hanya dapat dihantar pada waktu petang. Tentang menziarahi maqam Syeikh, mungkin sahabat-sahabat sekalian boleh bincang sesama sendiri, rasanya tak perlu kita bergantung pada sahabat-sahabat kita dari Zaqziq dan lainnya, sedangkan kita sendiri tinggalnya di sini. Kalaulah kita tak melawat, rasanya sia-sialah kita belajar di sini dan dan menubuhkan DPM. Sungguh jika begitu, sia-sialah kita belajar di sini dan menubuhkan DPM.

----

NOTA KAKI ENTRI:
[1]^Mereka ada mazhab ke?

Labels: , , , ,

 
 

Musalsal Alim #1 : Bercinta Dengan Orang Alim

Dalam kisah ini ada tiga watak, saya sebutkan berdasarkan susunan maqam. Tuan Guru, Orang Alim dan saya.

Sejak saya bergelar orang yang menuntut ini, banyak sungguh orang alim yang saya jumpa. Namun di antara mereka ada seorang saja yang saya benar-benar berkawan dengannya. Bahkan kami dalam masa yang singkat saja sudah menjadi kawan yang akrab sekali rapatnya.

Ketika itu saya bercuti di Malaysia.

Saya ditawarkan di depan-depan muka untuk belajar dalam keadaan bertemu lutut dari seorang Tuan Guru sebuah pondok yang hanya tiga batu jauhnya dari residensi saya. Belajar ilmu falak. Selama sebulan penuh Ramadhan.

Saya teruja bukan kepalang apabila mendapat ajakan sebegini. Jelas sekali beliau bersungguh kerana ketika ajakan itu, bulan puasa perlu ditunggu untuk tempoh masa sepurnama setengah lagi. Jadilah saya ternanti-nanti zuhurnya anak bulan Ramadhan itu sampai termimpi-mimpi. Apatah lagi kerana saya akan diajar secara intensif oleh seorang murabbi yang alim sekali. Dan saya pula satu-satunya insan yang akan bertalaqqi.

Namun ketika hari pertama kelas, saya jadi terkejut besar kerana ada seorang lagi anak murid baru yang turut akan mengaji sekali. Mulalah saya terasa tumpuan Tuan Guru terhadap saya yang tidak akan dikongsi, kini akan retak terbelah bahagi. Berkongsi dengan seseorang yang langsung tidak saya kenali.

Namun setelah bersuaikenal dengan si jadid, barulah saya tahu bahawa beliau juga bukanlah seorang yang calang-calang ilmunya. Beliau pernah sembilan tahun mengasingkan diri dari dunia untuk belajar alim di Benua Keling. Beberapa tahun di Mekah. Dan sampai sekarang sering berpusing-pusing ke Pattani dan Indonesia memantapkan ilmu di diri. Bahkan di Yaman juga beliau pernah menjejakkan kaki. Mengetahui akan itu, jadilah saya insaf dan sedar bahawa saya jika dinilai dengannya umpama langit dan bumi. Tak ada nilai dan umpama batu yang menunggu masa dialih ke tepi. Saya pasrah dan mula mengiktiraf kelebihan orang alim yang hadir bagaikan anugerah gratis dari Ilahi.

Kami pun mulalah bertallaqi dari Tuan Guru akan ilmu falak setiap hari, menghafal buruj-buruj, mengira waktu solat dan menentukan arah kiblat berpandukan bintang. Selesai kelas itu, saya akan bertallaqi sebuah kitab pula daripada orang alim dari Benua Keling tadi. Kemudian kami akan borak-borak tentang hal akhirat, masalah umat, amal ibadat, termasuk juga hal-hal dunia, namun hal dunia itu dibincang adalah untuk dihindarkan.

Terbitlah rasa cinta kepadanya di dalam hati sehingga masuklah wajahnya ke dalam mimpi. Namun rasanya tak salah bercinta dengan kumpulan manusia ini, kerana merekalah pewaris Nabi.

Makin lama bersama dengan beliau, saya dapat rasai banyak perubahan pada diri. Antaranya dalam membaca Al-Quran. Sehinggakan telah jadi fakta bahawa pada bulan Ramadhan tahun lepaslah saya paling banyak membaca Al-Quran seumur hidup ini. Bukan hanya setakat dapat mengkhatamkan, bahkan terjemahan-terjemahannya turut saya ladeni. Semuanya berpunca selepas mendengar sebuah kisahnya ketika waktu pembelajaran di Pakistan. Mula-mula, serupa tak logik juga rasanya bila mendengar kisah sahabat-sahabatnya yang dapat mengkhatamkan Al-Quran beberapa kali setiap bulan, siap mereka boleh buat makan-makan lagi apabila habis sekali pengkhataman. Nasib baik beliau selitkan sekali kisah keluarga seorang lagi orang alim yang terdapat dalam kitab Fadhaailu l-a'maal tentang seluruh ahli keluarganya yang berlumba-lumba membaca Al-Quran. Terasa sungguh bahawa diri ini ada seribu satu kekurangan sedangkan bersepah-sepah lagi manusia lain dielus-elus rahmat Tuhan.

Bukan itu saja, akhlaq yang ditonjolkan oleh orang alim juga takkan kejumpaan pada sebarangan insan. Mudah mesra dengan warga tua, tidak rasa malu untuk memalukan muka demi agama, tawadduk dengan ilmu di dada dan lagi-lagi yang seribu macamnya. Disiplin ilmu juga sempat saya tiru darinya. Antaranya adalah, tidak malu untuk mengatakan tidak tahu. Ini tidak, saya ini jika tidak tahu, hendak juga dibuat-buat tahu.

Seterusnya seperti yang dijangka, tumpuan Tuan Guru terhadap saya benar-benar telah dikongsikan dengan orang alim kerana Tuan Guru seringkali menyebut-nyebut nama beliau di depan saya ketika ketiadaannya bersama kami. Bahkan Tuan Guru telah melebih-lebihkan tumpuannya kepada beliau lebih daripada tumpuannya kepada saya lagi. Tuan Guru amat kagum sekali dengan keilmuan beliau memandangkan umurnya yang masih muda dan saya hanya mendengar luahan Tuan Guru dalam kecemburuan sambil berhajat besar untuk jadi seperti kedua-duanya. Terkadang itu sering juga saya dipinggirkan apabila mereka berdua telah mula berbahas masalah feqah dengan pendapat-pendapat masing-masing yang saya sendiri baru pertama kali mendengarnya. Dalam sungguh ilmu mereka dan terasa sungguh saya seperti tunggul apabila perdebatan mereka semakin mendalam jauh ke isi-isinya. Saya bahkan makin tidak tahu apa yang diulaskan. Namun perdebatan mereka bukanlah seperti perdebatan orang Wahabi yang mahukan kemenangan semata-mata, perbahasan mereka adalah secara ilmiah dan didasari dengan disiplin ilmu yang mapan.

Dalam penat-penat saya dan orang alim mencerap bayang mengukur saiz matahari ketika kelas, pernah juga saya kisahkan padanya tentang niat saya untuk menjadi alim sepertinya. Sehinggakan saya turut katakan saya amat risau jika saya mati dan diri ini belum alim lagi. Namun beliau hanya menempelak mudah kerisauan saya itu tadi. Katanya,
“Sepatutnya, saya yang risau akan kematian saya nanti sedangkan saya berkeadaan begini. Tuhan tak akan tanya anta kenapa anta mati sedangkan anta tidak alim-alim lagi. Tapi Tuhan akan tanya saya apa yang telah saya lakukan setelah diberi ilmu sebegini. Cukupkah saya tunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan?”
Mendengar jawapannya itu, saya jadi terdiam sejenak kerana sungguh benarlah apa yang diperkatakan tadi. Bukan mudah menjadi alim kabir kerana semakin kabir seseorang semakin kabirlah syaitan yang akan datang menipu nanti.

Walaupun saya pernah sekali kecil hati dengan orang alim kerana diperkecilkan tentang kurangnya takkid saya pada beberapa kalimah Bahasa Arab, saya terus menafikan rasa kecil hati demikian dan menuduh terus bahawa rasa itu semuanya datang daripada was-was yang dibisikkan. Syaitanlah yang cuba membesar-besarkan teguran itu agar saya pecah hati dengan orang alim tersebut dan membencinya. Mungkin syaitan belum tahu bahawa saya tidak mungkin untuk berbuat begitu.

Bukankah saya menyintainya?

Kurang dua minggu sebelum kepulangan saya ke Mesir, percintaan saya dan orang alim itu akhirnya berakhir ke jinjang pelamin. Beliau dijodohkan dengan seorang pelajar puteri yang turut belajar di pondok yang sama. Terkejut melompat bumi saya dibuatnya. Ini kerana selama ini sayalah yang rapat dengannya dan mengetahui segala selok-belok apa yang dibuatnya. Namun tiba-tiba saja, saya dijemput ke majlis akad nikahnya. Setelah dikaji, tahulah saya bahawa mudahnya pernikahan beliau adalah kerana si alim sepertinya memang diharapkan oleh sesiapa saja. Bahkan mereka yang di pihak sana (sebelah perempuan) merasa lebih bertuah dari yang dirasa orang alim dek kerana mereka dapat bermenantukannya. Dan saya pula hanya mampu merasa bertuah kerana pernah ada sekali pengalaman bercinta dengan orang alim sepertinya.

Sampaikan saya kekadang syok sendiri bahawa sayalah orang yang dapat masuk syurga dalam kisah yang tak kurang juga masyhurnya. Alah, kisah yang menyebut tentang kelebihan berkawan dengan orang alim itu.

Anda tak ingat?

Seorang lelaki. Waktu itu dia hanya tinggal selangkah lagi untuk masuk ke neraka. Setelah dikira hitung semula segala pahala dan dosanya, didapati tidak ada sesuatu apa pun lagi yang boleh menyelamatkannya dari terus dihumban ke dalam nawarka. Menggeletarlah dia yang sangat serta kecutlah yang amat. Namun malaikat tetap terus mencari andai ada apa-apa yang bisa menyelamatkan. Hinggalah terjumpa satu rekod ketika di dunya dahulu. Bahawa dia pernah berkawan dengan seseorang yang berkawan dengan orang alim. Bukan dia yang berkawan dengan orang alim. Tapi kawannya yang berkawan dengan orang alim.

Akhirnya masuklah dia ke syurgaloka tanpa sebarang lagi keraguan dek kerana keberkatan yang hanya sekadar tempiasan. Gembira meloncat sakan. Walhal hanya sekadar berkawan dengan seseorang yang ada berkawan. Begitulah sebagaimana yang dimaklumkan.

Oh, alangkah indahnya jika saya adalah orang itu. Mudah sikit untuk masuk syurga. Sudahlah saya ini orangnya banyak dosa. Tapi kenapa saya mudah perasan dan merasakan sedemikian? Kenapa saya tak merasakan sebagaimana yang Saidina Umar R.A rasa? Sehinggakan beliau R.A berkata,
“Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu.”
Jelas sangat saya ini lemah iman. Sedangkan Saidina Umar R.A yang dijamin syurga itu boleh mengungkapkan ayat sedemikian dan merasakan dosa-dosa penuh di tangan, saya pula boleh perasan masuk syurga semata-mata hanya ada sekali berkawan, walhal orang-orang alim di Mesir ini banyak sekali yang saya abaikan. Menyesalnya!

Untuk pengetahuan sekalian, orang-orang alim di Mesir ini duduknya mereka itu, kadang-kadang hanyalah di tepi-tepi jalan. Bahkan orang alim yang di tepi jalan itu bukan sekadar alim-aliman, mereka juga adalah wali-wali yang amat rapat hubungannya dengan Tuhan.

Namun meskipun keberadaaan orang-orang alim ini di atas muka bumi adalah melata, bertebaran dan ada di mana-mana, tak ramai manusia yang tahu untuk memanfaatkan. Lebih teruk lagi, mereka ini bahkan menjauhkan diri serta berlari meninggalkan orang-orang alim yang dengan orang-orang alim itu ada berkat yang dilimpahkan banyak oleh Tuhan. Kasihan! Kasihan!

Semoga Tuhan tidak mengolongkan saya dari kalangan orang-orang yang bodoh sedemikian. Juga menyelamatkan anda semua, tuan-tuan dan puan-puan yang membaca saya punya kisah percintaan.

Silalah doakan dan silalah aminkan!

Labels: , ,