<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttps://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d1113511278717057062', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Musalsal Imtihan #2 : Jahat, Dosa dan Hikmat Mata Kucing Shrek.

Mereka yang pertama kali membaca blog ini adalah disarankan membaca terlebih dahulu tulisan yang bertajuk Musalsal Alim #1 : Bercinta Dengan Orang Alim ini.

Ini adalah segmen Musalsal yang pertama. Atas beberapa sebab, Musalsal Sahabat yang dijanjikan terpaksa ditangguhkan. Harap maaf.

Entri "Setiap Imtihan Itu Berbeza" telah dinamasemulakan sebagai Musalsal Imtihan #1.
Tulisan ini mempunyai 2 bahagian. Ini bahagian pertama. Bahagian kedua akan menyusul kemudian. Fresh ditulis selepas membaca entri Bercinta Dengan Basikal di blog Hembusan.

Tak sangka, rupa-rupanya Abqori ini jahat orangnya. Bila dah buat jahat, itu namanya menempah dosa. Bila dah berdosa, nampaknya kenalah taubatnya disegera. Kalau tidak mahu masuk neraka, itulah satu-satunya jawapan yang paling mulia.

Suatu hari, Abqori masuk dewan peperiksaan. Setelah satu jam peperiksaan berlangsung, ada pelajar Mesir yang sudah mahu keluar dewan peperiksaan. Dia duduk di hadapan Abqori. Betul-betul berhadapan dengan dinding. Takwilan Abqori, dia ini hebat orangnya. Masakan tidak, kalau dia tidak gada3[1], takkanlah dia sudah meminta untuk keluar walhal baru sejam berperiksa. Muroqib[2] pun mengambil kertas jawapannya, namun dia masih tidak dibenarkan untuk meninggalkan tempat duduknya.

Jadilah dia termangu-mangu tertunggu-tunggu di tempat duduknya. Apabila muroqib berjalan ke belakang dewan, menolehlah pelajar Mesir itu ke arah Abqori. Apabila muroqib itu menghala ke depan, dia pura-pura seperti tiada apa yang terjadi. Berlalu lima belas minit dan dia masih tidak dibenarkan untuk keluar pergi. Dan sepanjang waktu itu, dia terus-terusan menoleh seperti tadi. Dasar orang cerdik, apabila mereka sudah siap, pasti orang yang belum, diganggunya sepenuh hati.

Ditegur perbuatannya oleh Abqori. Telah dicakap perlahan,
"Syuf uddamak!"[3]
sebanyak dua kali. Namun diendahkannya saja bagaikan teguran Abqori itu tiada bunyi. Hinggakan pada kali ketiga, Abqori beri amaran. Jika dia tidak berhenti memandang Abqori dan menghilangkan konsentrasi diri, akan direport Abqori tentang perangainya kepada muroqib. Namun, tidak juga diendahnya dan menjawablah dia mudah,
“Beritahulah!”.
Wah, ini namanya cabaran! Tidak tahukah dia, Abqori pantang dicabar? Tidak tahukah dia, Abqori jika dicabar, nescaya segala peluh saga anak jantan akan keluar? (bukan peluh al_jantanie, ya).

Huh! Berkatalah Abqori dalam hati, tunggu masa saja orang Mesir ini. Namun jangan dilupa, jika Abqori mengadukan hal ini, niat Abqori juga adalah kerana Abqori kasihan melihatnya. Melihatnya tertunggu-tunggu ternanti-nanti. Dan jika Abqori adukan karenahnya ini, pasti terealisasi hajatnya untuk pergi. Lagipun, bukankah penantian itu satu penyeksaan? Dan bukankah kerana penungguan, wujudnya penunggu?

Maka, berlalulah muroqib di belakang Abqori. Hingga mengelegaklah segala yang ada di dalam hati. Jadi terfikirlah si Abqori, mahu diberitahu atau terus saja disenyapkan hal ini. Tapi, belum habis difikir, dengan tidak semena-mena, terpacul jua dari mulut Abqori, kata-kata, yang sepatutnya kata-kata itu hanya disebut di dalam hati. Dan tanpa disedari, kata-kata itu adalah aduan meminta agar dibenarkan saja pelajar Mesir itu pergi.
“Duktur, mumkin khollihu yaruh.”[4]

“Murowwah?Limaza?”[5]

“Yuz3ijuni.”[6]

“Yuz3ijuk?”[7]

“Na3am.”[8]

“Kau! Kenapa menganggunya?”
Berubah cuaklah muka si pelajar Mesir. Terbitlah segala bibit penyesalan dalam hatinya. Jadi bertaubatlah dia untuk mencabar pelajar-pelajar yang berkulit cerah asiawi selepas ini. Kerana, cabaran kepada meraka pasti akan dipenuhi. Diberinya alasan bahawa dia hanya memandang sahaja. Dikatanya lagi, Abqori hanya melebih-lebihkan cerita. Hingga muroqib seolah-olah percaya kata-katanya. Dipandang muroqib mata Abqori sedalam-dalamnya. Abqori membalas renungan tajamnya. Mujur Abqori ada belajar bagaimana membuat mata kasihan seperti Puss In Boots, kucing dalam cerita Shrek. Hingga terdengarlah alunan yang menyejukkan hati.[9] Dan Abqori pun berkata lagi,
“Dia itu, asyik toleh ke arah saya sahaja, kemudian gelak-gelak suka”.
Muroqib akhirnya percaya kata Abqori. Tambahan lagi, Abqori telah menggunakan hikmat mata Kucing Shrek. Orang mana yang tidak kasihan melihat mata berkenaan. Disuruhlah pelajar Mesir itu bangun. Dan dengan cara yang amat mulia, dikatakan padanya bahawa dia bisa beredar sekarang. Bukan dihalau atau yang sama waktu dengannya.

Lalu bersegera bangunlah dia, dan tergelak sukalah beberapa orang. Kenapa mereka tertawa-tawa, Abqori tidak tahu sebabnya. Namun ketika itu, Abqori rasa puas hati sepuas-puasnya. Kerana berjaya memerdekakan pelajar Mesir yang terhalang untuk bergembira. Sangka Abqori, pasti dia juga akan turut suka. Namun apabila Abqori tamat imtihan, rasa bersalah menyelinap masuk ke seluruh jiwa. Abqori mula berfikir.

Benarkah tindakan Abqori itu? Tidakkah tindakan itu telah mengaibkannya? Meskipun dia berjaya keluar awal, adakah keluar dengan cara itu yang diingininya?

Oh, nampaknya Abqori telah menjadi seorang pendosa, dan itu adalah jika Abqori telah mengaibkannya. Abqori tidak tahu pelajar Mesir itu merasakan apa. Adakah malu atau gembira? Cuma Abqori rasa dia pasti sedikit dukacita, dan sungguh Abqori risau dia menyimpan hal itu dalam hatinya, lalu menyebut-nyebutnya di hadapan Tuhan di hari muka. Oh, janganlah disebut-sebut hal itu di waktu dosa-dosa Abqori sedang dihitung kesemuanya! Juga Abqori risau, andainya ketika Abqori tinggal selangkah kaki lagi sebelum ke syurga, rasa tidak puas hatinya itu menarik kaki Abqori itu ke sebuah tempat yang lima ratus tahun jauh perjalanannya. Oh, janganlah!

Kerana itu, Abqori berdoa agar selepas ini Tuhan menemukan kembali Abqori dengan si dia. Agar dapat Abqori melunaskan segala yang belum selesai antara dua jiwa. Biar tenang untuk selama-lamanya. Dan jika dia, selepas ini, mahu berkawan dengan Abqori, akan Abqori cuba untuk mengingatinya di waktu suka ataupun duka. Agar tertebus sepenuhnya segala dosa.

Kini Abqori sedar Abqori ini jahat orangnya. Dan orang jahat ini kena segera taubatnya. Namun kisah ini bukanlah kali pertama Abqori berbuat dosa dengan orang Mesir. Sudah banyak kali. Dan yang paling tragis adalah kisah kepulangan Abqori dari Zaqziq.

Abqori orangnya minat berfoya-foya (revel). Bukan dengan wanita. Bukan dengan menonton cerita. Bukan dengan game-game yang tidak mampu memberi mudarat dan manfaat dunia akhirat. Tapi Abqori minat berfoya-foya dengan segala yang berkaitan dengan komputer laptop. Lebih spesifisik, berfoya-foya dengan dengan segala perisian sumber terbuka. (Nak cakap Abqori minat berfoya-foya dengan blog, boleh juga.) Dan Abqori pernah ke Zaqziq kerana mahu menamatkan pencarian Abqori tentang sumber terbuka yang sememangnya telah membuahkan segala balakh[10] dan jawwafah[11]nya.

Suatu malam, setelah siap urusan di Zaqziq[12], Abqori pulang ke New Damietta City. Abqori berhenti di Mansurah untuk bertukar Tremco. Abqori naik dan dapati ada satu tempat kosong di kerusi belakang. Jika Abqori duduk di situ, maka Abqori akan duduk di tengah-tengah dua orang Mesir.

Insya-Allah bersambung di bahagian ke-2...

---

NOTA KAKI :
[1]^Gada3 bermaksud cerdik. Satu perkataan yang sering digunakan dalam Bahasa Arab 3ammiyah versi Mesir. Disebut juga gad3an, atas wazan fa3lan dari bab as-sifaat tul musyabahah. Tetapi tidak disebut ajda3, kerana ia membawa maksud ‘Hidung Terpotong’, seperti Sphinx.
[2]^Pengawas peperiksaan.
[3]^”Tengok depanlah!”
[4]^ “Doktor, bolehkah dibenarkan sahaja dia ini pergi?”
[5]^ “Kenapa?”
[6]^ “Dia menganggu saya.”
[7]^ “Menganggumu?”
[8]^ “Ya!”
[9]^Sesiapa tidak faham statement ini, selepas ini sila tontoni filem Shrek. Kanak-kanak pun menangis apabila melihat mata Puss in Boots ini.
[10]^Sejenis buah tamar yang keras dan muda. Namun sudah enak untuk dimakan. Berwarna kemerah-merahan dan akan berubah hitam apabila sudah tua. Buah tamar jenis ini tidak kedapatan di Malaysia. Amat banyak ditanam di New Damietta City ini.
[11]^Jambu batu. Di Mesir, ia lebih sedap diminum sebagai jus.
[12]^Meskipun pencarian sumber terbuka Abqori berakhir di Zaqziq, itu tidak bermakna Zaqziq adalah bandar yang berteknologi tinggi.

Labels: , , ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Thursday, June 12, 2008
Jam 11:51 AM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     

    for this post

     
    Blogger Hafiz Says:

    owh, ini pun ada kaitan dengan tulisan Reazal @ Tawel juga :). erm, musalsal tu apa yer maksudnya?

     
     
    Blogger Abqori Bro Says:

    Ada. Mungkin sebab itu ianya dua bahagian. Lagipun teranspirasi daripada entri berkenaan. Nantikan 'Aku Sebuah Basikal'. Musalsal? Rujuk sini. Seperti biasa. Ctrl + F dan taip Musalsal. Selamat Mencuba.

     
     
    Blogger Tawel Sensei Says:

    Kita berdua memang suka berfoya-foya dalam perisian sumber terbuka..hehe.

    Tentang Puss yang buat mata comel tu, tak payahlah Abqori mengada-ngada nak buat. Mata kasihan tu hanya khusus untuk Puss. Sebab tu bila Donkey cuba nak buat macam Puss (rujuk Shrek 3), kesannya tak sama macam Puss buat! ;)

    Alamak Abqori, ana kena Writer's block la..tiba-tiba 'blank' memasuki kepala dan tak ada idea pula nak sambung tulis blog..huhu!

     

    Mula Mengomen