<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener("load", function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <iframe src="http://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID=8782060929818629481&amp;blogName=ABQORI&amp;publishMode=PUBLISH_MODE_BLOGSPOT&amp;navbarType=BLUE&amp;layoutType=CLASSIC&amp;searchRoot=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2Fsearch&amp;blogLocale=en&amp;homepageUrl=http%3A%2F%2Fabqori.blogspot.com%2F" marginwidth="0" marginheight="0" scrolling="no" frameborder="0" height="30px" width="100%" id="navbar-iframe" allowtransparency="true" title="Blogger Navigation and Search"></iframe> <div></div>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Mungkin Yang Terakhir

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, saya sekarang telah selamat sampai di tempat yang dituju.

Akan tetapi, sayangnya entri di bawah yang saya kunci tidak keluar. Tidak seperti entri-entri lain sebelum ini yang sentiasa berbunyi seperti biasa selepas dikunci.

Oleh itu, disebabkan error yang tidak saya tahu sebabnya ini, saya fikir adalah lebih baik saya membatalkan sahaja segala entri-entri yang dikunci selepas ini. Tambahan lagi saya sangat sibuk di sini dan tidak ada masa untuk menggunakan internet. Ini pun saya bisa melayari internet disebabkan saya masih lagi mendapat cuti, sebagai tetamu, selama sehari dua sebelum sibuk untuk tiga bulan lamanya.

Jadinya, mungkin selepas ini entri terbaru adalah selepas saya pulang, iaitu selepas tiga bulan.

Atau mungkin juga saya akan terus berhenti menulis sebagaimana yang telah saya nyatakan di bawah dan mungkin juga blog ini tidak akan bernyawa lagi. Tengoklah bagaimana kehidupan di sini mengubah hidup saya.

Tengoklah.

Maka jika anda mahu mengetahui perkembangan seterusnya eloklah anda melanggan blog ini.

Minta maaf jika saya mengecewakan anda semua.

Maaf juga jika ada salah dan silap selama ini.

Doakan saya semoga sentiasa dalam keadaan yang tenang dan bahagia di sini.

Salamun salam.

NOTA KAKI : Untuk entri ini, tidak ada komen dibenarkan. Jadi tolong jangan tulis komen untuk entri ini. Jika ada sebarang perkhabaran, sila hantarkan komen itu di entri di bawah yang bertajuk Kunci, Bintang, Maaf, Doa Dan Pergi.

Labels:

 
 

Kunci, Bintang, Maaf, Doa Dan Pergi

Sila muatturun terlebih dahulu terjemahan Riyadhus Shalihin bahagian satu dan dua versi PDF ini supaya anda lebih memahami tulisan ini.


"Jika anda mengunci jam loceng pada waktu-waktu tertentu, maka jam loceng itu akan berbunyi mengingatkan anda apabila sampai waktunya."
Sewaktu anda membaca entri ini, saya mungkin sedang berada di dalam sebuah balai perlepasan di Cairo Airport, Mesir sambil melihat ke arah langit memerhatikan bintang-bintang. Mungkin saat ini saya sedang mencari-cari di manakah letaknya gugusan bintang Pleiades yang sepanjang tahun sentiasa dikejar oleh buruj Orion. Kemudian setelah menemuinya, saya akan masukkan pula garisan bintang tiga sejalur yang berada di perut buruj Orion agar ia menuju ke arah gugusan bintang Pleiades. Maka dengan itu, selepas sedikit ijtihad, dapatlah saya menemui apa yang dicari-cari iaitu arah kiblat.

Arah kiblat berpandukan bintang.


Kaedah di atas, sebenarnya tidaklah boleh digunakan di Mesir, tempat yang saya berada sekarang. Ini disebabkan kedudukan Kaabah yang terletak di arah Tenggara negara berkenaan. Berbeza dengan nusantara. Kedudukan Kaabah yang berada di Barat Daya tempat kita adalah penyebab utama berlakunya perbezaan. Namun begitu, setiap kali saya memandang ke langit, bintang-bintang inilah yang akan saya cari dahulu walhal cara mencari kiblat di Mesir berpandukan bintang amatlah berlainan.

Entah kenapa saya sangat-sangat degil untuk menggunakan method pencarian Kiblat melalui belakang telinga kiri sambil memandang bintang Kutub yang diajar oleh Tuan Guru falak saya. Sedangkan itulah kaedah yang paling tepat setepat-tepatnya jika mahu mencari Kiblat menggunakan bintang dari Mesir ini.

Atau mungkin juga, semasa anda membaca entri ini, saya hanya melihat bintang-bintang di atas kepala saya ini dengan pandangan yang kosong tanpa mencari pun arah kiblat. Tika ini, hati saya mungkin sedang gemuruh dan seram sejuk di samping merasakan ada angin dingin yang turun dari atas ubun-ubun menyejukkan terus ke dalam dada. Iaitu rasa berdebar-debar yang amat istimewa. Rasa yang sering dirasa oleh sesiapa saja apabila dia gembira tidak terkata.

Ini kerana saya sedang menunggu dipanggil masuk ke dalam kapal terbang untuk berlepas ke sebuah tempat yang telah lama saya cita-citakan.

Insya Allah saya akan berada di tempat itu selama tiga bulan.

Berkaitan tentang tempat yang sedang saya tujui ini, rasanya tak perlulah saya sebutkan. Biarlah ia menjadi rahsia saya buat masa ini. Mungkin setelah saya pulang nanti, saya akan beritahu.

Cuma yang nyata, di sana nanti pasti saya akan bertemu dengan pelbagai jenis orang alim yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi waris Nabi. Di sana nanti juga, saya akan mendalami lebih dalam lagi akan pelbagai cabang-cabang ilmu agama di samping dibimbing oleh guru-guru yang hatinya suci lagi bersih daripada cinta dunia. Sepanjang waktu itu juga, saya akan cuba untuk belajar bersungguh-sungguh dan menumpukan fokus sepenuhnya kepada apa yang diajarkan.

Ini kerana guru-guru yang mengajar saya nanti bukanlah calang-calang bahkan kebanyakan daripada mereka adalah daripada leluhur Nabi. Disebabkan itulah, saya perlu bertekun dan serius kerana peluang sebegini tidak banyak orang yang dapat merasai. Tambahan lagi, ini adalah antara cita-cita saya yang paling besar yang pernah saya tercetus di hati saya ini.

Oleh kerana saya lebih memilih untuk merahsiakan tempat yang saya sedang saya tujui ini maka saya telah membuat satu senarai nama-nama tempat yang mungkin terlintas di hati anda apabila saya mengatakan saya sedang berpergian. Senarai ini adalah berdasarkan kemungkinan yang paling besar dan berdasarkan penceritaan saya kepada rakan-rakan bahawa tempat-tempat ini adalah tempat-tempat yang saya ingin jejakkan kaki.

Saya juga turut melampirkan alasan-alasan kenapa saya tidak pergi ke tempat-tempat dalam senarai tersebut pada tahun ini sedangkan tempat-tempat itulah yang sering saya sebut-sebutkan selama ini.

Saya tahu mungkin ada yang terkejut dan terkilan kerana saya pergi tanpa pemberitahuan dan tiba-tiba.

Maafkanlah saya kerana terlalu minat berahsia. Janganlah anda kecewa kerana teman-teman serumah saya pun baru saya beritahu dua hari yang lepas. Apa yang penting sekarang adalah saya mengharapkan doa selaksa dari anda semua. Semoga perjalanan saya ini selamat pergi dan pulang, dinaungi rahmat Tuhan dan saya beroleh manfaat yang suatu hari nanti kepada ummah dapat saya kongsikan.

Amin Ya Rabbal Alamin!

Berikut adalah senarai tempat-tempat yang bukan dituju oleh saya sekarang :

  • United Kingdoms
Saya tahu ramai yang menyangka saya sedang siap sedia ke sana pada sekarang. Namun, saya telah membatalkan rancangan saya untuk ke sana buat tahun ini. Bukanlah saya membatalkannya kerana saya risaukan penyakit selsema babi yang sedang heboh sakan, namun saya membatalkannya atas sebuah isu yang rumit untuk diceritakan. Klu untuk isu itu adalah perkataan 'keberkatan'. Bagi saya selsema babi bukanlah penghalang terbesar kerana saya tahu bahawa ianya hanyalah satu penipuan Amerika kepada dunia. Rasanya tak perlulah saya bercerita panjang lebar tentang itu kerana seingat saya fenomena ini telah saya ceritakan sebelum ini.

Walaupun akhir-akhir ini, saya telah diibaratkan seumpama hanya tinggal selangkah kaki sahaja lagi untuk ke UK kerana pelbagai dokumen telah disiapkan dan saya turut membantu menguruskan tiket-tiket rakan-rakan yang akan berterbangan ke sana pada minggu hadapan, siapa sangka takdir Tuhan menentukan saya ke tempat yang berlainan. Walaupun saya agak terkilan kerana dengan membatalkan pemergian saya ke sana, bermakna saya juga turut membatalkan niat saya untuk menghadiri majlis graduasi sahabat baik saya sejak kecil yang tamat kursus sarjananya tahun ini, saya yakin ada hikmah yang besar di sebaliknya. Di kesempatan ini, saya memohon sebanyak-banyak kemaafan daripadanya dan berharap beliau memahami kondisi dan situasi saya. Harapan saya, semoga beliau dapat menyambung Master dan kalau begitulah jadinya, maka tahun hadapan Insya Allah dapatlah saya bertemunya di sana.

  • Malaysia
Saya tidak pulang ke Malaysia pada tahun ini kerana saya telah pulang pada tahun lepas. Cukuplah saya hanya pulang ke sana tiga tahun sekali. Eloklah kiranya saya memanfaatkan sebenar-benarnya masa dan wang sewaktu belajar ini dengan mencari ilmu dan pengalaman sebanyak-banyaknya daripada saya menggunakannya untuk pulang ke sana. Mujurlah famili saya sangat-sangat memahami. Lagipun, saya tahu, Malaysia is always there for me.

  • Jordan
Ketika di tahun satu, saya pernah ghaib tiba-tiba pada waktu yang sama seperti sekarang, yakni di waktu summer, tanpa diketahui oleh rakan-rakan selama sebulan setengah ke Jordan. Walaupun begitu, ghaib saya pada tahun ini bukanlah ke sana lagi. Hatta bukan juga ke negara-negara Syams yang lainnya iaitu Lubnan, Syria dan Palestin.

Kalau anda berotak geliga, cuba cari lawan kepada wilayah Syams yang disebutkan oleh Al-Quran. Kerana kalaulah anda bisa menemukan, maka mungkin anda mampu memudahkan perjalanan saya ini dengan menyumbangkan apa-apa sahaja maklumat tambahan. Eh, apa yang saya cuba maksudkan ini sebenarnya?

  • Qatar
Teman serumah saya amatlah berani kerana beliau telah dengan selambanya membina rumah bersama-sama keluarganya di Qatar. Walaupun saya telah agak lama merancang untuk ke sana bercuti mengikutnya, sehingga ke saat ini niat itu belum pernah tercapai lagi. Insya Allah jika ada rezeki, saya akan ke sana ketika cuti winter tahun hadapan. Sudah lama saya kepingin untuk melawat pejabat rasmi Al-Jazeera yang berpusat di sana dan makan sebanyak-banyaknya coklat buatan Qatar yang sangat lain rasa manisnya. Selama ini, saya hanya merasakan coklat itu setelah ia dibawa sebagai buah tangan oleh beliau ke Mesir sahaja. Kalaulah laptop saya ini pun boleh sampai ke sana, mengapa pula saya tidak boleh? [ Amacam ahli bait, ada berani tak? ;D ]

  • Maghribi
Tuan Guru falak saya pernah berpesan bahawa jika saya mahu lebih mendalami ilmu falak, amat eloklah saya pergi ke Maghribi kerana di sana ilmu ini bersinar tidak terperi. Tak silap saya, di sana juga alat ilmu falak yang digunakan amatlah berlainan sekali daripada Rubu' Mujayyab yang saya gunakan selama ini. Tambahan lagi, saya telah mengambil subjek sejarah Andalus selama dua tahun dan mempelajarinya membuatkan saya rasa sangat-sangat rindu kepada Sepanyol dan juga Maghribi. Ini kerana Maghribi juga memainkan peranan yang besar sepanjang wujudnya tamadun agung ini. Namun begitu, pergi ke Maghribi masih lagi diperingkat angan-angan saya dan bukan cita-cita. Saya belum berani untuk meletakkannya antara cita-cita saya kerana saya amat percaya pada pesanan seorang ayah kepada anaknya yang berbunyi,

“Cita-cita yang kau tak kejar, akan menghantui kau seumur hidup.”
Takut juga saya ia akan menghantui hidup saya jika ia tak mampu terealisasi. Namun begitu, rubu' mujayyab yang saya miliki sekarang ini tetap saya pikul ke tempat yang saya sedang tujui ini kerana mana tahu nanti saya bisa menemukan seorang guru tradisional ilmu falak di sana.

Oh ya, pemergian saya kali ini juga adalah kerana mengejar cita-cita sendiri.

  • Mekah
Ramai sungguh rakan-rakan saya yang pergi membuat umrah pada summer ini. Walaupun Mekah sering saya rindui, nampaknya tahun ini masih belum ada rezeki. Namun tidaklah saya ini terkilan sangat mennyambut kenduri rakan-rakan yang pergi, kerana Mekah, Alhamdulillah, telah pernah saya jejaki. Meskipun begitu saya tetap cemburu.

Melihat orang mendapat nikmat yang lebih, siapa yang tidak cemburu?

Namun ia bukanlah cemburu dengki dan iri hati, cuma cemburu yang mendorong saya berdoa agar saya juga dapat merasai apa yang dirasai oleh orang yang dicemburui. Bertuah sungguh kalian kerana telah dijemput menjadi tetamu Tuhan. Apa-apa pun, jangan lupa untuk mendoakan keselamatan saya di sana nanti juga buat seluruh umat Islam seantero bumi. Tetapi kalau anda berdoa semoga saya mampu menjadi orang yang faqih, lagilah saya teruja.

  • Benua Keling [ IPB ]
Disebabkan keluar saya ini adalah berbulan-bulan, maka mungkin ada yang menyangka bahawa saya sekarang keluar bersama-sama orang tabligh di jalan Allah. Hakikatnya saya bukanlah keluar sedemikian. Apatah lagi, keluar saya kali ini hanyalah 3 bulan, bukanlah 4 bulan sebagaimana yang sering dibuat oleh orang tabligh demikian. Namun begitu, saya tetap berharap saya akan dipilih keluar selama 4 bulan sepertimana mereka. Akan tetapi, kata mereka, buat penuntut ilmu agama seperti saya, nisab keluarnya adalah selama setahun penuh dan bukanlah hanya selama 4 bulan.

Meskipun ia agak lama, Insya Allah saya sedia tuan-tuan yang mulia!

Apa yang pasti, keluar saya kali ini juga adalah keluar di jalan Allah. Semoga kami sama-sama dipermudahkan.

Itulah senarai nama-nama negara yang berkemungkinan saya berpergian pada tahun ini namun masih belum berkesampaian. Aduhai, kenapalah saya ini minat sangat berahsia dan suka sangat membuat kejutan! Kasihan kepada kawan-kawan yang berdekatan.

Apa-apa pun, serasanya elok untuk saya sebutkan bahawa pendorong utama yang menyebabkan saya bermusafir ke tempat ini adalah seorang orang alim yang amat pakar akan ilmu hadith iaitu Syeikh Usamah, anak murid Doktor Ali Jumaah, Mufti Mesir. Segalanya bermula setelah saya mendengar kalam beliau pada tahun lepas di Anjung Atrak, Masjid Al-Azhar ketika kelas Muqaddimah Ibnu Solah, sebuah kitab bagi madah Ulum Hadith. Ketinggian ilmunya yang menjadikan saya merasa kagum tidak terhingga ketika itu, telah membuatkan saya termenung agak lama memandang ke kubah Al-Azhar memikirkan bagaimanakah untuk saya mampu menjadi seperti beliau. Hampir saja saya menangis di situ juga mengenangkan terlalu sedikit ilmu saya jika mahu dibandingkan dengan beliau sedangkan beliau pula masihlah amat muda.

Ingin saja saya belajar terus daripadanya, namun memandangkan saya masih lagi terkontang-kanting ketika mahu membahaskan masalah-masalah yang asas, saya telah membuat keputusan untuk memantapkan terlebih dahulu ilmu saya pada masalah-masalah asas berkenaan, supaya saya boleh memahami hal-hal yang tinggi yang dilontarkannya. Kerana itulah, saya pergi ke tempat ini. Kerana di sinilah saya rasa saya mampu mendapatkan kembali apa yang telah saya ketinggalan selama ini. Semoga suatu hari nanti, saya sempat untuk bertemu kembali dengan Syeikh Usamah di dalam Anjung yang sama, Masjid yang sama, serta dengan kitab yang sama, cuma dengan kefahaman saya yang telah berbeza. Semoga ketika itu suasana adalah lebih indah dan bahagia iaitu bertemu lutut pula.

Patutlah selama ini banyak sangat orang-orang cerdik pandai berpesan agar kita sentiasa mendampingi ulama. Kini saya nampak sendiri kesannya.

Memandangkan selama tiga bulan ini, saya akan sibuk kerana perlu fokus kepada hal ini yang telah saya tunggu sekian lama, saya tahu saya tidak akan ada masa untuk mengemaskini blog ini. Saya tahu itu akan terjadi kerana ia juga pernah terjadi ketika saya pulang ke Malaysia tahun lepas. Mujur saya telah belajar daripada pengalaman demikian. Oleh sebab itu, saya telah menyiapkan beberapa buah tulisan untuk dimuatkan di blog ini selama tiga bulan ke hadapan.

Juga saya telah mengunci entri-entri berkenaan agar saya tidak perlu susah-susah untuk memasukkannya ketika saya di sana nanti. Entri-entri yang telah saya kunci itu akan berbunyi terpublikasi dengan sendiri apabila sampai masa yang telah ditetapkan untuknya nanti.

Oh ya, entri ini juga adalah entri yang telah saya kunci, iaitu pada pukul 10.00 malam 25 haribulan Jun waktu Mesir bersamaan 3.00 pagi 26 haribulan Jun waktu Malaysia. Saya tidak tahu samada anda membacanya tepat pada masanya atau tidak. Namun jika tepat pada masanya, maka saya rasa anda masih sempat menghubungi saya demi mengucapkan selamat berpergian. Tapi kalau tidak sempat, saya rasa cukuplah dengan hanya anda mendoakan agar pemergian saya ini diredhai oleh Tuhan.

Baiklah, berikut adalah entri-entri yang telah saya kunci untuk bulan-bulan hadapan :

Julai
  • Terusan Dan Pelabuhan Itu 15/7
  • New Damietta City 30/7
Ogos
  • Wang Dan Krisis Identiti 15/8
  • Qibti Dan Stress 30/8
September
  1. Musalsal Alim #4 : Berkat Orang Alim 15/9
  2. Musalsal Alim # 5: Bermimpi Jumpa Orang Alim 30/9

Semuanya dikunci pada pukul 10 malam waktu Malaysia bersamaan 5 petang waktu Mesir.

Walaupun saya menguncinya kerana saya mahu memudahkan diri saya daripada ditimpa kekalutan untuk mengemaskininya, penguncian ini juga adalah untuk memudahkan anda semua supaya selepas ini anda tidak perlu lagi masuk ke blog saya untuk melihat adakah terdapat entri baru yang dimasukkan oleh saya. Selepas ini, anda hanya perlu masuk ke blog ini hanya pada hari entri-entri ini berbunyi.

Tak silap saya, ini bukanlah kali pertama saya cuba memudahkan pembaca-pembaca blog ini mendapatkan kemaskini terbaru daripadanya, bahkan ini mungkin kali kedua kerana sebelum ini saya juga pernah cuba memudahkan dengan menyediakan khidmat langganan.

Jika ada masih belum berbuat demikian, saya amat menggalakkan anda melanggannya sekarang. Sesungguhnya kali ini saya serius dalam menjemput anda membuat demikian.

Apakah sebabnya? Akan saya ulaskan.

Sila isi alamat emel anda dibawah untuk melanggan blog ini terus ke emel anda.

Isikan Alamat Emel Anda Di Sini:

Dibawakan oleh FeedBurner


Jika anda selalu membaca blog ini, anda akan dapat memerhatikan bahawa saya telah makin kurang mengemaskini blog ini dalam bulan-bulan sebelum ini. Sebabnya mudah, saya sedang dalam usaha untuk berhenti menulis. Namun begitu, saya mungkin tidak akan berhenti terus. Cuma saya akan berhenti secara perlahan-lahan.

Alasannya adalah kerana, setelah saya mendampingi orang-orang alim di Mesir ini, saya dapati nasihat-nasihat daripada mereka seolah-olah beerti menyuruh saya menjauhkan diri daripada hal-hal sebegini sepanjang masa saya menuntut ini. Walaupun mereka tidak menyebutnya secara zahir, saya faham bahawa blogging juga adalah apa yang mereka maksudkan. Ini kerana di waktu menuntut ini, saya perlu menumpukan sepenuh fokus saya pada kitab-kitab, kelas talaqqi dan menghabiskan lebih lagi masa dengan mendampingi orang alim. Sebab itulah saya rasa, jika saya berterusan blogging maka fokus saya kepada hal-hal yang disebutkan di atas akan sedikit berkurangan.

Bagaimana boleh berkurangan? Ini kerana jika saya blogging maka selain menulis tulisan sendiri, saya turut akan membaca tulisan-tulisan orang lain di blog-blog yang bertebaran. Jika saya hanya menumpukan pada tulisan saya sahaja, mungkin ia masih tidak mengapa, tetapi jika tulisan-tulisan orang lain juga sibuk saya kaji, saya rasa ia hanya membawa mafsadah kepada fokus tadi.

Diingatkan jua, bahawa saya mempunyai sejenis perangai yang amat pelik ketika membaca. Perangai itu amat sukar untuk saya cerita tapi saya akan cuba memahamkan anda semua tentangnya.

Ia adalah jika saya membaca sesuatu maka saya akan betul-betul membacanya dan akan tidak henti-henti mengkaji segala hal-hal yang bersangkut-paut dengannya. Tulisan itu akan jadi tumpuan saya dan saya akan menghayatinya sehingga saya benar-benar telah mengingatinya. Dan itu jugalah yang saya buat walaupun ianya hanyalah tulisan-tulisan yang kedapatan di blog yang melata. [Kan saya dah cakap ia sukar difahami. Tak mengapalah, biarlah saya seorang saja yang faham.]

Disebabkan itulah saya perlu berhenti buat sementara agar saya boleh menumpukan perhatian saya kepada sesuatu yang lebih berharga yang hanya kedapatan di sini. Pemberhentian saya itu makin hampir dan anda akan diberitahu apabila sampai masanya nanti. Namun begitu, saya akan menyambung juga menulis kerana menulis adalah minat saya dan sebahagian daripada jiwa saya. Cuma sambungan itu bukanlah selepas setahun dua, bahkan mungkin selepas sepuluh ke dua puluh tahun lamanya. Dan tidaklah anda akan diberitahu akan penyambungan semula itu melainkan di blog ini jua. Namun adakah selepas sepuluh tahun itu anda masih lagi akan melayari blog ini demi mengetahui berita penyambungan semula itu? Tentu sekali tidak! Namun jika sekarang anda ada melanggannya, sekurang-kurangnya akan ada emel pemberitahuan masuk ke emel anda.

Apa-apa pun, saya berharap anda memahaminya. Juga diharap agar janganlah mengatakan saya ini jumud kerana menolak teknologi dan sebagainya. Hal ini telah lama saya tekunkan diri memikirkannya dan itulah konklusinya. Samada anda mahu terima atau tidak mahu menerimanya, itulah keputusan saya. Tak mahu lagi saya bertangguh, lebih-lebih lagi kalau ia adalah nasihat daripada orang alim.

Sedangkan seorang pembunuh yang mahu bertaubat setelah membunuh 100 orang, langsung terus taat pesanan seorang alim tanpa ada bertangguh-tangguh, inikan pula saya yang telah berdamping dengan mereka buat sekian lama. Lagilah saya lebih patut taat.[1]
"Jika anda mengunci sebuah peti besi menggunakan sebiji mangga, maka peti besi itu tidak akan dapat dilihat isi dalamnya melainkan setelah mangga itu dibuka."
Sebelum ini, saya telah mengunci komen-komen yang dihantar oleh pembaca-pembaca ke blog ini. Komen-komen yang telah dikunci itu hanya dapat dilihat setelah saya menapisnya. Namun kerana permusafiran saya yang mengambil masa yang agak lama dan sepanjang waktu itu saya pasti tidak ada masa untuk mengendalikan blog ini, kunci untuk komen itu telah saya buka. Ini kerana saya tidak mahu komen itu diperam buat masa yang lama sehingga ia menjadi mangga yang busuk.

Setiap komen anda tidak lagi akan dikunci dan ia akan terus dapat dilihat setelah anda menerbitkannya. Cuma satu saja harapan saya terhadap komen-komen anda yang selepas ini tidak lagi akan dikunci agar ianya mencerminkan peribadi anda yang suci dari noda-noda hawa nafsu dan juga hasutan syaitan, musuh yang perlu dijauhi. Semoga ia adalah komen yang tidak provokasi dan tidak mengandung perkara-perkara yang tidak disenangi. Tapi rasanya, saya tidak perlu risau kerana berdasarkan pemerhatian saya, kesemua pembaca blog ini adalah terdiri daripada orang-orang yang berhati suci. Bukankah begitu?

Baiklah, rasanya pintu kapal terbang telah dibuka sekarang dan saya perlu berhenti menulis di sini. Terima kasih kepada mereka yang selalu membaca blog saya ini samada anda adalah pembaca yang aktif meninggalkan komen ataupun anda adalah pembaca yang sekadar memerhati secara senyap. Saya hargai kedua-dua golongan dan berterima kasih kepada kedua-duanya.

Juga saya meminta maaf kepada anda semua jika sepanjang saya menulis ini, tulisan saya ada mengguris hati anda dan membuat anda terasa. Buat kawan-kawan pula, saya harap usahlah anda menyimpan hal (pemergian secara rahsia) ini di dalam hati. Yang penting sekarang adalah anda semua dapat mendoakan perjalanan saya ini agar ia diberkati dan supaya selepas kembalinya saya nanti, saya telah mencapai matlamat yang telah lama dinanti-nanti iaitu pengislahan diri dan mampu membawa Dakwah Imaniyyah Islamiyyah ke seluruh bumi.

Akhir sekali, saya hadiahkan kepada anda semua video qasidah yang memuji-muji ahli bait Nabi ini yang sering saya ulang dan ulang dan ulang sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa saya mudah sungguh menitiskan airmata andai terdengar rentaknya. Itu belum lagi jika saya mendalami makna-maknanya, hendak saja saya berlari menyorokkan diri ke dalam bilik untuk mengelakkan daripada tangisan saya itu dipandang oleh kawan-kawan. Aduhai!

Terima kasih Tuhan kerana menjadikan saya reti berbahasa Arab.

Terima kasih juga kerana mengizinkan hamba-Mu yang hina ini untuk bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga kekasihmu, Muhammad sollallahu alahi wasallam, yang bagaikan bintang-bintang yang berkerlip indah menenangkan si pemandang di waktu malam.

Terima kasih banyak-banyak, Tuhan. Alhamdulillah!

Hmm, nampaknya saya dah mula menangis sekarang!

Oooooh, Salaamun Salaam!



-----------
NOTA KAKI:
[1]^Sila buka kitab Riyadhus Shalihin versi PDF yang telah anda muatturun tadi bahagian satu dan cari hadith ini di dalam bab Taubat.

Labels: , , ,

 
 

Falsafah Geeky Yang Saya Anuti

Setelah dua tahun lebih saya menulis, saya perasan bahawa tulisan-tulisan saya telah melalui beberapa sesi pertukaran falsafah.

Maksud saya falsafah dalam penulisan.

Setiap tulisan yang bermutu tinggi mempunyai falsafah tersendiri di dalamnya. Teori berfalsafah dalam penulisan ini bukanlah teori ciptaan saya sendiri, namun teori ini telah lama termaktub dalam kaedah-kaedah penulisan sejak dari dahulu lagi.[1]

Jika anda mendapat pendidikan dalam Bahasa Arab, kadang-kadang anda akan dapat melihat ada kitab-kitab atau buku-buku yang menjadi silibus anda menyebut tentang falsafah penulisan kitab itu pada muqaddimahnya. Falsafah penulisan ini kebiasaannya disebut di dalam kitab-kitab itu sebagai manhaj, atau boleh juga dibaca minhaj.

Manhaj atau method ini bermaksud cara penulis buku itu menyusun penulisan di dalam bukunya. Manhaj ini terbahagi kepada minhaj wasfi tahlili, minhaj tarikhi, minhaj tajribi, minhaj muqaran, minhaj mutakamil dan lain-lain lagi. Tujuan buku-buku ini menyebut tentang manhaj yang digunakannya adalah semata-mata bagi memudahkan para pembaca mengetahuinya tanpa perlu mencari-cari. Berbeza dengan tulisan yang pendek-pendek. Ini kerana dalam tulisan-tulisan yang pendek, para pembaca sendiri boleh mengetahui akan manhaj yang diguna selepas membacanya beberapa kali.

Ulama-ulama dahulu juga turut menyusun kitab-kitab mereka menggunakan manhaj-manhaj tersendiri. Dari sekecil-kecil kitab Fathul Qarib sehinggalah Sahih Bukhari. Namun untuk mengetahui tentang manhaj kitab-kitab lama ini bukanlah semudah mengetahui manhaj yang dipergunakan oleh buku-buku moden terkini. Manhaj-manhaj kitab-kitab lama ini hanyalah boleh diketahui melalui mulut guru yang alim lagi faqih dan itulah tradisi yang diwarisi sejak dahulu lagi.

Jadi janganlah mudah berbangga dengan mereka yang mengatakan sudah cukup belajar dengan hanya banyak membaca kitab dan tidak berguru. Ini disebabkan kebiasaannya golongan yang hanya membaca dan mengabaikan talaqqi ini tidak dapat menangkap apakah manhaj yang digunakan dalam kitab-kitab lama, kerana manhaj dalam kitab-kitab lama itu hanya bisa difahami, sebagaimana yang dikatakan tadi, melalui berkat yang datang dari talaqqi.

Ianya sama seperti sebagaimana saya tidak akan memahami kenapa Imam Nawawi meletakkan Bab Taubat selepas Bab Niat jika saya membaca Riyadhus Shalihin[2] itu sendiri, sedangkan saya boleh tahu pula tentang itu ketika saya bertalaqqi melalui lisan guru saya Syeikh Mahmud Said Mamduh. Tujuan Imam Nawawi berbuat begitu kerana beliau mahu menunjukkan perlunya taubat itu disegerakan walaupun perbuatan itu baru pada peringkat niat, serta perlunya taubat itu diperbaharui terus-terusan sepanjang perlakuan tersebut.

Manhaj yang tersirat itu tidak mungkin mampu saya fahamkan hanya melalui pembacaan.

Kerana yang demikianlah, maka tidak hairan jika ada orang yang telah khatam membaca Syarah Sohih Bukhari dan mampu bercakap tentangnya bagaikan orang yang arif sekali, tetapi apabila ditanya tentang manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari, orang ini tidak mampu untuk menerangkannya. Ini kerana orang ini hanya membacanya sahaja dan tidak tengelam menyelam ke dalamnya sebagaimana orang-orang yang bertalaqqi bertemu lutut dengan guru-guru mereka menyelam sedalam-dalamnya untuk memahami.

Dari segi adat pula, orang yang tidak memahami manhaj kitab-kitab lama ini tidaklah boleh digelar faqih, yakni digelar orang yang memahami feqah itu dengan sebenar-benar faham. Jadi kalau orang itu tidak faqih, maka tidaklah juga dia ini boleh digelar mujtahid apatah lagi boleh berijtihad mengeluarkan hukum. Namun amatlah pelik, kerana di akhir-akhir zaman ini, amat banyak sekali mereka yang merasa telah menjadi mujtahid sedangkan mereka ini hanya membaca kitab-kitab hadith sahaja dan mereka juga langsung tidak memahami manhaj yang diletakkan dalam kitab-kitab ini. Sungguhlah amat kasihan mereka ini.

Oh ya, tentang apakah manhaj yang digunakan oleh Imam Bukhari itu pula, rasanya biarlah saya simpan sahaja sendiri. Ini kerana topik berkenaan amatlah perlu dicerna berhati-hati dan jika saya mahu menulis tentang itu, maka tulisan tersebut tidak memadai dengan hanya sepanjang ini. Perbahasan tentangnya sangatlah panjang, lagi lebar dan saya mencadangkan jika anda ingin mengetahui lebih lanjut, maka anda perlu merujuk terus kepada orang-orang alim sendiri.

Baiklah, oleh kerana topik pemilihan manhaj dalam kitab-kitab lama ini agak berat untuk difahami, maka elok rasanya saya berhenti setakat ini dan berpindah kepada topik ; manhaj dalam penulisan-penulisan pendek, seperti artikel ataupun cerpen. Tajuk ini adalah lebih mudah untuk difahami. Namun fokus utama di sini adalah tentang tulisan-tulisan pendek yang kebanyakannya menjadi entri-entri di blog.

Ketepatan dalam memilih manhaj (selepas ini akan disebut falsafah sahaja) inilah yang menentukan jatuh bangunnya penulisan seseorang penulis itu. Gagal dalam memilih falsafah yang sesuai, maka gagal jualah penulisannya itu untuk diangkat menjadi penulisan yang berkualiti. Jadi, untuk menjadikan tulisan anda sebuah karya yang agung dan kekal zaman-berzaman, penulisan anda perlu mempunyai falsafah tersendiri dan falsafah itu perlulah mempunyai kredibiliti, iaitu mampu membawanya naik tinggi.

Falsafah Awal Penulisan Saya

Ketika saya mula menulis, tulisan-tulisan saya lebih berfalsafahkan sastera dan motivasi. Waktu itu, saya menulis tanpa mempunyai blog. Segala tulisan saya hanya menjadi simpanan sendiri dan hanya ditatap oleh saya seorang. Kalau saya mahukan penilaian, maka saya akan menunjukkan tulisan saya itu kepada beberapa orang rakan untuk dikritik.

Banyak tulisan-tulisan awal saya yang berkiblatkan falsafah ini. Saya terus-terusan menulis dengan falsafah ini selama lebih kurang setahun lamanya. Tulisan-tulisan saya ketika itu, mungkin agak sukar untuk difahami oleh orang yang membacanya dan masa yang lama diperlukan untuk memahaminya dek kerumitan susunan kalimah-kalimahnya. Mungkin saya banyak terpengaruh dengan tulisan yang bersulam sastera dan motivasi lantas saya terbawa-bawa ianya ke penulisan sendiri. Anda boleh melihat falsafah ini pada tulisan-tulisan saya di awal-awal penulisan blog ini. Antaranya ialah tulisan-tulisan yang bertajuk:
Tulisan Manis Boleh Cari dan Permulaan Musim Panas adalah antara yang terbaik. Namun saya cadangkan anda meneliti Manis Boleh Cari kerana ia lebih ringkas dan bersahaja.

Tak lupa juga bahawa tema blog saya yang berbunyi,
“Tulisan-tulisan saya hanyalah sekadar untuk dijadikan penaik semangat bagi diri”,
juga tercetus ketika saya masih berada dalam mood falsafah sastera ini. Akan tetapi, selepas beberapa ketika, saya telah bertukar mazhab kepada falsafah yang lain pula.

Bermulanya Perubahan

Tanpa adanya blog peribadi, saya rasakan tulisan saya lebih asli kerana ia terbit dari dalam diri tanpa perlu memikirkan bagaimanakah ia akan diterima oleh pembaca. Kemudian, apabila saya mempunyai blog pula, tulisan-tulisan saya itu jadi bercampur-baur dan kurang originaliti kerana saya perlu mengeditnya agar ia dapat dibaca secara santai oleh pembaca-pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang.

Itulah detiknya saya melangkah dari falsafah sastera dalam penulisan ke arah falsafah penulisan yang agak Geeky sambil mengekalkan falsafah motivasi. Tak lupa juga, saya menekankan pada penutup tulisan-tulisan saya akan falsafah koreksi diri.

Apakah maksudnya falsafah Geeky ini?

Bagi mereka yang menganut falsafah Geeky, mereka pasti akan merasa sedikit terkilan apabila kalimah Geeky ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ini kerana terjemahannya membawa maksud yang boleh menjatuhkan wibawa pengamal falsafah berkenaan pada pandangan orang lain. Jangan tipu saya dengan mengatakan anda tidak tahu akan maksud kalimah Geeky tersebut.

Oleh kerana maksudnya yang begitu, saya lebih minat untuk melihat maksud perkataan Geeky itu setelah ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Ini kerana Geeky di dalam bahasa Arab membawa maksud,

العبقري غريب الأطوار

Orang genius yang pelik perangainya.
Namun, kerana Geeky yang saya sebut-sebutkan ini berhubung kait dengan penulisan, maka maksud-maksud kalimah Geeky di atas langsung tidak boleh diertikan sebagai sifat jiwa penulis-penulis yang mengikut falsafah ini. Maksud Geeky ini adalah hanya pada gaya penulisan si penulis tersebut.

Berikut adalah contoh-contoh perbandingan ayat-ayat yang belum disuntik dengan falsafah Geeky dan ayat-ayat yang telah disuntik dengan falsafah tersebut :

  • Ayat sebelum disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk membalas bulian abangnya kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisannya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering memujuknya dengan menyuruh kekanda sepuluh tahun beralah.
  • Ayat selepas disuntik:
Manalah cucu Sultan yang berumur tujuh tahun itu tahu untuk melakukan rusuhan memberontak kerana beliau masihlah amat kecil lagi. Mujur tangisan revolusinya itu sering didengari oleh putera bongsu merangkap bapa saudaranya. Putera bongsulah yang sering menenangkan keadaan yang huru-hara itu dengan mengembalikan hak pada yang sepatutnya.

Contoh diambil daripada entri Kehidupan Istana.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah tidur melebihi kadarnya disebabkan hari masih belum-belum siang.
  • Ayat setelah disuntik :
Tetapi bagi saya jika terjaga di malam hari sewaktu winter, jaga saya itu bermakna saya telah lebam ketiduran disebabkan hari masih belum-belum siang.

Contoh diambil daripada entri I Am A Winter Bug.

--------

  • Ayat sebelum disuntik :
Your speech bedazzled me because your speech was so different from what I was thinking.
  • Ayat setelah disuntik :
Your speech made me almost transformed to a shocking monkey because your speech was so different from what I was thinking.

Contoh diambil daripada entri O Obama!

--------

  • Ayat sebelum disuntik:
Saya bermastautin di New Damietta City.
  • Ayat setelah disuntik :
Saya menetap dan membesar dan meninggal tinggal di New Damietta City.

Contoh diambil daripada entri akan datang yang bertajuk New Damietta City.


--------


Oh ya, urutan perkataan "ayat sebelum disuntik" dan urutan perkataan "ayat setelah disuntik" di atas juga merupakan ayat-ayat yang dimasukkan unsur-unsur Geeky.

Harus diingatkan juga bahawa penulis yang mengikut falsafah Geeky ini adalah berbeza dengan penulis-penulis yang telah sedia Geeky. Anda akan nampak perbezaan jelas antara dua golongan ini secara mudah sekali jika anda memerhatikannya.

Penulis yang geeky atau sengal adalah mereka yang menulis tanpa tujuan melainkan untuk menunjukkan kesengalan mereka. Contoh-contoh ini anda mampu melihatnya di mana-mana blog yang bertebaran di internet.

Saya agak skeptikal dengan tulisan-tulisan yang seperti ini. Bagi saya, daripada pemilik blog jalur ini menulis sesuatu yang tidak berfaedah sedemikian, lebih baik mereka duduk membaca buku atau mencari mana-mana blog yang mengandung tulisan-tulisan yang membina minda. Sekurang-kurangnya dengan menghabiskan masa dengan bacaan-bacaan sedemikian, beliau mampu belajar membentuk fikiran tersendiri dan menghasilkan penulisan yang lebih bermanfaat untuk blogosfera nusantara.

Paling mengecewakan adalah apabila membaca blog jalur sengal ini yang entri-entrinya hanya menceritakan tentang perjalanan kehidupan mereka yang seolah-olah semakin hari semakin tiada harapan.

Anda mungkin tidak pernah jumpa blog sebegini. Tapi saya pernah. Dan kerana tidak elok saya membuat pautan ke blog-blog itu di sini, saya rasa lebih baik saya mereka contoh sebegitu sendiri supaya anda lebih faham. Namun sebelum itu, diingatkan bahawa contoh ini adalah rekaan saya sendiri dan ia bukanlah mengambarkan kehidupan saya di sini. Juga untuk mengelakkan anda dari berburuk sangka dengan kehidupan saya di sini, saya ingin mengingatkan terlebih dahulu bahawa hidup saya di Mesir amatlah berwarna-warni sekali dan warna-warni itu sudah cukup saya gambarkan dengan bersampingannya residensi saya ini dengan terusan terkemuka dunia iaitu Terusan Suez yang menjadi kunjungan kapal-kapal antarabangsa dari timur dan barat.

Berikut adalah contoh-contoh entri yang mengecewakan di blog-blog jalur sengal tadi ;
  • Entri pertama :
Hari ini aku bangun lambat. Terpaksalah aku ponteng satu kelas. Bila masuk bilik mandi pula, aku perasan yang berus gigi dah patah, digigit tikus agaknya. Habislah aku kena beli yang baru. Walhal duit pula tiada. Kawan-kawan pula entah bila nak bayar hutang. Kalau ikutkan hati, nak saja aku lempang muka diorang sorang-sorang. Teruk betul hidup ini.
  • Entri Kedua :
Bosannya malam ini. Kawan-kawan semua pula sibuk menyanyi. Macam sedap sangat suara. Perasan bagus. Tension aku. Dahlah di kelas tadi, aku kena denda berdiri dua jam lebih, semata-mata sebab aku lewat lima minit. Bukannya apa, dah tadi aku terpijak tahi kucing. Takkanlah aku nak masuk kelas busuk-busuk macam itu. Mestilah aku basuh dulu. Lecturer pula tak faham. Ikutkan hati nak saja aku tukar kolej. Tinggalkan terus life aku yang worst di sini.
  • Entri Ketiga :
Kenapalah hidup ini teruk sangat? Semua yang aku buat semuanya serba tak kena. Kawan-kawan pula semuanya perangai entah macam apa. Entah macam mana lah aku boleh berkawan dengan diorang. Aku tahu, diorang ini memang sengaja menganggu hidup aku. Kalaulah aku ada kereta, nak saja aku langgar diorang semua. Lepas itu, aku reverse kereta itu ke depan belakang sampai lumat tubuh diorang. Baru puas hati aku. Tapi, macam kejam sangat pula. Dah, nak buat macam mana? Aku dah tak boleh tahan dengan diorang. Lagipun, selama ini, diorang inilah yang buatkan hidup aku rasa macam sampah.

Semoga dengan contoh-contoh ini anda dapat membezakan penulis yang berfalsafah geeky dan penulis yang memang sedia geeky.

Kepada golongan memang sedia geeky ini, saya nasihatkan supaya anda menginsafi diri dan menyedari ketidakbagusannya anda beristiqamah menulis dan mencatit hal-hal sebegini. Adalah lebih baik anda mengantikan masa-masa anda yang digunakan untuk menulis hal-hal yang mengecewakan ini dengan membaca Al-Quran dan beramal untuk kehidupan akhirat yang jelas nyata lebih kekal dan abadi. Bawa-bawalah diri anda ke arah perubahan dan percayalah bahawa setiap masalah itu hanyalah ujian untuk mematangkan diri dan tidak layaklah ia dijadikan sebagai penyebab kemurungan diri. Banyak lagi orang di luar sana yang menyayangi diri anda.

Apa-apa pun, tulisan saya kali ini adalah kerana saya mahu mengungkit kembali falsafah sastera yang telah lama saya tinggalkan di samping mahu memberitahu tentang penemuan kembali permata-permata lama saya yang dahulu pernah kehilangan. Untuk memahami erti permata-permata itu, eloklah anda terlebih dahulu memahami tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala ini.

Serigala telah benar-benar datang dalam hidup saya pada tahun lepas dan hal itu pada mulanya benar-benar telah membuatkan saya sangat kecewa. Ini kerana, bagi saya permata-permata itu amatlah berharga dek kerana kesukaran yang saya alami untuk membentuknya.

Mungkin kesukaran itulah penyebab yang menjadikan saya sangat-sangat menghargai. Namun Alhamdulillah, kini kecewa itu telah pergi.

Ini kerana sebelum ini saya telah membuat back-up untuk permata-permata itu terlebih dahulu. Cumanya, back-up itu baru saya temui beberapa hari sebelum ini.[3] Alangkah gembiranya saya tidak terperi. Apatah lagi, kebanyakan permata-permata itu dibentuk ketika saya masih lagi mengamalkan falsafah sastera dan motivasi dalam penulisan saya.

Saya tahu mungkin agak sukar untuk anda memahami ayat-ayat di atas kerana ia adalah berdasarkan tulisan Saya Bukan Si Budak Pengembala yang ditulis dalam falsafah sastera dan motivasi. Sebab itulah saya sudah katakan tadi bahawa tulisan-tulisan saya dengan falsafah sastera ini agak rumit untuk difahami. Sekarang saya harap anda mengerti.

Akhir sekali, sebagaimana saya pernah meloncat daripada falsafah sastera dan motivasi ke arah falsafah Geeky dan ke arah falsafah koreksi diri, saya yakin saya juga akan beralih mengamalkan falsafah lain pula selepas ini. Tentang apakah falsafah seterusnya, saya belum tahu lagi. Ia berubah-ubah bergantung kepada pengalaman hidup, tarbiah, serta bahan bacaan yang menjadi pilihan dan yang banyak mempengaruhi. Cuma harapan saya, akan ada lah suatu hari nanti, saya memasukkan falsafah kesufian dalam bentuk-bentuk tulisan saya ini. Kerana setahu saya, kesufian adalah sebaik-baik ubat bagi hati. Kerana itu, amatlah perlu bagi seseorang penulis itu bahkan bagi setiap individu muslim untuk mendalami hal ini.

Walaupun saya mengamalkan falsafah Geeky ini, saya tetap sedar akan salah satu bahayanya yang utama. Ia mampu memberi pengaruh kepada tulisan-tulisan saya yang berbentuk ilmiah dan dalam tulisan-tulisan yang sengaja saya cuba untuk menjauhkan dari menulis di dalamnya sebarang unsur-unsur Geeky. Ini berlaku berikutan keterbiasaan saya mempraktikkan falsafah ini. Ini bukanlah cakap kosong kerana bagi saya ia pernah terjadi.

Contohnya dapat anda lihat dalam tulisan Bercinta Dengan Orang Alim pada salah satu ayatnya, sedangkan sepanjang menghasilkannya saya telah cuba untuk menjauhi segala yang Geeky-Geeky. Semoga selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Oh ya, sebagai satu kerja rumah untuk anda, cuba anda cari ayat yang berunsur Geeky dalam Musalsal Alim # 1: Bercinta Dengan Orang Alim tersebut.

Jika anda mampu menemuinya, maka jelas sekali anda telah memahami falsafah Geeky ini dengan baik sekali.[4]

Selamat Mencari.

P/S : InsyaAllah, entri selepas ini adalah kumpulan-kumpulan tulisan-tulisan saya yang ditulis dengan falsafah sastera yang baru-baru ini saya temui kembali. Saya telah memilih yang paling baik daripada tulisan-tulisan itu dan yang saya rasa sesuai untuk dipamerkan di blog ini.


------------------------------

NOTA KAKI :
[1]^Dalam buku Karya Nan Indah, tulisan Faisal Tehrani juga ada menyebut hal ini.
[2]^Muatturun terjemahan Riyadhus Shalihin bahagian satu dan dua sekarang.
[3]^Back-up ini saya lakukan dengan melampirkan fail-fail tulisan saya itu di dalam draf emel saya. Back-up juga boleh dibuat oleh di Box.net. Bagi mereka yang mempunyai banyak kumpulan tulisan, anda digalakkan untuk membuat back-up untuk setiap tulisan anda. Ini untuk mengelakkan daripada dilanda kemurungan jiwa andai tulisan-tulisan anda hilang secara tiba-tiba suatu hari nanti.
[4]^Klu untuk menjumpai ayat yang dipengaruhi unsur Geeky dalam entri Bercinta Dengan Orang Alim itu, ada terdapat di dalam komen Sang Pelangi untuk entri tersebut.

Labels: , ,

 
 

Obama Datang Ke Mesir


Di hari akhirat nanti, Obama akan saya dakwa jika kedatangan beliau ke Mesir hari Khamis ini membantutkan saya dari menghadiri kelas saya di Cairo.

Kebiasaannya lawatan-lawatan Presiden Amerika ke Mesir pastilah mengundang kekecohan buat rakyat-rakyatnya. Suratkhabar Al-Ahram berbahasa Inggeris yang terbit seminggu sekali pun sudah awal-awal membuat liputan tentang lawatan tersebut. Berikut adalah reaksi seorang pemandu teksi apabila dikhabarkan kepadanya tentang lawatan Obama itu.
"So he is coming to Cairo. Why not go to Sharm El-Sheikh? Don't they all go to Sharm El-Sheikh? It will be heavy traffic. It is next Thursday? I will not work that day."
Baca berita dan temuramah penuh di sini.

Jika seorang pemandu teksi yang kerjanya hanya berputar di sekitar kawasan yang sama setiap hari, sanggup untuk berehat sepanjang hari di rumah demi mengelakkan kesibukan, maka saya yang terpaksa pulang ke Cairo daripada NDC dengan merentasi lebuhraya Terusan Suez sepanjang hampir 200 kilometer, adalah lebih layak darinya untuk berbuat demikian. Faktornya adalah kerana, kesesakan jalanraya yang akan tambah melambatkan perjalanan saya, ditambah lagi dengan keletihan yang sudah pasti dan tak lupa juga pasport saya yang masih belum dicop visanya lagi.

Namun, apa kaitannya pasport saya yang tiada visa dengan kedatangan Obama? Dan kalau belum ada visa, kenapa pula saya boleh bersenang-lenang berlegar-legar di negara orang?

Sewaktu saya di tahun satu dan dua, urusan untuk memperbaharui visa kami mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang telah tamat durasi selama satu tahunnya amatlah mudah. Pergi ke pejabat imegresen, isi borang beserta bayaran, bermulut manis sedikit dan visa itu akan siap selepas satu jam.

Namun proses yang mudah itu menjadi telah kompleks sejak dua tahun terakhir ini. Proses memperbaharui visa itu yang dulu mengambil masa hanya satu jam lebih, telah bertransformasi menjadi lebih dari tiga bulan.

Kini, andai mahu memperbaharui visa, maka kami perlu pergi mengisi borang dan kemudian menunggu selama sebulan lebih sebelum dipanggil dan ditemuduga oleh Pihak Keselamatan Dalam Negeri Mesir.

Setelah dipanggil temuramah, maka kami perlu menunggu sekali lagi selama sebulan lebih untuk mendapatkan cop pengesahan terakhir pada pasport kami.

Jadi, sepanjang tempoh selepas pengisian borang dan dipanggil mengambil cop itu, jadilah pasport-pasport kami semua tidak bervisa sekaligus menyamakan kami seperti pendatang asing tanpa izin. Lebih teruk lagi, kami boleh dikira sebagai pendatang haram jika kami ditangkap berjalan tanpa visa.

Dan kerana kondisi pasport saya yang tidak bervisa inilah, saya amat risau untuk pulang ke Cairo kerana nyata sekali sekuriti akan lebih diperketatkan memandangkan Obama yang merupakan lelaki nombor satu dunia sedang turun padang. Polis, Askar Berkuda dan juga FRU pasti akan berkeliaran di seluruh pelusuk kota. Kerja mereka adalah melindungi “orang itu” dan menangkap saja sesiapa yang dicuriga.

Saya pernah sekali menyaksikan kawalan yang ketat sebegini. Ketika itu, anggota polis berada di setiap sutuh bangunan bertingkat di sepanjang laluan utama di Cairo. Mereka mencari-cari hal yang bagi mereka mengancam bahaya. Di sepanjang jalan juga, mereka sibuk membuat kerja.

Namun apabila diteliti apakah pencetus kepada suasana berjaga-jaga ketika itu, rupa-rupanya ia adalah kerana mereka mahu mengawasi perjalanan kereta Presiden Husni Mubarak yang rasanya sedang menuju ke pejabatnya. Jika hanya sekadar mahu ke pejabat saja sudah amat dahsyat kawalannya, maka pastilah lawatan Obama ini lebih lagi ketatnya. Ada juga wura-wura yang menyebut seramai 3000 ahli FBI dan CIA akan turut menjaganya.

Jadi dengan semakin tinggi jumlah pengawas-pengawasnya itu maka semakin tinggi jugalah risiko untuk pasport saya diperiksa. Dan andai diketahui oleh mereka akan kondisi pasport saya, maka tak ada lagi jawapan yang paling utama melainkan saya akan dihantar pulang secara percuma ke Malaysia. Walaupun ianya indah kerana dapat pulang berjumpa keluarga, namun terdapat juga sisi yang tidak selesa kerana pastilah kes ini akan jadi tajuk utama berita. Sebagaimana yang telah terjadi di akhir tahun lepas di mana tiga pelajar telah ditahan kerana kes tidak bervisa yang sama. Tapi, itu adalah kerana kesalahan mereka sendiri yang sengaja menangguhkan proses membaharui visa mereka, berbeza dengan saya yang tersepit secara paksa kerana polisi baru Mesir.

Yang peliknya, polisi ini hanyalah dikenakan kepada warganegara Malaysia sahaja, sedangkan pelajar-pelajar asing dari Indonesia dan Thailand masih lagi menikmati cara lama. Bahkan apabila saya tanyakan kepada wakil Kedutaan yang datang menziarahi NDC, mereka pun berkata mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Aduhai!

Berbalik kepada Obama, apa kejadahnya pula beliau datang ke sini?

Baru-baru ini saya ada mendengar seorang pelajar perubatan bertanya kepada seorang ustaz lama tentang tujuan kedatangan Obama. Ustaz itu pula menjawab mudah soalannya dengan menyatakan bahawa itu semua politik semata-mata. Apabila dalam kesusahan mereka membuat hubungan diplomasi, berjanji sana, berjanji sini, tujuannya adalah mengelak ancaman dan berlakunya perang. Namun apabila senang nanti, kita pula yang mereka jahanamkan.

Ustaz itu juga telah mengambil contoh tentang seorang Sultan yang jasadnya dikebumikan di sebelah maqam Imam Asy-Syafie. Katanya, Sultan Salim tersebut ketika pemerintahannya banyak sekali membuat perjanjian damai dengan kerajaan-kerajaan di Eropah. Ini kerana beliau telah mendapat tahu bahawa kerajaan-kerajaan Eropah itu mahu menyerang kerajaannya sedangkan kerajaannya pula dalam kerajaan lemah. Walaupun sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir peperangan tetap meletus, perjanjian-perjanjian damai itu telah berjaya melewatkannya.

Jawapan ustaz itu meskipun tidak menjelaskan kedatangan Obama secara jelas, jawapan itu tetap saya sukai kerana ia lebih baik berbanding jawapan seorang warga Mesir yang menjawab,
“Gai ya'khud fulus wa yimsyi.”
Tambahan lagi jawapan ustaz itu juga agak tepat dengan firasat yang saya rasa. Obama sedang membaik pulih hubungannya dengan mana-mana negara yang mendokongnya agar negara-negara ini terus-terusan menyokongnya, lebih-lebih lagi ketika Amerika sedang mengalami krisis ekonomi yang amat teruk sekarang. Mungkin ramai tidak tahu tentang krisis ini kerana untuk menutup berita krisis itu dari mata dunia, Amerika telah mencanangkan berita selsema khinzir dengan tujuan krisis itu tidak dihidu sesiapa. Walhal hakikatnya selsema itu tidaklah seteruk mana melainkan hanya di Mexico sahaja. Pandai sungguh mereka memusingkan tumpuan media sedunia sehingga ramai yang tidak perasan.

Nasib baiklah Al-Jazeera telah memberi pencerahan kepada saya tentang penyelewengan Amerika itu dengan mendatangkan sekali buktinya yang menyatakan bahawa ini bukan kali pertama mereka membuat begini. Amerika juga pernah memusing mata dunia kepada virus selsema burung ketika mereka mengalami kerugian ketenteraan yang amat teruk ketika perang Iraq.

Yang pasti, tujuan Obama itu tetap akan tidak jelas hatta setelah beliau sampai ke sini nanti. Bukankah ini semua hanyalah politik? Cuma diharap sungguh kedatangannya itu tidak menjejaskan kehadiran saya ke kelas mingguan itu nanti. Sudahlah kelas saya pada minggu ini diawalkan ke selepas waktu Maghrib badalan min selepas waktu Isya disebabkan musim panas yang malamnya semakin singkat dan menyebabkan waktu Isya semakin lambat. Sekarang saja pun solat Isya sudah hampir ke pukul 9.30 malam dan semakin lewat setiap hari.

Oh, risau betul terlepas!

Harap-harap tidak. Tapi kalau terlepas, tahulah Obama di akhirat nanti, pasti ke mukanya akan saya tudingkan jari. Bukankah, sepatutnya dengan menjadi pemimpin, golongan-golongan ini memudahkan rakyat? Ini tidak, tak fasal-fasal pula rakyat-rakyat yang bukan negara sendiri pun menjadi mangsa dibuli.

Buat mereka yang sibuk untuk menjadi pemimpin di masa hadapan, janganlah jadi pemimpin yang semacam ini. Namun cubalah menjadi pemimpin yang adil serta prihatin kepada rakyat dan tidak sesekali mempunyai rasa cinta dunia di dalam hati. Dan berfikirlah kembali tentang impian anda itu samada ianya betul-betul untuk tujuan akhirat dan bukan semata-mata mengejar pangkat dunia yang telah banyak memperdaya manusia sejak dahulu lagi. Kalau tidak, anda pun akan senasib seperti Obama di akhirat nanti.[1] Pasti seluruh yang dipimpin akan mendakwa anda, dan pasti tepat ke muka anda juga, mereka semua akan menuding jari.



------

NOTA KAKI :
[1]^Itupun kalau saya tak sempat ke kelas.

Labels: , , , ,