<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener("load", function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2Fsearch&amp;blogLocale=en&amp;homepageUrl=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2F" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Alim #3 : Pemergian Tuan Guru Haji Abdullah

Entri ini super panjang. Jika anda tiada masa untuk membacanya, saya cadangkan anda memuatturun entri ini versi PDF dan menyimpannya terlebih dahulu supaya boleh dibaca di masa-masa senggang.

Mula membaca daripada mula:

Musalsal Alim #1 : Bercinta Dengan Orang Alim

Musalsal Alim #2 : Surat Kematian Orang Alim

Di akhir zaman, Allah akan mencabut ilmu itu dengan mencabut nyawa para ulama. Itu adalah perkara yang pasti. Dan dalam hidup saya, saya telah melihat perkara itu berlaku berbilang kali. Banyak kali. Dan adakalanya, pemergian mereka itu memulas perit rasa sedih dalam hati. Sehingga terzahir kesedihan itu pada tulisan yang tak disedari dicoret untuk ditatapi dan diingati, oleh diri sendiri dan juga oleh sesiapa sahaja yang merasakan dia juga mahu mengingati.

Begitu jugalah dengan surat ini yang saya tulis dan hantar kepada rakan-rakan terdekat setahun dahulu. Semoga ia menjadi tanda ingatan dan satu pengajaran dari pengalaman. Agar selepas ini, tidak ada lagi orang-orang alim yang berani diri ini mensia-siakan.


------------------------------


Bismillahi wassolatu wassalamu 3ala rosulillah.

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh.

Meskipun saya banyak menulis, tetapi untuk tulisan yang kali ini saya tidak tahu mahu mulakannya dari mana. Jadi saya kisahkan dahulu satu cerita. Cerita yang benar-benar pernah terjadi dalam hidup saya. Yang sesungguhnya saya sering ingat selalu dan akan ingat sampai bila-bila. Tetapi sebelum itu, semua perlu tahu yang ini dahulu.

Selalunya saya malu untuk untuk mengaku saya adalah bekas pelajar sebuah pondok. Kerana kebiasaannya, mereka yang lepasan pondok, ilmu mereka setinggi langit, jiwa-jiwa mereka tenang, dan semuanya alim-alim belaka. Dan kerana saya tidak, ilmu langsung tiada, alim pun hanya sekadar pura-pura, rasa tebal di muka ketika mahu menyatakannya buatkan saya kerap menyimpannya saja. Apatah lagi apabila pondok yang saya pernah duduki itu adalah sebuah pondok yang masyhur dengan kealiman penerajunya.

Tuan Guru Haji Abdullah, Pondok Lubuk Tapah.

Sebut saja nama beliau, mereka yang adalah ‘ahlinya’ pasti terasa kehebatannya. Dan sebab itulah, kalau saya mengaku jua, saya bimbang jadi fitnah untuk mereka plus menjatuhkan kredibiliti Tuan Guru saya.

Lalu hendak dijadikan cerita, pada suatu ketika, telah tibalah masanya untuk saya meninggalkan tempat kesayangan saya itu kerana suatu sebab. Ketika itu, saya tidak tahu samada saya rela atau terpaksa untuk meninggalkannya. Namun apa yang saya tahu, saya perlu meninggalkannya juga. Hati mula rasa gundah gulana, sedih bertimpa-timpa. Dan demi kerana pendengaran Tuan Guru yang lemah kerana sudah agak berusia, tidak cara cara lain untuk saya menceritakan pada beliau tentang pemergian saya melainkan menjadikan surat sebagai pengantara. Lalu surat itu bagaikan ditulis dengan segala lelehan airmata. Segala sebab musabab saya coretkan jua, dan tiada yang lebih dalam permintaan saya melainkan doa selaksa.

Dan seperti hari-hari biasa selepas Asar adalah waktu untuk sesiapa yang ingin bertemu beliau menunggu di muka pintu rumahnya. Seingat saya petang itu, selain orang-orang kampung dan mereka yang datang dari jauh dengan pelbagai niat yang berbeza, hanya saya seorang sahaja antara pelajar pondok yang menunggu untuk bertemunya. Saya ditemani sahabat baik yang datang melawat pondok selama seminggu. Kerana demikian adalah kondisinya, orang ramai, saya utamakan dahulu tetamu-tetamu. Biarlah saya jadi yang terakhir, kerana saya juga takut jika ini jadi pertemuan terakhir. Kesemua masuk ke rumah, dan tinggal saya dan sahabat di beranda.

Dari situ, saya lemparkan pandangan penuh hiba ke arah pondok, kelas, masjid, kedua-dua rumah batu dan papan Tuan Guru dan kawasan pondok yang di depan mata. Saya cuba menatap dan menyimpan pemandangan itu dalam kepala. Risau ini kali yang terakhir. Apa yang saya dengar ketika itu adalah suara salah seorang guru mengajar kanak-kanak pondok kelas satu. Terdengar kejauhan. Sayup-sayup. Dan saya pula mengelamun sambil menunggu, dan terus menunggu membawa perasaan. Tak tahu apa yang difikirkan. Sedih. Dan masih menunggu.

Hinggakan sedar tak sedar, rupa-rupanya Tuan Guru telah berada di muka pintu. Apabila menoleh ke arah beliau, saya sangat terkejut. Kami saling berpandangan, lalu dengan suara yang tinggi, beliau berkata,
“Kenapa tak masuk?”
Akhirnya saya dimarah kerana lalai. Orang ramai rupa-rupanya sudah selesai hajat mereka dan yang tinggal hanya hajat saya sahaja. Memang sepatutnya saya sudah berada di dalam. Tapi dek kerana saya bermain-main dengan perasaan di luar, agaknya Tuan Guru tertunggu-tunggu saya di dalam.

Tuan Guru sebagai ulama besar, punya banyak kerja yang perlu dilakukan. Saya tahu itu. Namakan saja ianya kesibukan. Kesibukan yang mengalahkan segala kesibukan semua pemimpin dalam dunia. Kesibukan memikirkan tentang umat. Kesibukan memikirkan tentang masalah umat. Kesibukan memikirkan tentang ilmu. Dan seribu satu kesibukan yang tidak pernah ada pada kita orang awam. Dan kerana itu, kelalaian saya yang membuatkan beliau tertunggu-tunggu amat saya kesalkan, dan memang wajar saya dimarahkan. Dan perasaan sedih untuk meninggalkan beliau yang tersayang, ditambah pula dengan dimarah oleh beliau yang diharap daripadanya pengampunan buatkan saya ketika itu jadi super lemah, tak terasa kaki masih berpijak. Ingin saja saya tangiskan, namun kerana di depan saya adalah orang yang amat saya hormat, saya tahankan. Lalu tangannya yang lembut saya cium penuh perasaan dan surat yang dipoket saya keluarkan dan terus hulurkan. Beliau membacanya dan saya menatap beliau dari belakang penuh kehibaan. Dia lalu berpusing dan langsung mendoakan. Beliau kini sudah tahu saya akan berpergian. Mencipta satu sesi perpisahan, demi pergi ke sebuah tempat yang ambil masa tahun-tahunan. Diberinya saya air jampi beserta azimat. Hinggalah tiba masa untuk kami berpelukan. Saya mendakap beliau erat-erat. Sangat erat. Dan dalam hidup saya mungkin itu adalah antara seerat-erat pelukan beerti yang pernah saya berikan. Penuh syahdu dan buatkan jiwa jadi sangat-sangat lesu. Saya pohon ampun maaf serta berlalu pergi, sambil diniatkan dalam hati, selepas pulang dari Mesir nanti, saya pasti akan kembali ke sini.

Kini, sudah masuk tahun ketiga saya di Mesir, dan suasana di sana amat saya rindukan. Tuan Guru tidak ada dosa dengan saya. Dan saya menceritakan ini, bukan untuk memburukkan beliau kerana pernah kemarahan, bahkan kalaulah marahnya itu satu keburukan maka nasabkanlah keburukan itu pada saya yang sebenarnya memang patut dipersalahkan kerana kelalaian. Kerana bagi saya dialah Murabbi Kesayangan, insan yang umpama ayah, amat saya sayang dan rindu-rindukan.

Dan beberapa hari yang lepas, selepas waktu Isya’, ketika majlis Aqiqah, saya menerima mesej yang berbunyi,
‘Salam. Tuan Guru Haji Lah Pondok Lubuk Tapah telah meninggal. -Al-Fatihah-’.
Dan selepas melalui segala yang telah saya kisahkan, perasaan pertama yang terbit dalam hati saya selepas mendapat berita sebegitu sudah pasti adalah kesedihan. Namun saya tidak mudah pasrah. Perkara ini masih perlukan kepastian. Saya segera menelefon kawan saya di Cairo. Bertanya pada mereka. Lalu saya pula yang dikondemkan kerana tidak ketahuan. Kata mereka beliau sudah lama sakit dan saya sepatutnya tahu awal-awal lagi tentang ini. Bahkan katanya, mereka semua di sana sudah membuat solat jenazah ghaib di rumah BKAN Pahang, Cairo selepas Isya’ tadi. Dan kalau tidak percaya juga, lihat Harakah hari keesokan, pasti jadi berita utama di muka hadapan.

Saya jadi percaya.

Jadilah airmata tidak tertahan. Kerana hilang Murabbi Kesayangan. Ditambah lagi, lima hari sebelumnya sahabat baik saya di Malaysia juga pulang menemui Tuhan akibat kemalangan. Sahabat baik yang menemani saya menemui Tuan Guru tempoh hari. Lalu setelah usaha untuk mentakkidkan berita seolah sungguh-sungguh membetulkan, saya dan beberapa orang kawan bercadang untuk terus solat jenazah ghaib untuk roh beliau dan sekaligus untuk roh sahabat baik saya itu. Kebetulan, kami semua pelajar Malaysia ketika itu sedang berkumpul beramai-ramai. Setelah izin dan kemaafan diminta daripada tuan punya majlis, solat pun didirikan. Dan sepanjang malam itu hingga separuh hari esoknya, saya sungguh-sungguh dirundung kesedihan.

Hinggalah pada malam berikutnya, saya mendapat mesej kedua dari orang yang sama,
‘Maafkan saya, silap maklumat. Afwan, Tuan Guru tidak meninggal.’
Saya jadi terkejut. Tapi dalam terkejut ada juga rasa gembira. Kerana saya nampak semula sinar cahaya, harapan, kegembiraan dan pengajaran.

Malam sebelum mendapat mesej pertama, saya sakan bercerita dengan seorang kawan tentang Tuan Guru. Kehebatan beliau, kealiman beliau, wibawa beliau, juga niat saya untuk pulang seketika ke Malaysia untuk bertemu dengannya selain bertemu keluarga. Kemudian selepas mendapat pemberitahuan berita kesedihan, harapan saya hancur bercerai-berai. Namun selepas mendapat mesej pembetulan, saya kini bagaikan kembali dipenuhi semangat.

Masih ingatkah lagi dahulu ketika saya menulis emel ini?

Sungguh saya tidak mahu peristiwa sebegitu berulang lagi. Biarlah peristiwa itu berlaku untuk sekali itu saja dan anggaplah saya telah mula belajar dari pengalaman. Untuk tidak mensia-siakan ulama-ulama yang tinggal berdekatan. Bagi saya memang antara dua peristiwa ini ada persamaan.


Kehebatan Tuan Guru


Masih saya ingat lagi, ketika sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Kelantan 1426, kami semua seluruh pelajar pondok dijemput untuk ke Balai Islami di Kota Bharu. Saya tidak dapat hadir atas masalah tertentu. Dan akibat tidak dapat turut serta, itu menjadikan saya rasa cukup kecewa. Lebih-lebih lagi apabila beliau dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah untuk tahun itu. Namun, mujur ramai kawan-kawan saya yang ke sana. Sekurang-kurangnya saya dapat membayangkan apa yang berlaku melalui ceritera mereka. Meskipun saya sudah tahu serba sedikit tentang Tuan Guru melalui cerita-cerita orang lama, pembacaan saya dan dari mulut beliau sendiri, peristiwa malam itu buatkan kawan-kawan saya seolah-olah menceritakan semula segala detik-detik kehidupannya.

Tuan Guru dahulu pernah belajar di Mekah. Betul-betul di dalam Masjidil Haram. Ketika itu adalah zaman di mana puak Sunni masih lagi bebas untuk menggunakan Masjidil Haram sebagai tempat menadah kitab. Tidak seperti hari ini, selepas Wahabi menguasai kawasan itu dan menyebabkan berpindahnya tempat pengajian Tuan Guru dahulu ke atas sebuah bukit yang saya tidak tahu namanya. Beliau di Mekah selama 23 tahun. 9 tahun belajar di Masjidil Haram dan 14 tahun mengajar dan belajar di masjid paling suci itu.

Masih saya ingat lagi ketika Tuan Guru membuka kitab terkenal Mathla3il Badrain, ketika menceritakan bab hukum hudud untuk penzina yang sudah berkahwin. Rejam sampai mati. Beliau menceritakan sedikit pengalaman beliau ketika di Mekah. Setiap selepas solat Jumaat hukuman itu akan dilaksanakan dan akan ada lori yang membawa batu-batu yang akan digunakan untuk rejaman. Lalu sesiapa yang melalui kawasan itu, perlu mengambil batu-batu itu dan merejam para penzina yang ditanam separuh.

Berkenaan dengan sanad hadith beliau pula, ada kisah tentang Syeikh Nuruddin sendiri suatu ketika pernah cuba untuk meriwayatkan satu hadith musalsal. Namun apabila diperiksa tentang perawi-perawi hadith tersebut semuanya telah meninggal dunia. Cari punya cari, akhirnya Syeikh mendapati antara senarai perawi-perawi itu ada nama Tuan Guru. Dan Tuan Guru seorang sajalah yang masih hidup antara mereka. Dan demi itulah, setiap tahun Syeikih Nuruddin akan mengadakan kunjungan ke situ. Kunjungan sebagai seorang anak murid. Kerana dengan meriwayatkan hadith musalsal dari Tuan Guru, Syeikh automatik menjadi anak murid beliau. Hal ini ditakkidkan oleh seorang kawan saya yang kenal Syeikh Nuruddin ketika kehidupannya di pondok dengan berjumpa sendiri dengan Syeikh di situ, berbeza dengan saya yang mula mengenali Syeikh ketika di Mesir.

Tidak cukup dengan itu lagi, Syeikh Nuruddin sendiri pernah menceritakan rasa seronoknya mempunyai Tuan Guru sebagai pendidiknya ketika kelas musim panas Syeikh tahun lepas. Kata beliau, dalam banyak-banyak guru, Tuan Guru sajalah yang pernah mengelarkan Syeikh Nuruddin dengan gelaran ‘Tuan Guru’.

Dan bagi mereka yang Haraki, fakta yang akan saya sebutkan ini pula patut dijadikan satu koreksi jika anda masih tidak mengenali Tuan Guru. Tok Guru Nik Aziz sendiri jika ada majlis tertentu dan besar-besaran serta dihadiri Tuan Guru, maka Tok Guru Nik Aziz pasti akan meminta pada Tuan Guru untuk membacakan doa. Ini menunjukkan ikram Tok Guru Nik Aziz pada beliau meskipun Tuan Guru adalah lebih muda daripada Tok Guru Nik Aziz. Tak silap saya beliau adalah dua tahun lebih muda.

Lalu dengan sedikit kehebatan yang saya nukilkan di atas, rasanya sudah cukup untuk menyatakan bahawa amat rugilah jika seseorang tidak mengambil endah tentang kewujudan Tuan Guru. Lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam bidang agama dan mendalaminya.


Malu


Berbalik pada kisah mesej yang kedua tadi, maka terjadilah pelbagai spekulasi tentangnya. Jika bukan Tuan guru yang meninggal, habis siapa? Adakah berita itu berita palsu? Atau cerita yang direka-reka? Sedangkan kami di sini sudah solat jenazah tanda suatu penghormatan. Bahkan di rumah BKAN sendiri, solat jenazah turut didirikan.

Sebahagian daripada kawan saya ada yang mengatakan terus bahawa berita itu palsu. Tetapi bagi saya pula, saya terus mencari dan tidak mahu sekali lagi bertindak melulu. Lalu saya cari sumber yang lebih dekat. Mujur anak kepada murid nombor satu Tuan Guru, iaitu anak Tok Imam Ismail turut belajar di Mesir. Saya cuba menghubungi dia. Kali ini dapat, meskipun pada malam Aqiqah itu panggilan saya tidak diangkat. Katanya, dia juga kurang pasti, dan dia juga sudah dengar pelbagai bunyi-bunyi. Cuma yang pasti dia akan memanggil ke Malaysia untuk memasti, agar dapat kali ini terus menghilangkan segala hesitasi. Hinggalah saya diberitahu kembali, bahawa itu bukan berita palsu. Memang benar ada yang mati dan meninggal pergi. Tapi itu bukan Tuan Guru yang saya sayangi, tetapi adik beliau. Adik perempuan beliau yang juga turut bantu mengajar sedikit sebanyak di pondok. Cuma maklumat yang diberi itu saja yang silap. Dan bukan berita palsu direka-reka.

Hinggalah apabila ditanya pada kawan-kawan di Cairo, mereka sebenarnya rasa malu kerana merekalah yang jadi pengumum berita. Tetapi bagi saya pula yang jadi pengumum berita di sini dan juga turut memberi sedikit penerangan tentang beliau sebelum solat didirikan, tidak begitu merasakan yang demikian. Tidak begitu rasa segan. Kerana saya tahu disebalik ini ada hikmahnya yang tersendiri. Hikmah yang Tuhan mahu tunjukkan dan beri.


Hikmah


Sebenarnya, saya rasa amat bersyukur apabila mengetahui bahawa Tuan Guru masih kekal sihat, meskipun saya tahu Tuan Guru kini dalam kesedihan kerana masih merasa kehilangan (untuk itu saya hanya berdoa semoga Tuhan memenuhkan beliau dengan kesabaran). Cuma selepas peristiwa ini, saya tahu bagaimana akan jadi pada diri saya bila terasa kehilangan. Lebih-lebih lagi kehilangan sesuatu berharga yang seolah-olah pernah saya sia-siakan. Dan sungguh saya tak mahu itu menjadi seperti drama ulangan. Perit sekali memikirkan. Dan kerana itu jugalah, saya perlu membuat perubahan, dengan memanfaatkan para ulama yang ada berdekatan.

Sabda Nabi :
علماء أمتي كأنبياء بني إسرائيل
أو كما قال صلى الله عليه وسلم
Maksudnya:
“Para ulama umatku adalah umpama para nabi Bani Israel ”.
Dan sabda Baginda Lagi :
العلماء ورثة الأنبياء
أو كما قال صلى الله عليه وسلم
Maksudnya:
“ Para ulama adalah pewaris para Nabi”.
Memang dalam kehidupan, kita perlukan para ulama. Kerana mereka adalah orang-orang yang membimbing. Membuatkan kita suka pada yang benar, menjadikan kita benci pada yang salah, memastikan setiap apa yang kita lakukan terus terlindung dalam benteng syariat dan tidak terkeluar. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Dan kerana peranan dan keikhlasan para ulama ini, serasanya amatlah aib, jika seseorang itu tidak mengenali para ulama yang berdekatan. Dan adalah lebih aib lagi jika mereka yang terjun ke dalam bidang ini, turut serta tidak mengenali para ulama ini. Walhal ini adalah bidang mereka.

Dan kerana ini adalah bidang mereka, bukankah sepatutnya mereka mengenali siapakah orang lama mereka? Mengenali orang yang patut dijadikan contoh besar dalam hidup mereka? Kerana bukankah mereka berusaha untuk jadi seperti para ulama ini? Lalu jika mereka tidak mengenali, maka itu seolah-olah mereka tidak pernah mengambil endah, dan orang seperti ini perlukan pada koreksi.

Saya tahu banyak di antara kita, jika bukan kerana mesej yang tersilap, masih tidak mengenali siapakah Tuan Guru. Dan bahkan mungkin pada malam solat jenazah itu adalah kali pertama mereka mendengar nama beliau. Namun itu mungkin bisa saja saya maafkan, kerana zuruf di Malaysia yang segala media massanya banyak cuba menyembunyikan hal-hal demikian, apatah lagi media massa sekarang banyak berunsur hiburan. Lainlah jika mereka ini tinggal berdekatan dengan beliau dan memang sejak dahulu serius cuba mengenal para ulama.

Tetapi, jika kaki telah dijejakkan ke Bumi Anbia’ dan telah berpuluh-puluh batu meninggalkan Nusantara kerana niatnya ingin mendapat keberkatan ulama Timur Tengah, namun masih tidak mengenal ulama-ulama di sini. Maka itu tidak pernah sekali dan selama-lamanya dapat saya maafkan. Kerana bukankah sebelum berangkat dahulu niatnya adalah demikian? Bahkan ketika itu, jika ada orang menanyakan tentang tujuan datang ke Mesir, bukankah sebahagian kita mendakwa kerana ingin menumpang berkat ulama-ulama tersebut? Namun jika masih belum kenal, maka dakwaan itu hanya omongan kosong semata-mata.

Saya sedar saya bukanlah yang terbaik untuk mengingatkan. Kerana saya tahu saya juga punya banyak dosa. Hinggakan kalaulah dosa-dosa saya itu berbau, maka seluruh penduduk dunia akan lari ke pinggir bumi, membina rumah dan hidup di sana kerana mahu lari dari baunya. Namun, saya hanya sekadar meluahkan, kerana terfikir sampai bila kita mahu terus berkedudukan sebegini, walhal masa yang diberi terlalu singkat. Ingatlah, bukankah nanti kita akan pulang menjadi tempat rujukan? Bukankah kita ini yang akan menyambung perjuangan? Perjuangan yang ditinggalkan oleh para ulama. Tetapi bisakah kita meneruskan perjuangan sedangkan orang-orang lama dan pembimbing perjuangan tidak kita kenalkan? Hinggakan apabila nama-nama mereka disebutkan, kita hanya membatu tanpa perasaan.

Dan bertitik tolak dari situ, kini izinkanlah diri saya yang hina ini membuat satu ujian, dan menjadikan sahabat-sahabat yang mulia sebagai yang menjalani ujian. Tetapi jawapannya jika ada sesiapa berjaya mendapatkan, simpan sajalah ia dalam ingatan. Dan sungguh saya tidak mahu sesiapa pun menyebutkan. Anggaplah ia hanya satu ujian yang terbentuk selepas terkumpulnya rasa sedih dalam hati dan rasa perlunya ada perubahan. Dan sungguh dalamnya tidak ada niat untuk menghina atau merendah-rendahkan.

Muatturun fail KERTAS SOALAN ini.

Saya tidak mahu komen tentang keputusan ujian atau jawapan yang sahabat-sahabat temukan. Cuma saya mahu jelaskan mengapa saya sengaja mengisi nama Syeikh Muhammad Alawi Al-Maliki dalam kertas soalan itu. Ianya kerana saya mahu menjadikannya tanda ingatan. Ingat lagikah hadith Nabi,

إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه من الناس, ولكن الله يقبض العلم بقبض العلماء
أو كما قال صلى الله عليه وسلم

Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah Tidak Akan Mencabut Ilmu Itu Dengan Sekali Cabut Daripada Manusia, Tetapi Allah Mencabut Ilmu Itu Dengan Mematikan Para Ulama”
Hadith yang kadang-kala memulas perit dalam hati. Dan lebih perit lagi kerana ia datang terus dari mulut Nabi, seorang yang tidak pernah menipu, dan apa yang disabdanya pasti jadi realiti. Dan sungguh itulah apa yang umat sekarang sering hadapi.

Ketika saya mula-mula sampai ke Mesir, saya asyik mendengar orang menyebut nama Syeikh Mutawalli Sya3rawi dan juga Syeikh Habib Alawi Al-Maliki. Saya tidak kenal siapa mereka ketika itu. Namun, setelah dicari, rupa-rupanya mereka ini ulama besar. Dan setelah lagi dicari, rupa-rupanya mereka telah pergi menyahut seruan Ilahi sikit masa saja sebelum saya jejakkan kaki ke sini. Oh, sedih sekali!

Lalu, saya mendengar pula nama seorang ulama, yang hanya dengan mendengar cerita tentang beliau, saya langsung jatuh hati. Ingin sekali menjumpai dan mahu buatkan beliau jadi contoh untuk diikuti. Syeikh Abul Hassan Ali An-Nadawi. Namun hancur harapan kerana beliau juga telah turut pergi.

Dan kini, sepanjang berada di sini, sudah dua kali saya merasa kehilangan ulama Mesir yang pergi meninggalkan di depan mata. Syeikh Atiah Saqar dan Syeikh Saad Badran. Cuma penangan paling hebat sekali adalah dengan kehilangan Syeikh Saad Badran. Lebih-lagi kewafatan beliau betul-betul adalah sedikit masa sebelum kedatangan pelajar-pelajar baru tahun satu ke Dumyat. Dan selepas pelbagai episod ini, sungguh saya tidak mahu ianya berulang lagi.

Lalu sahabat-sahabat sekalian, setelah melalui semua ini, apakah langkah yang kita perlu ambil sebagai satu perubahan? Saya tidak tahu jawapan kalian.

Namun saya ada jawapan tersendiri iaitu dengan belajar memanfaatkan ulama-ulama yang masih ada ini, terutamanya ulama-ulama yang tinggal berdekatan. Sejak saat ini, saya tidak lagi mahu menjadi orang yang mensia-siakan mereka, menjadi orang yang seolah-olah tidak tahu kewujudan mereka. Dan itulah gerakan untuk merubah saya.

Ingatlah, bahawa datang ke Mesir adalah nikmat dan nikmat haram disia-siakan. Berapa ramai mereka di Malaysia sana yang meronta-ronta jiwa untuk datang ke sini, tetapi kondisi keluarga dan jalan hidup tidak mengizinkan. Sedangkan kita yang di sini lalai dan leka mensia-siakan. Oh, berdosa rasanya jika tidak membuat perubahan.

Saya tidak tahu bagaimana mahu memberhentikan tulisan ini sebagaimana tidak tahu bagaimana tika ingin memulakannya tadi. Tetapi sungguh perasaan di atas itu adalah azam saya. Dan berkenaan dengan azam semua yang membaca, sekali lagi saya katakan, saya tidak tahu bagaimana. Adakah sama? Atau sangat-sangat berbeza? Saya tidak tahu dan terpulang.

Cuma maafkan saya, kerana lari dari tujuan tulisan ini, yang pada mulanya hanya mahu memperbetulkan kesilapan maklumat pada mesej pertama, tetapi akhirnya berlarutan hingga jadi begini.

Berkenaan solat jenazah ghaib itu, doakan sajalah ia diterima Tuhan dan sampai pada roh adikanda Tuan Guru. Lagipun, bukankah segala kesilapan yang tidak tahu itu diampunkan? Cuma terima kasih kerana sudi menyolatkan, kerana tujuannya juga untuk sahabat baik saya yang kehilangan. Dan maafkan juga saya atas kesilapan maklumat. Bukan terburu-buru. Tetapi suasana yang menekan.

Akhirnya, seperti surat pertama saya dahulu, yang melaluinya saya menerima pelbagai kata belakang dan tohmahan, saya tahu untuk kali ini juga pasti akan ada sesi ulangan. Namun kenapa saya tetap menulisnya sedangkan tahu itu akan berlaku lagi. Ini kerana tulisan ini adalah suara hati. Ya, suara dari dalam hati.

Lagipun, bukankah kita diajar bahawa ‘Ikut Hati, Mati’? Ya. Kerana diajar begitulah, saya tetap mencatit. Kerana bagi saya, Ikut Hati yang membawa ke Mati hanya adalah apabila mengikut suara hati yang jahat, namun jika yang diikut adalah suara hati yang baik, maknanya bagi saya biar saya mati asal dapat melakukan.

Dan demi itu, saya terlebih dahulu memohon ampun atas segala kesilapan. Dan ingatlah, sekali lagi, saya menulis ini bukan untuk memerli atau untuk mendapat benci, cuma semata-mata ada suara hati, untuk wujudkan satu koreksi. Moga-moga yang baik kekal berterusan sampai mati.


Yang Benar,
Abqori.


NOTA KAKI:

Tuan Guru Haji Abdullah telah kembali ke Rahmatullah seminggu selepas peristiwa ini iaitu seminggu selepas kematian adik perempuan beliau tadi. Beliau meninggal dunia pada hari sambutan Maulidur Rasul tahun 1429 Hijrah. Al-Fatihah buat roh beliau.

Labels: , , ,