<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Permulaan Musim Panas [Reloaded]

Entri ini pernah dipublikasikan pada 14/5 tahun lepas. Namun kerana ia masih relevan dengan summer yang melanda, saya reloadkannya semula.

Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.


Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.


Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan.[2] Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka,
“Alangkah nikmatnya jus delima ini!”
Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.
“Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”
Lalu jawab si penjaga,
“Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya.

“Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

“Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas ........


[Dapatkan buku ABQORI untuk membaca kesudahan tulisan ini. Anda boleh menempahnya menggunakan borang online ini. Pembelian, pembacaan, dan penyebaran anda, sangat saya hargai dan saya menganggapnya sebagai sokongan, dorongan dan dokongan anda kepada saya untuk terus lebih berkarya lagi.]

Labels: , , , ,