<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8782060929818629481\x26blogName\x3dABQORI\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://abqori.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://abqori.blogspot.com/\x26vt\x3d8647909696489763669', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>

ABQORI

TULISAN-TULISAN SAYA HANYALAH SEKADAR UNTUK DIJADIKAN PENAIK SEMANGAT BAGI DIRI.

 

Santai Bersama Eden

Eden[1] masih lagi merasai domam entri Taliban Untuk Malaysia. Takbir!! di blog Hembusan. Oleh itu, izinkanlah eden terus begini, menggunakan uslub ini. Percayalah, eden masih lagi memperjuangkan Bahasa Melayu Kebangsaan. Sokali-sokalo nak jugo eden obah angin.

I - Blog Abqori versi PDF


Eden merasa kasihan melihat beberapa sahabat eden yang menderita ketiadaan internet di rumah mereka. Seringkali terpaksa ke kedai internet untuk mengakses internet juga membaca suratkhabar online. Namun untuk itu, eden masih boleh bertahan lagi, tetapi untuk mereka yang terpaksa ke kedai internet semata-mata untuk membaca blog eden, eden amat simpati. Ini kerana, blog eden ini mengandungi entri-entri yang berjela-jela panjangnya dan itu menyebabkan sahabat-sahabat eden itu terpaksa menghabiskan wang Pound yang banyak di kedai internet itu semata-mata untuk membaca entri-entri yang panjang itu. Sudahlah terpaksa menghabiskan banyak masa demi untuk ke kedai internet, terpaksa pula menghabiskan masa membaca entri-entri itu.

Tapi jangan risau. Eden ada berita gembira untuk ekau semua yang menderita ini. Untuk memudahkan kerja ekau, eden telah menukarkan segala isi blog eden ini ke dalam bentuk PDF. Dengan itu, ekau tidak perlu lagi untuk menghabiskan masa ekau di kedai internet itu, tambahan lagi apabila server internet di kedai internet itu yang sering kali down dan lambat membuatkan ekau semua geram seribu jiwa. Apa yang ekau perlu lakukan untuk merasai kemudahan itu adalah memuatturun entri versi PDF berkenaan, kemudian simpankan ianya ke dalam mana-mana pendrive dan pulang gembira ke rumah. Entri-entri itu siap untuk dibaca melalui komputer atau laptop di rumah ekau.

Entri-entri blog eden dalam bentuk PDF itu boleh dimuatturun di sidebar yang berada di sebelah kanan di blog ini melalui kotak tajaan Box.net. Ianya juga amat ringan dan tidak mengambil masa yang lama untuk dimuatturun. Jadi selepas ini, jangan lupa untuk membawa pendrive apabila ekau semua ke kedai internet, ya.

Sobonanyo, eden telah menggunakan Ubuntu 8.04, Hardy Heron, untuk mendapatkan entri versi PDF itu. Terima kasih kepada Ubuntu kerana telah memudahkan eden menghasilkan entri versi PDF itu dengan senang sekali, terutama sekali apabila eden ini memang sifar tahu tentang ilmu ke-PDF-an ini. Untuk mengetahui cara-cara eden mendapatkan entri versi PDF itu, sila baca entri ini. Namun begitu, terdapat beberapa fungsi yang terdapat pada entri asal dalam blog ini yang tidak berfungsi di dalam entri versi PDF berkenaan.

Antaranya ialah :

- Fungsi ‘klik sini’. Jika ekau membuat klikan pada mana-mana kalimah atau perkataan yang telah di-add-kan padanya link di dalam entri versi PDF, maka klikan itu tidak akan membawa ekau ke link berkenaan sebagaimana ia berhasil dilakukan melalui klikan padanya di blog ini.

- Fungsi ‘Nota Kaki’. Klik pada nombor 2 di penghujung ayat ini dan ia akan membawa ekau ke bawah.[2] Itu hanya akan terjadi jika ekau membaca melalui blog ini secara terus. Namun jika ekau membaca dari versi PDF, nombor itu hanya tetap di situ dan tidak membawa ekau ke mana-mana.

- Fungsi video. Di dalam entri-entri blog eden, terdapat video-video yang eden pautkan dari YouTube. Video-video itu tidak akan dapat ditonton melalui entri-entri versi PDF.

Apapun, entri-entri versi PDF itu adalah pendekatan yang eden ambil untuk memudahkan ekau semua yang menderita. Insya Allah, eden akan cuba mencari cara yang lebih baik lagi selepas ini. Jika ekau ada cara yang lebih berkesan, jangan lupa beritahu eden, yo.

Entri versi PDF ini juga adalah jawapan bagi ekau yang mengatakan tiada masa untuk membaca entri-entri yang panjang itu, kerana dengan memuatturun entri versi PDF ini, ekau boleh membacanya bila-bila masa dan boleh sambung membacanya juga pada bila-bila masa. Ekau juga tidak perlu berhadapan dengan masalah ‘Request Time Out’ yang menyebabkan ekau sering menunda membaca blog ini kerana untuk membaca entri-entri versi PDF ini tidak memerlukan kepada server internet.

II - Masih Boleh Dilanggan


Eden ucapkan terima kasih yang tidak terhingga ke pada ekau yang telah melanggan blog eden ini melalui emel. Kepada yang belum melanggan, eden amat galakkan ekau melanggannya. Untuk mengetahui kenapa perlu melanggan, baca entri ini.

Seringkali eden ditanya tentang bila mahu mengisi entri baru di dalam blog ini, dan sesungguhnya eden amat kecewa dengan soalan-soalan begitu, kerana serasa eden, blog eden yang berusia selama sebulan 8 hari ini, telah amat kerap diupdate. Sehingga update itu telah melebihi kouta yang eden tetapkan pada diri eden. Asalnya eden telah menghadkan untuk memasukkan hanya 4 entri dalam sesuatu bulan dan hanya memasukkannya pada malam Jumaat atau selepas solat Jumaat. Tetapi eden telah melampaui batas kerana pada bulan ini saja eden sudah memasukkan sebanyak 8 buah entri.

Eden amat berharap eden akan istiqomah menulis, oleh itu perbuatan eden yang melampau ini perlu disekat. Kerana, jika eden asyik mengisi entri tanpa menghadkannya, eden risau nanti akan habis segala tulisan eden dimasukkan. Tambahan lagi penulis-penulis ini kebiasaannya akan dijangkiti penyakit writer’s block. Eden pernah dijangkit penyakit itu dan ketika itu eden jadi tidak menulis untuk dua bulan lebih lamanya. Eden risau jika datang suatu hari apabila telah habis hasil tulisan eden dan eden pula dijangkiti, blog ini akan bertransformasi kepada blog kopi dan pasta. Oh, Risaunya eden, jang oi!

Setakat ini, eden masih mencuba untuk tidak memberi minum dan makan pembaca-pembaca blog eden ini dengan kopi dan pasta. Walaupun sebenarnya adalah tidak salah untuk memberi kopi dan pasta secara percuma, namun eden ada prinsip eden tersendiri. Oleh itu kopi dan pasta itu hanya akan diberi jika ada sebab-sebab yang relevan.

Kerana itu, soalan bilakah eden akan memasukkan entri baru di blog ini janganlah ditanya. Kerana eden telah awal-awal lagi memberikan jawapannya. Jika ada entri terbaru, dan ekau pula melanggan blog ini, maka ekau akan seawal-awalnya diberitahu.

Berikut adalah senarai emel ekau yang telah melanggan blog eden ini namun masih belum mengesahkan langganannya.


Sila buka inbox emel ekau dan buka emel pengesahan yang dihantarkan dan klik butang pengesahan. Andainya ekau telah membuang emel pengesahan itu, maka eden rasa ekau perlu melanggan semula.

Ingat, melangganlah blog eden ini sementara ia masih percuma. Tahukah ekau sekalian, bahawasanya Bill Gates pernah mencadangkan untuk mewajibkan penggunaan setem untuk setiap emel yang dihantar? Tahu pun terkejut! Sebelum sampai waktu itu, eden rasa ada baiknya ekau bersegera. Untuk melanggan, klik sini.

III - Musalsal


Musalsal itu maksudnya bersambung-sambung. Jika di televisyen, ia bermaksud cerita bersiri atau berepisod. Dalam ilmu hadith pula, ia adalah hadis Nabi yang disampaikan secara bersambung-sambung dari seorang guru kepada muridnya dengan para perawi berturutan mengikuti sanadnya satu persatu pada sifat, keadaan. Ada kala musalsal pada perawi, ada kala pada riwayat itu sendiri, sifat rawi dan keadaan mereka.[3]


Tapi pada blog eden ini, maksudnya sedikit lain. Eden bercadang untuk membuat suatu segmen baru di blog eden ini. Segmen Musalsal. Ia bermaksud sesuatu entri itu ada kaitan yang rapat dengan sesuatu entri sebelumnya. Tetapi ia bukan entri bersiri atau bersambung sebagaimana di televisyen. Masih belum faham? Tunggu sahajalah sehingga eden memulakan segmen berkenaan.

Insya Allah, musalsal pertama yang akan eden masukkan adalah bertajuk Musalsal Sahabat.

UPDATE: Atas beberapa sebab, eden telah mempublikasikan Musalsal Imtihan sebagai musalsal pertama. Insya Allah, Musalsal Sahabat akan menyusul selepasnya.

IV - Pertandingan Review


Eden sudah lama memikirkan hal ini. Namun, kerana blog ini masih lagi setahun jagung, eden rasa eden dan ekau perlu tunggu sehingga blog ini mencapai tempoh matangnya. Blog ini baru berusia sebulan 8 hari dan jika ia dinisbahkan kepada seorang bayi, maka bayi itu baru pandai membuka mata dan baru kenal emak dan ayahnya sahaja. Tidurnya dalam sehari sahaja sudah hampir 12 jam. Maknanya, sehingga tahap ini, blog eden ini hanya kenal eden seorang saja agaknya. ‘Dia’ masih belum mahu dengan orang lain.

Tapi pertandingan review itu tetap akan eden jalankan apabila tiba masanya, Insya Allah. Buat masa ini, ekau teruskanlah membaca blog ini dan apabila sampai masanya nanti, eden akan umumkan. Hadiahnya juga amat lumayan, dan ia sudah pasti sepadan dengan review yang dibuat. Pada ekau yang sudah bercadang untuk menulis review sekarang, simpan dahulu niat itu, dan teruskan membaca, kerana tembakan pistol pemula masih lagi belum dilepaskan. Cuma ianya baru diacu sahaja.

V - Layout


Ini adalah antara perkara yang amat eden sedihkan. Layout blog eden ini akan keluar warna birunya jika entri yang eden masukkan melebihi had panjang yang ditetapkan. Cuba lihat layout entri Permulaan Musim Panas. Sebenarnya masalah ini boleh diatasi sebagaimana ia dapat diatasi di blog Pro Tajdid. Namun kerana eden kurang arif, masalah ini masih lagi berlarutan. Eden sudah banyak kali mencuba dan sudah banyak kali juga keletihan.

Jadi, eden sedang mencari sesiapa yang ada kemahiran untuk menolong eden. Eden telah tanyakan tentang hal ini kepada tuan milik blog Pro Tajdid dan beliau telah memberi sedikit hint kepada eden, namun eden tetap gagal. Untuk melihat hint itu sila ke blog ini. Lihat di bahagian komen. Sesiapa yang arif tentang hal ini dan mahu membantu eden sekaligus menghilangkan kesedihan eden, bolehlah menghubungi eden. Sungguh, eden amat hargai bantuan ekau itu.

Akhirnya, untuk ekau yang tertanya-tanya bagaimanakah rupanya Molto itu, bolehlah ke entri Permulaan Musim Panas kerana eden sudah memasukkan gambarnya.

Juga untuk melihat gambar kanak-kanak Mesir daripada golongan bawahan yang sama-sama kita sedihkan, sila ke entri Bahana Blog Dan Baju Hitam #2.

Fuh, susah juga rupanya bercakap menggunakan bahaso Minang ini. Ingatkan mudah sajo. Yo la, sobab eden ini bukan kelahiran sano. Nasib baik eden bolum ponah jatuh cinto dongan orang Nogori, tapi, dongan orang Bugis eden ponah lah. Itupun sokali sajo. Tapi baru-baru ini, seingat eden, ada orang Nogori jatuh cinto dongan orang UK pula. Habislah, mesti letih orang UK itu nak mengubah slangnya yang “Saya baru balik dari London” itu.

Apapun, terima kasih sebanyak-banyaknya kepada ekau semua yang terus-terus menyokong pembinaan blog eden yang dhaif ini. Tuhan saja yang membalas jasa ekau itu. Teruskan sokongan ekau itu yo, jang!

---

NOTA KAKI :

[1]^Untuk pengetahuan pembaca-pembaca dari Indonesia, Brunei, Pattani dan tak lupa juga dari Timor Timor dan Selatan Filiphina, kalimah Eden dan Ekau, masing-masing adalah kata ganti diri pertama dan kedua yang digunakan secara meluas oleh penduduk yang berketurunan Minang di Negeri Sembilan, salah satu daripada 14 buah negeri (provinsi) di Malaysia.
[2]^Klik nombor dua itu untuk naik semula ke atas.
[3]^Habislah blog eden ini di banned oleh orang Wahabi lepas ini. Mereka sudahlah agak kuat menolak hal ini.

Sedikit kredit kepada Faris demi pertolongannya.

Labels: ,

 
 

Musalsal Imtihan #1 : Setiap Imtihan Itu Berbeza

Saya baru keluar dari dewan peperiksaan. Rasa tertekan sekali. Untuk beberapa perkara yang saya tidak ambil berat, saya rasa kesal sekali.
Kesalnya banyak. Namun fokus di sini pada satu perkara yang pasti. Syair-syair. Betul-betul perlu diambil berat selepas ini.

Ketika di tahun satu, ketika hamasah(semangat) seperti awan tingginya, ketika itu jualah syair-syair paling banyak saya ingati. Berlagu-lagu. Dirakam pula. Didengar semula. Berkali-kali. Agar lekat sebati. Sehinggakan ketika ini, selepas dua tahun lebih, saya masih mengingatinya lagi. Namun tahun ini, kerja-kerja menghafal syair itu bagaikan terhenti, atau elok dikatakan berkurangan. Ini kerana meskipun banyak yang dihafal, yang ditanya hanya beberapa rangkap. Itupun hanya untuk dijadikan sebagai bukti kepada teori. Lalu saya buat keputusan hanya menghafal ketika berkesempatan, setelah teorinya benar-benar difahami dan diingati.

Namun bila naik ke tahun tiga, tahap kompleksi peperiksaan mula bertambah. Mengingati teori saja tidak mencukupi, perlu syair-syair itu didatangkan sebagai bukti. Meskipun di tahun satu ia perlu juga didatangkan, serasanya ketika itu hanya sebagai markah bonus tambahan. Namun kini, jika ia tidak didatangkan, terasa seolah-olah teori itu tempang kakinya. Dan jika demikian, bagaimana mahu teori itu berdiri? Menukilkan teori tanpa bukti di kertas jawapan itu terasa diri bagaikan jadi seorang kanak-kanak yang melukis orang lidi di dinding. Lukisan yang tiada nilai. Oh, sungguh sedih!

Melihat soalan yang serumit itu, buatkan saya terasa nota-nota yang dibuat tak bernilai dan tak beerti, meskipun nota-nota itu, ketika menjawab tadi, terasa bagaikan ianya berada di depan mata, dipegang di tangan. Kerana syair yang saya anaktirikan, teori-teori dan nota-nota itu jadi anak buangan. Oh, sungguh kesal!

Nota madah An-Naqdu Al-Adabi (Ilmu Kritikan Sastera) saya.

Tak salah rasanya jika terlalu tidak berkesempatan, mengambil ringan sesuatu tajuk. Satu tajuk sahaja. Bukan banyak. Lagipun yang selebihnya, yang amat banyak, diambil berat. Sangat-sangat berat. Lagipun mengambil ringan, bukan beerti meninggalkan. Dibaca jua. Dihafal separuhnya. Tambahan, yang diambil berat bagaikan telah amat-amat mencukupi. Tetapi bagaimana jika yang keluar di kertas soalan adalah tajuk yang diambil ringan? Lagi-lagi, tajuk yang di ambil ringan itu saja yang keluar. Oh, amat mendahsyatkan! Terasa bagai mahu menjerit sahaja.[1] Sungguh di luar dugaan. Tapi itulah yang terjadi.

Jadi selepas ini, perlu beringat, apabila telah naik ke tingkat seterusnya, bukan bermakna boleh mengandakan kerehatan jiwa. Bahkan sebenarnya, yang perlu diganda adalah usaha. Ya, usaha. Kerana naik ke tingkat seterusnya, bermakna menambah kerumitan dalam kerjaya. Tak kira apa jenis kerjaya. Sebagai seorang pelajar atau seorang pekerja.

Jadi teringat, sebelum saya masuk ke dewan peperiksaan tadi, saya bertembung dengan seorang senior. Meskipun hanya kurang seminit bersua muka, terpancar juga cahaya darinya. Namun cahaya itu malap kerana beliau sedang bermuram durja. Katanya, “Tahun empat tidak sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Nahu di tahun satu mudah lagi. Di tahun dua mudah lagi. Tahun tiga boleh tahan lagi. Namun tahun empat ini susah sekali. Pening seribu kepala. Tajuk Nawasib 50 muka. Tajuk Lawazim 50 muka. Tajuk muka 50 muka. Tajuk tajuk tajuk muka.” Nampaknya perasaan kami sama. Sedih. Tapi perasaan itu sebelum masuk peperiksaan. Mungkin bila sudah keluar, berubah gembira. Saya pula, perasaan itu ketika keluarnya, sedangkan masuknya tadi gembira sahaja, ops, sedangkan masuknya tadi biasa-biasa saja. Meskipun perasaannya sama, harap-harap nasib kami tidak serupa. Biarlah nasib beliau tidak sama dengan saya. Tapi, apakah nasib saya?

Ingat tidak Sa3ad? Pelajar Mesir yang mendapat predikat Mumtaz 4 tahun berturut-turut? Senior tadi mungkin kenal, cuma anda mungkin tidak kenal. Biar saya kenalkan. Beliau sama syu3bah dengan kami. Kerana keputusannya yang superb, terus dipanggil mengajar di sebuah sekolah. Namun baru sahaja mengajar, kini beliau telah ditawar menjadi penolong pensyarah di kuliah kami. Atau mungkin menjadi pensyarah gantian. Itu pasti, cuma saya tidak pasti samada sementara atau kekal.
Kisahnya menyeronokkan. Ketika saya di tahun satu, beliau di tahun tiga. Ketika saya keluar periksa, saya bertembung dengannya. Saya meminta kertas soalannya. Dihulur dia dan disambutnya saya. Katanya terus, “Elok rasanya kalau kamu tukar syu3bah saja.” Terkejut saya.

Ditanya kenapa. Jawabnya dengan mimik kecewa, “Susah. Seeloknya kamu tukar sahaja. Menyusahkan kamu sahaja. Saya (yang Bahasa Arab adalah merupakan bahasa native saya) pun tidak tertanggung.” Saya senyum sahaja. Kisah ini sampai sekarang saya teringatkannya. Tapi walaubagaimanapun, itu Sa3ad. Pelajar Mumtaz empat tahun berturut-turut. Adakah kesusahannya itu berjaya menghalangnya? Saya tak rasa begitu. Cuma, mari ingat semula masa bila berlaku ceritanya. Bukankah selepas periksa? Nama pun periksa.

Perit-sa.

Yang pasti ia perit. Jika anda berada di Malaysia. Sungguh anda patut bersyukur. Jika anda tidak melepasi atau lulus peperiksaan pertama, selepas dua bulan, anda bisa berperiksa semula. Kertas yang sama. Tapi bagi kami, jika peperiksaan ini agak mengecewakan rentaknya, jawabnya, tunggulah tahun hadapan sahaja. Mana ada peperiksaan ulangan dalam tahun yang sama. Oh, takutnya!

Apapun, tahun tiga ini agak dahsyat. Ataupun mungkin peperiksaan ini yang buatkan ia jadi dahsyat. Terpulang. Lagipun kata doktor, tahun tiga ini tahun hilwah. Tahun kemanisan.[2] Agaknya, peperiksaan yang jadikan ia dahsyat. Anda rasa?

Cuma saya ada fakta yang juga dahsyat. Iaitu fasa ini saya ada 11 madah dan berperiksa lebih dari sebulan. Mahu tak muntah. Beginilah nasib satu-satunya pelajar tahun tiga lughah wakil Malaysia di Damietta. Biarlah, lagipun saya yang mahu ini semua, takkanlah saya tidak bersedia untuk mengharungnya. Cuma doa-doakanlah untuk saya, ya? Dan juga untuk kita semuanya. Seluruh dunia. Harap-harap berjaya.

---
NOTA KAKI:
[1]^Sebenarnya dah jerit dah pun. Nasib baik tak kena scold dengan muroqib (penjaga periksa). Lagipun taklah sekuat mana.
[2]^Saya ada menulis sebuah entri tentang kalam doktor berkenaan, namun masih belum dipublikasikan. Masih mencari masa yang sesuai. Jika setelah agak lama saya masih belum mempublikasikannya, anda cubalah ingatkan saya. Itupun jika anda peminat setia blog ini.

Labels: , ,

 
 

Saya Bukan Si Budak Pengembala

Saya sedang sibuk menghadapi peperiksaan yang sebulan lamanya. Sepanjang tempoh ini, saya akan cuba untuk tidak menulis entri yang baru dan entri-entri yang akan dimasukkan adalah entri-entri yang ditulis sebelum waktu peperiksaan. Harap maklum.


Ketika kecil-kecil dulu, pernah saya mendalami kisah yang sering dan akan terus jadi masyhur dalam pemikiran seorang insan yang bergelar kanak-kanak. Kisah seorang budak pengembala yang menternak kambing-kambing di atas bukit tinggi. Lalu kerana bosan walaupun sedang bekerja menjaga kambing-kambing milik tuannya. Dia mendapat satu fikiran yang kotor, iaitu ingin mengenakan penduduk kampung dengan menjerit memberitahu penduduk kampung bahawa serigala datang menganggu ternakannya. Harapannya agar penduduk kampung akan bergegas membantunya dan dia pada masa itu akan pura-pura tidak tahu apa yang berlaku.

Demi menjerit, seluruh penduduk kampung naik ke puncak bukit untuk mendapatkannya sekaligus menolongnya. Namun semuanya kecewa dan marah di dalam hati, kerana apabila setelah berpenat lelah mendaki dan berlari tak cukup tanah, rupa-rupanya mereka ditipu mati-mati. Budak pengembala itu hanya mempermainkan mereka. Ketika itu, masing-masing nekad tidak akan tertipu buat kali kedua.

Perkara sebegini bagaikan pernah terjadi pada saya baru-baru ini.

Saya sebenarnya bukanlah seorang penulis yang cemerlang. Hasil tulisan saya tidaklah sedalam mana memberikan kesan dalam hati pembaca. Tapi saya sering mencuba. Menulis dan terus menulis. Dan dalam tak sedar, saya sudah punya kumpulan hasil tulisan saya sendiri yang sebenarnya belum pernah dikongsi baca dengan orang lain. Dan saya amat menyayanginya hatta kadang-kadang saya merinduinya. Untuk mengulang bacanya. Meskipun itu telah beribu kali saya lakukan.

Namun bagi orang lain yang tidak tahu nilainya, bagi mereka mungkin itu hanyalah perkara biasa. Ya, kerana mereka tak pernah merasa lelah, capek, derita ketika saya menghasilkannya. Ditambah lagi dengan hasil-hasil tulisan saya itu yang tidak mampu memberi makna yang dahsyat lagi mengesankan pada deria yang menangkap benda-benda yang indah, mungkin saja kerja saya itu tak lebih dari seketul batu di tepi jalan, tetapi masih lagi menyakitkan mata. Apa-apa pun pendapatnya pada orang lain, semua itu bagi saya bagaikan permata di dasar lautan yang saya sendiri menyelam ambil. Sangat berharga.

Sebab itulah apabila pernah sekali ketika tersalah usik komputer dan saya menyangkakan saya telah terbuang kesemua kumpulan hasil kerja itu ke Recycle Bin, saya menjerit sedih sekuat-kuat hati. Itupun setelah saya terkilan senyap dahulu dan termenung beberapa saat kerana tidak mampu percaya. Lebih menggalakkan kesedihan ialah dalam masa yang sama saya telah mengosongkan segala isi Recycle Bin itu. Hanya nama Tuhan saja yang saya mampu sebut ketika itu. Saya bagaikan padam.

Lalu kerana ada yang prihatin selaku orang yang terdekat di tanah asing ini, dek terdengar laungan saya yang mungkin bagi mereka tidak kena pada situasi itu, mereka mendapatkan saya sebagaimana orang-orang kampung mendapatkan budak pengembala di atas bukit. Lalu setelah mengetahui kisah sebenarnya, reaksi mereka berubah. Sangka mereka ada hal-hal yang betul mengejutkan tetapi rupa-rupanya ter”delete file”. Sesuatu yang secara logik tidak berpadanan dengan refleksi yang ganjil.

Sungguh saya amat takut jika mereka menyimpan perkara ini di dalam hati dan jadi serik seperti orang-orang kampung.

Ingat lagi tidak kisahnya, ketika budak pengembala menjerit buat kali kedua ketika serigala betul-betul datang untuk bukan saja meragut ternakannya bahkan nyawanya, tidak ada seorang penduduk kampung pun yang datang menyelamatkannya. Itu semua kerana mereka tidak mahu diperbodohkan buat kali yang kedua. Lalu sesalan yang bukan pendapatan sebelum saat-saat akhir nyawa budak pengembala di cabut itulah, yang jadikan saya merasa dukacita, takut, ragu-ragu akan dipercaya lagi dan menyesal.

Saya sering diajar untuk jangan sekali-kali cuba mengurangkan kepercayaan orang lain ke atas diri saya. Kerana untuk mendapatkan percaya itu, derita sekali, tapi untuk menghilangkannya, itu adalah lebih mudah daripada memetik jari. Sungguh pada masa saya terbuang fail-fail itu saya merasa dihempap sesuatu yang berat. Kalau tidak, takkanlah suara saya berubah. Saya tahu saya kadang-kadang dikenal dengan ketidakseriusan saya yang sering kelihatan. Tapi itu tidak bermakna saya tidak pernah serius. Lebih-lebih ketika ia berkaitan dengan sesuatu yang berharga.

Saya tahu budak pengembala itu berakhlak jahat. Dan jeritannya yang cuba mempermainkan itu bagaikan menyerupai cerita saya. Tapi percayalah saya lakukan itu bukanlah kerana isi hati saya dan dia sama. Namun, itu terjadi secara tiba-tiba. Reaksi spontan semata-mata. Bukan dibuat-buat dan direka-reka. Walaupun, setelah dikaji semula kesilapan saya, fail-fail itu tidak terbuang, bahkan hanya teralih masuk ke folder lain saja. Saya harap di sana akan ada orang yang memaafkannya. Kerana sungguh saya tak pernah mahu jadi budak pengembala. Mati dalam keadaan terhina.

Hai, alangkah indahnya kalau semua dapat merasa betapa bernilainya berlian yang saya sendiri membentuknya. Pasti mudah untuk semua memahaminya. Maafkan saya wahai mereka yang merasa tertipu. Andainya selepas ini ada jeritan untuk kali yang kedua. Dan ia dilaungkan juga oleh saya. Percayalah, memang ketika itu benar-benar telah datang sang serigala.

Saya menjumpai sebuah entri di blog kegemaran saya yang turut menggunakan kisah yang sama seperti di atas. Untuk membaca, klik sini.

Labels: ,

 
 

Permulaan Musim Panas

Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.


Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.


Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan [2]. Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka, “Alangkah nikmatnya jus delima ini”. Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.

“Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”

Lalu jawab si penjaga, “Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya. Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

“Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas harta yang dilarang dimiliki olehnya. Atau mungkin ada fakir miskin yang dicemuh dan diperkosa hak mereka olehnya. Atau mungkin dia mengungkit bakti yang pernah dicurah dahulu dengan kemuliaan, pada orang jelata. Hinggakan Tuhan jadi sangat murka padanya. Lalu diazablah Tuhan seluruh hak milik kerajaaannya. Dengan Tuhan tarik segala keberkatan yang ada pada langit dan bumi kerajaannya. Sehingga tidak tinggal satu berkat pun melainkan telah ditarik jua.

“Dan tuan hamba, kita rasa mungkin kerana itulah jus yang kedua teramatlah pahit rasanya. Berbeza dengan yang pertama meskipun kedua-dua datang dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama dan di sebalik daun yang sama. Meskipun kedua-dua diperah dengan cara yang sama. Kerana rasa kita, telah berubahnya hati si raja.”

Mendengar jawapan penjaga kebun, bergetarlah hati si raja. Ketar-ketirlah seluruh kaki hingga ke lututnya. Mula berpeluhlah tapak tangannya. Dan tidaklah disapu tangannya yang berpeluh itu melainkan bertemu dengan keringat takut di mukanya. Terasa bagai dihempap dengan batu yang berat. Hingga tertunduklah dia, kerana takut dan malu yang amat sangat. Kerana sebenarnya raja ini terbaiklah amat. Cuma dek kerana terlintas di hatinya kejahatan dan dek kerana penarikan rahmat itu amatlah cepat. Lalu dia jadi kebingungan dan pening memikirkan. Masakan firasat orang di tengah hutan ini bisa sama dengan isi hatinya, sedangkan tidak bertahu olehnya bahawa dia adalah raja. Namun, ilmu dalam dada si raja membuatkan dia percaya. Hingga teringat raja kata penasihat agamanya yang menaqalkan sabda Baginda :

“Takutlah kalian pada firasat seorang yang beriman. Maka sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dengan cahaya Allah”.

Hingga bertambah kecutlah hati raja. Dan kecut ini bukan calang-calang. Hinggakan air mata jadi berlinang. Buatkan penjaga jadi bingung dan pelik seribu gaya. Mahu saja ditanya kenapa tapi ditahannya saja. Kerana dia dan raja baru berjumpa, dikenalnya pun baru sekerat mana. Tapi bagi raja, hatinya mula mengucap istighfar. Berulang-ulang hingga terbit secara ikhlas pada mulutnya. Ingin saja dia menyalahkan dirinya. Dan memang itulah yang diperbuat olehnya, dan disegerakan taubat dalam atmanya. Diperbetulkan segala niatnya. Untuk tidak merampas kebun delima larangan. Kerana kebun itu milik orang. Bukannya tidak bertuan. Dan tidaklah dibuat begitu melainkan agar datang kembali rahmat. Dilimpah semula yang berkat-berkat. Aman makmur seluruh jagat. Diazamnya sekuat-kuat, untuk tidak mengulang buat. Dan mintanya pada Tuhan agar diberikan alamat. Petanda menunjukkan dosanya telah diangkat, dan tidak sia-sia dia berbuat taubat. Hinggalah akhirnya, setelah datang keyakinan, si raja mengangkat muka, memandang tepat pada penjaga. Terus ke dalam matanya. Seolah-olah ada yang mahu dipinta. Hingga akhirnya penjaga dapat membaca dengan jelas, tanpa was-was. Menangkap maksud mata si raja.

Lalu berangkatlah penjaga, memetik semula buah delima. Sekali lagi dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama, dan disebalik dedaun yang sama. Diperah dengan cara yang sama dan dibawa kepada si raja. Dan si raja pula tika dihidangkan, penuh perasaan mengharapkan tanda bahawa taubat diterima, dan dengan nama Tuhan menghirup semula. Tapi kali ini, rasanya berbeza dari rasa kedua bahkan berbeza dari rasa pertama. Kerana rasa yang ini lebih manis darinya, bahkan terlalu ekstra manisnya dan super pekat dari yang mulanya. Hinggakan si raja bagaikan tidak mampu percaya. Dan membuatkan dia ingin bertanya lagi kepada penjaga, kenapa jadi begini. Kerana raja percaya bahawa firasat penjaga itu firasat mukmin soleh yang benar, bisa dipegangi.

“Wahai penjaga yang budiman, sesungguhnya hamba ini amatlah takjub sekali. Dalam hati ini, penuhlah persoalan sekali. Bertubi-tubi menekan mengharap jawapan. Kerana rasa buah ini pelik sekali. Berubah-ubah. Bertukar-tukar. Dan kini ia berubah lagi. Menjadi manis tiada berperi. Lebih manis dari yang pertama tadi. Tahukah dikau kenapa ia jadi begini, wahai tuan empunya firasat yang benar sekali?

Berkatalah penjaga, “Sungguh untuk ini tiadalah juga bagi kita jawapan yang sempurna. Hatta untuk meneka pun, belum tentu kan kena. Cuma ada firasat yang hampir sama saja. Bahawa raja telah suci kembali hatinya. Bersih dari segala noda yang datang mencelaka. Telah dibetulkan niat dihatinya. Bahawa tidak mahulah si raja membuat aniaya. Merampas harta rakyat jelata. Kerana harta itu haram baginya. Dan telah bertaubat nasuhalah dia. Bahkan Tuhan telah menerima taubatnya. Hinggakan rahmat dan berkat dilimpahkan semula. Bahkan dilimpah berganda-ganda. Lebih banyak dari sebelumnya. Hingga jika mampu dilihat dengan mata rahmat itu pada turunnya. Nescaya terlihatlah ia melimpah ruah hingga tempias ke negeri-negeri jirannya. Dan jika ada kawasan yang kering kontang seribu tahun, maka kawasan itu kan berair semula. Sungai yang tercemar kan bersih kembali. Binatang yang mandul pun bisa beranak seribu sehari. Dan bergembiralah tuan hamba kerana raja kita itu telah berubah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya raja yang mudah sedar dengan kesalahan sebegini, terdiri dari zuriat yang baik-baik. Anak orang-orang yang bertaqwa. Dan andainya raja ini terus sedar, nescaya kita percaya bahawa kerajaan yang diperintahnya akan terus dinaungi rahmat. Mendapat berkat, yang bisa memenuhi langit dan bumi negerinya.

“Dan kerana itulah, jus delima yang ketiga ini lain sekali rasanya. Lebih elok rasa dari yang yang kedua, bahkan lebih manis dari yang pertama. Dan tidaklah itu berlaku melainkan kerana kejahatan telah musnah, nikmat telah ditambah dan taubat telah diterima. Bergembiralah, kerana dari firasat kita air matamu itu amat berharga. Tetapi tak tahu juga kita, kerana meskipun air mata tuan hamba telah perginya, senyum tawa tuan hamba itu seolah-olah ada nilai yang sama. Moga firasat kita ini ada betulnya.”

Lalu jadi puaslah hati si raja. Kerana mendengar jawapan penuh geliga. Tiadalah lagi syak dalam hatinya. Bahawa taubatnya telah diterima. Maka terbitlah kembali mentari hatinya. Hilang serta merta rasa duka. Bahkan bertambah-tambah sukacita, beramian perasaannya. Hingga tiadalah yang paling gembira pada zaman dan waktunya, melainkan dialah orangnya. Langsung dipeluknya penjaga kebun. Mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kerana memberi pengajaran yang tidak ternilai. Hingga berazamlah dia untuk terus adil dalam menjalankan urusan. Baik kenegaraan ataupun kerakyatan. Agar terus turun rahmat Tuhan. Dan agar kekal rahmat itu sepanjang zaman.

Dipecut kudanya sepantas mungkin. Dalam gembira, menyusur kembali, mencari jalan pulang. Meskipun tidak tahu arah sebenar kerana asalnya sesat, tetap saja dipecutnya. Semuanya kerana yakin dengan rahmat yang telah dilimpah ruah Tuhan. Dan kerana itu juga dia yakin akan ketemu semula hulubalang- hulubalangnya. Si raja terasa angin yang bertembung laju dengan mukanya, amat segar sekali. Lalu angin itu mengusap rambutnya, amat seronok sekali. Lalu angin itu turun menyapu telinganya, amat tenang sekali. Dia menunggang dengan pantas. Amat pantas. Dan angin yang segar tak henti-henti membelai. Rasa yang menyeronokkan. Menyegarkan. Menambah kekuatan. Menghilangkan keserabutan. Segar sekali.

Hai, andainya mampu merasa lagi perasaan itu di musim panas ini, alangkah indahnya.

Bagi saya pula, Molto itu saya makan begitu saja, meskipun pelik kerana telah kurang isinya. Cuma tadi langsung tidak terfikir untuk bertanya tuan kedai kenapa tiga hari lepas Molto itu lima ketulan dalamnya. Dan hari ini pula telah kurang se. Sedangkan Molto yang dulu saya tetap beli dari syarikat yang sama, yang berbeza hanya kedai dan waktunya. Tapi jika benar kurangnya se kerana ditarik rahmat padanya, perbezaan kedai dan waktu membelinya itu tidak akan dikira. Cuma yang jadi terfikir, adakah jika saya bertanya, jawapannya adalah sama dengan jawapan penjaga. Namun rasanya tak mungkin sama, kerana saya bukan raja. Kerana hati saya dan hati raja tidaklah sama. Tentang bersih kotornya, dan juga terang gelapnya. Tetapi bagaimana jika tiba-tiba jawapan yang diberikan sama. Rugi rasanya tidak mencuba. Biarlah. Cuma harapnya selepas ini akan jadi lima kembali ketulannya. Atau kalau lebih nikmat dan berkat yang diturunkan semula, biarlah bertambah-tambah jumlahnya. Bayangkan jika selepas ini Molto itu ada sepuluh ketulan roti di dalamnya. Adakah mungkin?

Hai hati yang kotor, jadi bersihlah!

Cuma akhir-akhir ini jadi kasihan mendengar rintihan Emak di Malaysia yang menceritakan makanan kegemaran beliau juga ditimpa nasib yang sama. Kalau dahulu satu ringgit untuk tiga buku roti paun, kini dua ringgit baru boleh untuk memperolehi ketiga-tiga bukunya.

Hai hati yang jahat, bertaubatlah!

Bulan lepas beras yang dibeli masih lagi 57 pound, kini telah 70 pound naiknya. Udahlah banyak bubuk dan teruk sekali kualitinya. Entah berapa kali diadu tetap belum ada langkah yang dibuat.[3]

Hai hati yang dibisik iblis, tangkislah!

Emak kata kakak-kakak yang tinggal di kota kini sudah jarang pulang. Namun Emak tak sedikit pun marah, bahkan Emak amat faham. Sangat-sangat faham. Kerana kakak-kakak juga faham. Bahkan telah menceritakan pada Emak agar Emak jadi faham. Tol, minyak, semuanya buatkan semua orang mula faham.

Hai hati yang mahu senang, fahamlah!

Melihat orang yang membeli isy mengerutkan kening hingga bertemu kedua-duanya buatkan kita rasa ada bala menimpa. Ini berlaku buat kali pertama. "Wahid binus sigenih! Mus ma3ul, ya 3amm!"[4] Tapi itulah realitinya. Adakah mata yang melihat hanya mampu bersedih saja?

Hai hati yang keras, lembutlah!

---

NOTA KAKI:
[1]^Mafhum daripada surah Quraisy.
[2]^Teruskan membaca dan anda akan faham kenapa saya mengatakan ianya kebun larangan.
[3]^Harga beras terkini untuk beras yang datang dari Filifina ialah 90 Pound.
[4]^"Sekeping roti dengan harga setengah Pound. Tak masuk aqal, wahai sahabatku!"

Ditulis pada bulan March 2008, beberapa hari sebelum Maulid Ar-rasul, di kota Cairo.


Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

Labels: , , , ,

Dimasukkan Oleh : Abqori Bro
Tarikh : Wednesday, May 14, 2008
Jam 10:30 PM
Komen :




    >>Sertai saya di Twitter<<
     
     

    Bahana Blog Saya

    Entri ini akan menceritakan tentang bahana-bahana daripada entri-entri saya sebelum ini. Jika anda telah mengikuti penulisan di blog saya ini dari mula, maka entri ini akan jadi sangat mudah untuk anda memahaminya. Jika anda tidak, maka saya mencadangkan anda membaca semua tulisan saya di blog ini sejak mula.

    Bahana ‘Jom Hospital’.

    Di dalam entri Jom Hospital saya menceritakan tentang pengalaman saya ketika membuat rawatan di hospital di New Damietta City. Akibat terkesan dari suasananya yang amat tenang, pengalaman itu telah mengubah perspeksi saya terhadap beberapa perkara di Mesir. Lalu saya kaitkan ianya dengan kondisi rakyat Malaysia di sini yang rata-rata mempunyai mentaliti yang kurang sihat terhadap sebuah fasiliti yang memainkan peranan mega ini.

    Kerana pengiklanan saya terhadap blog ini yang berterusan dan menyebabkan ianya dibaca oleh ramai rakan, akhirnya, saya dipelawa untuk menemani salah seorang pembaca untuk pergi ke hospital tersebut. Pada mulanya saya menolak kerana kesibukan yang agak menyempitkan. Namun, dek kerana pelawaan kesan daripada penulisan yang ditulis sendiri, akhirnya saya merelakan diri. Setelah menetapkan tarikh dan waktu dan setelah mengkaji pelbagai macam perkara yang perlu diperhati seperti simptom penyakit, gejalanya dan kekerapan mendatangnya, kami menunggu hari yang dijanji.

    Namun dek kerana masalah yang tidak dapat dielakkan dari pihak yang mempelawa, akhirnya kami terpaksa membatalkan niat dan kami juga masih belum membuat temujanji baru untuk pergi. Saya masih menunggu andai beliau menjumpai waktu yang kosong agar kami dapat sama-sama kembali berjanji dan pergi.

    Meskipun tajuk entri itu mempunyai kata seru iaitu ‘Jom’, itu tidak bermakna jika ada yang sakit, saya sahaja yang perlu dipanggil untuk menemani. Kata seru itu adalah untuk mereka yang malas ke hospital supaya mereka membuang rasa itu jika ditimpa penyakit. Jangan dibiarkan berlarutan. Namun, jika saya juga yang mahu diajak, saya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhkan. Cuma belajarlah dari tulisan itu dan garaplah hasil sendiri, kerana saya telah seboleh-bolehnya memperincikan prosedur yang patut dilakukan. Yang tinggal hanyalah perlaksanaan.

    Harap-harap entri itu dapat menjadi rujukan untuk semua mahasiswa di New Damietta City secara berterusan. Memandangkan orang Melayu telah hampir 15 tahun bertapak di sini dan mungkin akan ada lagi 15 tahun yang berpanjangan, konkrit sekali jika saya tegaskan, Jom Hospital bisa jadi panduan.

    Bahana ‘Saya Tidak Akan Takwil’.

    Entri ini adalah entri santai kerana saya hanya menceritakan tentang perjalanan hidup saya seharian. Dari borak bersama rakan-rakan yang masuk ke dalam mimpi hinggalah kenangan bagaimana mampu berhasil mendapatkan sebuah kitab yang amat precious setelah penat mencari. Ular adalah binatang paling banyak disebut dalam entri ini (Cukup! Saya tidak mahu lagi mengetar geli-geleman).

    Seorang kawan datang berjumpa, bertanya kepada saya dan meminta pinjam kitab berkenaan. Tujuannya adalah untuk mengetahui takwil mimpinya.

    Pernah tidak anda bermimpi berperang atau melihat peperangan?

    Cari punya cari, akhirnya kami telah ketemukan jawapan. Berikut adalah takwil mimpi yang berkait dengan peperangan sekaligus adalah takwil bagi mimpi sahabat saya berkenaan.
    Fasal pada mimpi melihat al-harb dan al-qital[1].

    Dan kedua-duanya (al-harb dan al-qital) terbahagi kepada tiga :

    Pertama,

    Perang di antara kerajaan dan kerajaan (raja dan raja) :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang di antara kerajaan dan kerajaan (raja dan raja), maka mimpi itu menunjukkan kepada fitnah dan wabak .

    Kedua,

    Perang di antara kerajaan (raja) dan rakyat :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang di antara raja dan rakyat, maka mimpi itu menunjukkan kemurahan harga.

    Ketiga,

    Perang di antara rakyat dan rakyat :
    Sesiapa yang bermimpi melihat perang diantara rakyat-rakyat negerinya, maka mimpi itu menunjukkan akan ada perdamaian di antara mereka semua.

    Dan dikatakan mimpi melihat askar-askar yang menuju ke sebuah negeri menandakan turunnya hujan.

    Barangiapa yang bermimpi melihat tentera-tentera berkumpul maka itu menunjukkan kepada binasanya ahli batil dan ditolongnya ahli haq. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah an-Namlu ayat : 37.

    "فَلَنَأتِيَنَّهُم بِجُنُودٍ لَا قِبَلَ لَهُم بِهَا"

    Maksudnya : “Nanti kami akan menyerang mereka dengan tentera yang tidak boleh mereka hadapi.”

    Dan dikatakan orang yang bermimpi melihat dia bersama tentera dan jumlah tentera itu sedikit maka mimpi itu menunjukkan dia akan mengalahkan musuh-musuhnya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat : 249.

    "كَم مِن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذنِ اللهِ"

    Maksudnya : “Betapa banyak kejadian kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang banyak dengan izin Allah.”

    Dan siapa yang bermimpi melihat ia di dalam sesuatu peperangan dan terdapat di atas mereka debu atau asap hitam, maka mimpi itu tiada kebaikan di dalam mimpi itu baginya. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah ‘Abasa ayat : 40-41.

    "-وَوُجُوهٌ يَومَئِذٍ عَلَيهَا غَبَرَةٌ -41- تَرهَقُهَا قَتَرَةٌ -40"

    Maksudnya : "Dan ada pula muka (manusia) pada hari itu, di atasnya ada debu -40-. Ditutupi awan hitam -41-."

    Dan siapa yang melihat dua orang askar saling berbunuh-bunuhan, maka yang menang dalam mimpi itu antara kedua-duanya, dia akan dikalahkan (di luar mimpinya).

    Dan berkata sebahagian ahli takwil mimpi, “Sesiapa yang melihat dua orang askar bercampur di dalam satu peperangan untuk saling berbunuhan kemudian kedua-duanya berdamai maka sesungguhnya kebaikan akan menaungi mereka. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam Surah an-Nisa’ ayat : 128.

    "وَالصُّلحُ خَيرٌ"

    Maksudnya : “Berdamai itu lebih baik.”

    Jika anda bermimpi yang sama, maka ini adalah takwilnya. Saya pernah melihat syahid_zul menulis di status-Ymnya tempoh hari ayat ‘mimpi perang’. Adakah mimpinya kena dengan takwil ini?

    Bahana ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’.

    Entri ini menceritakan tentang kesan atau hubungkait dunia pembloggan dengan peristiwa semasa yang berlaku. Saya pautkan fakta berkenaan Top Blogger di Arab Saudi iaitu Fuad Farhan yang ditahan tanpa sebab selama tiga bulan dan juga berita tentang pembebasan beliau. Begitu juga saya selitkan isu semasa di Mesir tentang Mogok Umum secara besar-besaran yang berlaku dua kali iaitu pada tarikh 6 April dan 4 Mei. Saya turut menyatakan kedua-dua fenomena ini adalah kesan daripada dunia pembloggan. Saya kuatkan fakta ini dengan keratan-keratan akhbar yang saya baca di Internet yang boleh dibaca melalui klikan pada nota-nota kaki entri berkenaan.

    Namun, dek kerana hanya tajuk yang kononnya‘peliknya bunyi’ maka berlakulah kesilapfahaman. Seorang blogger telah membuat satu entri di blognya yang tidak lain tidak bukan adalah refleksi daripada entri saya tersebut. Sungguh ini adalah kesilapfahaman. Kesilapfahaman blogger berkenaan dalam memahami tajuk entri saya.

    Kerana itu, saya rasa saya perlu menulis semula demi membetulkan kesilapfahaman ini dari ianya terus menjadi fitnah. Bukan dari jadi fitnah bagi saya sahaja, malah dari jadi fitnah bagi semua. Kerana blog saya dibaca ramai dan mungkin yang lain juga ada silap faham seperti blogger berkenaan.

    Ramai yang silap faham apa itu maksud ‘Bahana’. Saya suatu ketika dahulu begitu jua. Rata-rata apabila mendengar perkataan bahana, mereka merasakan maksudnya seerti dengan kata ‘bencana’, ‘malapetaka’, ‘bahaya’, dan ‘bala’. Namun apabila saya membuat sedikit rujukan[2] kata ‘Bahana’ langsung tidak bermaksud sedemikian.

    Saya telah membuat carian maksud kata berkenaan di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka dan hasil yang diperolehi amatlah memuaskan. Untuk melihat maksud penuh bagi kata berkenaan, klik sini.[3]

    Menurut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar pula, kata ‘Bahana’ diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris kepada dua maksud :

    1 - loud sound or noise.

    2 - result, effect, change produced by action or cause.

    Jelas sekali, kata ‘Bahana’ membawa maksud bunyi yang bising atau kuat dan maksud kesan atau impak atau perubahan yang dibuat atau disebabkan oleh sesuatu perbuatan. Saya telah memilih terjemahan atau maksud yang kedua untuk dimuatkan dalam entri saya.

    Dek kerana kesilapfahaman itu, maka jadilah entrinya berbaur membangkang isi saya. Sungguh dalam isi kandungan entri saya itu, saya tidak mengatakan dunia pembloggan membawa bencana. Cubalah kalian membaca semula, dan kalian akan mendapati benarnya.

    Berikut adalah apa yang dikatakan oleh blogger berkenaan,
    “Aku agak pelik dan terkilan bagi mereka yang mengatakan blog ini merupakan pemangkin pencetusnya bahana yang menimpa dunia kini. Mengapa, kerana aku memperhatikan "statement" sebegini hanya dinukil oleh blogger di dalam blog peribadinya.”

    Jelas sekali beliau tersilap faham maksud perkataan ‘Bahana’. Kerana dari ayatnya, kita faham seolah-olah beliau memahami kata ‘Bahana’ sebagai malapetaka dan bala. Dan kerana kesilapfahaman ini maka tertulislah entri beliau. Nampaknya titik perselisihan yang membawa kepada kesilapfahaman adalah kalimah ‘Bahana’. Kalimah yang disilapfaham inilah yang bagaikan menyebabkan isi kandungan entri saya tertolak langsung olehnya.

    Adakah kerana sepotong kalimah yang ada pada tajuk, maka seluruh entri dipersalahkan? Adakah hanya kerana sesisir pisang yang busuk kita katakan setandan yang busuk?

    Pernah tidak kalian membaca tajuk-tajuk berita di akhbar yang amat mengejutkan kalian, dan kerana yang demikian kalian membaca segala isi kandungan berita berkenaan kerana mahu mentakkidkan? Namun, setelah membaca segala isi berita tersebut, rupa-rupanya tajuk berita itu hanyalah sekadar ayat pusing untuk menarik minat pembaca dan kadang-kadang isinya langsung lari dari tajuk dan jika dikaji semula tajuk dan isinya, itu hanya akan membuatkan kalian tersenyum. Ini kerana tajuk itu hanya digunakan untuk menarik perhatian.

    Setiap kali saya membuat posting, maka saya akan mencari perkataan yang boleh menarik minat pembaca. Ini kerana minat membaca yang saya perhatikan ada pada semua, amat rendah nilainya.[4] Jadi untuk menarik minat semua, saya telah menggunakan teori tajuk akhbar tadi. Dan kebanyakannya telah berhasil. Ambil contoh, tentang entri ‘Saya Tidak Akan Takwil’, berapa ramai antara sahabat-sahabat saya menyangka saya telah menjadi Wahabi dengan hanya membaca tajuk entri berkenaan? Namun, setelah dibaca semua isi entri, rupa-rupanya yang tidak mahu ditakwil hanyalah mimpi. Bukan ayat Al-Quran yang kebanyakannya memerlukan pada takwilan.

    Begitulah juga, ketika saya membuat entri ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’. Asalnya, saya ingin membuat tajuk yang berbunyi ‘Jangan Pakai Baju Hitam’ agar ia jadi perhatian. Namun kerana saya ingin mengaitkannya dengan kesan dunia pembloggan, saya telah mengambil kata yang membawa maksud kesan atau impak. Semuanya agar pembaca terfikir kenapa pula blog ada kesan dan kaitan dengan baju hitam. Tapi, nampaknya teori itu tidak berjaya buat kali ini. Semuanya kerana ketidakmampuan pembaca memahami dan kesilapfahaman mereka pada makna. Apapun, yang konkrit adalah saya tidak pernah memaksudkan ‘Bahana’ sebagai malapetaka dan bencana.

    Itu penjelasan yang pertama.

    Yang kedua pula.

    Pernah tidak, kalian mendengar pepatah mat saleh ‘Don’t Judge A Book by Its Cover’. Teori itu juga boleh digunapakai di sini. Adakah sesebuah buku itu tetap dikatakan tidak berkualiti hanya kerana tajuknya yang merapu atau kulitnya yang buruk sedangkan isi kandungannya yang amat bagus dan berkualiti? Jika tetap dikatakan tidak berkualiti, maka itu satu kekejaman.

    Dan jika maksud kata ‘Bahana’ di sini tetap beliau terjemahkan sebagai ‘malapetaka’ sedangkan beliau telah membaca kandungan entri itu yang langsung tidak ada maksud sedemikian, maka mengatakan isi kandungan entri itu memperlekehkan kemampuan dunia pembloggan juga adalah satu kekejaman. Sama seperti kekejaman menilai seluruh isi buku dengan hanya melihat kulitnya seperti yang diulas di atas.

    Jika ada kata dalam entri saya itu yang mengatakan dunia pembloggan membawa malapetaka atau bencana, maka seteruk-teruk kata dalam entri berkenaan yang mungkin membawa maksud begitu adalah perkataan ‘bahaya’, iaitu ketika saya menanya pada permulaan entri saya,
    “Bahaya sangatkah untuk terjun ke dunia pembloggan?”

    Namun, saya telah menjawab soalan saya itu di bahagian kedua entri itu dengan mengatakan,
    “Dan jawapan untuk soalan saya yang mula-mula tentang adakah bahaya terjun ke dunia pembloggan, rasanya tak perlulah dijawab. Subjektif itu semua. Cuma lihatlah pada kesannya, dan janganlah perlekehkan kemampuannya.”

    Adakah jawapan saya kepada soalan yang saya sendiri tanyakan itu ada berbaur mengatakan dunia pembloggan ini membawa malapetaka. Tidak sama sekali. Dan sungguh dalam entri itu hanya kalimah bahaya itu sajalah yang ada membawa maksud demikian. Mujur, akhirnya maksudnya terbukti bukan me’malapetaka’kan.

    Katanya lagi,
    “Oleh itu mengapa dan kenapa "beliau" mesti untuk menafikan kepentingan blog dalam menyebar maklumat atau sebagainya.”

    Sungguh saya tidak menafikan blog sebagai tempat menyebar maklumat, jika saya menafikannya, masakan saya menulis entri ‘Jom Hospital’.

    Katanya lagi,
    “Terus aku katakan tidak setuju bahawasanya blog sebagai pencetus revolusi kerana penulis-penulis blog ini menulis sesuka hati mereka tanpa ada satu undang-undang yang khusus membicarakan tentang blog ini.”

    Seperti yang saya katakan tadi, kerana kalimah sebutir, akhirnya seolah-olah seluruh isi entri saya beliau tolak. Tidakkah beliau perasan bahawa perkara ini benar-benar berlaku? Tidakkah beliau mengikuti paparan isu semasa? Saya rasa saya sudah masukkan video berkenaan isu ini. Lihat video Esraa Abdul Fatta itu semula dan baca keratan akhbar ini. Klik sini. Saranan saya adalah agar beliau dan kita semua banyakkan membaca dan peka dengan isu semasa. Kerana jika kita tidak melakukan yang demikian, maka beginilah jadinya.

    Dan ini pula adalah katanya yang terakhir,
    “Secara konklusinya,andai kalian mengatakan ianya bahana atau wabak baru yang melanda umat akhir zaman kini apakah bukti kalian sedangkan di sana ada manfaat yang dapat kita ambil. Dengan menjadikan "penulisan blogger yang sesuka hati"dengan sesuka hati juga kita mengatakan blog pembawa bahana dan bencana. Wah, jika sesenang itulah cara kita satu-satu membuat kesimpulan tanpa melihat kepada maslahah dan mafsadahnya, aku percaya itulah yang sebenarnya yang menjadi bencana kepada kita.”

    Sungguh, saya tidak katakan adanya bencana padanya. Dan kerana saya tidak mengatakannya, maka tidak perlulah saya buktikannya. Bahkan, seperti yang saya nyatakan dalam entri saya, mogok 6 April yang dicetuskan ideanya oleh para blogger itu seolah-olah telah menyebabkan kenaikan gaji para kerani. Bukankah itu kebaikannya? Harap-harap dunia tahu siapa yang menulis sesuka hati.

    Dan, saya rasa eloklah jika blogger itu membuat kajian semula. Dan tidak usahlah saya memberitahu siapakah dia yang menulis sedemikian rupa, meskipun tulisan di blognya ada banyak yang baik-baik. Kerana jika saya memaparkannya, itu adalah menambah aib padanya dan aib itu sifatnya menutup yang baik-baik. Cuma, eloklah untuk beliau memperbaharui entri tersebut dengan membuang sesuatu yang tidak berasas, dan jika sesuatu itu berasas pun, maka asasnya adalah kesilapfahaman.

    Maafkan saya wahai semua jika terkasar bahasa, saya hanya mempertahankan diri saya daripada tuduhan yang sebenarnya hanya silapfaham. Moga-moga silapfaham itu tidak membawa pada dosa.

    Itulah bahana-bahana tiga entri mutakhir blog ini. Moga ia mematangkan dan saya belajar dari pengalaman.

    Buat akhirnya biarlah saya ceritakan sedikit tentang blog ini.

    Blog ini bukanlah blog yang dibina terburu-buru kerana saya rasa cemburu melihat orang lain mempunyai blog. Tetapi blog ini sebenarnya sebelum dipublikasi kepada umum telah dirancang selama setahun lebih. Saya merancang tentang apa yang perlu dimuatkan, tentang golongan sasaran, kadar tenaga dan masa yang layak untuk dipergunakan (agar tidak terbuang kedua-duanya begitu saja) dan juga kemampuan saya untuk istiqomah meneruskan.

    Jadi sepanjang tempoh itu, saya telah banyak memerhati, mengkaji, membaca blog orang lain, melihat jatuh bangunnya sesebuah blog dan belajar daripada orang lain. Sepanjang tempoh itu juga, saya berlatih menulis dan cuba mengikut pelbagai kursus penulisan yang diadakan.

    Sepanjang tempoh itu juga, saya sibuk mencari gaya penulisan yang patut saya persembahkan dengan membaca pelbagai jenis buku dari genre agama dan sastera serta majalah-majalah yang ada.

    Saya juga telah mengumpul fakta-fakta yang diperolehi sepanjang tempoh itu melalui saluran-saluran berita dan dokumentari yang menjadi ‘saluran-mesti-tonton’ di televisyen rumah saya seperti France 24, DW-TV, JSC, Al-Jazeera, Al-Arabiya, BBC dan CNN.

    Selain itu juga saya turut membaca akhbar-akhbar berbahasa Arab dan Inggeris samada edisi bercetak atau di internet, dan telah menandakan yang mana lebih memberi manfaat.

    Dan itu semua adalah persediaan saya. Persediaan yang serius dan setahun lebih lamanya.

    Lalu dari situ, bolehlah dikatakan, blog ini bukan blog main-main dan sekadar cuba-cuba. Penulisan di sini juga bisa dikatakan penulisan yang serius dan jika ada sesuatu yang dikatakan sebagai ‘main’ dalam penulisan di blog ini, maka ‘main’ itu adalah bermain dengan fakta-fakta yang benar, tanpa memusingkannya dan berdiri tegak padanya sekadar kemampuan.

    Dan kerana itulah blog ini dinamakan Abqori, kerana saya ingin cuba untuk mewujudkan Abqori yang dinanti dalam jiwa saya ini.[5]

    Oleh itu, jika ada unsur-unsur untuk menjatuhkannya samada secara langsung atau tidak langsung, maka tindakan itu adalah amat dikesali dari pihak penulis blog ini.

    ---

    NOTA KAKI :

    [1]^Al-Harb dan al-Qital kedua-duanya membawa maksud perang.
    [2]^Hanya sedikit dan sungguh ia tidak perlu banyak.
    [3]^Link ini adalah bahagian yang paling penting di dalam entri ini untuk menjelaskan kesilapfahaman sesetengah pihak. Wajar saya kata kalian wajib klik pada link berkenaan.
    [4]^Pernah sekali salah seorang sahabat bertanya kepada saya, beberapa hari selepas entri ‘Bahana Blog dan Baju Hitam’ dipos, “Kenapa tidak boleh pakai baju hitam? Adakah kerana tidak mahu menyerupai orang Yahudi?” Saya jadi amat terkejut dan inilah buktinya bahawa ramai yang tidak ada minat membaca. Anda patut bersyukur jika membaca hingga ke takat ini kerana anda memang mempunyai minat membaca yang tinggi. Saya tanyakan padanya daripada mana beliau mendapat berita berkenaan. Katanya ada seorang kawan memberitahu. Saya tidak salahkan beliau kerana tidak membaca kerana katanya beliau telah klik untuk membaca namun tidak berjaya. Yang patut dipersalahkan adalah sahabatnya yang mereka-reka cerita dan sungguh saya tidak mahu tahu siapakah orangnya.
    [5]^If you do not know what the word abqori means, you best find it on the dictionaries.

    ---

    REHAT-REHAT :

    Setelah letih membaca entri ini, marilah kita sama-sama rehat-rehat, tenangkan fikiran dan melapangkan dada sambil kita mendengar nasyid ini. Sempena Hari ibu ini, marilah kita mengingati jasa Ibu kita yang tercinta.

    Labels: , ,

     
     

    Detik-detik Akhir Sebelum Tibanya

    Bila melihat orang yang rajin membaca buku, saya mudah rasa cemburu. Mulalah menyebut-nyebut dalam hati, sepatutnya saya yang jadi begitu. Tapi bila masuk musim peperiksaaan, atau tinggal kurang seminggu saja lagi sebelum ketibaannya, atau telah masuk study week, saya sudah tak rasa itu semua. Kerana saya juga sudah mula membaca. Siapa yang tidak takut untuk menempuh hari-hari yang menyeksakan. Lebih-lebih lagi ketika menjadi satu-satunya pelajar Malaysia dalam sesebuah syu3bah[1] untuk sesuatu tahun. Perit peperiksaaan itu sudah lebih dahsyat dari menggerunkan.

    Berbeza dengan orang yang punya rakan-rakan senegara yang sama syu3bah. Kondisi mereka mungkin lebih banyak dihiasi ketenangan. Ada medium yang sama untuk diperbincangkan. Study group juga senang untuk dijalankan. Dalam membuat nota, mereka boleh kerat-kerat dan bahagi sama rata pada setiap orang tugasan-tugasan. Hatta kalau ada yang tidak dapat hadir ke kuliah kerana ada hal yang perlu diuruskan, yang lain masih boleh menjelaskan apa yang terlepas.

    Tapi, itu tidak bermakna saya tidak selesa berkeadaan sebegini. Seronok juga. Bahkan terasa ia umpama nikmat yang dilebihkan. Serasa kalau ingin menceritakan semua keseronokannya, pasti ada bahagian yang tertinggalkan. Integrasi dengan rakan-rakan Mesir yang selalu. Interaksi dengan mereka yang tak pernah putus. dengan pensyarah juga terasa rapat. Mulanya terasa juga, saya yang perasan. Namun bila tahu pensyarah hafal nama saya. Ah, dalam hati saya, pelbagai jeritan kegembiraan kedengaran.

    Bila lihat dalam An-Naseem edisi buletin[2] saya lihat peratus kelulusan untuk syu3bah lughah arabiyyah tahun dua sesi 2006/2007 adalah seratus-peratus. Mana tidaknya. Jika jumlah pelajar untuk syu3bah itu hanya seorang, maka segala peratusan pastilah bergantung padanya. Dan kerana sayalah pelajar yang dimaksudkan, itulah yang amat saya risaukan.

    Cuba bayangkan,[3] bagaimana jika keputusan yang saya dapat adalah sebaliknya. Saya tahu, peratusan itu tidak akan berubah. Tetap dengan keseratusannya. Tetapi itu bukan lagi peratus kelulusan. Tetapi peratus kegagalan. Seratus peratus peratus kegagalan. Oh, saya amat takut! Memang saya perlu gandakan usaha.

    Ketika di tahun dua saya pernah sekali membayangkan perkara yang sama. Membayangkan bagaimana jika saya tidak mampu ke tingkat yang seterusnya. Membayangkan apabila saya masuk ke dewan kuliah, rakan-rakan Mesir yang duduk semeja adalah wajah-wajah baru. Kerana yang lama telah pergi dan telah datang yang baru dan yang masih kekal adalah diriku. Wo, sungguh saya tidak mahu itu berlaku! Kerana bukan senang untuk memulakan dan mengekalkan sesebuah hubungan persahabatan. Lebih-lebih lagi yang berlainan adat. Untuk menjaga hatinya lagi. Lagipun, saya selesa dengan suasana sekarang dan takut untuk mencuba yang baru.

    Sebut tentang hubungan persahabatan, saya teringat sesuatu. Segalanya berlaku dalam masa yang singkat. Apabila bersama dengan rakan-rakan dari Indonesia, saya lebih kenal erti bangsa sendiri, Melayu. Apabila rapat dengan rakan-rakan Perlis, saya ketahuan orang-orang Indonesia punya saluran radio mereka sendiri di Mesir.[4] Apabila cuba beramah dengan pelajar-pelajar baru, jadi terfikir, rupa-rupanya saya pernah jadi penuh bersemangat seperti mereka dahulu.

    Apapun, peperiksaan tinggal kurang dari seminggu saja lagi. Saya perlu lebih menumpu. Ikat kepala. Tambahan lagi, muqorror[5] sudah lama keluar. Syafawi Nusus[6] juga sudah berlalu. Bahas[7] masing-masing sudah menghantar. Kamus-kamus di atas meja pun sudah jadi gunung kerana disusun merapu. Asyik ditarik saja dan diletakkan semula. Cuma tak tahu kenapa, laptop yang telah disimpan ini dikeluarkan semula. Mungkin rindu untuk menulis agaknya. Tapi, tak mengapa, lagipun rasanya teman serumah boleh pinjamkan saya selendangnya untuk saya mengikat kepala, melilit dahi waktu letih membaca.

    Ah, baru teringat! Bacaan Yasin minggu ini di rumah saya. Dan tak sangka pula, pentazkirahnya adalah saya. Ha, itu pun perlu difikirkan!

    Ditulis kurang seminggu sebelum peperiksaan fasa satu. Di musim sejuk. Di waktu kesejukan sibuk membeku ke tulang sumsum.



    ---

    NOTA KAKI:
    [1]^Fakulti.
    [2]^Bukan kumpulan nasyid Dumyat yang namanya sama saja.
    [3]^Bayangkan dan jangan harapkan.
    [4]^Untuk pergi ke lamab rasmi komuniti radio berkenaan. Klik sini. Untuk mendengar saluran radio berkenaan, sila tambahkan id q2eradio di YM anda.
    [5]^Syllabus. Sukatan pelajaran.
    [6]^Syafawi bermaksud lisan. Nusus pula adalah kalimah plural untuk Nas dan Nas bermaksud Dalil. Nusus ialah sebuah subjek yang membahaskan syair-syair berbahasa Arab. Dinamakan Nas kerana apabila ada kalimah di dalam Al-Quran yang tidak difahami, maka syair-syair inilah yang menjadi rujukan untuk mendapatkan maknanya. Namun hanya syair sekitar zaman jahiliah, zaman permulaan Islam dan zaman awal pemerintahan Bani Umaiyah sahaja yang boleh dijadikan sebagai hujah untuk makna kalimah. Syair-syair selepas zaman-zaman berkenaan tidak lagi boleh dijadikan sebagai hujah kerana kebanyakan kalimah telah hilang makna sebenar akibat percampuran orang Arab dan orang Ajam (bukan Arab). Syafawi Nusus bermaksud peperiksaan berbentuk lisan untuk subjek Nusus.
    [7]^Assignment. Kerja Kursus.

    Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

    Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

    Labels: ,

     
     

    Permulaan Musim Panas

    Saya cadangkan anda membaca entri di bawah dengan menghidupkan kipas serta menghalakan anginnya tepat ke muka. Atau membaca di tempat yang ada angin bertiup.


    Permulaan musim panas. Mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan begitu. Tetapi kerana keberadaan saya sekarang adalah di Cairo, cuaca yang melanda dirasakan demikian. Jika di Dumyat, cuaca mungkin masih lagi tenang dan menyenangkan. Padanlah. Kerana Dumyat itu sebelahnya laut. Berbeza dengan Cairo, sebelah padang pasir. Meskipun agak jauh juga dari padangnya, habuk dan debu saksi itu dari mana lagi asalnya jika bukan dari situ.

    Dalam Al-Quran pula menyebutkan, Rehlah Syita’ itu ke Yaman kerana di sana lebih menghangatkan. Rehlah Shoif itu ke Syam kerana cuaca di sana lebih menyejukkan.[1] Dan kerana Cairo ini agak keselatanan. Pastilah bahangnya lebih. Mujur tidak di Aswan, huh, tak mampu untuk membayangkan. Setakat ini saja sudah mampu buatkan kepala kepeningan.

    Mungkin saja kerana turunnya yang agak lewat, saya terlepas bas yang biasa dinaiki. Maka jika sudah begitu, sudah pasti bas seterusnya akan datang selepas setengah jam lagi. Terlintas juga dihati untuk menaiki teksi, kalau tidak mahu terlepas pengajian, itulah jalan terakhir. Baru teringat, makan tengahari juga belum lagi. Dalam keadaan harga barang yang naik melambung di Mesir dan tak lupa juga di tanahair, saya masih tak tahu kenapa saya belum pandai untuk berjimat. Oh, Tuhan tolong ajarkan.

    Sewaktu memegang Molto, saya jadi terfikir Molto ini juga mungkin dalam dua tiga minggu lagi akan naik harganya. Tapi meskipun itu hanya hipotesis awal, ia sekelip mata juga jadi teori tersangkal. Kerana apabila dibuka isinya, rupa-rupanya telah berkurang satu. Jika tiga hari lepas, ketulan roti di dalamnya masih ada lima, kini yang ada hanya empat. Memang krisis ekonomi. Berbagai-bagai cara manusia guna untuk menampakkan yang situasi sudah berubah. Jika harga tidak dinaikkan, maka kualiti barangan dikurangkan atau kepuasan pelanggan diterhadkan. Apa-apa pun saya terima saja. Inilah namanya dunia. Tak tahu bagaimana untuk saya cerita. Tapi itulah keadaannya. Lumrah kehidupan bila sudah hilang keberkatan.

    Ingat lagi tidak suatu cerita seorang raja yang pergi berburu dengan hulubalangnya? Alahai, kisah yang dulu-dulu, tapi bukan kisah zaman purba, juga bukan kisah zaman Hang Tuah dan Kias Fansuri, cuma yang pasti kisah itu pernah terjadi.

    Mulanya begini, suatu hari, si raja keluar beramai-ramai, berburu dengan segala hulubalangnya. Namun akibat si raja terlampau asyik mengejar rusa, dan terus dikejarnya juga, akhirnya dia tersesat. Udahlah tersesat, rusa pula kehilangan, terpisah daripada kumpulan, berkuda keseorangan dan termasuk ke dalam kebun larangan [2]. Kebun delima larangan. Lalu di situ berjumpalah raja dengan penjaganya. Penjaga mempelawa untuk memuliakannya, meskipun penjaga masih tak tahu si raja adalah raja. Lalu raja pun menerimanya. Lagipun raja sesat. Kalau anda sesat, pasti anda juga akan menerima saja. Penjaga lalu memetik buah delima, diperah hingga keluar segala manisnya.

    Dihidangkan kepada raja dan diucapkanlah perkataan sila kepadanya. Lalu, minumlah si raja yang sesat, untuk menghilangkan dahaga. Menyentuh saja jus pada tenggorokan si raja, ah, berkatalah dia suka, “Alangkah nikmatnya jus delima ini”. Tak pernah dijumpanya jus delima semanis ini. Inilah kali pertama. Terpikatlah hatinya, lalu mulalah berniat jahat. Berhajat untuk merampas, bukan sekadar buah-buahnya, namun kebun itu dan segala isinya. Itulah busuknya hati seorang raja. Hinggakan, ketika itu jika dicari hati mana yang paling busuk, maka pasti hati si raja yang jadi juara. Busuknya tak mampu dikira.

    Namun disantapnya minuman itu sehabisnya dahulu. Nikmat tidak terkata. Lalu dimintanya tambah, untuk dipuaskan hawa nafsunya. Penjaga pun bersegera, memetik lagi buah delima dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama untuk diperah buat minuman kedua. Si raja pun dengan tidak sabar menunggu hidangannya. Hinggalah apabila tiba jus di tangannya, diteguknya dengan sepantas apa. Namun tiba-tiba, terdetiklah hati si raja untuk menyumpah, menyuarakan segala mimik tidak suka, kerana jus kedua tersangatlah pahitnya. Tak pernah dirasakan pahit yang sedahsyat itu, dan itulah bentak hatinya. Namun si raja tetap bertanya kepada si penjaga dengan seeloknya. Kerana penjaga belum tahu tentang niat buruknya, bahkan tidak tahu tentang martabatnya sebagai raja.

    “Wahai penjaga yang budiman, aku sesungguhnya amat menyukai rasa buah delima yang kau hidangkan tadi, amatlah manis sekali. Dan percayalah, ke timur ke barat telah kupergi, segala rasa telah kurasai tetapi tiada rasa yang mampu menandingi buah delima yang ini. Namun, ketika hidanganmu yang kedua aku hirupi, tahukah kamu bahawa rasanya juga tidak pernah kutemui di timur mahupun di barat? Cuma rasa yang kedua itu amatlah berbeza sekali. Pahit sekali. Pahit yang jika diminum oleh seorang bayi, maka mungkin saja dia akan jatuh sakit dan mati. Adakah bisa kau wahai penjaga menjelaskan padaku mengapa rasa kedua-duanya berbeza sekali? Adakah kerana dipetik dari pohon-pohonnya yang berbeza? Atau adakah kerana berbezanya cara perahannya?”

    Lalu jawab si penjaga, “Kita ini hanyalah orang yang hina, untuk menjawab pertanyaan tuan hamba, tidaklah kita punya jawapannya. Cuma dalam hati kita jika demikian keadaannya, ada firasatnya. Firasat yang bisa betul jika memang aqal waras memikirkannya, mengandungi salah jika hawa nafsu asasnya. Adapun untuk jus yang pertama itu, mungkin begini taakulannya. Ketika tuan hamba meminumnya, raja negeri ini masih lagi seorang yang adil lagi saksama, penuh ihsan pada rakyat jelatanya. Baktinya pada masyarakat tersangatlah baiknya. Fakir miskin amat dikasihinya. Niat yang jahat tidak pernah terlintas dalam hatinya. Lalu demi itu, Tuhan jadi amatlah suka padanya. Dilimpahkan segala rahmat, keberkatan untuknya dan untuk seisi negerinya. Dilimpahkan berkat yang mengalur melimpahi seluruh langit dan bumi. Berkat yang tidak meninggalkan sedikit ruang pun melainkan ia memenuhi. Berkat yang agung sekali. Berkat yang juga memaniskan buah delima pertama itu tadi. Dan kerana itulah buah yang pertama itu manis sekali.

    “Adapun jus yang kedua itu, tidaklah kita mampu meneka melainkan firasat juga. Dan firasat kita menyatakan bahawa jadinya ia pahit kerana telah berubahnya hati si raja. Penuh busuklah seisi hatinya. Kerana dia mula tamakkan dunia. Kerana syaitan telah membisikkan yang celaka dalam dirinya. Mungkin si raja ingin membuat naya pada rakyatnya. Berniat merampas harta yang dilarang dimiliki olehnya. Atau mungkin ada fakir miskin yang dicemuh dan diperkosa hak mereka olehnya. Atau mungkin dia mengungkit bakti yang pernah dicurah dahulu dengan kemuliaan, pada orang jelata. Hinggakan Tuhan jadi sangat murka padanya. Lalu diazablah Tuhan seluruh hak milik kerajaaannya. Dengan Tuhan tarik segala keberkatan yang ada pada langit dan bumi kerajaannya. Sehingga tidak tinggal satu berkat pun melainkan telah ditarik jua.

    “Dan tuan hamba, kita rasa mungkin kerana itulah jus yang kedua teramatlah pahit rasanya. Berbeza dengan yang pertama meskipun kedua-dua datang dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama dan di sebalik daun yang sama. Meskipun kedua-dua diperah dengan cara yang sama. Kerana rasa kita, telah berubahnya hati si raja.”

    Mendengar jawapan penjaga kebun, bergetarlah hati si raja. Ketar-ketirlah seluruh kaki hingga ke lututnya. Mula berpeluhlah tapak tangannya. Dan tidaklah disapu tangannya yang berpeluh itu melainkan bertemu dengan keringat takut di mukanya. Terasa bagai dihempap dengan batu yang berat. Hingga tertunduklah dia, kerana takut dan malu yang amat sangat. Kerana sebenarnya raja ini terbaiklah amat. Cuma dek kerana terlintas di hatinya kejahatan dan dek kerana penarikan rahmat itu amatlah cepat. Lalu dia jadi kebingungan dan pening memikirkan. Masakan firasat orang di tengah hutan ini bisa sama dengan isi hatinya, sedangkan tidak bertahu olehnya bahawa dia adalah raja. Namun, ilmu dalam dada si raja membuatkan dia percaya. Hingga teringat raja kata penasihat agamanya yang menaqalkan sabda Baginda :

    “Takutlah kalian pada firasat seorang yang beriman. Maka sesungguhnya orang yang beriman itu melihat dengan cahaya Allah”.

    Hingga bertambah kecutlah hati raja. Dan kecut ini bukan calang-calang. Hinggakan air mata jadi berlinang. Buatkan penjaga jadi bingung dan pelik seribu gaya. Mahu saja ditanya kenapa tapi ditahannya saja. Kerana dia dan raja baru berjumpa, dikenalnya pun baru sekerat mana. Tapi bagi raja, hatinya mula mengucap istighfar. Berulang-ulang hingga terbit secara ikhlas pada mulutnya. Ingin saja dia menyalahkan dirinya. Dan memang itulah yang diperbuat olehnya, dan disegerakan taubat dalam atmanya. Diperbetulkan segala niatnya. Untuk tidak merampas kebun delima larangan. Kerana kebun itu milik orang. Bukannya tidak bertuan. Dan tidaklah dibuat begitu melainkan agar datang kembali rahmat. Dilimpah semula yang berkat-berkat. Aman makmur seluruh jagat. Diazamnya sekuat-kuat, untuk tidak mengulang buat. Dan mintanya pada Tuhan agar diberikan alamat. Petanda menunjukkan dosanya telah diangkat, dan tidak sia-sia dia berbuat taubat. Hinggalah akhirnya, setelah datang keyakinan, si raja mengangkat muka, memandang tepat pada penjaga. Terus ke dalam matanya. Seolah-olah ada yang mahu dipinta. Hingga akhirnya penjaga dapat membaca dengan jelas, tanpa was-was. Menangkap maksud mata si raja.

    Lalu berangkatlah penjaga, memetik semula buah delima. Sekali lagi dari pohon yang sama, batang yang sama, ranting yang sama, dan disebalik dedaun yang sama. Diperah dengan cara yang sama dan dibawa kepada si raja. Dan si raja pula tika dihidangkan, penuh perasaan mengharapkan tanda bahawa taubat diterima, dan dengan nama Tuhan menghirup semula. Tapi kali ini, rasanya berbeza dari rasa kedua bahkan berbeza dari rasa pertama. Kerana rasa yang ini lebih manis darinya, bahkan terlalu ekstra manisnya dan super pekat dari yang mulanya. Hinggakan si raja bagaikan tidak mampu percaya. Dan membuatkan dia ingin bertanya lagi kepada penjaga, kenapa jadi begini. Kerana raja percaya bahawa firasat penjaga itu firasat mukmin soleh yang benar, bisa dipegangi.

    “Wahai penjaga yang budiman, sesungguhnya hamba ini amatlah takjub sekali. Dalam hati ini, penuhlah persoalan sekali. Bertubi-tubi menekan mengharap jawapan. Kerana rasa buah ini pelik sekali. Berubah-ubah. Bertukar-tukar. Dan kini ia berubah lagi. Menjadi manis tiada berperi. Lebih manis dari yang pertama tadi. Tahukah dikau kenapa ia jadi begini, wahai tuan empunya firasat yang benar sekali?

    Berkatalah penjaga, “Sungguh untuk ini tiadalah juga bagi kita jawapan yang sempurna. Hatta untuk meneka pun, belum tentu kan kena. Cuma ada firasat yang hampir sama saja. Bahawa raja telah suci kembali hatinya. Bersih dari segala noda yang datang mencelaka. Telah dibetulkan niat dihatinya. Bahawa tidak mahulah si raja membuat aniaya. Merampas harta rakyat jelata. Kerana harta itu haram baginya. Dan telah bertaubat nasuhalah dia. Bahkan Tuhan telah menerima taubatnya. Hinggakan rahmat dan berkat dilimpahkan semula. Bahkan dilimpah berganda-ganda. Lebih banyak dari sebelumnya. Hingga jika mampu dilihat dengan mata rahmat itu pada turunnya. Nescaya terlihatlah ia melimpah ruah hingga tempias ke negeri-negeri jirannya. Dan jika ada kawasan yang kering kontang seribu tahun, maka kawasan itu kan berair semula. Sungai yang tercemar kan bersih kembali. Binatang yang mandul pun bisa beranak seribu sehari. Dan bergembiralah tuan hamba kerana raja kita itu telah berubah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya raja yang mudah sedar dengan kesalahan sebegini, terdiri dari zuriat yang baik-baik. Anak orang-orang yang bertaqwa. Dan andainya raja ini terus sedar, nescaya kita percaya bahawa kerajaan yang diperintahnya akan terus dinaungi rahmat. Mendapat berkat, yang bisa memenuhi langit dan bumi negerinya.

    “Dan kerana itulah, jus delima yang ketiga ini lain sekali rasanya. Lebih elok rasa dari yang yang kedua, bahkan lebih manis dari yang pertama. Dan tidaklah itu berlaku melainkan kerana kejahatan telah musnah, nikmat telah ditambah dan taubat telah diterima. Bergembiralah, kerana dari firasat kita air matamu itu amat berharga. Tetapi tak tahu juga kita, kerana meskipun air mata tuan hamba telah perginya, senyum tawa tuan hamba itu seolah-olah ada nilai yang sama. Moga firasat kita ini ada betulnya.”

    Lalu jadi puaslah hati si raja. Kerana mendengar jawapan penuh geliga. Tiadalah lagi syak dalam hatinya. Bahawa taubatnya telah diterima. Maka terbitlah kembali mentari hatinya. Hilang serta merta rasa duka. Bahkan bertambah-tambah sukacita, beramian perasaannya. Hingga tiadalah yang paling gembira pada zaman dan waktunya, melainkan dialah orangnya. Langsung dipeluknya penjaga kebun. Mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kerana memberi pengajaran yang tidak ternilai. Hingga berazamlah dia untuk terus adil dalam menjalankan urusan. Baik kenegaraan ataupun kerakyatan. Agar terus turun rahmat Tuhan. Dan agar kekal rahmat itu sepanjang zaman.

    Dipecut kudanya sepantas mungkin. Dalam gembira, menyusur kembali, mencari jalan pulang. Meskipun tidak tahu arah sebenar kerana asalnya sesat, tetap saja dipecutnya. Semuanya kerana yakin dengan rahmat yang telah dilimpah ruah Tuhan. Dan kerana itu juga dia yakin akan ketemu semula hulubalang- hulubalangnya. Si raja terasa angin yang bertembung laju dengan mukanya, amat segar sekali. Lalu angin itu mengusap rambutnya, amat seronok sekali. Lalu angin itu turun menyapu telinganya, amat tenang sekali. Dia menunggang dengan pantas. Amat pantas. Dan angin yang segar tak henti-henti membelai. Rasa yang menyeronokkan. Menyegarkan. Menambah kekuatan. Menghilangkan keserabutan. Segar sekali.

    Hai, andainya mampu merasa lagi perasaan itu di musim panas ini, alangkah indahnya.
    Bagi saya pula, Molto itu saya makan begitu saja, meskipun pelik kerana telah kurang isinya. Cuma tadi langsung tidak terfikir untuk bertanya tuan kedai kenapa tiga hari lepas Molto itu lima ketulan dalamnya. Dan hari ini pula telah kurang se. Sedangkan Molto yang dulu saya tetap beli dari syarikat yang sama, yang berbeza hanya kedai dan waktunya. Tapi jika benar kurangnya se kerana ditarik rahmat padanya, perbezaan kedai dan waktu membelinya itu tidak akan dikira. Cuma yang jadi terfikir, adakah jika saya bertanya, jawapannya adalah sama dengan jawapan penjaga. Namun rasanya tak mungkin sama, kerana saya bukan raja. Kerana hati saya dan hati raja tidaklah sama. Tentang bersih kotornya, dan juga terang gelapnya. Tetapi bagaimana jika tiba-tiba jawapan yang diberikan sama. Rugi rasanya tidak mencuba. Biarlah. Cuma harapnya selepas ini akan jadi lima kembali ketulannya. Atau kalau lebih nikmat dan berkat yang diturunkan semula, biarlah bertambah-tambah jumlahnya. Bayangkan jika selepas ini Molto itu ada sepuluh ketulan roti di dalamnya. Adakah mungkin?

    Hai hati yang kotor, jadi bersihlah!

    Cuma akhiir-akhir ini jadi kasihan mendengar rintihan Emak di Malaysia yang menceritakan makanan kegemaran beliau juga ditimpa nasib yang sama. Kalau dahulu satu ringgit untuk tiga buku roti paun, kini dua ringgit baru boleh untuk memperolehi ketiga-tiga bukunya.

    Hai hati yang jahat, bertaubatlah!

    Bulan lepas beras yang dibeli masih lagi 57 pound, kini telah 70 pound naiknya. Udahlah banyak bubuk dan teruk sekali kualitinya. Entah berapa kali diadu tetap belum ada langkah yang dibuat.[3]

    Hai hati yang dibisik iblis, tangkislah!

    Emak kata kakak-kakak yang tinggal di kota kini sudah jarang pulang. Namun Emak tak sedikit pun marah, bahkan Emak amat faham. Sangat-sangat faham. Kerana kakak-kakak juga faham. Bahkan telah menceritakan pada Emak agar Emak jadi faham. Tol, minyak, semuanya buatkan buatkan semua orang mula faham.

    Hai hati yang mahu senang, fahamlah!

    Melihat orang yang membeli isy mengerutkan kening hingga bertemu kedua-duanya buatkan kita rasa ada bala menimpa. Ini berlaku buat kali pertama. "Wahid binus sigenih! Mus ma3ul, ya 3amm!"[4] Tapi itulah realitinya. Adakah mata yang melihat hanya mampu bersedih saja?

    Hai hati yang keras, lembutlah!

    ---

    NOTA KAKI:
    [1]^Mafhum daripada Surah Al-Quran.
    [2]^Teruskan membaca dan anda akan faham kenapa saya mengatakan ianya kebun larangan.
    [3]^Harga beras terkini untuk beras yang datang dari Filiphina ialah 90 Pound.
    [4]^"Sekeping roti dengan harga setengah Pound. Tak masuk aqal, wahai sahabatku!"

    Ditulis pada bulan March 2008, beberapa hari sebelum Maulid Ar-rasul, di kota Cairo.


    Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

    Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

    Labels: , ,

     
     

    Bahana Blog Dan Baju Hitam #2

    Entri ini adalah sambungan dari bahagiannya yang pertama. Kerana ia terlampau panjang, saya kerat dua dan postkan kedua-duanya berasingan. Jika anda minat untuk membaca dari mula, klik sini. Jika anda tidak ada masa dan mahu terus ke point utama atau memang malas membaca, teruskan membaca di bawah.

    Isu kebebasan bersuara di internet dengan pelbagai medium seperti Blogspot dan Facebook adalah isu yang sering diperkatakan sekarang di mana-mana. Ini kerana budaya ini yang tidak dikekang oleh mana-mana undang-undang telah menimbulkan rasa takut bagi sesetengah pihak.

    Terutamanya sesebuah pihak kerajaan. Tidak kira mana-mana kerajaan. Jika di Malaysia hal ini telah disebut di dalam akhbar-akhbar[1], di Mesir pula hal ini bukan sekadar hangat di akhbar, malah turut diperbicangkan di televisyen.

    Semalam saya menonton sebuah rancangan di Al-Jazeera yang hangat membincangkan isu ini. Fokus utamanya adalah kesan penulisan dan penggunaan blog di kalangan para remaja di Mesir kepada realiti semasa. Sebabnya, macam-macam insiden mega yang berlaku dan bakal berlaku di Mesir sekarang kesan daripada tulisan-tulisan sebegini.

    Jika di Malaysia majoriti pengguna menggunakan Blogspot. Di Mesir, pengguna lebih cenderung kepada Facebook. Meskipun Facebook lebih berbentuk seperti Friendster, namun fungsinya sebagai tempat meluahkan perasaan dan pandangan seperti yang dipraktikkan oleh para blogger Malaysia di Blogspot boleh dikatakan serupa.

    Kenaikan harga yang mendadak di Mesir yang buatkan semua rakyatnya merasa terseksa -termasuk kami rakyat Malaysia di sini-, dan akhirnya menatijahkan pelbagai usaha dilakukan oleh rakyat negara tersebut untuk menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap fenomena ini.

    Saya masih ingat lagi, ketika masuk saja bulan April lepas, saya membuat keputusan untuk menamatkan ‘pertapaan’ sebulan lebih saya di kota Cairo dan pulang ke Dumyat. Tarikh 5hb April dipilih sebagai tarikh untuk saya pulang. Namun, seorang kawan saya mencadangkan agar pulang saja pada 6hb. Alasannya kerana pada 5hb itu akan diadakan mogok dan tunjuk perasaan secara besar-besaran di seluruh kota Cairo. Saya berdegil dan tetap pulang juga. Alhamdulillah, tidak ada sebarang mogok dan tunjuk perasaan yang berlaku. Namun, keesokan harinya, televisyen kesemuanya asyik menayangkan apa yang ‘diramalkan’ sahabat saya itu. Tunjuk perasaan itu benar-benar berlaku. Namun bukan berlaku pada 5hb tetapi pada 6hb. Hari itu kini diingati oleh seluruh rakyat Mesir dan dikenali sebagai ‘Hari Kemarahan’.

    Penyebabnya mudah, harga barang yang naik mendadak dan melampau, sedangkan gaji yang diberi sedikit dan tidak sepadan.

    World Bank melaporkan bahawa kos hidup di Mesir bertambah sebanyak 50% sejak 1hb Januari. Mahu tidak gila? Kasihan pada golongan kelas bawahan seperti para petani, penternak dan mereka yang hanya menjual buah-buahan di tepi jalan. Itu tidak parah lagi, bagaimana pula dengan nasib kanak-kanak yang sering menarik-narik baju kita sambil menghulur tisu, meminta sumbangan dan berpakaian comot koyak di Bawwabah Taltah? Mahu beralir air mata kita andai mereka tahu berbahasa Melayu dan menceritakan segala rintihan mereka kepada kita sejak bermulanya kenaikan harga.


    Hari Kemarahan bermula dengan perkumpulan orang ramai di Tahrir Square, Mahallah Kubra dan beberapa tempat lagi. Mereka berkumpul sambil menjerit dan meninggalkan kerja agar kerajaan sedar penderitaan mereka. Kerani-kerani kerajaan pula berkumpul mogok di depan bangunan pejabat sambil memegang pelbagai papan tanda dan sepanduk agar dinaikkan gaji mereka serata dengan harga barangan semasa. Jadilah hari itu penuh dengan pelbagai peristiwa sedemikian dan juga peristiwa kesan sampingan seperti penangkapan, pukulan dari pihak polis kepada penunjuk perasaan dan barang-barang dibakar.

    Tempat yang paling hebat mogok@tunjuk perasaannya adalah Mahallah Kubra. Sebuah tempat yang disifatkan sebagai hati industri tekstil Mesir. Ini kerana seluruh pekerja kilang-kilang di situ turut mogok serta kematian dua orang rakyat Mesir -tidak pasti samada tergolong dalam golongan penunjuk perasaan atau tidak- iaitu seorang kanak-kanak lelaki 9 tahun dan seorang lelaki berusia 20 tahun. Penangkapan 500 penunjuk perasaan turut dilaporkan.

    Mari kita dengar sedikit kata-kata mereka yang jadi saksi mata,
    “At down town in front of the syndicate of lawyers I was there when people in the street decided to join the people of the demonstration inside the syndicate, we were shouting outin the street “fall down Hosni Mubarak” but tens of soldiers ran after us with sticks and wanted to attack us, I was using my camera to film when an officer arrested me and wanted to take my camera and my mobile phone, thanks God a French friend journalist came and said I am his assistant and after 15 minutes of negotiation I could be out of that.
    Till now they arrested more than 100 people ,but anyway a lot of Egyptians particpated in the strike by staying home .
    The message of the regime was clear “no freedom, freedom of expression”.
    The police were very aggressive today but we resist till the end and I am considering today a victory against corruption, abuse, torture, dictatorship.”

    Itu sudah cukup dahsyat. Tetapi ada lagi yang lebih dari itu,

    “I was in the Tahrir Square since 11 AM and there were a huge number of soldiers and security in plain cloths, they were bothering everyone and asking for our ids and pushing us to go away.
    Three young girls from the American university in Cairo AUC come to protest at the square using breads ,the security guys didn’t like they way those young girls protest with and many soldiers were attacking the girls.
    A woman with her two kids tried to save the girls but the police arrested the mother .
    The two boys were alone crying because they took their mothers .
    They arrested some women at the Tahrir square too and make a siege around them but me and other AUC students, we stayed in front of that siege asking the police to free them and we didn’t move till, they let them go.”


    Siapakah mereka yang membuat mogok dan tunjuk perasaan?

    Percayalah, mereka bukanlah ahli mana-mana parti politik. Bahkan kebanyakan daripada mereka adalah anak-anak muda yang masing-masing mempunyai akaun di Facebook. Mereka jualah yang sering add friend seperti yang anda lakukan di Friendster. Mereka jualah yang sering send a smile apabila ada pengguna yang memikat hati mereka. Itulah mereka.

    Siapakah yang mencetuskan ideanya?

    Percayalah, perhimpunan ini tercetus ideanya di Facebook oleh beberapa orang penggunanya. Salah seorang daripadanya ialah Esraa Abdul Fatta. Remaja wanita ini turut ditangkap pada hari berkenaan. Namun Alhamdulillah, beliau kini telah dilepaskan dan terjadilah drama titisan airmata ketika pembebasannya kerana beliau dilepaskan sebaik saja sebelum keberangkatan ibunya ke Arab Saudi untuk menunaikan Umrah.



    Inilah sedikit sebanyak kesan dunia penulisan di blog kepada dunia semasa. Baru dunia tahu apa itu kemampuan blogger!

    Sebahagian orang menyatakan mogok@tunjuk perasaan ini berjaya dan ada juga yang menyatakan tidak. Saya juga tidak mahu untuk menentukannya. Namun pada Hari Buruh yang lepas, Presiden Mesir telah mengumumkan sesuatu yang amat mengejutkan. Kenaikan gaji para kerani kerajaan sebanyak 30%. Sungguh seluruh Mesir terkejut.

    Apakah tujuannya? Adakah ia kesan daripada mogok 6 April? Adakah mogok 6 April telah menampakkan hasilnya? Atau adakah kerana kerajaan Mesir risaukan hari yang bakal mendatang iaitu 4 Mei?

    Kenapa pula kerana risaukan 4 Mei?

    Perhimpunan Bersih di Malaysia adalah perhimpunan yang menjadi ingatan kita semua, sama sepertimana Mesir mengingati 6 April. Namun yang berbeza antara kedua-dua peristiwa adalah rentetan atau kesinambungan daripadanya.

    Saya telah menyahut cabaran 'Kempen Menjauhi Friendster' dan dengan menjauhinya, bermakna saya juga meninggalkan My Space, Facebook dan yang sama waktu dengannya yang saya tidak pernah membuka akaun dengan mereka. Tetapi semalam kerana terpaksa, saya telah rebah dalam meneruskan perjuangan saya untuk meninggalkan itu semua. Saya telah membuka akaun di Facebook, dan sekali lagi saya katakan ini adalah kerana terpaksa. Kerana saya mahu mengikuti lebih lanjut berita tentang mogok ini.

    Rupa-rupanya mogok ini masih ada rentetannya, dan tarikh 4 Mei ini telah jadi pilihan mereka. Iklan untuk Mogok 4 Mei ini telah dipaparkan di merata Facebook, dan ahli groupnya telah mencecah angka sebanyak 74,408 orang.

    Anda boleh membaca isi kandungan Group Mogok 6 Mei di Facebook itu secara penuh dengan klik sini. Namun untuk itu anda perlu mempunyai akaun di Facebook terlebih dahulu. Jika ada, maka syarat kedua anda perlu pandai membaca dan memahami Bahasa Arab. Jika kedua-dua telah ada, maka syarat ketiga pula adalah anda perlu pandai Bahasa Arab 3ammiyah versi Mesir. Jika anda tidak ada ciri-ciri itu semua, maka itu masih tidak mengapa. Ini kerana, saya telah menterjemahkan serba sedikit daripada isi kandungan iklan tentang Mogok 4 Mei tersebut, tetapi hanya yang penting-penting sahaja. Berikut adalah terjemahannya :

    Mogok secara aman masih berterusan.

    Kita telah berjaya dalam menyampaikan surat kita.

    Kita telah berjaya dalam meluahkan pendapat kita dan menyampaikan suara kita kepada para pemimpin.

    Lebih daripada 40% rakyat mesir telah menyahut seruan kita. Dan kalau bukan kerana ketakutan (rakyat) dan kekerasan (pemimpin)pastilah seluruh Mesir akan menyahutnya.

    Kita bukan parti politik dan kita bukan mahu memerintah.

    Kita adalah sebesar-besar kumpulan di internet yang ikhlas untuk Mesir.

    Rancangan pertama kita adalah hari 6 april.

    Seluruh mesir kini mengingati hari itu.

    Tujuan kita adalah menyedarkan rakyat daripada kepengsanan (tidak sedar dengan apa yang berlaku) dan (mengajar mereka) cara-cara meminta hak-hak mereka yang sebenarnya simple belaka.

    Tujuan kita adalah menyebarkan kebaikan selepas beberapa tahun yang panjang dan dipenuhi ketakutan dan kengerian (azab seksa). Dan pastilah kita semua tahu pada 6 april setiap orang dijalanan meluahkan pendapat mereka.

    Keganasan (pada hari itu) hanya dilakukan oleh Amnu Markazi (pihak polis) dan perhimpunan (polis) yang mengerikan. Merekalah yang menakutkan dan menyebabkan orang ramai yang tidak tahu berkumpul di suatu tempat (menyorok).

    Selepas 6 april orang ramai mula bercakap-cakap.

    Dan selepas 4 mei orang akan lebih bercakap-cakap.… lebih.

    Sudahlah….Kesibukan sudah bermula dan tidak ada seorang pun mampu memberhentikannya.

    Selepas 6 april, kita telah mendengar kalam (cakap) daripada kerajaan untuk menghentikan kenaikan harga dan kadar gaji yang memadai dengan harga barangan semasa.

    Hmmm…Itu hanya kalam (cakap) saja.. Kita juga yang mampu memaksa mereka menghentikannya.

    Apa yang kita mahu simple saja:

    1 - Gaji yang sepadan dengan harga barangan semasa untuk apa jua kelompok pekerjaan sebagaimana yang dilakukan di negara-negara yang menderita kenaikan harga.

    2 - Mengeluarkan rang undang-undang dalam mengawal kenaikan harga dan mengawal monopoli di pasaran dan melarang ihtikar (menyorok barang-barangan kerana menunggu kenaikan harganya) serta secara serta-merta mempraktikannya kepada umum.

    3 - Pembebasan kesemua tahanan 6 April.

    Itu adalah terjemahan permulaan iklan mogok ini dan ini pula adalah terjemahan untuk apa yang bakal dilakukan mereka :

    Baiklah apa yang kita akan buat pada 4 mei ?

    Setiap orang membuat sekadar kemampuannya dari hal-hal yang berikut :

    1 - Memakai pakaian hitam dan dicadangkan pakaian itu dicetak padanya apa-apa yang kita mahu seperti yang disebut diatas.

    2 - Semua orang cuba sekadar kemampuan mereka dengan segala cara untuk kekal (tidak keluar dari rumah untuk ke sekolah atau tempat kerja) pada hari mogok dan mengantung papan tanda yang tertulis padanya segala apa yang kita mahu di pintu-pintu rumah.

    3 - Mengantungkan bendera Mesir dibalkona-balkona dan bendera-bendera hitam ataupun apa-apa papan tanda yang mengandungi senarai apa yang kita mahukan.

    4 - Untuk para pelajar dan doktor yang tidak mampu untuk kekal dirumah (kerana peperiksaan dan merawat pesakit) bolehlah untuk pergi ke pejabat atau universiti atau sekolah dengan memakai pakaian hitam yang tertulis segala yang kita mahu padanya dan mengantungkan lencana yang juga tertulis itu semua pada beg-beg mereka.

    5 - Memboikot untuk membeli barang-barang dagangan pada hari ini secara tetap dan memboikot untuk membeli daging dan ayam untuk 3 hari iaitu 4, 5 dan 6 Mei. Jangan takut, tiada siapa yang akan mati.

    6 - Memboikot segala akhbar-akhbar kerajaan yang menyesatkan dan menipu seperti el-Ahram, el-Akhbar dan el-Jumhuriah. Begitu juga dengan memboikot rancangan televisyen yang menyampaikan berita dan laporan dari Amni Daulah (polis Mesir) seperti rancangan 90 minit dan el-Qaherah el-Yaum.

    7 - Memandangkan kerajaan menggunakan undang-undang et-Tajumhur yang dikeluarkan pada tahun 1914 yang mengharamkan sebarang perkumpulan lima orang dijalanan tanpa izin terlebih dahulu, maka kami menyeru semua anggota Group dan mereka yang mempunyai kesensitivitian untuk berdiri di hadapan rumah-rumah mereka sepanjang waktu ini atau bila-bila sahaja pada 4 mei dengan memakai pakaian hitam dan memegang papan tanda yang tertulis padanya segala yang kita mahu. Dan juga membuat dialog perbincangan bersama jiran-jiran (tentang apa yang berlaku). Sekiranya tidak mampu cukuplah dengan berdiri di balkona dengan menunjukkan apa-apa yang hitam. Sekiranya tidak mampu cukuplah berdiri di atas sutuh rumah.

    Catitan : Segala perubahan akan diberitahu sebelum 4 mei (mungkin tiada perubahan dah kot).

    Itulah dia perkara-perkara yang dirancang pada hari berkenaan. Namun pada 6 April dahulu, ianya juga dirancang sedemikian (hampir-hampir sama). Maksud saya, yang dahulu dirancang sebagai mogok juga, namun pada akhirnya bertukar menjadi mogok yang disertakan dengan tunjuk perasaan. Tetapi tentang 4 Mei ini pula, adakah sama? Tuhan saja yang menentukan.

    Sebagai rakyat Malaysia di sini pula, apa yang perlu kita lakukan? Saya tidak tahu jawapan anda. Namun saya ada jawapan saya tersendiri.

    Saya dan kawan-kawan telah bercadang untuk keluar ke bandar dan menikmati hari berkenaan. Sudah pastilah kami tidak akan berpakaian hitam seperti yang orang-orang Mesir lakukan. Cuma kami mahu melihat keadaan di bandar, adakah jadi lengang atau sebaliknya? Kita lihat saja. Lagipun keberadaan kami kini di Dumyat, bukan di Cairo. Apa yang perlu dirisaukan sangat. Kalau di sana, pastilah mogok ini jadi besar-besaran.

    Dan jika mogok ini bertukar kepada tunjuk perasaan, adakah saya akan mengikutinya? Tidak sama sekali. Namun jika ada yang demikian, peluang jangan dilepaskan. Pandai-pandailah berpura-pura sebagai journalist untuk mendapatkan gambar yang amat tinggi nilainya.

    Berkenaan mengantung bendera hitam di balkona pula, jika anda mempunyai koleksi pakaian-pakaian hitam maka basuhlah ia dengan segera sebelum 4 hb, kerana pastikan ampaian rumah anda kosong dengan pakaian agar tidak dituduh mengikuti mereka.

    Berkenaan mengantung bendera Mesir itu, mudah saja, gantung saja bendera Malaysia jika ada.

    Berkenaan memboikot dari membeli barang, nanti saya tanyakan tuan kedai Saif dan 24 Hours adakah mereka akan membuka kedai mereka.

    Bersiap-sedialah semua. Saksikanlah kebangkitan tuan punya tanah tempat kitamenumpang menyuarakan rasa mereka. Dan saksikanlah juga kuasa ini yang dibangkitkan oleh para blogger (sengaja saya mahu kembali ke tajuk asal).

    Dan jawapan untuk soalan saya yang mula-mula tentang adakah bahaya terjun ke dunia pembloggan, rasanya tak perlulah dijawab. Subjektif itu semua. Cuma lihatlah pada kesannya, dan janganlah perlekehkan kemampuannya.

    Dan bagi sesiapa yang harijadinya pada 4 Mei, jangan berdukacita. Tahun depan masih ada. Cuma pernah tidak, anda merasa takut untuk menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ pada seseorang? Saya belum pernah lagi dan itu seolah-olah bakal terjadi. Kerana 4 Mei ini adalah harijadi Presiden negera tempat berlangsungnya mogok ini. Kalau tidak percaya klik sini.

    Patutlah mogok ini jatuh tarikhnya pada hari berkenaan.

    Hai, kan seronok jika sekarang saya berada di Cairo, pasti pelbagai koleksi gambar menarik dapat dikumpulkan. Tetapi, susah juga kerana 5hb saya ada ujian syafawi Al-Quran. Oh, adakah saya telah bersedia untuk kedua-duanya?

    ---

    NOTA KAKI :
    [1]^Saya tidak mahu mengulas isu ini kerana ia telah diulaskan di blog ini dengan amat terperinci.

    TERIMA KASIH :
    Terima kasih buat Kamaruzzaman Johor yang menolongtaip terjemahan di atas.
    Terima kasih juga kepada Rizmal Qatar, Amali Jawa dan Syafiq Sijangkang (betulkah ejaannya?) kerana memberikan sumbangan penggunaan internet.
    Terima kasih buat Hafizzan Kuala Nerang yang jadikan saya terfikir untuk keluar ke bandar pada hari mogok.

    Ragu-ragu untuk melanggan blog ini? Buang rasa ragu-ragu anda dengan klik sini. Ianya tanpa bayaran dan percuma. Kenapa perlu melanggan? Klik sini.

    Rasa perlu meninggalkan komen? Klik sini.

    Labels: , ,