Musalsal Imtihan #4 : Orang Parsi
Namun Abqori amat risau jika azam Abqori itu hanya tingal azam yang tidak dapat dikecapi. Sehinggalah pada suatu hari, Abqori diketemukan dengan orang Parsi. Orang Parsi yang tiba-tiba saja datang dan duduk bersebelahan Abqori.
Ceritanya begini.
Abqori pulang ke Malaysia baru-baru ini. Antara tempat yang paling banyak Abqori berulang-alik dan pergi adalah ke Sri Petaling. Kerana itu, Abqori banyak kali menaiki LRT. Dan terminal LRT dalam kisah ini adalah di Jalil Hill.
Abqori membeli tiket dan terus tekun duduk menunggu tren LRT sambil mengunyah Corntos yang harganya hanya 30sen.[1] Sedang Abqori menguyah, seketul Corntos jatuh ke lantai. Abqori mengutipnya lalu membersihkannya kerana setahu Abqori hal yang demikian pernah dipesan oleh Nabi. Tanpa disedari, Abqori diperhatikan oleh sepasang suami isteri. Sepasang suami isteri yang kemudiannya tanpa segan silu datang dan duduk bersebelahan dengan Abqori.
Disapanya si suami akan Abqori dengan salam. Abqori menjawab dengan sebaik-baik salam. Abqori tahu ini akan jadi permulaan untuk sebuah kalam yang amat panjang. Ditanyanya akan Abqori kemana mahu pergi selepas memperkenalkan dirinya dan juga diri si isteri. Amat mengejutkan Abqori kerana mereka berdua adalah orang-orang Parsi.
Katanya dia menetap di Kanada dan tujuannya ke Malaysia kerana si isteri akan melanjutkan pelajarannya di sebuah universiti di dalam negeri. Abqori amat teruja mendengar hal ini dan dengan tak semena-mena, kami akhirnya jadi berborak ke sana ke mari. Sehinggakan tak muat untuk Abqori kisahkan kesemuanya di sini.
Ditanyanya di mana Abqori belajar. Jawab Abqori, Abqori belajar di Mesir. Katanya lagi, sudah pasti Abqori pandai berbahasa Arab. Abqori pun dengan pipi yang merah malu-malu menjawab, ya, memang Abqori reti. Bahkan Abqori siap beritahu kepada si orang Parsi lagi bahawa antara tujuan Abqori ke Jalil Hill adalah kerana menjadi penterjemah yang sebenarnya masih mubtada-i. Walhal sebenarnya, jika mengikut method yang dipelajari oleh Abqori daripada orang-orang yang pernah melalui lorong-lorong sufi, seelok-eloknya Abqori merahsiakan saja hal yang boleh mengundang perasaan bangga diri begini, contohnya seperti memberitahu dia tentang kemampuan Abqori ini. Namun mulut Abqori cabul dan Abqori kembali kecundang untuk entah ke berapa kali.
Lantas, Abqori bertanya, adakah si orang Parsi juga turut pandai berbahasa Arab. Oh, jawabnya dia hanya sekadar pandai yang asas-asas sahaja. Itupun kerana dia ada menelaah Al-Quran. Dilampirkan di akhir kalamnya bahawa dia pandai lima bahasa yang lain darinya. Abqori diam saja mendengarnya sehinggalah dia berkata yang Abqori telah membuat pilihan yang tepat kerana memilih belajar di Mesir. Kerana Abqori belajar ilmu agama.
Didoanya agar Abqori dapat menjadi orang yang alim. Hati Abqori terlintas untuk mengaminkannya. Namun, baru saja mahu keluar dari mulut Abqori perkataan Amin, tiba-tiba dia berkata, “Kalau boleh, jadilah alim seperti Khomeini”.
Terkejut Abqori dan jadi terkebil-kebillah mata ini, hinggakan dengan tidak semena-mena bertukarlah perkataan “Amin” kepada ayat “I don’t want to be like him…. I don’t want to be like him”. Mulalah tergagap-gagap Abqori.
Bukan apa! Tak mahu Abqori menjadi seperti Khomeini! Bukankah Khomeini itu Syiah? Kalau mahu jadi alim, biarlah jadi alim empat mazhab yang sufi. Tak mahulah jadi alim yang haraki serta tak mahu juga jadi alim yang wahabi. Terus tersekat Abqori untuk mengaminkan doanya tadi.
Bila disebut tentang Parsi, Abqori jadi teringat bahawa Nabi punya sahabat yang juga merupakan orang Parsi. Salman Al-Farisi. Dan beliau R.A. adalah antara sahabat-sahabat Nabi yang paling Abqori gemari. Sebut saja nama beliau, hati Abqori sering mengelegak dan terasa ada angin sejuk turun dari atas ubun-ubun mengalir memenuhi dada Abqori. Rasa yang tenang sekali. Ianya bermula semenjak Abqori berada di Jordan lagi. Abqori tak tahu kenapa hal ini terjadi. Yang pasti, rasa itu amat Abqori sukai.
Abqori ceritakan padanya tentang Salman Al-Farisi dan si orang Parsi itu mengaku dia tahu sangat tentang lelaki agung ini. Abqori pun apa lagi. Mulalah mahu menguji. Abqori berikan fakta bahawa Saidina Salman Al-Farisi adalah antara sahabat yang panjang umurnya. Abqori beritahu bahawa umur Salman Al-Farisi itu lebih daripada 310 tahun. Katanya dia juga tahu hal ini dan dia sedikit pun tidak terkejut. Kebanyakan orang-orang Malaysia sering saja terbeliak mata apabila Abqori ceritakan pada mereka hal ini. Cuma malangnya, si orang Parsi berkata dia kurang yakin akan fakta ini. Bahkan dia siap cakap lagi bahawa kata Nabi, umur umatnya adalah diantara lima puluh dan enam puluh tahun. Oh, kasihan sekali kerana dia kurang meyakini! Walhal bagi Abqori, inilah satu tanda kehebatan dan kekuasaan Ilahi.
Tren LRT pun sampai. Kami menaikinya dan mereka berdua duduk di hadapan Abqori. Semua tempat duduk penuh dan ada dua tiga orang sahaja yang berdiri. Ingatkan perbualan kami akan terhenti, namun dia tetap belum mahu memutuskan koneksi. Dari kerusi hadapan, dia terus berbicara dengan Abqori dan jadilah kami bertiga sebagai tumpuan kepada orang-orang di dalam LRT kerana perbualan kami itu di dalam bahasa kaum yang pernah menjajah kita punya bumi. Namun Abqori endahkan sahaja mata-mata yang memerhati. Lagipun Abqori sudah biasa. Bukankah setiap hari ketika di Mesir, kulit cerah asiawi Abqori sering saja dijakuni orang-orang yang berkacukan Qibti?
Katanya dia akan menunaikan haji tidak lama lagi. Juga dia akan ke Madinah untuk melawat Nabi. Abqori pun apa lagi. Mulalah mahu berlebih-lebih. Bukan apa, kerana Abqori rasa bahawa ini adalah kesempatan Abqori. Abqori pun pesankan kepadanya agar jangan lupa mengirim salam Abqori kepada Nabi. Jawabnya bisa saja dan Insya Allah dia akan menyampaikannya di sana nanti.
Wah, mujur si orang Parsi bukan wahabi. Kalau tidak tak fasal-fasal jadi satu sejarah dalam hidup Abqori kerana dituduh sebagai ahli bidaah di dalam LRT.
Cerita punya cerita, akhirnya sampailah sepasang orang Parsi ini ke tempat destinasi dan tangannya dihulurkan untuk menyalami Abqori. Abqori menyambutnya penuh akrab sekali. Dan dengan ucapan salam, sepasang orang Parsi ini berlalu pergi.
Fuh, nampaknya azam Abqori telah berjaya untuk kali ini. Untuk berbuat baik sesama manusia termasuk orang-orang dari Parsi. Dan Alhamdulillah, Abqori tidak sedikit pun emosi, sepertimana yang berlaku semasa imtihan dan ketika pulang dari Zaqziq. Namun, berjaya untuk kali ini, tak menjamin keterusan keberjayaan untuk sesi-sesi kehidupan selepas ini. Abqori perlu terus pandai mengawal emosi kerana Abqori mahu terus hidup makmur di atas muka bumi.
Lagipun kalau Abqori emosi, itu mengundang Abqori untuk melakukan hal-hal yang mencemari nama baik agama, bangsa dan diri. Cukuplah Abqori pernah emosi dengan pelajar Mesir dan pakcik di dalam Tremco. Tak mahu lagi Abqori terbawa-bawa dek perasaan dan buatkan orang lain bersedih hati.
Cuma yang menyeronokkan, sebelum Abqori pulang ke Malaysia dahulu, Abqori telah kebetulan bertembung dengan pelajar Mesir yang di dalam dewan peperiksaan tempoh hari. Abqori telah memohon agar dimaafi dan kemudian kami telah berbual panjang sehinggakan apa yang berlaku di sekeliling pun tidak kami sedari. Yang menyedihkan pula, sehingga kini Abqori masih terbayang-bayang lambaian tangan yang kurang bermaya dari si pakcik. Harap-harap si pakcik itu ikhlaslah dalam memaafkan Abqori.
Yang pasti, musim haji tahun ini telah tamat berakhir. Dan mungkin salam Abqori kepada Nabi yang Abqori titipkan melalui orang Parsi tadi juga telah selamat dilunasi.
Namun sebenarnya, apa gunanya Abqori mengirim salam kepada Baginda Nabi sedangkan ketika Abqori duduk sendiri-sendiri, Abqori seringkali berat lidah untuk berselawat kepada penghulu segala nabi ini. Mungkin Abqori lupa yang terdapat kumpulan-kumpulan malaikat yang ditugaskan Tuhan untuk mencari orang-orang yang membaca selawat. Bahkan malaikat-malaikat ini setelah menemui orang yang berselawat, mereka akan terbang pula ke Raudhah untuk memberitahu Nabi bahawa si fulan bin si fulan ada membaca selawat mengharapkan syafaat.
Atau mungkin Abqori juga lupa yang kalau Abqori berselawat kepada Nabi sekali, Allah akan berselawat kepada Abqori sepuluh kali. Kalau Abqori selawat dua kali, Allah akan selawat kepada Abqori dua puluh kali. Dan begitulah seterusnya sehingga ke infiniti. Nampaknya banyak sekali pahala yang diberi. Cuma Abqori saja yang suka melupai. Mungkin agaknya dunia dah banyak masuk ke dalam hati Abqori.
Tapi ianya tetap tidak salahkan jika orang Parsi tadi menyampaikan salam Abqori? Bukankah para Nabi hidup di dalam kubur-kubur mereka?[2]
Cuma, alamak, terlupalah pula untuk memesan kepada orang Parsi agar bertawassul sebanyak-banyaknya di Raudhah sana! Dan kalau boleh sebutlah sekali nama Abqori dalam tawasul-tawasul yang confirm sampai itu nanti hendaknya.
Ah, memang terlupa! Sumpah tak sengaja!
Allahumma solli ala sayyidina Muhammadin, wa ala alihi wa sohbihi wa barik wassallim.
p/s : Untuk rekod, tidak ada sebarang Hikmat Mata Kucing Shrek atau Hikmat Mata Kucing Parsi digunakan sepanjang cerita ini.
-------
NOTA KAKI:
[1]^Abqori pernah jumpa keropok Corntos ini dihanya sebuah kedai sahaja di Mesir. Dan pek yang berharga 30sen di Malaysia itu berharga 3 Pound Egyptian di sini. Mahal sungguh. Sebab itulah, kali pertama memakannya, Abqori memakannya di dalam sebuah bilik yang berkunci rapat dengan mangga konkrit sebesar buah epal dan menikmati dengan sepenuh hati-hati setiap ketulannya. Itupun selepas dua tahun tidak memakannya. Siapa sanggup untuk berkongsi. Kalau yang pek besar lagilah super mahal. 8 Pound Egytian. Nasib baik Abqori sudah pulang ke Malaysia baru-baru ini dan telah melantak keropok Corntos sepuas-puasnya. Tak lupa juga Abqori telah mentekedarah keropok Twisties, Super Ring, Vanilla Coke, Seven Up, Tempoyak dan juga Ikan Patin dengan sebanyak-banyaknya di sana. Sebab Abqori tahu, Abqori akan kembali merindui itu semua selepas kembali ke Mesir. Bahkan sekarang pun Abqori telah mula merinduinya.
[2]^Hadith nabi “Innal anbiya-a ahya-un fi quburihim yusollun”. Mafhumnya, “Sesungguhnya para Nabi hidup di dalam kubur-kubur mereka sedang mereka bersolat”.
Labels: Musalsal Imtihan, Pulang Ke Malaysia, Santai